bab 1 & 2

BAB 1

Aqilah menghempas daun pintu dengan sekuat hati. Sekuat hatinya yang penuh dengan api membara. Biarpun dicampak kepadanya ketulan-ketulan ais batu, hatinya tetap juga panas. Tidak ada surut suhu kepanasan dalam dirinya! Dengan sekali rentapan, selendang di kepalanya sudah tertanggal. Dia melihat dirinya di hadapan cermin. Muka manisnya sudah bertukar menjadi seekor raksasa yang sedang marah. Kesemua barang solekannya di atas meja dilempar ke permaidani. Tidak dihiraukan lagi barang-barang kesayangannya itu. Yang penting, hatinya yang panas ini perlu diredakan. Akhirnya, dia terduduk di atas kerusi.

Air matanya keluar bagaikan tiada mahu hentinya. Dia menekup muka pada permukaan meja solek. Dia benci lelaki itu. Lelaki yang baru sahaja bergelar suaminya. Dia tidak cintakan lelaki itu. Dia benci lelaki itu! Kenapa dia harus menerima keputusan daripada kedua-dua orang tuanya? Keputusan yang begitu drastik sekali. Aqilah terus menangis sepuas-puasnya.

Bunyi ketukan di pintu tidak langsung mengejutkan Aqilah. Dia terus dengan tangisannya. Tanpa menghiraukan ketukan yang masih bertalu-talu di pintu, Aqilah terus bangun lalu merebahkan badan di atas katil pula.

“Ila, bukak pintu ni”, laung Datin Sofea dari luar.

Aqilah akur. Langkahnya lemah tatkala menghampiri pintu bilik. Sebaik sahaja pintu dibuka, Aqilah terus menangis di bahu Datin Sofea. “Ila tak setuju dengan perkahwinan ni mama. Ila tak nak dia jadi suami Ila”, rintih Aqilah. Tangisannya makin menjadi-jadi. Mencurah-curah air mata membasahi wajahnya.

Datin Sofea memeluk bahu anak gadisnya itu. “Jangan cakap macam tu. Mama dengan papa nak yang terbaik buat Ila. Haikal adalah jodoh yang terbaik untuk Ila. Mama dengan papa tahu, Haikal boleh jaga Ila dengan baik”, pujuk Datin Sofea sambil mengusap-usap belakang Aqilah. Datin Sofea membawa anak gadisnya itu ke birai katil. Aqilah masih lagi begitu. Menangis teresak-esak tanpa ada sudahnya.

“Pandang mama”, tutur Datin Sofea lembut.

Dia menjungkitkan sedikit dagu Aqilah. Datin Sofea mengeluh. Dia tahu apa yang dirasai oleh Aqilah. Dia sebagai ibu berasa bimbang tentang kehidupan Aqilah. Hanya Haikal yang boleh menjaga Aqilah dengan baik. Dia yakin, Aqilah akan bahagia hidup di samping Haikal. Ditatap wajah itu dengan perasaan sayu.

“Tengok tu, dah merah mata. Habis muka anak mama ni. Dah tak cantik”, seloroh Datin Sofea cuba membuat anaknya tersenyum.

Aqilah hanya diam. Tiada segaris senyuman yang terpalit pada bibir merahnya. Yang dia tahu, harapannya untuk bersama-sama dengan orang yang dicintai, terkubur begitu sahaja. Sungguh tidak adil bagi dirinya!

“Mama....Ila tak tahu macam mana nak hidup dengan orang yang Ila tak kenal, tak cinta”, rintih Aqilah lagi. Cuba menahan esakan daripada terus berpanjangan. Wajahnya kian merah. Umpama warna biji saga lagaknya!

Datin Sofea tersenyum. Kedua-dua tangan anaknya itu digenggam erat. “Cinta boleh dipupuk Ila. Mama dengan papa pun kahwin sebab atuk dengan nenek yang tentukan. Perasaan tu, akan muncul juga. Ila kena belajar selami hati Haikal. Nanti, perasaan benci akan bertukar jadi sayang dan rindu. Yakin pada diri Ila. Mama dengan papa nak sangat tengok Ila bahagia”, pujuk Datin Sofea lalu mengesat air mata Aqilah. Cuba menyakinkan Aqilah!

“Tapi, mama nampak Ila bahagia ke dengan semua ni? Takkan? Kenapa mama dengan papa nak juga Ila kahwin dengan dia?”, cantas Aqilah tidak puas hati. Dia tidak akan bahagia dengan Haikal. Tidak sama sekali. Cintanya hanya untuk Saiful!

“Mama yakin. Ila akan bahagia dengan Haikal. Dan, mama juga yakin yang Haikal adalah jodoh yang terbaik buat Ila” Datin Sofea cuba menyakinkan Aqilah lagi.

“Tapi mama….”

“Syhh...Tak ada tapi-tapi lagi”, potong Datin Sofea laju. “Dia ada nama. Mohd Haikal bin Yusof. Ila bertuah tau kahwin dengan Haikal”, sambung Datin Sofea lagi.

“Tapi...”

“Sudahlah, mama tak nak dengar lagi. Mama Cuma nak Ila bahagia. Okey?”

Aqilah hanya diam. Dia tidak mampu lagi untuk bersuara lagi. Mamanya sudah memihak kepada Haikal. Siapa lagi yang akan memihak kepadanya pula? Aqilah kecewa.

“Sudahlah nangis tu. Pergi bersihkan diri. Dah comot muka anak mama ni. Mama nak turun bawah dulu. Ila pergi mandi, segarkan badan dulu”, ujar Datin Sofea seperti satu arahan!

Aqilah hanya turuti arahan Datin Sofea. Dengan langkah yang longlai, dia terus masuk ke bilik air. Tangannya ligat memulas pili air dengan sekuat hati. Air matanya kian lebat seperti air yang sudah membasahi tubuhnya tika kini. Dia benci dengan semua ini. Dia tidak sukakan lelaki itu. Dia hanya cintakan Saiful. Lelaki yang berjaya menawan seluruh jiwa dan hatinya. Bukan Haikal ataupun mana-mana lelaki sekalipun. Dia tetap cintakan Saiful!


*****


LANGKAH Haikal lesu tatkala memulas tombol pintu bilik. Semerbak harum menusuk rongga hidungnya kini. Bau haruman lavender membuat fikirannya menjadi tenang seketika. Matanya memerhati keadaan di dalam bilik itu. Semuanya lengkap dan susunannya yang begitu teratur sekali. Sebuah katil yang menghadap jendela dan di sudut sebelah kiri bilik terdapat rak buku. Sama citarasa sepertinya. Cuma dia tidak berkenan pada warna bilik ini. Mungkin isterinya meminati warna ungu lembut. Sesuai dengan haruman lavender yang digunakan. Bibir Haikal mekar dengan senyuman. Tenang dan damai bilik ini. Haikal memulakan langkahnya ke arah sofa.

Tubuhnya dihenyak pada sofa. Terasa berterbangan penatnya saat ini. Sebaik sahaja matanya mahu terlelap, sekali lagi hidungnya menyedut satu bauan. Hatinya sudah dapat mengagak. Memang bukan bauan lavender lagi. Bau mandian! Ya, dia sangat pasti akan wangian itu. Mata Haikal terus terbuka luas. Pandangannya sudah terpaku ke arah sekujur tubuh yang hanya bertuala paras lutut! Haikal terkaku. Liurnya ditelan berkali-kali. Tawar!

Aqilah yang keluar dari bilik air, tidak menyedari kehadiran Haikal. Ya, lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya. Sebaik sahaja dia lengkap berpakaian tidur, terdengar satu suara yang berdehem. Aqilah pantas menoleh ke arah suara itu. Darahnya menyirap ke seluruh tubuh. Dia bagaikan terpaku. Kakinya seperti digam. Kelam-kabut dia menutup tubuhnya dengan tuala. Haikal terus ketawa melihat gelagat Aqilah.

“Yang awak tutup tu kenapa? Kan dah pakai baju”, perli Haikal lantas, meneruskan tawanya. Dalam hati, hanya dia saja yang tahu. Betapa sukarnya dia mengawal perasaan aneh yang menjelma dalam dirinya. Berkali-kali dia beristighfar dalam hati. Kalau diikutkan nafsu, sudah lama dia tubuh Aqilah diterkam. Nasib baik juga imannya masih lagi kuat dan akalnya masih lagi waras. Haikal mengeluh dalam hati.

Tawa Haikal mengundang kemarahan pada Aqilah. Satu dengusan kasar tercetus dari mulut Aqilah. Menyampah pula dia dengan perangai Haikal. Kenapalah aku tak perasan? Ngomel Aqilah dengan hati yang bengkak. Dia pula yang malu sendirian. Bermakna, Haikal sudah nampak segala-galanya? Malunya! Hati kecilnya mula meronta-ronta menahan malu.

Haikal bingkas bangun. Selangkah demi selangkah dia makin mendekati Aqilah. Debaran di dada terasa begitu kencang sekali. Aqilah terasa seakan mahu pergi dari situ. Mahu lari daripada dunia yang sebenar. Tetapi kakinya bagaikan digam. Perasaannya sudah kucar-kacir. Tidak dapat digambarkan lagi perasaannya tika ini. Malu, berdebar-debar dan kesemua rasa itu bercampur menjadi satu!

Langkah Haikal makin mendekati isterinya. Aqilah hanya mampu menundukkan wajahnya. Sebolehnya dia tidak mahu memandang wajah yang berada di hadapannya. Kini, tubuh Haikal berhenti betul-betul di hadapan Aqilah. Ketinggian Haikal membuatkan Aqilah terpaksa mendongak untuk memandang suaminya. Haikal mengeluh. Dilihat muka Aqilah yang pucat itu. Rasa hendak menyambung kembali tawanya tatkala melihat raut wajah Aqilah yang sudah merah padam. Terlintas di fikirannya hendak mengenakan Aqilah. 

Haikal mendekatkan mukanya ke muka Aqilah. Perlahan-lahan, bibirnya mula mendekati telinga Aqilah. Debaran di dada Aqilah kian kencang. Hembusan nafas Haikal yang hangat seolah-olah menikam lembut cuping telinganya. Aqilah makin tidak faham dengan dirinya. Seluruh badannya terasa seram sejuk. Terasa seakan bibir Haikal yang merah itu sudah mengena telinganya. Lantas, matanya dipejam rapat. Dadanya berombak kencang.

“Mana tuala saya? Saya nak mandi”, bisik Haikal perlahan sambil tersenyum.

Aqilah terkedu. Dia terus tersedar. Matanya dibuka luas. Tiada lagi perasaan yang aneh itu. Yang ada hanyalah perasaan benci dan marah. Rasa geramnya pada Haikal kembali menjelma. Namun, kenapa dia harus tewas apabila berdepan dengan Haikal? Aqilah memandang Haikal dengan pandangan tajam. Eiiiii, nyampah betullah aku. Bentak hati kecilnya.

“Kalau awak nak tuala, carilah sendiri. Awakkan manusia bertangan dan berkaki. Carilah sendiri”, sindir Aqilah lalu merenung mata Haikal. Nafasnya sudah turun naik seperti orang yang selesai dalam acara larian 100 meter. Dia tidak mahu kalah dengan renungan Haikal.

Haikal tersenyum menampakkan barisan gigi yang tersusun kemas. “Jangan renung saya macam tu. Nanti jatuh iman saya”, bisik Haikal lalu mengambil tuala yang menutupi tubuh isterinya yang sudah lengkap berpakaian tidur.

Membulat mata Aqilah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Haikal. “Hei, ni tuala saya”, marah Aqilah. Geram hatinya apabila Haikal sesuka hati mengambil barang kepunyaannya. Namun, Haikal lebih pantas mengelak apabila tuala sudah pun berada di tangannya.

Langkah Haikal laju ke bilik air. “Barang awak, barang saya juga. Jadi, awak tak boleh nak marah-marah saya. Faham tak sayangku”, ujar Haikal sempat lagi mengenyit sebelah mata sebelum pintu bilik air ditutup.

Aqilah menghentak kedua-dua kakinya. Tanda dia protes dengan tindakan Haikal. Aqilah terus menghempas punggung di atas katil. Eiiiiii, nyampahnya aku. Laki tak guna. Jerit Aqilah dalam hati.


*****


BAB 2

“Saya nak awak kahwin dengan Aqilah. Anak perempuan saya”

Haikal tergamam. Wajah tua di hadapannya dipandang kosong. Kahwin? Oh, tidak mungkin dia akan berkahwin dalam keadaan kerjayanya yang tidak kukuh lagi. Haikal membantah dalam diam.

“Saya tahu awak seorang yang bertanggungjawab. Sebab itu, saya nak awak kahwin dengan anak saya”, ujar Datuk Johar.

Kali ini, kedua-dua matanya sudah membulat. Terkejut beruk  dia jadinya.  Mulutnya terus terkunci rapat! Beruk pun tak terkejut macam aku. Desis hati kecil Haikal. Hanya kedengaran nafas Datuk Johar yang dihembus dengan tenang. Namun hatinya tidak setenang nafas Datuk Johar mahupun hati Datuk Johar.

Persoalannya sekarang, kenapa dia yang dipilih menjadi menantu kepada Datuk Johar? Bolehkah hatinya menerima cinta perempuan lain? Sedangkan hatinya kini sudah mempunyai teman istimewa. Dia tidak sanggup untuk melukakan hati kekasihnya itu. Tapi, permintaan Datuk Johar membuatkan dirinya serba salah. Dia tahu, lelaki ini yang banyak membantunya sehinggalah dia berjaya memegang jawatan sebagai Pegawai Pemasaran di dalam Johar Holding Sdn Bhd. Haikal mengeluh.

“Tolonglah Haikal. Saya mahu awak berkahwin dengan anak saya. Itu saja permintaan saya”, pinta Datuk Johar penuh mengharap sekali.

“Tapi Datuk………”

“Haikal, tolonglah saya untuk kali terakhir saja. Saya merayu pada awak. Kalau awak setuju, awak mintalah apa pun. Saya akan tunaikan. Kalau awak mahu mengambil alih syarikat ni pun, saya akan benarkan” Datuk Johar benar-benar mengharap.

Haikal terdiam. Mati kutu dibuatnya. Dia tidak mahu semua itu. Dia sudah ada kerjaya. Dia hanya mahu kekasihnya seorang sahaja yang menjadi isterinya. Tidak lagi perempuan lain. Hanya perempuan yang dia cintakan sahaja yang boleh menjadi permaisuri hidupnya.

Datuk Johar mula bangun. “Kalau awak nak suruh saya merayu, melutut dekat awak, saya sanggup”

Haikal yang mendengar, bingkas berdiri. “Jangan macam ni Datuk. Baiklah, saya setuju” Laju saja ayat yang meluncur keluar dari mulut Haikal. Dia sendiri tergamam dengan keputusannya. Haikal buntu!

Haikal tersedar dari lamunan yang panjang. Sudah lama dia berada dalam bilik air. Segala permintaan Datuk Johar masih segar dalam ingatannya. Haikal terus menutup pili air lalu mencapai tuala. Akhirnya, dia keluar dengan tuala yang melilit pada pinggang.

Haikal menjatuhkan pandangan ke arah Aqilah yang sedang membaca novel di atas katil. Khusyuk sungguh isterinya itu hingga tidak sedar yang dia sudah lengkap  berpakaian tidur. Sewaktu Haikal merebahkan tubuh di atas katil, barulah Aqilah perasan. Hampir melompat Aqilah dengan tindakan Haikal yang tidak langsung diduga olehnya!

“Eh, tempat awak bukan kat sini. Tempat awak kat sana tu” Aqilah menunding jari telunjuk ke arah sofa yang terletak di sudut bilik. Dia menyambung semula bacaannya.

Haikal turut memandang sofa yang ditunjukkan oleh isterinya. Kemudian beralih memandang Aqilah semula. “Tapi, saya nak tidur kat sini”, protes Haikal bersuara tegas. Matanya tajam menikam wajah Aqilah. Fokus Aqilah masih pada novel yang dibacanya. Tidak peduli langsung akan renungan tajam Haikal.

“Sudahlah duduk atas katil orang tanpa minta izin dulu. Ada hati nak tidur sekali. Sudahlah cakap pun kasar. Tak ada adab langsung”, ngomel Aqilah perlahan. Namun, masih didengari oleh Haikal.

Haikal mengangkat keningnya. “Boleh saya tidur sekali? Tidur atas sofa sakit badanlah. Bolehkan Puan Aqilah intan payung yang manis?”, pinta Haikal melembutkan suara. Padahal, hatinya betul-betul marah. Namun, dikawal juga.

Aqilah diam. Dia terus membaca novel tanpa mempedulikan Haikal. “Minta maaf dulu”, tukas Aqilah sedikit pun tidak memandang ke arah suaminya. Dia mahu mengenakan Haikal. Sakit di hatinya masih belum sembuh. Haikal harus dihukum!

Haikal makin geram. Terasa bagaikan ada bom yang akan meletup bila-bila masa sahaja. Lambat-lambat mulutnya menutur juga kata maaf.  “Saya minta maaf puteri yang cantik jelita. Boleh tak saya tidur kat sini?”

Aqilah menahan tawa. Dia terus menatap novel. Sengaja dia berpura-pura membaca. Tumpuannya kini lebih kepada Haikal. Dia tahu, Haikal pasti sedang menahan marah.

Memang ternyata! Kemarahan Haikal tidak dapat ditahan lagi. Dia terus merampas novel dari tangan isterinya. Aqilah terkejut. Berusaha dia menarik semula novel dari pegangan Haikal. Seperti biasa, lelaki tidak akan mengalah apabila ego melebihi kewarasan akal untuk berfikir. Akhirnya berlaku pergaduhan tarik-menarik antara mereka. Ego Aqilah juga tinggi. Tidak langsung mahu mengaku kalah. Novel di pegangan Haikal tidak langsung dilepaskan. Hinggalah novel yang lama itu terkoyak terbahagi dua.

Aqilah tergamam. Begitu juga dengan Haikal. Masing-masing turut tergamam. Keadaan menjadi sunyi. Novel kesayangannya sudah koyak. Walaupun novel itu sudah kusam dan lama, dia tetap sayangkan novel itu. Aqilah memandang Haikal dengan mata yang mulai berkaca-kaca. Haikal terdiam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menutur kata maaf. Perlahan-lahan, novel yang terkoyak itu terlepas juga dari pegangannya.

“Saya sayang novel ni”, tutur Aqilah menahan suaranya. Dia tidak mahu menangis di hadapan Haikal. Dia tidak mahu Haikal mentertawakannya dengan kelemahannya yang satu ini. Haikal terpaku melihat isterinya. Dia tahu Aqilah menahan tangisan. Halkumnya bergerak-gerak. Lafaz maaf tidak terkeluar dari mulutnya.

“Saya nak tidur. Saya dah ngantuk” Aqilah bingkas bangun lalu merebahkan badan di atas sofa. “Awak nak sangat tidur atas katil kan? Tidurlah”, marah Aqilah terus melelapkan mata. Dia benci Haikal!

Haikal yang melihat tidak dapat menghalang lagi. Dia jadi kaku seperti ais batu yang beku. Matanya dibuang ke arah novel yang terkoyak itu. Diambil lalu melihat tajuk novel tersebut “Budak Setan”. Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kena ganti balik ni. Esok sajalah aku cari buku ni. Dah lewat malam sangat. Desis hati kecilnya.

Haikal masih lagi merenung sekujur tubuh Aqilah yang tidur dalam kesejukan. Tiada bantal mahupun selimut! Haikal bingkas bangun. Tubuh Aqilah dirapati. Terdengar dengkuran halus isterinya. Haikal tersenyum kecil. Perlahan-lahan tubuh Aqilah diangkat lalu direbahkan di atas katil. Haikal terus menyelimut tubuh Aqilah. Dia kembali semula ke sofa. Penatnya terasa kini. Dia perlukan rehat yang cukup. Akhirnya, Haikal terlelap. Dengan harapan, Aqilah tidak akan marah lagi kepadanya.


*****


AQILAH terjaga apabila terdengar bunyi pancuran air. Muncul Haikal yang baru saja keluar dari bilik air. Tuala dililit kemas pada pinggangnya. Aqilah memandang jam di atas meja kecil. Sudah pukul 6.20 pagi. Subuh dah. Desis hati kecilnya. Aqilah cepat-cepat memejam mata apabila melihat langkah Haikal semakin menghampirinya.

“Awak, bangun. Dah subuh ni”, kejut Haikal tanpa memegang mana-mana anggota pada tubuh isterinya. Aqilah hanya diam. Dia pura-pura tidur!

“Awak, bangunlah. Nanti terlewat pula nak solat subuh”, kejut Haikal dengan penuh sabar. Aqilah diam. Ishk, pergi sajalah sembahyang. Sibuk saja. Ngomel hati kecil Aqilah.

Haikal mendengus geram. “Awak, dah subuh ni” Kini tangan Haikal sudah  menepuk-nepuk pipi isterinya dengan lembut. Tahap kesabarannya masih lagi kuat.

Aqilah pura-pura mengeliat malas. “Hmmm” Penuh lakonan dia menenyeh mata. Dia menguap kecil. Lambat-lambat dia berkata, “Saya uzurlah. Awak sembahyang sajalah”, bohong Aqilah lalu menyambung  kembali tidurnya.

Haikal diam dan terus berlalu ke bilik air. “Bukan nak cakap awal-awal. Habis air sembahyang aku”, ngomel Haikal menahan marah di hati.

Namun, telinga Aqilah masih lagi dapat menangkap dengan jelas kata-kata yang keluar dari mulut Haikal. Senyuman lebar bermain di bibirnya. Padan muka. Hati kecil Aqilah mengejek Haikal.

Tatkala Aqilah mahu menyambung semula tidurnya, matanya kembali terbuka apabila terdengar Haikal menyebut ‘Allahuakhbar’. Entah kenapa hati kecilnya menjadi sayu. Sudah lama dahinya tidak menyentuh sejadah. Sudah lama juga dirinya lupa akan Allah Yang Maha Esa.

Belakang tubuh Haikal dipandang lama. Sekarang, barulah dia sedar bahawa dirinya kini sudah berada di atas katil. Baru semalam dia tidur di sofa. Aqilah diam. Dia tahu, Haikal yang mengangkatnya. Hanya mereka berdua saja berada dalam bilik ini. Dia menyambung semula tidur. Rasa bersalah dalam hati dibiarkan pergi begitu saja.


*****


SILAUAN sinar mentari pagi membuatkan mata Aqilah terbuka kecil. Cahayanya memancar di segenap ruang kamar tidur.  Dia mengeliat malas. Matanya mengerling sekilas ke arah jam di sisi katil. Sudah pukul 10.00 pagi. Dia terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Kejadian semalam seakan-akan hilang terus dari mindanya.

Setelah selesai mandi dan berpakaian, Aqilah terus turun ke ruang makan. Perutnya yang pedih, menjerit-jerit meminta sedikit makanan untuk diisi. Semua orang di dalam rumah masih tidak kelihatan. Dia tahu, Datin Sofea sudah tentu dengan pokok bunga kesayangannya itu. Datuk Johar pula pasti keluar jogging. Rutin harian apabila tiba hari minggu! Cuma, hanya seorang hamba Allah saja yang dia tidak tahu apa aktivitinya pada hari minggu yang sebegini indah.

Kalau dia, sudah semestinya masa itu diisi dengan sebaik yang mungkin. Sudah tentu dia akan bersuka ria dengan teman baiknya. Apa khabar agaknya teman baiknya. Sudah lama dia tidak membuka email. Aqilah teringat akan sahabatnya yang sudah lama meninggalkan Malaysia untuk belajar di Kota London. Jika tidak, pasti dia akan berbelanja sakan hari ini. Bibirnya menguntum senyuman senang.

Di ruang matanya sudah terbayang-bayang baju yang berjaya menarik hatinya. Hari ni, aku nak juga baju tu. Hati kecilnya begitu suka sekali. Aqilah menyuap nasi goreng dengan penuh berselera. Tidak sedar Haikal dan Datuk Johar sudah berada di hadapannya.

“Hai, macam suka je anak papa hari ni”

Aqilah tersentak. Dia memandang kedua-dua lelaki di depannya. Aqilah malas mahu layan. Semestinya mereka baru balik dari bersenam. Haikal pun ada? Soal hati kecilnya. Aqilah terus menyambung suapannya. Nasi goreng kampung adalah makanan kegemarannya.

“Papa, Ila nak duit sikit. Nak beli baju” Aqilah memulakan perbualan di pagi yang indah itu. Fokusnya masih lagi terhadap makanan kegemarannya. Datuk Johar mengangkat kening. Haikal yang mendengar hanya diam. Malas mahu mengambil tahu.

“Bolehkan papa. Lima ratus ringgit je papa. Tak banyak”, ujar Aqilah meneruskan suapannya. Hampir tersedak Haikal mendengar jumlah yang diminta oleh isterinya.

“Okey, nanti papa bagi”, ujar Datuk Johar lantas mencapai surat khabar di atas meja.

Mata Haikal membuntang sebaik saja mendengar jawapan yang keluar dari mulut mentuanya. Ishk, banyak sangat tu. Tak boleh manjakan sangat budak ni. Hati Haikal berbicara sendiri.

“Papa, tak apalah. Nanti Haikal yang bagi. Dah jadi tanggungjawab Haikal. Ila, nanti abang temankan Ila shopping ya”, ujar Haikal tenang. Mee goreng dinikmati tanpa memandang wajah Aqilah. Pasti muka kelat!

Muka Aqilah sudah berubah. Dia mengalihkan pandangan ke arah Datuk Johar. Lelaki itu hanya tersenyum. Lagi membara hatinya. Hilang terus selera makannya. Dia tidak setuju dengan cadangan Haikal. Kenapalah aku kahwin dengan kau? Bentak Aqilah bengang.

“Tak payahlah. Nanti Ila pergi sendiri. Tak payah nak teman-teman”, protes Aqilah terkilan! Ya, terkilan apabila Datuk Johar tidak membelanya langsung!

“Ila, biar Haikal yang temankan. Kalau jadi apa-apa macam mana? Siapa nak bertanggungjawab?”, soal Datuk Johar masih lagi membaca akhbar. Fokus betul nampaknya!

“Tak apalah papa. Nanti Ila boleh report police kalau jadi apa-apa. Tak payahlah risau ya” Bersungguh-sungguh Aqilah memujuk. Cuba memprotes cadangan Haikal.  Dia tidak mahu Haikal menemaninya hari ini. Dia tidak suka!

“Ada apa yang bising sangat pagi-pagi ni?” Muncul Datin Sofea dari dapur. Dia mengambil tempat bersebelahan Datuk Johar.

“Ila ni, Haikal nak temankan dia pergi shopping. Tak nak pula anak awak ni”, jelas Datuk Johar sambil menikmati kopi panas.

“Hah, baguslah kalau macam tu. Tak adalah nanti ada orang tu kata sesat lagi”, tutur Datin Sofea lalu mengerling ke arah Aqilah.

Hampir tersedak Aqilah dibuatnya. Faham sangatlah kata-kata itu ditujukan kepadanya.

“Siapa pula yang tersesat ni mama?” Haikal mengajukan soalan. Padahal, dia sudah tahu siapa yang dimaksudkan oleh Datin Sofea.

Aqilah mencerlung matanya ke arah Haikal. Datuk Johar dan Datin Sofea sudah ketawa kecil. Haikal tersenyum lebar. “Ila pernah tersesat ke? Tak tahu pula abang, orang yang dah lama hidup kat KL boleh tersesat”, perli Haikal menaikkan lagi suhu kemarahan Aqilah.

Muka Aqilah meruap merah menahan malu. Malunya dia pada Haikal. Itu kisah lama. Masa itu, dia baru di tingkatan lima. Budak sekolah lagi masa itu. Jadi, dia tidak biasa keluar berseorangan!

“Mama ni, janganlah beritahu kisah lama. Malulah Ila macam ni” Aqilah menundukkan wajahnya. Malu pula dia  hendak menatap wajah Haikal. Ruang makan riuh dengan usikan dan diselang-seli pula dengan tawa Haikal, Datuk Johar dan Datin Sofea. Aqilah hanya diam menahan malu.

Malunya!! Desis hati kecilnya.


*****


NAMUN, nun jauh di sana, ada insan lain yang menderita. Matanya yang bundar itu mulai redup. Hatinya begitu pedih sekali. Gambar yang berada di tangannya ditatap penuh sayu. Kenapa semua ini harus berlaku? Hatinya kecilnya mula tertanya-tanya. Dia cintakan insan itu. Tapi, kenapa semua ini harus berlaku kepadanya? Setitis air mata menitis jatuh ke pipi. Tidak lama kemudian, esakannya makin menjadi-jadi.

4 comments:

  1. Kenapa x buleh nak baca episod 37&38

    ReplyDelete
    Replies
    1. X publish kan lagi..nanti sy publish. Maaf, hehe

      Delete
  2. sis niera shida bila bab 41,42,43,44,45,46 akan di publish....tak sabar sya nk bace

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam...maaf2 sis, saya akan publish bab-bab yang lain secepat mungkin.

      Delete

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)