bab 3 & 4

BAB 3

Langkah Aqilah makin laju. Sengaja dia membuka langkah seluas yang mungkin. Dia mahu menunjuk bahawa hatinya sakit dengan cadangan Haikal. Dia tidak mahu berjalan seiringan dengan Haikal. Dia benci lelaki itu. Aqilah berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan lagi. Hatinya yang semakin panas, tidak membuatkan dirinya rimas terhadap orang ramai di Shopping Mall itu!

“Awak, boleh jalan perlahan sikit tak? Saya penatlah nak kejar langkah awak”, pinta Haikal cuba berlembut. Tangannya hendak mencapai bahu Aqilah. Makin dekat hendak dicapai makin laju langkah kaki isterinya. Haikal mengeluh.

Aqilah yang perasan dengan perbuatan Haikal, terus tersenyum sinis. Padan muka. Desisnya dengan muka yang kelat. “Dah tahu saya jalan laju, kenapa ikut?”, soal Aqilah tidak langsung memandang Haikal. Dia meneruskan juga hayunan langkah kaki.

Haikal diam. Akhirnya dia membuka langkah seluas yang mungkin untuk menyaingi langkah Aqilah. Dengan pantas tangannya memegang pergelangan tangan isterinya.

“Jangan buat kerja gila kat sini”, bisik Haikal dengan amaran yang keras. Hilang sudah kelembutannya. Pegangan tangannya makin kuat apabila Aqilah cuba untuk meleraikan pegangan tersebut.

Akhirnya Aqilah akur. Dia diam seribu bahasa. Suara Haikal kali ini lain di pendengarannya. Dia mengikut saja langkah Haikal. Menyampah betul aku dengan dia ni. Getus hati kecilnya. Kalau dia tahu rancangan papanya itu, dia tidak akan menjadi isteri kepada Haikal. Dia tidak langsung mencintai Haikal. Perasaan itu tidak akan wujud sampai bila-bila. Noktah!

“Saya nak balik kampung dalam masa tiga minggu lagi. Mak baru balik dari Makkah. Awak nak ikut tak?”, soal Haikal kembali berlembut. Pegangannya kian longgar. Tidak lagi kuat seperti tadi. Aqilah diam. Malas mahu menjawab soalan suaminya itu.

“Bisu pulak ke awak ni?”

Aqilah menjelir lidah. Tidak kisah jika orang ramai melihat perbuatannya itu. Ada juga mata-mata yang mengerling ke arah mereka sambil tersenyum-senyum dan berbisik sesama sendiri. Perasaan malu Haikal mula bertandang.

“Eiiiiiii, cubit nanti baru tau. Malulah sikit orang pandang”, tegur Haikal lantas  menundukkan wajahnya. Ingat orang lelaki tak ada perasaan malu ke!

“Werk” Aqilah merentap tangannya dari pegangan Haikal. Dia terus berjalan dengan laju lalu tawanya terburai di dalam hati. Haikal terpinga-pinga. Langkah Aqilah dikejar laju. Geram betul dia tika ini!

Aqilah masuk ke dalam sebuah kedai pakaian. Haikal yang melihat hanya mengikut saja langkah isterinya.

“Belanja tak boleh lebih dari lima ratus ringgit ya” Haikal mengeluarkan kuasanya sebagai seorang suami.

Aqilah merengus geram. Lantak akulah. Siapa suruh nak temankan. Marah Aqilah dalam hati. “Kalau awak tak mampu nak bayar, biar saya minta duit kat papa je. Tak payah nak minta kat awak”, marah Aqilah tanpa ditahan lagi.

“Awak tu dah besar. Tak payah nak minta-minta kat papa. Tak malu sungguh. Saya suami awak, biar saya je yang bayar”, tukas Haikal perlahan. Khuatir andai ada telinga yang mendengar mereka bertikam lidah. Khuatir juga andai dirinya dicop sebagai lelaki kedekut! Bukan kedekut. Tetapi, berjimat!

Aqilah mencebik bibirnya. Dia terus melihat pakaian yang hendak dibeli. “Saya tak suka pakai baju kurung. Jadi, jangan suruh saya pakai baju kurung bila balik kampung awak nanti” Aqilah masih lagi membelek-belek pakaian di satu rak.

Bagaikan hendak terkeluar biji mata Haikal yang mendengarnya. “Awak tak ada baju kurung langsung? Habis tu, hari raya awak pakai apa?” Dirinya sudah tertanya-tanya.

“Saya pakai seluarlah. Mama ada juga beli. Tapi tak pakai pun”, balasnya bersahaja. Haikal diam. Teruknya dia ni. Hati Haikal mula berbicara.

“Saya nak baju ni. Nah, pergi bayar kat kaunter tu” Aqilah meletak baju di bahu suaminya.

Haikal terpinga-pinga. Tanpa banyak kata, Haikal terus menuju ke kaunter pembayaran. Sehelai baju pun sudah mencecah ratusan ringgit!

Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aqilah menunggu suaminya di luar. Dia tersenyum melihat Haikal yang menggaru-garu kepala. Sebenarnya, dia tidaklah memilih sangat. Tetapi dia mahu berlagak di depan Haikal. Sengaja dia berbuat begitu.

Padahal, dia hanya gadis biasa. Dia seperti perempuan lain juga. Dia tidak kisah memakai baju di kedai-kedai tepian jalan. Asalkan hati dan dirinya selesa dengan pakaian itu. kenyataan tentang baju kurung yang baru saja diberitahu pada Haikal tadi, adalah tidak benar. Dia sama seperti perempuan lain juga.

“Jom. Awak nak pergi mana lagi?”, soal Haikal lalu menarik tangan Aqilah.

“Saya lapar. Nak makan boleh?” Aqilah mendongak memandang Haikal.

“Awak nak makan apa? KFC? McD? Burger king?”

“Tak kisah. Asalkan halal”, balas Aqilah bersahaja. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Entah kenapa perutnya cepat benar terasa lapar.

Mereka keluar dari gedung membeli-belah yang makin dipenuhi orang ramai. Matahari makin mencacak di atas kepala. Panas mula membahang di segenap tubuhnya. Peluh renik sudah jelas di dahinya. “Boleh jalan cepat sikit tak? Panas ni awak tau tak”, marah Aqilah.

“Awak boleh diam tak? Asyik nak marah saja”, ngomel Haikal lantas membuka langkah panjang. Makin geram dia dengan perangai Aqilah. Mengada-ngada betul!


*****


AQILAH menyedut air ice lemon tea dengan penuh nikmat. “Hmm, lega sikit” Aqilah melepaskan keluhan lega. Haikal tersenyum melihat gelagat isterinya.

“Bukan lega. Cakap alhamdulillah. Puas minum?”

“Opss, maaf. Alhamdulillah. Awak, saya nak lagi air boleh tak? Tolong belikan satu lagi”, pinta Aqilah selamba.

“Tak cukup?” Membuntang mata Haikal merenung isterinya.

Aqilah menggeleng-geleng kepala sambil mulutnya laju mengunyah ayam goreng. “Cepatlah. Satu tak cukup”, gesa Aqilah.

“Nanti saya nangis baru padan muka awak” Aqilah  mengugut. Dalam hati, dia mahu ketawa sekuat-kuatnya. Namun, ditahan juga.

“Nak cakap pun, telanlah dulu makanan dalam mulut awak tu. Tak malu ke orang tengok nanti?” Haikal berkata sambil memandang di sekeliling ruang dalam KFC.

“Biarlah. Kalau saya tahu awak nak datang KFC, tak perlu kita pergi jauh-jauh. Kat mall tadi pun ada KFC. Sudahlah,  pergi cepat beli air tu. Orang haus ni”, marah Aqilah terus menyuap makanan tanpa menghiraukan Haikal.

Hendak ketawa pun ada apabila melihat perangai isterinya. Berkali-kali dia menggeleng kepala. Haikal terus ke kaunter. Dia tersenyum lebar. Macam budak-budak. Getus hati kecilnya.

Tidak lama kemudian, Haikal kembali semula ke meja makan. “Nah, air awak” Haikal menghulurkan air ice lemon tea kepada Aqilah.

Aqilah tersenyum lalu mengambil air tersebut. Dia menyedut dengan penuh nikmat. Haikal yang melihat hanya mampu menggeleng kepalanya. Entah kali keberapa dia asyik menggeleng kepala sahaja! Pandangannya jatuh pada pinggan Aqilah yang sudah licin. Hanya tulang-tulang ayam yang bergelimpangan dalam pinggan.

“Cepatnya awak makan” Haikal seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Saya lapar sangat” Aqilah tersenyum panjang. Hilang malunya. Hehehe....

“Mana ayam saya lagi satu?” Pandangan Haikal jatuh pada Aqilah. Hanya sengihan seperti kerang busuk yang dibalas oleh Aqilah.

Haikal menggeleng-geleng kepalanya lagi. Malas dia mahu melayan Aqilah. Makin dilayan, makin memanjangkan lagi pergaduhan.

“Awak lapar lagi ke?”, soal Haikal sambil mengunyah ayam goreng perlahan-lahan. Penuh tertib.

Senyuman Aqilah kian mekar. “Kalau awak belikan satu set lagi, saya boleh je makan. Tapi, saya dah kenyang sangat ni. Saya nak basuh tangan kejap”, ujar Aqilah terus bangun.

 Haikal hanya diam lalu senyuman lebar menguntum di bibir. Haikal terus berhenti makan sebaik saja telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Terpapar nama ‘cintaku’. Haikal mengeluh. Akhirnya butang hijau ditekan.

“Assalammualaikum...” Haikal memulakan bicara. “Zu, saya mintak maaf”, sayu sekali suaranya.

Suara Zurina di hujung talian kedengaran sepi sahaja. Tidak lama kemudian, esakan pula yang kedengaran. Haikal makin gelabah. “Jangan macam ni. Saya sayangkan awak. Please, jangan menangis”, pinta Haikal.

“Awak tak sayang saya”, luahnya dengan tangisan makin menjadi-jadi.

Haikal terdiam. Hilang seleranya melihat ayam goreng KFC. “Saya sayangkan awak Zu. Tolonglah faham keadaan saya sekarang”, pinta Haikal dengan fikiran yang makin serabut.

Akhirnya talian terputus begitu sahaja. Haikal bungkam. Perasaannya bercampur baur. Dia tidak mahu semua ini terjadi. Dalam masa yang sama, Aqilah mendengar perbualan itu, terus kaku di belakang Haikal. Lambat-lambat dia kembali semula ke tempat duduknya. Pura-pura tidak mendengar perbualan suaminya.

“Jom balik. Saya penat” Haikal terus bangun. Tanpa menunggu Aqilah, dia terus melangkah pergi dari situ. Aqilah terpinga-pinga. Tanpa sepatah kata, Aqilah mengikut langkah Haikal.




BAB 4

Keadaan di dalam kereta sunyi sepi sahaja. Hanya nyanyian daripada penyanyi terkenal iaitu ‘Faizal Tahir’ yang bergema di segenap ruang dalam kereta itu. Mata Aqilah mengerling ke arah Haikal. Lelaki itu hanya diam seribu bahasa. Pasti perasaan Haikal sama sepertinya. Dia juga tidak cintakan Haikal.


Nasibnya lebih baik daripada Haikal. Itu pun kerana kekasihnya nun jauh di mata. Dia pun tidak mahu Saiful tahu yang dia sudah berkahwin. Biarlah menjadi rahsia di antara mereka. Jauh di dasar hati, dia merindui kekasihnya itu. Dia seperti Haikal juga, tidak setuju dengan cadangan Datuk Johar. Dia bersetuju pun sekadar mahu menjaga hati orang tuanya. Begitu juga dengan Haikal. Dia tahu Haikal bukan seperti lelaki yang suka mengambil kesempatan. Aqilah mengeluh. Tidak tahu apa yang hendak dibualkan antara dia dan Haikal.

“Kenapa?”, soal Haikal setelah lama berdiam diri.

Aqilah terpinga-pinga apabila Haikal mengajukan soalan kepadanya. “Kenapa apa?”, ujar Aqilah dengan pertanyaan juga. Dia seakan baru terjaga dari tidur yang panjang. Terpinga-pinga dia memandang Haikal yang tenang memandu.

“Awak mengeluh tu kenapa?”

“Oh, tak ada apa-apa”, balas Aqilah perlahan. Lambat-lambat, dia menyambung lagi, “Awak dah ada orang lain ke?”

Haikal mengeluh panjang. Dia mengangguk perlahan. “Tapi, keadaan dah tak sama macam dulu. Sekarang, saya dah ada isteri. Entahlah, saya pun tak tahu nak cakap macam mana lagi”, tutur Haikal bersama-sama keluhan yang lemah.

“Awak kahwinlah lagi satu. Saya izinkan”, balas Aqilah perlahan. Entah kenapa hatinya sakit bila menyebut perkataan itu. Dalam hidupnya, dia tidak impikan untuk hidup bermadu. Mungkin ini suratan hidupnya.

Haikal tersenyum panjang. “Kalau saya kahwin dua, saya dah dapat perempuan yang saya nak. Tapi, awak? Takkan nak kahwin dua pula” Tawa Haikal meletus.

Aqilah tersenyum hambar. “Kan bagus kalau perempuan boleh kahwin dua kan? Tak payah nak pilih mana satu pilihan untuk dijadikan teman hidup” Aqilah memandang wajah Haikal.

“Mengarut saja awak ni”

“Awak ceraikan saya”, tutur Aqilah perlahan. Namun, cukup menghiris hatinya. Tanyalah pada mana-mana pasangan suami isteri, siapa yang mahu bercerai. Sudah tentulah, semuanya mengimpikan hidup yang berkekalan. Hatinya sakit tatkala menyebut perkataan ‘cerai’.

Haikal tersentak. Tidak menyangka Aqilah akan mengeluarkan kata-kata yang sedemikian. Dengan pantas dia terus memulas stereng kereta lalu berhenti di bahu jalan. Aqilah terkejut. Nasib baik kenderaan di belakang jauh lagi. Kurang asam betullah dia ni. Marah Aqilah kembali bertandang.

“Awak dah tak nak hidup lama ke? Kenapa, nak mati sangat ke?”, marah Aqilah sambil mengusap dadanya.

“Kalau awak nak mati, jangan ajak saya sekali. Saya pun nak bertaubat juga sebelum mati”, sambung Aqilah dengan suara lantang.

“Yang awak cakap cerai tu kenapa?” Nada Haikal turut meninggi. Keras!

Aqilah terpaku. Terbeliak matanya memandang wajah yang sudah merah padam. “Awak cintakan dia. Hubungan kita tak akan pernah elok. Buat apa lagi kita teruskan hubungan ni”, tutur Aqilah terus mengalih pandangan ke arah lain.

Matanya mula berkaca. Dia sedih bila ditengking hingga begitu sekali. Dia sedih dengan kata-katanya yang boleh mengundang dirinya ke neraka. Dia tahu, berdosa jika seorang isteri meminta cerai daripada suaminya. Dia sedih apabila hatinya hanya untuk seorang lelaki yang dicintainya sahaja. Namun, lelaki itu bukan teman hidupnya. Kini, Haikal yang menjadi suaminya. Bukan Saiful!

Haikal diam. Dia seolah-olah baru tersedar. Tidak sepatutnya dia memarahi isterinya. Dia tahu, semua ini bukan seperti yang mereka mahu. Berkahwin atas dasar mahu menjaga hati kedua-dua orang tua Aqilah dan juga terlalu banyak dia terhutang budi dengan Datuk Johar. Haikal mengeluh.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja nak tengking awak macam ni. Saya tahu, kita tak pernah kenal dan tak pernah bercinta. Tapi, berilah saya peluang untuk saya jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang suami selagi awak masih bergelar isteri saya”, tutur Haikal lemah.

Aqilah berpaling menghadap Haikal. “Tapi, saya tak cintakan awak. Saya cintakan Saiful”, balas Aqilah tegas. Matanya sudah dipenuhi air jernih. Bila-bila masa saja empangan itu akan pecah!

Haikal tersenyum. Tawar! “Itu hak awak. Saya takkan ganggu hak awak. Percayalah. Tapi, selagi kita masih sah sebagai suami isteri, jangan sesekali minta cerai” Haikal mengesat air mata yang sudah membasahi wajah Aqilah.

“Dah, jangan nangis lagi. Dah merah muka tu. Nanti, orang kat rumah ingat saya ni pukul awak pula”, seloroh Haikal dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat. Tapi, sampai bila dia dan Aqilah akan hidup begini? Haikal buntu. Tanpa berlengah lagi, dia terus memulakan pemanduannya. Hal dia dan juga Aqilah dibiar sepi begitu saja.


*****


MALAM makin gelap. Langit cerah dengan dihiasi bintang-bintang yang bertaburan. Begitu juga dengan bulan yang begitu setia dengan malam. Tanpa malam, bulan pasti akan sunyi. Begitu juga waktu siang. Matahari akan menemani langit pada waktu siang. Begitu agungnya kuasa pemilik alam ini. Dirinya menjadi insaf tiba-tiba.

“Awak buat apa ni?” Aqilah menghampiri suaminya. Daripada tadi, dia melihat Haikal begitu asyik memandang langit. Angin malam menyapa lembut tubuhnya membuatkan dia berasa tenang. Hatinya juga turut tenang tatkala memandang langit.

“Tak buat apa. Saja tengok langit. Cantikkan?” Haikal tersenyum senang. Angin malam lembut menampar pipinya. Terasa tenang kala ini.

“Kenapa tak tidur lagi?”, soal Haikal seakan-akan berbisik. Matanya masih lagi  memandang langit.

“Tak mengantuk lagi. Esok awak dah mula kerja kan?”

Haikal mengangguk. “Kenapa, nak ikut ke?”, soal Haikal.

Matanya kini beralih pula pada isterinya. Agak comel isterinya malam ini. Baju gaun paras betis dengan terlukis gambar teady bear lagi. Haikal tersenyum.

“Tak adalah. Saja tanya”, tukas Aqilah apabila mata Haikal begitu asyik merenung dirinya. Aku pakai bajulah. Bukan telanjang pun! Getus hati kecil Aqilah.

“Pergilah masuk dalam. Kat luar ni sejuk. Nanti awak demam pula” Sememangnya angin malam yang menyapa tubuhnya membuatkan dia menggigil kesejukan.

“Tak naklah. Bukannya nak mati pun duduk kat luar ni”, tukas Aqilah bersahaja.

“Ada saja benda yang nak dijawab. Kalau awak tak bergaduh dengan saya satu hari tak boleh ke?”, soal Haikal kembali memandang langit.

“Saya memang suka bergaduh. Nak tanya sikit boleh?”

Haikal mengangkat kening. “Tanya apa? Banyak pun saya tak kisah”

“Umur awak berapa?” Entah kenapa dia ingin mengenali Haikal dengan lebih rapat.

“27 tahun. Anak sulung dalam keluarga. Saya ada dua orang adik perempuan. Saya seorang saja lelaki. Lahir di Melaka. Tapi, bila arwah ayah dah bersara, kami pindah ke Kedah. Tanah pusaka arwah nenek. Awak pula?”

Aqilah mengangguk berkali-kali. Tanda faham dengan apa yang Haikal katakan tadi. “Saya 24 tahun. Memang anak tunggal. Best tak Kedah? Apa yang ada kat sana?”

“Entah. Yang saya tahu, kalau saya bosan, saya selalu tengok sawah padi. Tenang saja rasa hati. Kenapa, dah tak sabar-sabar nak balik Kedah ke?”

Aqilah menjelir lidahnya. “Tanya pun tak boleh”, gumamnya.

Haikal turut menjelirkan lidah. Kali ini lebih dekat di muka Aqilah. Tinggal lagi sejengkal sahaja lidah Haikal mencecah mukanya. Aqilah terus menolak muka suaminya.

“Awak gila ke? Menyampahlah awak ni. Asyik nak kenakan orang saja”, marah Aqilah terus berlalu masuk ke dalam bilik. Haikal turut membuntuti isterinya.

“Eleh, dia tak apa pula asyik kenakan orang. Kalau saya, semua salah”, tukas Haikal bersahaja.

Aqilah menjeling tajam ke arah Haikal. “Awakkan lelaki. Lelaki kenalah banyak bersabar. Asyik nak cari gaduh saja”, balas Aqilah lalu mencampakkan bantal ke arah Haikal.

Dengan pantas Haikal menyambut bantal yang dicampakkan oleh Aqilah ke arahnya. Haikal ketawa. “Eh, kita pula yang kena. Dia yang suka cari gaduh, saya pula yang salah. Awak menanglah Cik Aqilah oiiii....Opsss, Puan Aqilah”, balas Haikal terus membaringkan diri di sofa yang menjadi tempat tidurnya saban malam.

Yes, kan bagus awak kata dari awal macam tu. Kan saya dah kata, suami kena banyak bersabar” Suka pula dirinya apabila Haikal mengalah.

“Sudahlah awak. Saya dah mengantuk ni. Esok nak kerja pulak. Layan awak, sampai esok pun tak tidurlah jawabnya. Nanti jangan lupa gosok baju kerja saya. Okey?”

Aqilah mencebik bibir. “Suruhlah Mak Jah yang iron. Saya pun penat. Nak tidur juga. Selamat malam” Aqilah terus merebahkan badannya. Malas dia mahu melayan Haikal. Setiap kali memulakan perbualan, pasti akan berakhir dengan pertengkaran. Hidupnya memang tidak pernah aman dengan Haikal. Eh, bukan ke aku yang suka cari pasal? Soalan itu dibiarkan sepi dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)