bab 9 & 10

BAB 9

Aqilah menjeling tajam ke arah Haikal. Geram sungguh hatinya apabila dia terpaksa memakai tudung untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu Haikal. Bukankah Haikal tidak tahu bahawa dirinya tidak gemar memakai tudung? Makin lama dia bersama Haikal, makin sakit hati dia dengan Haikal.

“Saya tak bawa tudunglah awak. Macam mana saya nak pergi kenduri kahwin sepupu awak tu?” Aqilah sengaja mencari alasan supaya dia terlepas daripada mengikuti Haikal ke majlis tersebut. Bukan dia tidak mahu mengikut. Dia tidak mahu memakai tudung. Dia tahu tudung itu wajib bagi semua orang perempuan. Haram jika orang perempuan menayangkan auratnya. Dia tahu semua itu. Cuma, pintu hatinya belum lagi terbuka untuk berubah. Aqilah mengeluh panjang.

“Ni tudung mak. Tudung masa kahwin dengan arwah ayah tau. Ambillah. Ni baju kebaya sekali. Mak bagi kat awak”, tutur Haikal apabila melihat isterinya itu mengeluh panjang. Sebenarnya, tidak mengenakan tudung pun tiada masalah. Namun, Haikal mahu mendidik isterinya itu bertudung. Manalah tahu, Aqilah yang sedar selepas mengenakan tudung!

Aqilah seperti mahu menjerit sekuat hati. Dia tidak mahu menghadiri kenduri jika dia terpaksa memakai tudung! Dia memandang Haikal dari atas hinggalah ke bawah berkali-kali. Tidak ubah seperti Haikal pula yang mahu bersanding. Sudahlah siap bersampin lagi. Aduh laki aku ni…..Hati Aqilah melepas geram. Dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi untuk berkata-kata.

“Yang awak pakai macam ni kenapa? Macam awak pula yang nak berkahwin. Ingat awak tu kacak sangat ke?” Entah kenapa dia begitu marah dengan Haikal. Mungkin isunya adalah tudung!

“Sepatutnya, tak bertudung pun tak apakan? Kita kahwin dulu pun, mana ada saya pakai tudung. Awak saja nak kenakan sayakan?” Aqilah menarik muka. Menyebal nampaknya! Muncung mulutnya tidak ubah seperti mulut itik. Muncung jadinya!

Haikal tersenyum lebar. Dilihat muka isterinya makin merah. Hendak ketawa pun ada. Nasiblah, kan dah pesan suruh bawak baju kurung. Gumam Haikal dalam hati.

“Awak bersiaplah dulu. Saya tunggu kat luar”, ujar Haikal terus meninggalkan Aqilah yang masih lagi kaku berdiri. Aqilah menghentak kedua-dua kakinya tanda protes! Namun, Haikal tidak mengendahkannya langsung.

“Haikal hati batu!”, jerit Aqilah dari dalam. Sekuat hatinya dia menyebut hati batu. Hatinya benar-benar geram dengan perangai Haikal. Namun, hatinya masih lagi belum puas.

 “Haikal lelaki perasan. Muka tak kacak, kedekut, hati batu”, marah Aqilah dengan sepenuh hati dia melontarkan kata-kata kesat.

Haikal yang tidak tahan dengan jeritan isterinya, terus masuk ke dalam semula. Dia memandang Aqilah dengan pandangan tajam. “Awak cakap apa tadi?”, tanya Haikal semakin menghampiri Aqilah.

Gullpp...Liurnya ditelan kelat. Aqilah tidak mahu kalah. “Haikal lelaki perasan, muka tak kacak, hati ba….” Belum sempat dia menghabiskan ayat, bibir Haikal sudah berada di bibirnya. Aqilah terpana. Tubuhnya mula bergetar. Nafasnya bagaikan disekat sesuatu. Darahnya menyirap ke otak. Namun, Aqilah cepat sedar. Dengan kudrat yang ada, pantas tubuh Haikal ditolak sekuat tenaga. Tangan Aqilah laju saja mengelap bibirnya. Mukanya masam mencuka. Haikal sudah ketawa geli hati melihat Aqilah yang kelam-kabut itu.

“Yang awak ketawa tu kenapa? Menyampah betullah awak ni”, marah Aqilah terus memalingkan wajahnya. Perasaannya kini bercampur baur. Ada rasa bahagia, marah, malu, benci dan semua itu bercampur menjadi satu. Jantungnya yang tadi bergetar hebat, sudah surut sikit. Itupun sikit saja tau! Panas hati betul dia dengan perbuatan Haikal.

“Dahlah, saya minta maaf. Awak pun satu, tak baik kata kat suami macam tu”, pujuk Haikal sambil berpeluk tubuh. Ingin mendekati Aqilah, khuatir meningkat pula marah dalam diri isterinya. Jadi, Haikal mengambil keputusan untuk berpeluk tubuh sambil memujuk isterinya. Tahu pun takut isteri. Iskh, bukan takut isteri, takut tak boleh kawal sikap gatal. Sempat lagi hatinya berkata nakal.

Aqilah diam. Dia tidak mahu termakan pujukan Haikal.

“Saya keluar dulu. Pergilah bersiap”, tukas Haikal meninggalkan Aqilah. Sebaik saja pintu bilik ditutup, Aqilah terus duduk di birai katil. Dia mendengus geram. Geram apabila Haikal tidak faham akan hatinya. Dia tidak tahu sama ada Haikal berpura tidak faham atau Haikal tahu bahawa dirinya tidak mahu memakai tudung. Aqilah merenung sepasang kebaya dan sehelai tudung. Tanpa sedar, jari-jemarinya yang runcing itu menyentuh lembut sulaman pada baju kebaya itu. dia tersenyum dalam hati. Seperti dia pula yang akan bersanding hari ini.

Cantik baju ni. Puji hati kecilnya. Dalam tidak sedar, dia telah menyarung kebaya itu ke tubuhnya. Dia memandang dirinya di hadapan cermin solek. Senyuman mula meniti pada bibirnya. Hilang sudah marahnya, datang pula perasaan yang gembira bermukim di hatinya.

Lama juga dia berdiri di situ. Akhirnya dia tersedar. Terus dilemparkan pandangannya ke arah tudung yang berada di atas katil. Dengusannya dilepas perlahan. Sebelum itu, dia mengenakan krim muka dan sedikit bedak. Hanya menggunakan secalit gincu berwarna pink sudah memadai bagi dirinya. Simple dan menarik penampilannya. Aqilah tersenyum sambil memuji diri sendiri. Cantiklah sangat aku ni. Getus hatinya.

Tangannya ligat melilit tudung yang bewarna putih. Bersesuaian pula dengan baju kebaya yang dipakainya tika ini. Kebaya berwarna putih dan terdapat sulaman yang halus dan cantik bewarna keemas-emasan. Setelah puas dia menilik dirinya atas bawah, dia tersenyum puas.

“Cantiklah kau Ila. Tak sia-sia kau lahir kat dunia ni”, puji Aqilah begitu teruja sekali. “Siapa kata aku ni tak pandai pakai tudung? Biar Haikal tahu yang aku ni pandai dalam segala-galanya. Opsss….Kalau nak masak, aku memang tak tahu” Sempat lagi dia bercakap seorang diri. Aqilah ketawa kecil. Mulutnya menyanyi kecil.

Aqilah yang teruja melihat diri sendiri di hadapan cermin, tidak sedar bahawa ada sepasang mata yang sedang memandangnya. Siapa lagi kalau bukan suaminya, Haikal! Aqilah yang baru tersedar, terus mengalih pandangannya. Liurnya ditelan lambat. Kelat! Dia datang lagi. Gumam hati kecilnya.

“Awak nampak cantik kalau pakai tudung”, puji Haikal dengan mata tidak berkelip-kelip memandang isterinya.

Aqilah terdiam. Perasaan malu mengusai dirinya. Namun, apabila teringatkan kejadian tadi, marahnya datang kembali. Dia mahu menyambung semula marahnya. Aqilah, Aqilah…Apalah nak jadi dengan kau ni….Desis hatinya.

“Saya tak mahu pergi. Bukannya saya pakai macam ni, saya setuju pun nak ikut awak pergi kenduri tu. Lagi satu, tak perlu awak bersusah payah nak puji saya”, bidas Aqilah menyambung semula marahnya.

Haikal mengeluh. “Janganlah macam tu. Penat-penat awak pakai kebaya ni, awak tak nak ikut pula. Jomlah, mak dengan Aisyah dah tunggu kat luar tu. Apa pula kata mak dengan Aisyah nanti. Lagi satu, ayat awak tu buat saya peninglah. Dahlah awak kata susah, lepas tu payah pula. Mana satu yang betul ni? Susah ke payah?” Haikal menyakat Aqilah.

Aqilah diam. Baru sahaja dia mahu menjawab, sepantas itu Haikal menjawab, “Kalau awak tak nak pergi, kenapa awak make up beria-ia ni? Peliklah awak ni” Haikal terus duduk di birai katil.

Membuntang mata Aqilah memandang Haikal. Baru sahaja dia mahu menyatakan yang dia bersetuju untuk mengikut Haikal menghadiri majlis tersebut. Namun, kata-kata Haikal sebentar tadi membuatkan Aqilah kembali marah. Dia terus menghempaskan tubuhnya di atas katil. Haikal terkejut beruk. Kenapalah isteri aku ni asyik buat aku terkejut je? Kalau aku mati awal baru padan muka dia. Haikal mengeluh panjang.

“Awak ni kenapa? Dah cantik-cantik nak buat perangai pula” Haikal tetap tidak berpuas hati. Dia terus berdiri menghadap Aqilah yang terlentang di atas katil. Isterinya itu seolah-olah pekak. Mana tidaknya, kata-kata Haikal tidak diambil peduli langsung! Haikal mendengus geram. Dia menarik tangan Aqilah supaya bangun.

Aqilah tersentak. Eh mamat ni, main tarik-tarik pula. Marahnya mula bertandang. Dengan sekuat hati, Aqilah menarik semula tangannya dari pegangan Haikal. Namun, Haikal seakan hilang kawalan. Akhirnya, tubuh sasa itu menghempap Aqilah. Masing-masing terkaku. Hanya kedengaran nafas saja di antara mereka. Mata Aqilah membalas pandangan mata Haikal dengan tajam. Entah kenapa jantungnya berdegup kencang. Seperti dirinya baru sahaja selesai larian pecut 100 meter. Dia tidak suka perasaan yang begini. Dia sendiri tidak tahu perasaannya kala ini.

“Ehemmm….”

Haikal terus bangun. Diikuti pula dengan Aqilah. Masing-masing membetulkan pakaian yang tersarung di tubuh. Aqilah memandang Haikal dengan tajam. Pada masa yang sama, dia malu juga dengan Aisyah. Namun, Haikal malas mahu melayan isterinya yang seperti singa lapar itu.
“Abang, kakak, mak dah tunggu tu. Cepatlah sikit”, tutur Aisyah dengan senyuman lebar terhias pada bibirnya.

“Jom Aisyah. Nanti lambat pula”, sampuk Aqilah terus menarik tangan adik iparnya. Aisyah yang terpinga-pinga hanya mengikut sahaja jejak langkah Aqilah.

Haikal yang membetulkan samping, sekadar tersenyum lebar. “Ila, Ila….”, gumamnya sambil menggeleng-geleng kepalanya.


*****


AQILAH terpaksa melebarkan senyuman kepada tetamu-tetamu yang datang ke rumah emak saudara Haikal. Aqilah makin malu apabila ada tetamu yang datang menyangkakan dia adalah pengantin. Cantik sangat ke aku ni? Soalnya dalam hati. Mulalah tu dia memuji diri sendiri. Siapa lagi yang nak puji, kalau tak diri sendiri!

“Awak buat apa kat sini? Jom masuk. Tolong jadi pengapit untuk sepupu saya”, ujar Haikal.

Aqilah terkebil-kebil. “Saya? Jadi pengapit?”, soal Aqilah seolah-olah tidak percaya. Haikal hanya mengangguk. Tanpa menunggu jawapan dari isterinya, dia terus menarik tangan Aqilah.

“Jangan nak buat perangai gila awak tu kat sini” Haikal memberi amaran dengan keras. Kalau Aqilah bertindak di luar jangkaan, bertambah haru pula.

Berkerut-kerut kening Aqilah menahan rasa marah. Hendak ditarik, malu pula jika ada yang nampak. Teruk betullah dia ni. Cubalah minta izin sebelum pegang. Ni tak, main tarik-tarik je. Marah Aqilah menyumpah-nyumpah dalam hati. Pegangan tangan Aqilah dilepaskan apabila mereka tiba di hadapan pelamin yang serba cantik. Aqilah mula mengukir seyuman yang penuh kepura-puraan. Dia mengambil kipas dengan kasar di tangan Haikal untuk mengipas pengantin perempuan.

“Saya tak nak kawan dengan awak”, bisik Aqilah sempat lagi menghadiahkan  jelingan tajam kepada Haikal.

 Makin lebar senyuman Haikal. Macam budak-budak. Desis hati kecilnya. Aqilah melebarkan senyuman sebaik sahaja jurukamera hendak menangkap gambar. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rupanya dalam gambar nanti. Dia memang suka bergambar. Tapi, bukan bergambar dalam keadaan terpaksa sebegini. Dia mahu bergambar secara suka rela. Nyampah betullah aku. Bentaknya tidak suka.

“Kak Ila sihat tak ni? kalau tak, panggil orang lain sajalah yang jadi pengapit”

Aqilah pantas menggeleng kepala. “Eh, tak. Kak Ila okey je. Cantik Liya hari ni. Berseri-seri”, puji Aqilah kepada sepupu Haikal. Entah ikhlas, entah tidak. Dia sendiri tidak tahu!

“Terima kasih kak. Tapi, Kak Ila lagi cantik. Nampak macam Kak Ila dengan Abang Haikal pula yang nak bersanding. Jangan marah”, ujar Liya lalu ketawa kecil.

Aqilah sudah tersenyum lebar. Senyuman ikhlasnya melakar mekar pada bibir. “Semoga berbahagia”, ucap Aqilah lantas mengenyit sebelah matanya. Ucapannya seikhlas dengan senyuman.

“Haikal, Ila, ajak pengantin makan. Asyik bergambar saja. Makanlah pula. Mana Aisyah? Bukan dia ke yang beria-ia sangat nak jadi pengapit?”, soal Hajah Rosiah. Mak Ita yang berada di sebelah Kakaknya sudah tersengih-sengih.

Haikal hanya mengangkat bahu. Nasib baik aku pakai sedondon dengan Aqilah. Cantik juga bini aku ni. Secara tidak langsung Haikal memuji Aqilah. Sempat lagi matanya memandang Aqilah. Sungguh dia tertawan dengan senyuman manis Aqilah tadi. Terperasan Aqilah dengan pandangan Haikal, dia terus memalingkan wajah ke tempat lain. Eleh, cakap sajalah aku ni cantik. Tak payah nak tengok aku sampai nak terkeluar biji mata tu. Handsome juga laki aku ni. Puji Aqilah dalam hati.

“Jom makan dulu. Ajak suami Liya makan” Aqilah mula mengusik Liya. Amboi, bab mengusik nombor satu aku ni. Sempat lagi dia berdialog seorang diri. Lalu, bibirnya menguntum senyuman manis.

Haikal dan Aqilah mengiringi pengantin baru ke meja makan. Haikal menghampiri Aqilah.  “Cantik awak senyum macam tu tadi”, puji Haikal.

Aqilah menjelir lidah tanda tidak mahu dengar sambil kepala digeleng berkali-kali. Haikal menjelir-jelir lidahnya juga. Dia tidak mahu kalah dengan Aqilah. Haikal sedar dirinya makin pelik. Jika dulu, dia tidak pernah menjelir lidah semasa bercinta dengan Zurina. Tapi, sejak menjadi suami kepada Aqilah, dia seperti budak-budak pula. Jangan kata perangai Aqilah sudah berjangkit dengan dia sudahlah.  Haru juga jadinya nanti.

“Apa yang kamu berdua buat ni? Tak malu dekat orang yang datang ke?”, sergah Mak Ita dari belakang. Perangai anak saudaranya itu makin pelik pula. Tidak pernah dia melihat Haikal berperangai seperti itu. Yang dia tahu, Haikal sentiasa matang dan nampak tenang dalam apa jua keadaan sekalipun.

Aqilah terdiam. Haikal juga turut terdiam. Tidak sedar pula kelakuan mereka diperhati oleh Mak Ita. Haikal hanya tersengih seperti kerang busuk. Aqilah yang melihatnya hanya mencebik.

“Awak ingat awak senyum tu kacak sangat ke?” Ada saja pergaduhan yang sengaja direka oleh Aqilah.

Namun, belum sempat Haikal ingin membalas, kedengaran suara Mak Ita  menyampuk, “Pergi teman pengantin makan. Jangan nak bergaduh pula dua laki bini kat sini”, arah Mak Ita dengan tangan sudah mencekak di pinggang.

Aqilah cepat-cepat menarik tangan Haikal untuk pergi dari situ. Tidak sanggup dia mahu mendengar bebelan daripada Mak Ita. Senyuman Haikal makin melebar. Kalau boleh, sampai ke telinga pun dia tidak kisah. Aqilah menampar bahu Haikal lalu terus berjalan ke arah pengantin. Mak Ita yang melihat hanya tersenyum-senyum. Doanya, berharap Haikal dan Aqilah bahagia.


*****


MALAM makin kelam. Suasana di rumah itu makin sunyi. Semua penghuni di rumah itu tidur awal. Begitu penat sekali menolong kenduri siang tadi. Hanya seorang insan sahaja yang belum lagi tidur. Haikal yang baru sahaja memberi salam dan selesai saja berdoa, dia terus melipat sejadah. Pandangannya dibuang ke arah Aqilah. Diperhatikan saja isterinya itu khusyuk membaca novel. Haikal berdehem. Namun, Aqilah diam sahaja.

Haikal merapati isterinya. Membaca ke? Soal Haikal cuba menarik buku yang melindungi muka isterinya itu. Hampir terkeluar biji matanya melihat Aqilah tidur. Haikal tersenyum dengan kepala digeleng berkali-kali. Dia mengambil novel tersebut. Penuh hati-hati dia membaringkan isterinya lalu menarik selimut di hujung kaki Aqilah. Sebaik sahaja dia menyelimuti tubuh Aqilah, matanya memerhati raut wajah comel itu. Haikal menguak rambut Aqilah yang menutupi sebahagian muka. Dia tersenyum. Pertama kali dia menyetuh rambut Aqilah. Terasa debar juga tika ini.

“Maafkan saya. Sebab saya, awak tak boleh kahwin dengan Saiful”, ucap Haikal perlahan. Dia hendak ketawa pun ada apabila melihat Aqilah memakai baju tidur yang dilukis kartun. Baru kini dia sedar isterinya itu seperti budak-budak.

“Selamat malam”, bisiknya perlahan di telinga Aqilah.

Aqilah tersedar dari tidur apabila telinganya terasa geli. Haikal yang ingin mencapai bantal di sebelah Aqilah turut terkejut. Namun, sempat lagi mengawal rasa terkejut tadi. Dia harus tenang. Aqilah memandang Haikal yang duduk di sebelahnya. Dia terus bangun lantas, melihat pakaian yang tersarung di tubuhnya. Masih lagi dalam keadaan sebelum dia tidur. Aqilah menghela nafas lega.

Berkerut-kerut muka Haikal melihat gelagat Aqilah. Akhirnya, dia dapat juga menangkap di sebalik perbuatan isterinya itu. Haikal sudah tersenyum sambil kepala digelengkan berkali-kali. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Aqilah tika ini.

“Dahlah, saya tak ambil kesempatan pun. Tidurlah kalau mengantuk”

Aqilah malu. Tidak menyangka pula Haikal dapat membaca apa yang bermain di mindanya. “Mana ada. Saya tak cakap pun awak ambil kesempatan. Cuma...saya dahaga. Nak minum air kejap”, balas Aqilah agak menggelabah.

Haikal sudah ketawa kecil. Aqilah makin malu. Meruap mukanya. “Saya nak pergi minum air dulu”, tukas Aqilah terus melompat turun dari katil.

Sebaik saja Aqilah keluar, Haikal sudah terguling-guling di atas katil dengan ketawa yang tidak henti-henti. “Aduh, senak perut aku kalau macam ni” Haikal terus menghempaskan badannya di atas tikar. Dia pun letih. Dia perlu tidur.

Sementara itu, Aqilah yang masih lagi berada di dapur. Dirinya masih lagi termenung jauh. Sebenarnya dia bukan dahaga. Kerana lebih rasa segan dengan Haikal membuatkan dia gelabah biawak. Aqilah mengeluh perlahan.

“Kak Ila tak tidur lagi?”

Aqilah terkejut. Kus semangatnya. Macam hendak terkeluar jantungnya waktu ini. Mahu tidaknya, sudahlah dia bertapa seorang diri di dapur. Keadaan di dapur sudahlah sunyi. Tiba-tiba dia ditegur. Siapa yang tidak takut. Aqilah mengurut dadanya perlahan-lahan.

“Maaflah Kak Ila”

Aqilah tersenyum kecil. “Tak apa. Akak ingatkan siapalah yang tegur akak malam-malam macam ni. Tak tidur lagi?”, soal Aqilah.

“Dahaga air. Tu yang terpaksa bangun”, balas Aisyah lalu membuka peti sejuk. Botol air diambil lalu dibuka penutupnya.

“Abang Haikal dah tidur?”, soal Aisyah lalu meneguk air sejuk dengan rakus.

“Dah”, balas Aqilah sepatah.

“Okeylah, Aisyah masuk tidur dulu. Selamat malam Kak Ila”, ucap Aisyah terus berlalu meninggalkan Aqilah seorang diri.

Aqilah hanya memandang sepi langkah Aisyah. Dia mengeluh untuk kesekian kalinya. Rasa seramlah pula duduk di dapur seorang diri. Aqilah terus bangun untuk masuk semula ke dalam kamar tidur. Sebaik saja melangkah masuk, sekujur tubuh Haikal sudah keras. Nampak nyenyak tidur suaminya. Aqilah tersenyum. Baru sekarang dia tahu, Haikal tidur tanpa baju tersarung pada tubuh. Cukup sekadar seluar ataupun kain pelikat sahaja. Tak sejuk ke suami aku ni? Hati kecilnya menyoal sendirian.

Aqilah mula nakal. Perlahan-lahan dia merapati tubuh suaminya. Takut juga andai Haikal tersedar. Namun, dengkuran halus yang menyapa telinganya meyakinkan Aqilah bahawa Haikal sudah tidur. Raut wajah suaminya ditatap sepuas-puasnya. Bibir Haikal merah menandakan lelaki itu tidak merokok. Memang selama ni aku tak pernah nampak dia merokok. Sempat lagi dia bermonolog. Hidung Haikal agak mancung itu dipandang dan paling disukainya, badan Haikal yang tegap dan berketul-ketul. Hehehehehe, apa yang aku merapu malam-malam buta ni? Tawa Aqilah kedengaran di dalam hati.

Dia sudah menguap kecil. Tubuhnya terus dihempas atas tilam. Namun, matanya masih belum mengantuk lagi. Dia merenung siling seolah-olah renungannya menembusi menampakkan langit. Aqilah mengeluh kecil. Teringat kehidupannya dengan Haikal. Selama dia menjalani kehidupan sebagai isteri Haikal, sering saja mereka bertengkar. Dengan Saiful pula, lelaki itu selalu mengucapkan kata-kata cinta dan rindu. Sudah lama juga Saiful tidak membalas emailnya. Mungkin lelaki itu sibuk. Aqilah merasakan matanya berat sangat. Entah bila, dia terlelap juga.



BAB 10

“Sedap tak?”

Aqilah mengangguk. “Sedap”, balasnya laju. Tanpa sempat makanan ditelan.

Haikal tersenyum panjang. “Memang nasi lemak kukus kat sini sedap. Kalau balik Kedah, kat sinilah saya akan datang sarapan. Tengok mood juga. Kalau malas, tak datanglah”, ujar Haikal penuh selera menikmati sarapan.

Aqilah tersenyum. “Tapikan awak, saya tak tahu macam mana nak beza sedap ke tak. Janji lepas tekak saya nak telan, kira okey la. Kalau makanan yang saya makan tak rasa apa-apa, barulah dikatakan tak sedap. Kalau ada rasa, sedaplah tu”, jelas Aqilah dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Entah kenapa pagi ini dia begitu murah dengan senyuman.

Haikal terus tersedak. Aqilah dengan cepat menghulurkan milo ais kepada Haikal. Tangan Aqilah turut memainkan peranan mengurut-urut belakang Haikal. Muka Haikal yang merah itu dipandang risau.

“Awak okey tak ni? Itulah, makan gelojoh sangat”, marah Aqilah mengusap lembut belakang Haikal. Marah-marah sayang kata orang tua.

“Awak kata saya makan gelojoh?” Haikal seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengar. “Awak tahu tak, awak cakap macam india tahu tak?”, bidas Haikal geram. Suaranya masih lagi dikawal.

Aqilah menjegilkan matanya. “Amboi-amboi, sedap mulut awak nak mengata saya. Awak tu, makan gelojoh macam….macam…hah, macam minachi yang datang dari Planet Pluto”, ejek Aqilah tidak mahu kalah. Sudah elok dia tersenyum, Haikal pula mendatangkan kemarahannya.

Haikal sudah mencebikkan bibirnya. “Ikut awaklah Puan Aqilah. Saya malas nak bergaduh dengan awak. Memang selalunya awak akan menang pun”, balas Haikal bersahaja.

“Ikut awaklah Encik Haikal. Saya pun malas nak bergaduh dengan awak. Menang ke tak, itu tak penting. Ada saya kisah?” Aqilah terus hilang selera. Tangan di bahu, mata ke atas. Ada aku kisah! Cakap aku konon. Eleh, dia tu pun sama. Dah betul tekak aku ni tak kisah makanan apa pun. Asalkan boleh telan kira okey la tu. Dah memang betul nasi lemak ni cukup rasa. Takkan dia sendiri tak rasa pula. Nak Tanya-tanya orang pula makanan ni sedap ke tak. Nyampah aku. Kalau tahu macam ni, aku tak ikut dia datang pagi-pagi macam ni pun tak pe. Baik tidur lagi bagus. Ishkk, sakit hati je keluar dengan mamat ni. Leter Aqilah dalam hati.

“Yang awak termenung tu kenapa? Muka dah macam tempe basi tahu tak? Kenapa tak habiskan makanan tu? Membazir saja awak ni”, bebel Haikal sengaja menaikkan lagi kemarahan Aqilah.

“Cakap sajalah yang awak tu lapar lagi. Habiskan sajalah nasi tu kalau awak nak”, perli Aqilah mengerling ke arah Haikal. Bibir yang tadi sentiasa dihiasi dengan senyuman sudah berganti dengan bibir muncung itik.

Haikal tersenyum. “Mestilah nak. Pandai awak baca fikiran saya. Meh sini nasi
tu. Rugilah kalau awak tak habiskan” Tangan Haikal sudah mencapai pinggan di depan Aqilah. Sesekali Haikal mengerling juga ke arah isterinya. Dia mahu melihat reaksi Aqilah.

Aqilah yang berada di sebelah sudah menelan liur. Ishk, kempunanlah aku kalau tak habiskan. Sudahlah nasi lemak ni sedap. Opss, tadi bukan kata tak sedap ke? Tak boleh jadi ni, kena bertindak ni. “Yang awak sibuk tu kenapa? Biar saya yang habiskan nasi saya” Aqilah menarik semula pinggan makanannya. Yes, berjaya! Mana adil Haikal mahu menghabiskan makanannya. Walaupun dia marah dengan Haikal, rezeki depan mata jangan ditolak.

Haikal menutup mulutnya menahan tawa. Dia melihat Aqilah makan tanpa mengangkat kepala langsung. “Dahlah, saya minta maaf. Tak payahlah awak nak merajuk lagi. Cakap sikit pun tak boleh”, pujuk Haikal.

Aqilah diam. Malas mahu melayan Haikal. Dia hanya membiarkan kata-kata Haikal dibawa pergi dengan keriuhan pengunjung-pengunjung yang mulai penuh di Pasar Besar itu. Akhirnya, Aqilah berjaya menghabiskan makana dengan hati yang masih bengkak terhadap Haikal!


*****


AQILAH begitu teruja melihat baju yang berjaya menarik hatinya. Matanya mula tercari-cari kelibat Haikal. Yes, dia tak ada! Lonjaknya penuh riang. Akhirnya baju kemeja yang diminatinya itu diambil juga. Dengan teliti dia membelek-belek kemeja berwarna biru gelap. Sesuai dengan Haikal. Entah kenapa hatinya mahu membeli sesuatu untuk Haikal. Biarpun dia masih lagi marah terhadap Haikal.

“Kalau baju warna biru, tie warna apa yang sesuai eak?”, soal Aqilah seorang diri. “kalau tie warna hitam nanti, tak nampak pula. Warna putih cantik juga. Kalau baju warna biru, seluar warna putih dan tie warna putih campur biru. Hmm, cantik juga. Sesuailah dengan dia. Laki aku tu kulit putih. Beli baju warna india pun dia pakai juga” Tanpa membuang masa, Aqilah terus mengambil baju yang telah berjaya menawan hatinya.

“Saiz m. Memang dia pakai saiz m pun. Tapi, pinggang dia aku tak tahulah pula saiz apa. Hmm, seluar tak perlu rasanya. Dia dah ada seluar warna putih”, sambungnya lagi. Dia membeli juga kain untuk Hajah Rosiah, Aisyah dan juga Diana.

Sebaik saja selesai membayar, matanya masih lagi tercari-cari kelibat Haikal. Hatinya terbakar semula apabila suaminya masih lagi tidak kelihatan.

“Jangan cakap dia dah balik? Kalau macam tu, aku balik naik teksi sajalah”, ngomelnya sendirian. Takkan pergi parking kereta pun lambat?

Sebaik saja dia mahu melangkah pergi, satu suara yang memanggil namanya. Tidak perlu dia melihat, sudah tahu siapa gerangannya. Aqilah membuka langkah makin laju. Kalau boleh dia mahu keluar dari bangunan Pacific ini. Namun, langkahnya terhenti apabila lengannya dipegang oleh Haikal.

“Maaf saya lambat. Saya nak ubah kereta tadi. Kebetulan ada pak cik ni minta
saya tumpangkan dia ke Sahab kejap”, terang Haikal.

Aqilah meneruskan juga langkahnya biarpun lengannya masih lagi dipegang oleh Haikal. Haikal hanya menurut saja langkah Aqilah. “Awak ni terlalu baik sangat. Awak tak takut ke tumpangkan orang yang awak tak kenal? Manalah tahu nanti awak kena sihir ke, kena santau ke. Kalau saya, tak naklah tumpangkan”

Haikal tersenyum. “Pak cik tu dah tua. Lagipun, dia bawa beg, barang lagi, kasihan pula saya tengok. Tak baik tau. Nanti kalau kita susah, ada juga orang yang akan tolong kita”, balas Haikal tenang.

Aqilah mencebik. “Baiklah ustaz. Saya ni manalah baik macam awak. Tak salah tolong orang. Tapi biar bertempat. Beringat sebelum terkena”

“Okey Puan Aqilah. Saya akan beringat selalu” Haikal mengangkat tangannya seperti berjanji. Tidak dihiraukan lagi orang yang berada di sekelilingnya.

Aqilah sudah tertawa kecil. Pegangan di lengannya juga tidak mahu ditepis lagi. Entah kenapa dia berasa selesa begitu.

“Banyaknya barang yang awak beli. Awak beli apa lagi? Macam nak sambut hari raya pula awak ni. Cubalah sesekali awak berjimat sikit”, tegur Haikal lalu meminta barang-barang yang dibeli oleh Aqilah untuk dibawa juga. Orang sayangkan isteri katakan.

“Bukan saya ni boros sangat. Dah saya berkenan, saya belilah. Lagipun, bukannya untuk saya saja. Untuk awak juga Encik Haikal oiii”

Haikal sudah ketawa kecil. Akhirnya mereka keluar dari bangunan itu. Panas mentari yang terik memaksa Aqilah menundukkan wajahnya. Lengannya terasa seperti dibakar. Mana tidaknya, dia hanya mengenakan seluar jeans dan t-shirt berlengan pendek.

“Panas?”, soal Haikal.

Aqilah hanya mengangguk.

“Awak tunggu kat bawah bumbung tu dulu. Saya pergi ambil kereta kejap. Nanti saya datang”, balas Haikal terus berlalu tanpa sempat Aqilah hendak menahan. Tersentuh juga hatinya dengan sikap prihatin Haikal.

Tidak sampai 10 minit, kereta Toyota Harrier sudah berhenti di depannya. Haikal keluar lalu membalas senyuman Aqilah. Dia terus memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Kenderaan mewah itu terus meluncur laju. Aqilah menarik nafas sedalam-dalamnya apabila tubuhnya yang berpeluh itu disimbahi penghawa dingin. Terasa tenang dirinya kala ini.


*****


HATINYA terasa sayu sekali. Rasa tidak sanggup untuk dia meninggalkan rumah tersebut. Dia sangat gembira dapat mengenali Hajah Rosiah. Dia membuang pandangan ke luar tingkap. Lambaian sawah padi di sepanjang lebuhraya seolah-olah mengucap selamat tinggal kepadanya. Begitu cepat Haikal mahu pulang. Berusaha juga dia memujuk Haikal supaya pulang pagi esok sahaja.

Namun, Haikal tetap mahu pulang petang itu juga. Alasannya, banyak kerja yang tertangguh dan perlu disiapkan dengan segera. Aqilah akur. Dia belum puas berjalan-jalan di Negeri Kedah. Kehidupan di kota tidak sama dengan kehidupan di desa. Dia begitu selesa dan tenang tinggal di desa berbanding di bandar yang penuh dengan kesesakan dan menyesakkan mindanya.

“Entah bila kita nak datang sini lagikan?”, soal Aqilah lebih kepada dirinya.

Kening Haikal terangkat. “Saya ingatkan awak tak suka datang sini. Maklumlah rumah kampung. Tak macam KL. Ada aircond”, tutur Haikal perlahan.

Aqilah menjeling tajam. “Mana awak tahu saya tak suka datang sini? Mesti mak seorang yang memahami anak-anak”, ujar Aqilah dengan senyuman nipis mekar pada bibirnya. Kali ini, dia memandang Haikal yang fokus memandu.

Haikal tersenyum. Lambat-lambat dia mengangguk. “Mak memang seorang yang terlalu sempurna di mata saya dan adik-adik. Sejak arwah ayah meninggal, dialah yang jaga kami. Mak sangat memahami anak-anak. Perkahwinan kita pun dia restu walaupun dia jauh di sisi saya. Mak suruh saya jaga awak elok-elok. Awak adalah amanah saya”, jelas Haikal perlahan.

Aqilah diam seketika. Akhirnya dia bersuara. “Kalau kita kahwin bukan atas dasar cinta, bolehkah perkahwinan ni kekal? Saya tak pasti Encik Haikal”

Haikal mengeluh kecil. “Entahlah. Selagi awak isteri saya, saya akan jaga awak. Kalau betul awak jodoh saya, redha sajalah”

“Senangnya awak cakap. Saya tak cintakan awak. Saya hanya cintakan Saiful. Macam mana saya nak berdepan dengan dia bila dia balik Malaysia nanti? Saya tak sanggup kehilangan insan yang saya sayang. Begitu juga dengan awak. Saya tahu, dalam hati awak hanya ada Zurina. Macam mana awak nak hidup dengan perempuan yang langsung awak tak cinta?”, hambur Aqilah penuh ketegasan.

Haikal hanya mengangkat bahu. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan yang diajukan oleh Aqilah. Baginya, biarlah masa yang menentukan segala-galanya. Kalau bukan dia terhutang budi pada Datuk Johar, sudah pasti dia tidak menjadi suami kepada Aqilah. Dia bukannya seorang materialistik. Jika diberi pilihan antara harta atau cinta, sudah tentu dia akan memilih cinta.

“Kenapa awak diam?” Aqilah masih lagi menanti jawapan daripada lelaki itu. Dia mahukan jawapan daripada Haikal. Dia benci apabila Haikal seolah-olah menganggap pertanyaannya adalah remeh. Dia tidak mahu hubungan ini diteruskan jika ianya akan mengundang sakit hati saja. Pada hakikatnya, mereka mencintai orang lain!

Haikal mengeluh untuk kesekian kali. “Sabarlah. Biar masa yang tentukan. Kalau betul awak adalah jodoh saya, nak buat macam mana. Awak rehatlah dulu. Dah sampai nanti, saya kejutkan”, ujar Haikal tenang.

“Saya tak cintakan awak”, tukas Aqilah terus membuang pandangan ke luar. Air matanya menitis juga. Entah kenapa dia berasa sedih sangat. Emosinya terganggu!

“Kak Ila bertuah dapat Abang Haikal”, kata-kata Aisyah masih segar di ingatannya. Sewaktu dia mahu keluar bilik, Aisyah meminta izin untuk berbual pendek dengan Aqilah secara berdua-duaan.

“Jagalah Abang Haikal baik-baik Kak Ila. Aisyah yakin, Abang Haikal akan menyayangi kak Ila. Kalau Kak Ila kenal Abang Haikal satu hari nanti, Kak Ila akan rasa bertuah dapat suami seperti Abang Haikal” Terngiang-ngiang suara lembut Aisyah ketika berbual dengannya.

Aqilah menarik nafas sedalam yang mungkin lalu dilepaskan perlahan-lahan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia mampu hidup bersama-sama Haikal. Benarkah Haikal akan menyayangi dirinya satu hari nanti? Tak mungkin. Haikal hanya cintakan Zurina dan dia hanya cintakan Saiful. Siapalah dia hendak mengubah takdir Allah. Dia hanya mampu merancang. Tapi, Allah yang tentukan.

Aqilah terus memejam mata. Dia tidak mahu Haikal tahu dia kini sedang menatap hiba. Dia penat memikirkan perjalanan hidupnya yang bakal mendatang. Akhirnya, Aqilah tertidur. Namun, dia terjaga apabila pipinya ditampar lembut.

Dilihatnya Haikal sedang tersenyum. “Dah sampai ke?” Aqilah mengeliat malas.

“Belum lagi. Saya nak solat kejap. Dah masuk Maghrib. Jom”, ajak Haikal masih lagi merenung isterinya. Bibir comel isterinya yang sedang menguap itu dipandang dengan senyuman meniti di bibir.

“Kalau nak menguap tutup mulut tu. Ishk, tak elok kalau orang tengok”, tegur Haikal lalu mencubit pipi Aqilah.

“Hmm, awak pergilah dulu”, balas Aqilah perlahan lalu menepis tangan Haikal. Matanya masih lagi terpejam rapat.

“Kalau awak nak solat, kunci kereta tau. Lagi satu, mak ada bagi telekung kat
awak. Ada dalam beg. Saya pergi dulu”, tutur Haikal terus keluar dari perut kereta.

Aqilah membuka matanya. Dia memerhati langkah Haikal. Gerak langkah suaminya diperhati dengan penuh rasa teruja. Dia tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan sikap sebenar Haikal. Yang dia tahu, Haikal tidak pernah memukulnya. Malah, Haikal bersabar dengan setiap kerenahnya. Paling dia suka, sandwich Haikal. Baru dia tahu, Haikal mempunyai kelebihan di dapur! Aqilah tersenyum senang.

Hatinya benar-benar tersentuh apabila Haikal memberitahu Hajah Rosiah memberi telekung kepadanya. Aqilah meraup mukanya berkali-kali. Sejak dia berkahwin dengan Haikal, dia tidak lagi liar seperti dahulu. Jika dulu, dia akan keluar menghabiskan masa di kelab atau membeli-belah. Mungkin juga kerana sahabat baiknya tiada di sini.

Dia rindukan kehidupannya semasa Saiful masih lagi di Malaysia. Dia juga rindukan kehidupan bebasnya bersama-sama sahabat baiknya. Wajah Saiful dan sahabat baiknya itu terlayar di ruang mata. Aqilah tersenyum. Banyak kenangan yang tidak dapat dia lupakan sebelum dia sah menjadi isteri kepada Mohd Haikal Bin Yusof. Ah, seraut wajah Haikal muncul juga dalam ruangan matanya. Hilang sudah bayangan Saiful dan juga sahabat baiknya.

Aqilah terus membuka mata. Rasa ngantuknya lenyap terus. Berkali-kali dia menggosok kedua-dua belah mata. Sepasang matanya kini hanya terpandangkan pemandangan di Hentian Bukit Gantang. Laju juga Haikal bawa kereta. Kalau aku tidur, dia mesti bawa laju. Masa aku jaga tak pula bawa laju. Takut aku membebellah tu. Ngomel Aqilah dalam diam.

Tiada apa yang berjaya menarik minatnya. Dia hanya termenung panjang hinggakan tidak sedar Haikal sudah masuk ke dalam kereta. Dia tersedar apabila pintu kereta ditutup. Aqilah memandang Haikal. Wajah lelaki itu nampak berseri dengan kesan air sembahyang pada wajahnya. Lama juga dia memerhati wajah Haikal. Terasa mahu sahaja dia menyentuh wajah licin Haikal. Namun, akalnya masih lagi waras.

“Ehemm”

Aqilah tersentak. Dia terus menundukkan wajah. Malu!

Haikal sudah ketawa besar. “Handsome sangat ke saya ni? Sampaikan awak tengok macam nak makan je”, soal Haikal mengundang senyuman Aqilah.

“Saya nak pergi tandas dulu”, balas Aqilah terus mencapai handbag di belakang kereta.

“Nah duit” Haikal menghulurkan Rm50 sebelum Aqilah keluar dari kereta.

Aqilah terpinga-pinga. Berkerut dahinya tika ini. Matanya masih terarah pada  duit yang masih di tangan Haikal.

“Manalah tahu kalau awak terasa nak beli apa-apa ke. Jangan mengadu lapar pula. Saya tak buat sandwich hari ni”, ujar Haikal dalam gurauan. Barulah Aqilah faham. Dia menyambut  sekeping not biru yang dihulur oleh Haikal.

Langkah isterinya itu diperhati saja. Dia tidak tahu bagaimana hendak mendidik Aqilah supaya menjadi seorang muslimah sejati. Sejujurnya, dia tidak berkenan dengan cara pemakaian isterinya hari ini. Pasti akan menjadi santapan mata-mata lelaki yang berada di R&R.

Lelaki mana yang tidak suka melihat seorang perempuan yang hanya memakai seluar paras betis dan juga baju yang terbuka luas di leher. Tambahan pula baju yang dipakai Aqilah, tidak berlengan. Kadang-kadang Haikal pun tidak mampu menahan gelora jiwanya ketika melihat Aqilah mengenakan pakaian seperti itu. Lebih-lebih lagi Aqilah adalah isterinya. Lama juga dia mengelamun panjang.

“Nah air”

Lamunan Haikal terhenti. Tidak sedar akan kehadiran Aqilah. Lambat-lambat dia menyambut juga air tin yang dihulur oleh Aqilah.

“Saya nak cakap sikit boleh tak?”, soal Haikal meminta izin.

Aqilah yang sedang menyedut air hanya mengangguk.

“Kalau awak nak keluar lain kali, boleh tak pakai baju yang ada lengan?”, soal
Haikal memandang Aqilah dengan pandangan yang redup. Berharap Aqilah akan memahaminya.

Aqilah hanya mengangguk. “Boleh. Kenapa, awak rasa tergoda ke tengok saya?”, soal Aqilah lantas ketawa kecil. Sengaja mahu menguji Haikal.

Haikal menjegilkan matanya. Mukanya yang putih itu sudah merona merah. “Taklah. Awak tu dah kahwin. Nanti saya pula kena tanggung dosa awak. Awak tak kesian kat saya ke?”, dalih Haikal terus meneguk air dalam tin tersebut.

Aqilah hanya mengangguk-angguk. “Tapi, bagilah saya masa nak berubah. Saya tak bersedia lagi nak pakai tudung”, ujar Aqilah memandang Haikal penuh berharap.

Haikal hanya mengangguk. “Terima kasih sebab awak sudi dengar permintaan saya tadi”, ucap Haikal meneruskan pemanduannya.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)