NOVEL BENCI TAPI RINDU (prolog)

Adakah cinta akan menggamit melodi rindu?
Adakah cinta memerlukan pengorbanan?
Adakah cinta menguji kesetiaan pada seseorang?
Adakah cinta dapat melakar kenangan dalam hidup seseorang?
Adakah cinta mengajar kita rasa benci?
Adakah cinta mengajar kita erti sabar?
Adakah cinta mengajar kita erti sebenar kehidupan?
Dan...kenapa perlu adanya semua perasaan itu di kala hati merasai erti sebenar sebuah cinta?

Dengan sekali lafaz, mereka telah sah bergelar sebagai suami isteri. Ya, penyatuan yang tiada kerelaan daripada dua insan itu. Penyatuan yang hanya dipersetujui oleh kedua-dua orang tua mereka. Namun, dalam menyulam kasih,  pelbagai yang telah dilalui oleh mereka. Daripada perasaan benci bertukar menjadi sayang. Daripada perasaan itu juga mereka belajar erti rindu.

Ya, dia adalah isteri kepada lelaki itu! Lelaki yang telah berjaya memiliki sekeping hati ini. Sesungguhnya, dia merindui lelaki itu. Perlukah aku kembali semula dan meminta maaf? Desis hati kecilnya. Dia mengeluh berkali-kali. Dia tahu hukum dosa seorang isteri jika meninggalkan suami. Dia sedar semua itu. Tidak seharusnya dia bersikap sebegini.

Semuanya berpunca daripada perempuan itu. Semuanya berlaku dengan pantas.
Sudah semestinya dia merindui seraut wajah yang tenang. Senyuman lelaki itu, gerak langkah lelaki itu dan semua hal mengenai lelaki itu. Seolah-olah, hatinya kini sudah memiliki sebahagian daripada hati lelaki itu. Dia mengeluh panjang. Bukan senang untuk dia menerima cinta lelaki itu. Lelaki itulah yang banyak mengubah hidupnya kini.

Sekarang, semua salah sangka antara dia dan juga suaminya telah pun selesai. Lelaki itu tidak bersalah. Perlukah dia memohon maaf kerana meninggalkan  suaminya begitu sahaja? Soalan itu sentiasa berlegar-legar dalam kotak fikirannya.  Setitis demi setitis, air matanya jatuh bagaikan  mutiara. 

Dia menatap bait-bait lagu yang bertajuk ‘Yang Terindah’. Lagu yang dinyanyikan oleh ‘Dakmie’. Biarpun suaminya itu tidak pandai berpujangga, namun daripada lirik ini jugalah yang menyampaikan perasaan sebenar lelaki itu  terhadap dirinya.

Semenjak kau hadir dalam hidupku,
Tiada lagi keresahan,
Kau mengetuk pintu hatiku,
Tanpa sedari hinggaku izinkan...

Mencintai dirimu,
Merindui dirimu,
Memiliki dirimu,
Hingga akhir hayat bersama kamu…

Kau yang bernama cinta,
Kau yang memberi  rasa,
Kau yang ilhamkan bahagia,
Hingga aku rasa indah…
Kau yang bernama cinta,
Hingga aku rasa indah…

Abang minta maaf sayang. Abang tidak bermaksud untuk sakitkan hati sayang. Baliklah sayang. Abang merindui dirimu. Abang tak boleh hidup tanpa sayang. Semua yang berlaku telah pun selesai. Kembalilah kepada abang, sayang. Abang harap sayang faham isi hati abang melalui lirik lagu ini. Abang cintakan sayang. Selagi abang bernafas, abang akan bersama-sama sayang. Ketahuilah sayangku, abang amat merindui dirimu. Teramat mencintai dirimu. Kembalilah semula sayangku. Abang akan tetap menantimu…. Yang Mencintai Dirimu,

Suamimu.

Aqilah menangis di dalam hati. Dia menekup mulutnya dengan kedua-dua tapak  tangan. Ya, aku harus kembali kepadanya! Aku adalah isteri dia yang sah. Isteri kepada lelaki itu. Dan lelaki itu adalah suamiku. Tekad hatinya yang penuh membara.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)