bab 13 & 14

BAB 13

‘Zu, jangan macam ni. Saya terpaksa Zu. Saya diamanahkan untuk jaga Ila. Saya tak sanggup Zu. Ila terlalu baik untuk disakiti’

Aqilah menekup kedua-dua belah telinganya. Dia tidak sanggup mengingati kata-kata itu. Semua itu amat menyakitkan hati!

“Ila kenapa ni? Tak sihat ke anak mama ni?”, soal Datin Sofea menyentuh lembut dahi anaknya.

Aqilah menggeleng kepala. Dia cuba mengukir senyuman. Namun, senyumannya hambar. Entah kenapa dia mahu menangis lagi. Semalam, Haikal tidak masuk ke dalam bilik langsung. Dia tahu Haikal kecewa. Dia terasa seperti dirinya ini adalah penghalang kebahagiaan milik Haikal.

“Kenapa mama tengok Ila macam tak ada mood saja hari ni?”, soal Datin Sofea kelihatan resah.

Aqilah berusaha mengukir senyuman manis untuk Datin Sofea. “Mana ada mama. Ila okey. Kalau Ila bad mood, dah lama Ila marah-marah”, dalih Aqilah cuba menyakinkan Datin Sofea. Namun, ada getar pada nada suaranya.

Ya, dia mahu menangis. Namun, dikawal juga. Dia tidak mahu Datin Sofea susah hati. Biar dia pendam seorang diri. “Papa mana?” Aqilah mengalih topik perbualan. Tidak mahu Datin Sofea menghidu masalah yang melandanya.

“Papa kamu tu pergi main golf. Macam kamu tak kenal pula dengan Datuk Johar tu”, seloroh Datin Sofea disambut tawa oleh Aqilah. Hambar saja tawanya.

Aqilah merenung Datin Sofea. Dia tahu Datin Sofea dan Datuk Johar berkahwin pun atas paksaan orang tua. Namun, dia sentiasa lihat ibu bapanya bahagia walaupun berkahwin bukan atas dasar cinta. Dia teringin menjadi seperti mereka. Adakah dia mampu?

“Ila nak tanya sikit boleh?”, soal Aqilah. Seolah-olah meminta izin.

 Datin Sofea mengangguk. Dia sendiri pun berasa pelik dengan sikap anaknya hari ini. Aqilah kelihatan muram dan banyak mendiamkan diri. Dia perlu tahu apa yang membelenggu fikiran anak tunggalnya. Dia tidak mahu Aqilah menanggung masalah seorang diri. Ibu mana yang tidak sayangkan anak!

“Macam mana mama boleh terima papa masa mula-mula mama kahwin dengan papa?”, soal Aqilah betul-betul ingin tahu.

Datin Sofea tersenyum panjang. “Entahlah. Banyak yang mama kena belajar memahami hati papa. Masa mula-mula kahwin memang banyak yang mama tak suka kat papa. Mama pun masa tu ada pilihan hati mama sendiri. Macam tu juga dengan papa. Tapi, nak dijadikan cerita, kami pergi bulan madu. Masa tu mama dengan papa dah mula rapat dan kami berjanji nak teruskan hubungan hinggalah sekarang. Mama putuskan hubugan mama dengan lelaki pilihan mama. Begitu juga dengan papa. Mama terima papa sebab papa banyak membimbing mama. Dulu mama liar sikit” Datin Sofea tersenyum kecil. Terimbau di kotak fikirannya tentang kisah lampaunya.

Aqilah turut sama tersenyum. Barulah dia tahu perangai Datin Sofea dulu telah diwarisi olehnya. Mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Aqilah tersenyum lebar.

“Hah, senyum tu macam ejek mama je”

“Ishk mama ni, tak adalah. Ila baru tahu perangai Ila ni datang dari mama. Jangan marah tau”, balas Aqilah lalu mengangkat jari telunjuknya lantas digoyang berkali-kali.

Datin Sofea ketawa melihat gaya Aqilah. “Hah, bila Ila dengan Haikal nak duduk rumah tu?”

Aqilah mengangkat bahu. “Entahlah kat Haikal. Yang Ila tahu, Haikal cakap dalam minggu ni juga. Ila ikut saja apa keputusan Haikal buat”

Datin Sofea menggeleng kepala berkali-kali. “Ila ni, cubalah biasakan lidah tu sebut Abang Haikal. Barulah sedap didengar. Ini tak, panggil Haikal je. Macam pelik pula mama dengar panggilan seorang isteri kepada suami”

Aqilah ketawa. “Mama ni, gelilah Ila nak panggil abang. Lagipun, zaman sekarang dah tak guna perkataan abang tu. Sekarang, zaman panggil nama pula”

Datin Sofea menjegilkan matanya. “Macam tu pula. Kalau tak nak panggil abang, panggillah sayang ke, hubby ke”

Aqilah tersentak. membulat matanya memandang Datin Sofea. “Mama ni, ada-ada je. Tak naklah Ila panggil macam tu. Panggil nama senang”, tukas Aqilah menegakkan juga kata-katanya. Begitu ego sekali!

Datin Sofea geli hati melihat Aqilah bersungguh-sungguh mempertahankan diri. “Apa-apa sajalah Ila. Jangan sampai satu hari nanti, bertukar panggilan tu nanti. Baru tahu langit tu tinggi ke rendah”

Aqilah tersenyum. “Mama sayang papa?”, soal Aqilah mula menukar topik perbualan.

“Mestilah sayang adik manis oiii” Datin Sofea mula membuat lawak.

Aqilah sudah terkekeh ketawa. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Angin petang ternyata begitu mendamaikan jiwanya.

“Ila okey dengan Haikal?”

Aqilah diam. lambat-lambat dia mengangguk.

“Betul ni?”, soal Datin Sofea inginkan kepastian.

Aqilah diam. Dia menundukkan wajahnya. Mukanya yang putih sudah bertukar warna merah. Hangat terasa di raut wajahnya. Dia mengetap bibir menahan tangisan.

“Ila, pandang mama” Datin Sofea menjungkitkan dagu Aqilah. Dilihatnya mata Aqilah sudah merah dan ditakungi air jernih. Datin Sofea mengeluh panjang. Aqilah kembali menundukkan wajahnya. Setitis air mata jatuh juga. Dia gagal mengawal perasaannya.

“Cerita dekat mama apa yang buat Ila sedih sangat. Haikal marah Ila ke?”, soal Datin Sofea membuat serkap jarang.

Aqilah menggeleng bersungguh-sungguh. “Tak mama. Haikal baik sangat dengan Ila”, balas Aqilah dengan kesungguhan jelas pada kata-katanya.

Datin Sofea mengusap rambut panjang Aqilah. “Luah pada mama. Jangan simpan dalam hati macam ni. Nanti boleh makan diri”, pujuk Datin Sofea lembut.

Aqilah tersenyum hambar. “Ila rasa macam Ila ni penghalang kebahagiaan Haikal. Ila rasa bersalah dekat Haikal” Aqilah masih lagi menahan esakan.

Datin Sofea diam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

“Mama betul-betul yakin ke Ila akan bahagia dengan Haikal?”, soal Aqilah merenung ke dalam anak mata Datin Sofea.

Hanya segaris senyuman yang terukir di bibir Datin Sofea. Lambat-lambat Datin Sofea mengangguk. “Mama yakin sayang. Memang susah kita nak lupakan cinta pertama. Kadang-kadang manusia merancang macam-macam. Tapi, Allah yang tentukan segalanya”

“Tapi mama, Ila bukan sesiapa di hati Haikal. Lagipun, kami tak pernah pun berbincang mengenai hati dan perasaan. Haikal dah ada pilihan dia sendiri mama. Ila tak yakin dengan kehidupan Ila sekarang”, ujar Aqilah perlahan.

Datin Sofea menggenggam jari-jemari milik Aqilah. “Ila kena yakin. Mama nak tengok anak mama bahagia dengan pilihan kami”

Aqilah menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali. “Ila tak yakin mama. Sampai bila-bila pun Ila takkan yakin”

“Mama sayangkan Ila. Kadang-kadang kita alpa Ila. Kita terlalu taksub dengan sesuatu yang tak pasti. Saiful adalah kenangan dan Haikal adalah masa depan dalam hidup Ila. Bila kita dah dapat sesuatu barang yang berharga dan bila kita tak hargai, kita akan menyesal. Percayalah cakap mama. Mungkin sekarang Ila tak sedar lagi. Tapi, satu hari nanti, Ila akan tahu Haikal adalah raja di hati Ila. Tak semua kita impi akan dapat. Kadang-kadang kita perlu berkorban. Kalau betul Saiful cintakan Ila, dia akan berkorban untuk Ila. Siapa yang tak nak tengok orang tersayang bahagia? Mama harap Ila faham apa yang mama cuba sampaikan”, terang Datin Sofea penuh keibuan.

Aqilah hanya menundukkan wajah. Dia tidak mampu berfikir apa-apa lagi buat sementara waktu ini. Dia bingung. Dia rindukan Saiful dan dia cintakan Saiful. Tapi, kenapa hatinya sakit apabila mendengar perbualan Haikal dengan Zurina semalam? Aqilah bingung.


*****


HAIKAL termenung jauh. Perbualan antara dia dan Zurina masih lagi terngiang-ngiang di fikirannya. Dia mengeluh panjang. Memang dia akui bahawa dirinya masih lagi mencintai Zurina. Namun, cintanya pada Zurina tidak lagi dalam seperti dulu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Dia akui juga bahawa dirinya amat menyenangi Aqilah. Memang perangai Aqilah agak liar dan dia sendiri sudah berazam akan membimbing isterinya itu ke jalan yang benar. Perbualan antara dia dan Aqilah pagi tadi masih jelas bermain di telinga. Dia sendiri hairan dengan perangai isterinya pagi tadi.

“Awak balik makan kat rumah tak?”, soal Aqilah tanpa memandang wajah Haikal. Tangan Aqilah begitu sibuk mengemaskan tali leher suaminya.

“Tak tahu lagi. Rasanya tak balik tengah hari ni. Saya kena jumpa client”, balas Haikal memandang wajah putih isterinya.

“Dah siap”, ujar Aqilah perlahan. Masih lagi tidak memandang Haikal.

Berkerut dahi Haikal melihat perangai isterinya. Sewaktu Aqilah mahu cepat pergi, pantas Haikal menarik lengan Aqilah. Dia tahu Aqilah menyembunyikan sesuatu daripadanya. Kalau tidak, kenapa Aqilah tidak langsung memandang wajahnya? Malah, sejak tadi lagi Aqilah asyik menundukkan muka sahaja. Bicara Aqilah pun tidak serancak seperti hari-hari lain. Haikal menjungkitkan sedikit dagu Aqilah.

“Kenapa mata bengkak ni?”, soal Haikal perlahan.

Aqilah memejamkan matanya. Dia tidak mahu menangis di hadapan Haikal.

“Cuba awak terus terang kat saya. Kenapa mata awak bengkak ni?” Jelas kerisauan di wajah Haikal.

Aqilah membuka matanya. kelopak matanya sudah berkaca-kaca. Lambat-lambat dia menggeleng kepalanya. Penuh lakonan dia mengukir senyuman manis. Biarlah suaminya tidak tahu apa-apa.

“Saya pening. Nanti saya makan ubat. Awak pergilah kerja cepat. Nanti terlambat pula”, dalih Aqilah memalingkan wajahnya.

Haikal mengeluh. Dia tahu senyuman lahir dari bibir isterinya tidak ikhlas. “Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf”, tutur Haikal penuh sayu.

Aqilah pantas menggelengkan kepala. “Tak. Awak tak pernah buat salah kat saya. Pergilah kerja cepat”, gesa Aqilah menolak-nolak tubuh Haikal.

Namun, tolakannya hanya sia-sia. Pandangan Haikal tetap tajam merenung ke dalam matanya. Aqilah diam. Dia kaku.

“Jangan buat saya macam ni. Saya minta maaf sebab tak temankan awak tidur semalam. Saya tertidur kat bilik kerja. Saya minta maaf”, pinta Haikal penuh mengharap.

“Tak apa, saya okey. Awak tak perlu risaukan saya. Pergilah kerja cepat”, tukas Aqilah perlahan. Dia tahu Haikal berbohong. Bukan Haikal tertidur. Dan lebih tepat lagi, Haikal mempunyai masalah peribadi. Sebab itu, Haikal cuba mengasingkan dirinya. Aqilah hanya diam. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat.

“Betul ni awak okey?”, soal Haikal lalu memegang kedua-dua belah pipi isterinya.

Aqilah hanya mengangguk. Haikal mengeluh panjang. “Saya pergi kerja dulu. Jaga diri baik-baik. Jangan lupa makan ubat”, pesan Haikal. Hatinya terasa berat sangat untuk ke pejabat hari ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus berperasaan begitu. Sedangkan, dia tidak langsung mencintai Aqilah.

Haikal tersentak dari lamunan apabila pintu bilik diketuk dari luar. “Masuk”, laung Haikal sedikit kuat.

“Encik Haikal, ni minuman petang. Kalau tak ada apa-apa saya balik dulu”, ujar setiausahanya.

Bibir Haikal mengukir senyuman hambar. “Terima kasih Nadia. Maaf ganggu awak. Sepatutnya waktu macam ni awak dah balik”

Nadia tersenyum panjang. “Tak apa Encik Haikal. Hal kecil saja. Tapi, naikkan gaji saya eak”, usik Nadia nakal.

Terdiam Haikal mendengarnya. Nadia sudah ketawa kecil. “Saya gurau je Encik Haikal. Okeylah, saya balik dulu. Assalammualaikum”, ucapnya dengan sisa tawa masih kedengaran.

Haikal tersenyum kecil. “ Main-main pula awak ni. Waalaikumussalam”, balasnya perlahan. Haikal melepaskan keluhannya. Sudah pukul 6.00 petang rupanya. Dia tidak mahu pulang lagi. Fikirannya terasa kusut sangat. Satu hari dia tidak menjamah makanan langsung. Haikal teringatkan Aqilah. Dia lupa menanyakan kesihatan Aqilah. Pantas telefon dicapai lalu dia terus mencari nama Aqilah.

“Assalammualaikum”

“Waalaikummussalam”, balas Aqilah.

“Dah makan ubat?”, soal Haikal.

“Dah. Kenapa tak balik lagi? Banyak kerja ke?”, soal Aqilah tidak mahu mengingati kejadian yang berlaku semalam dan pagi tadi.

“Kejap lagi saya balik. Kita keluar malam ni nak?” Entah apa yang merasuk dirinya tika ini. Haikal mencubit-cubit pipinya.

“Keluar? Pergi mana?” Aqilah makin pelik. Berkerut-kerut dahinya.

“Hmm, jalan-jalan ke, makan ke. Nak tak?” Haikal sendiri tidak tahu kenapa dia boleh mengajak Aqilah keluar. Bukan itu yang dia hendak cakapkan sebenarnya. Tapi, mulutnya ringan sahaja mengajak isterinya keluar.

“Ikut awaklah. Kalau awak penat, saya tak kisah”, balas Aqilah teragak-agak.

“Tak adalah. Saya tak penat pun”, balasnya perlahan.

“Hmm, tak apalah kalau macam tu. Awak nak pakai baju apa nanti? Nak saya tolong gosok ke?”, soal Aqilah masih lagi bingung.

“Tak apa. Saya pakai baju apa pun tak apa. Tak perlu susah-susah nak gosok. Awak rehat je dulu”

“Okey. Nak bawa mama dengan papa sekali ke?”

“Ikut awaklah. Saya tak kisah. Mana-mana pun boleh”

“Okey. Jumpa nanti. Assalammualaikum”, ucap Aqilah.

“Waalaikumussalam” Haikal memandang sepi skrin telefonnya. Dia mengeliat malas. Haikal terus mencapai kunci dan melangkah keluar dari bilik. Entah kenapa hatinya terasa mahu benar melihat wajah comel itu!


*****


“UNTUK awak”

Dahi Aqilah berkerut. Sejambak bunga ros merah yang dihulurkan oleh Haikal disambut juga. Haikal tersenyum panjang. Dia melabuhkan punggung di sebelah Aqilah.

“Kenapa tiba-tiba bagi bunga pula?”, soal Aqilah. Sesekali dia mencium bauan dari bunga segar itu.

“Saya nak minta maaf”, tutur Haikal perlahan.

Aqilah mengangkat sebelah keningnya. “Maaf untuk apa?”

“Apa-apa saja. Kalau selama ni kalau saya banyak buat Puan Aqilah bersedih, saya minta maaf” Berkobar-kobar dia bertutur.

Aqilah tertawa kecil. “Jiwanglah awak ni” Terus dipukul bahu Haikal.

Haikal tersenyum senang. “Kan bagus awak ketawa macam ni. Kalau tak, asyik
monyok je muka tu”

Aqilah menjelir lidahnya. Perangai gilanya sudah datang. “Biarlah. Awak ingat senang ke nak tengok saya bad mood? Lagipun, mana ada awak pernah buat salah kat saya” Aqilah turut membalas pandangan Haikal.

Sungguh, dia tidak mahu mengingati perkara itu lagi. Biarlah Haikal dengan kehidupannya sendiri dan dia dengan kehidupannya. Jika benar cinta dia dan Saiful adalah sejati, pasti dia dan Saiful akan bersatu juga. Biar masa yang menentukan segala-galanya.

Senyuman Haikal makin lebar. Dia suka penampilan Aqilah malam ini. Begitu simple dan santai. Dengan seluar jeans hitam dipadankan dengan baju lengan panjang berwarna merah dan yang paling menyerlah apabila rambut Aqilah yang panjang mengurai itu diikat satu. Dengan secalit gincu sudah cukup membuatkan wajah Aqilah berseri-seri.

“Kenapa pandang saya macam tu?” Aqilah tidak keruan dengan renungan maut Haikal. Seolah-olah dirinya kini ditelanjangi oleh anak mata Haikal.

Haikal mengangkat bahunya. Kepalanya didongak ke atas. Keindahan langit dinikmati. Aqilah turut berbuat begitu. “Kenapa awak suka pandang langit?”, soal Aqilah.

“Sebab saya rasa tenang”, jawab Haikal ringkas. Mereka tenggelam dalam  dunia masing-masing tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang.

“Sebab tenang saja ke atau ada sebab lain?” Aqilah sengaja menduga Haikal.

Haikal tetap tenang. Senyumannya tidak putus-putus mengukir senyuman lebar. “Kalau sebab lain, saya tak nak beritahu lagi. Biar masa yang menentukannya”, balas Haikal tenang.

Aqilah hanya diam. Namun, dalam hati begitu membuak-buak perasaan ingin tahu. Aqilah kembali memandang Haikal. Tanpa sedar, pandangan Aqilah turut dibalas oleh Haikal. Aqilah tertunduk menahan malu. Ada getar di dadanya, ada bahagia menyelinap jauh ke dasar hati.

“Kenapa mama dengan papa tak nak ikut?” Haikal cuba mencari topik untuk berbual. Dia tidak suka akan suasana yang begitu sunyi dan sepi antara mereka.

“Mama tak nak keluar. Dia nak rehat dengan papa. Lagipun, papa bukan suka keluar kalau tak ada sebab yang tertentu”

Haikal mengangguk tanda faham. “Saya suka tengok kehidupan mama dengan papa”, ujar Haikal begitu mendalam sekali.

Aqilah tersenyum hambar. Perbualannya dengan Datin Sofea masih lagi tersimpan kemas di ingatan. “Alhamdulillah. Sampai sekarang mama dengan papa bahagia. Saya tak pernah tengok mama dengan papa bertengkar. Kalau ada pun, gaduh-gaduh sayang. Papa seorang yang memahami. Papa lagi tenang kalau menyelesaikan sesuatu masalah. Mama pula jenis yang mengelabah”, terang Aqilah dengan senyuman manis meniti di bibir.

Haikal turut tersenyum mendengar cerita dari isterinya. “Awak agak-agak kita boleh bahagia macam mama dengan papa tak?” Haikal merenung ke dalam anak mata Aqilah.

Aqilah hanya mengangkat bahu. Dia sendiri tidak pasti kemana hala tuju hubungan mereka. “Saya tak tahu nak cakap macam mana. Yang saya tahu, kalau betul jodoh saya dengan awak, saya akan terima seadanya”

Haikal mendengar dengan hati yang tenang. “Baguslah kalau awak fikir macam tu. Saya pun harap macam tu juga. Memang kehidupan ni kadang-kadang pelik. Macam mak cakap, kita berkawan dengan orang lain, bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain. Dan yang paling pelik berkahwin dengan orang lain. Pelikkan?”

Berkerut-kerut dahi Aqilah. Cuba memahami apa yang disampaikan oleh Haikal. Lamabat-lambat barulah dia mengerti. Ishk aku ni, otak lambat sangat tangkap. Kutuknya dalam hati.

“Petang tadi mama ada tanya. Bila kita nak pindah rumah?”, soal Aqilah.

“Tengoklah dalam minggu ni. Tak pun lusa ni ke. Saya ingat nak buat kenduri sikit”

“Kenduri apa?”

“Kenduri doa selamat. Kan kita nak masuk rumah baru. Boleh kita buat tahlil sekali ke. Awak rasa macam mana?” Haikal meminta pendapat Aqilah.

Aqilah hanya mengangguk sahaja. “Awak buatlah apa yang awak rasa betul. Baik bagi awak, baik juga bagi saya. Nanti awak beritahulah kat mama dengan papa”, balas Aqilah tidak membantah.

“Kalau macam tu, takkan nak buat lusa ni pula. Tak kelam-kabut sangat ke? Nak tempah makanan lagi”

“Wah awak ni, peka sungguh. Sempatlah, bukan kita yang nak masak. Awak serah saja kat mama dengan papa. Mama ada kawan-kawan yang buat katering”

“Hmm betul juga. Tengoklah macam mana nanti. Tapikan, kenapa awak pula yang macam tak sabar-sabar nak pindah? Kenapa, dah tak sabar nak hidup dengan saya ke?” Haikal mula mengusik isterinya.

Terbeliak mata Aqilah. Terus dia berdiri dengan tangan mencekak di pinggang.
“Amboi-amboi, banyak cantik muka awak Encik Haikal. Sudahlah, saya nak balik. Awak duduklah kat sini sampai pagi. Tata” Aqilah terus melangkah pergi.

Dalam masa yang sama, Aqilah sudah tersenyum dengan hati yang riang. Dia sendiri tidak faham dengan hati sendiri. Haikal sudah ketawa. Dia turut mengejar langkah Aqilah. Tangannya terus memeluk bahu Aqilah. Tidak pula Aqilah menepis. Dia membiarkan saja bahunya dipeluk. Mereka jalan seiringan dengan hati yang sukar digambarkan.



BAB 14

Aqilah merenung Haikal dari jauh. Lelaki itu begitu khusyuk berborak dengan tetamu yang datang ke rumah baru mereka. Sekali lagi hati Aqilah dicuit apabila Haikal mengimamkan solat isyak secara berjemaah. Hati isteri mana yang tidak suka kalau suami sudah terlalu baik. Kini, dia sudah tahu akan perangai dan sikap Haikal yang sebenar-benarnya. Haikal ialah seorang lelaki yang layak menjadi ketua keluarga.

Aqilah terus-terusan memerhati Haikal yang kadang-kadang ketawa. Mesti topik yang dibualkan membuatkan suaminya ketawa. Haikal juga tidak kekok untuk beramah mesra dengan saudara mara yang datang. Baru dia sedar pakaiannya dengan Haikal sedondon pada malam ini. Begitu kacak sekali Haikal mengenakan baju melayu teluk belanga yang bewarna biru lembut. Begitu juga dengan dirinya yang memakai baju kurung pahang dan tidak lupa juga tudung di kepalanya. Seketika kotak fikirannya mengingati kejadian yang berlaku pada maghrib tadi. Sewaktu dia sedang sibuk bersiap, satu suara berdehem.

“Cantik malam ni. Nak pergi mana?” Begitu teruja Haikal melihat penampilan Aqilah pada malam ini. Tidak berkelip matanya memandang Aqilah. Sungguh, Aqilah begitu cantik sekali.

Aqilah yang perasan akan pandangan suaminya, terus berdehem. Dia memandang Haikal sambil mencekak pinggang. “Yang awak ni kenapa? Dah buang tabiat?” Sebenarnya dalam hati malu juga dia dengan renungan Haikal.

“Bukan buang tabiatlah. Teruja tengok awak bertudung. Boleh pula bertudung. Kalau tak, asyik nak mengamuk saja bila saya suruh bertudung”

Aqilah terus mencubit-cubit pipi Haikal. Geram benar dia apabila Haikal menyindir dirinya.

“Dah, dah. Sakitlah” Haikal menepis-nepis tangan Aqilah. “Ramai orang dah datang. Jom turun”, tutur Haikal mengusap pipinya yang sudah melekat warna merah.

Aqilah tersenyum panjang.

“Termenung jauh nampak”

Aqilah tersentak. Terus berterbangan khayalannya. Mukanya sudah meruap merah. “Kak Ila pandang Abang Haikal ke?” Diana cuba mengusik kakak iparnya.

Aqilah menggeleng berkali-kali. Dia berpura-pura tidak faham akan pertanyaan Diana.

“Alah, Diana nampak akak asyik pandang Abang Haikal. Kacakkan Abang Haikal? Dahlah baik, pandai ambil hati orang tua. Dah tu, isterinya pula cun melecun”, seloroh Diana cuba mengusik Aqilah.

Membuntang mata Aqilah mendengar usikan Diana. “Ishk Diana ni. Mana ada akak pandang Abang Haikal. Akak tengok…tengok…”

“Sudahlah Kak Ila. Jangan nak tipu Dianalah. Lagipun, akak dengan Abang Haikal memang sesuai. Bila lagi Diana nak dapat anak buah ni?”

“Diana”, marah Aqilah perlahan. Marah-marah manja.

Diana terus ketawa. “Sabarlah kak. Malam masih muda” Mendalam sekali maksud Diana.

Aqilah yang mendengar terus menekup mulut Diana.

“Hah, tak ada kerja lain ke? Asyik nak kacau Kak Ila je. Mak panggil tu”, sergah Haikal muncul tanpa disedari oleh dua insan itu. Aqilah tersentak. Tidak sedar akan kehadiran Haikal. Janganlah Haikal dengar perbualannya dengan Diana. Kalau tidak, malulah jawabnya!

“Okey, Diana tak nak kacau daun”, sakat Diana terus berlalu.

Aqilah tersenyum lebar memerhati gelagat Diana.

“Yang senyum seorang diri ni kenapa?”

“Taklah, mana ada”, dalih Aqilah bersahaja.

“Eleh, ingat saya ni buta? Penat tak?”, soal Haikal dengan suara yang lembut.

 Dada Aqilah bergetar hebat. Mana tidaknya, tubuh Haikal sudah berada di sebelahnya. Hampir berlaga bahunya dengan tubuh Haikal. “Taklah penat sangat. Mama dengan papa nak balik juga ke?” Aqilah cuba bertenang. Gelora resah di dadanya kian bercambah.

“Saya dah cakap tak payah balik. Tapi, mama nak balik. Orang tua, biasalah awak. Rumah sendiri juga yang mereka selesa. Nanti kita tua-tua macam tu juga”

Aqilah sudah ketawa kecil. “Lawaklah awak ni”

“Apa yang lawaknya? Saya tak tahu kat mana yang lawaknya”

Aqilah menampar-nampar paha Haikal. “Awak ni lambat tangkaplah. Saya dah siapkan bilik untuk mak, Aisyah dengan Diana. Kalau penat pergilah rehat dulu. Tetamu pun dah tak ramai”

“Tak rasa nak tidur lagi. Penat ke?”, soal Haikal apabila melihat Aqilah memicit leher yang tersembunyi di sebalik tudung.

Aqilah hanya tersenyum. Dia hanya menggeleng. “Tak adalah penat sangat. Ramai juga yang datangkan?”

Haikal hanya tersenyum lantas mengangguk.

“Ila, Haikal, mama dengan papa dah nak balik dah ni. Haikal, jaga Ila baik-baik. Kalau dia nakal, pukul sikit” Sempat lagi Datin Sofea berjenaka.

Haikal tersenyum meleret. Dikerling ke arah Aqilah yang sudah masam itu. “Sikit sajalah mama. Nanti orang kata Haikal ni kaki dera pula”

Pantas saja tangan Aqilah menampar bahu suaminya. Gamat ketawa mereka di ruang tamu.

“Dah nak balik? Kenapa tak tidur kat sini saja?”, celah Hajah Rosiah.

Datin Sofea tersenyum manis. Hatinya tenang melihat wajah Hajah Rosiah. “Tak apalah Kak Siah. Lagipun, Abang Johar ada hal sikit”

“Tak apalah kalau macam tu, kami minta diri dulu”, ujar Datuk Johar lalu bersalam dengan Haikal.
“Kak Siah, nanti tolong ajarkan Ila ni masak. Dia bukannya pandai masak sangat tu”

“Tak apa mama. Haikal boleh ajarkan”, sampuk Haikal.

Aqilah yang berada di sebelah makin membuak-buak marah. Mukanya kelat sekali. Malu pun ada juga. Saja nak kenakan aku. Nyampahlah dia ni. Bentak Aqilah dalam hati.

“Haikal, sudah-sudahlah tu. Nangis pula Ila nanti. Sudahlah Ila, jangan layan sangat si Haikal ni” Hajah Rosiah sempat menegur anak lelakinya. Faham benar dia dengan perangai Haikal yang kaki mengusik itu.

“Ila, jangan nakal-nakal tau. Papa dengan mama balik dulu”

Masing-masing hanya mengangguk. Hati Aqilah terasa sayu sekali. Bukan dia tidak pernah berpisah dengan kedua-dua orang tuanya. Tapi, kali ini benar-benar membuatkan hatinya sedih.

“Mama, papa”, panggil Aqilah berlari mendapatkan Datuk Johar dan Datin Sofea. Dia mahu menangis namun ditahan juga. Aqilah memeluk Datin Sofea seperti tidak mahu dilepaskan. Setitis air mata jatuh juga.

“Kenapa ni? Anak mama ni asyik menangis je” Datin Sofea tersenyum lalu menyeka air mata anak kesayangannya itu.

“Ila akan matang satu hari nanti. Hati papa senang tengok Ila pakai tudung. Haikal seorang suami yang baik. Dia akan jaga Ila macam mana kami jaga Ila. Nasihat papa satu saja, jangan selalu nakal-nakal. Sekarang, Ila dah jadi isteri orang dan tak lama lagi Ila akan jadi ibu. Insyaallah” Pipi licin Aqilah diusap penuh kasih sayang.

Aqilah hanya mengangguk. Tanda mengerti.

“Mama dengan papa balik dulu. Jaga diri Ila baik-baik, jadi isteri yang baik. Sayang anak mama” Datin Sofea mengucup dahi Aqilah.

Makin sebak Aqilah. Dia mengetap bibir menahan tangis. “Hati-hati balik ma, pa. Dah sampai nanti jangan lupa beritahu Ila”

Langkah Datuk Johar dan Datin Sofea dipandang sepi oleh sepasang mata Aqilah. Air matanya yang jatuh ke pipi diseka perlahan-lahan.

“Sudahlah”

Aqilah tersentak. Dia mengalih pandangan ke arah Haikal. Lelaki itu sentiasa kaya dengan senyuman.

“Saya sedih. Kalau awak free, kita pergi melawat mama dengan papa eak. Mak mana?”

“Dalam bilik. Insyaallah. Kalau saya free, kita pergi melawat. Sudahlah nangis
tu. Nanti tua pula” Haikal mencubit pipi Aqilah.

“Tua-tua pun bini awak juga. Saya nak naik dulu. Malam ni kita tidur sekali ya. Sebab mak ada kat rumah” Sebaik saja Aqilah ingin berlalu, lengannya sudah dicengkam oleh Haikal.

Pandangan Haikal tajam merenungnya. “Tidur sekali?” Suara Haikal kelihatan begitu menggoda.

Aqilah tidak keruan. Dia berdehem berkali-kali. “Pembetulan Encik Haikal. Maksud saya, awak tidur kat sofa, dan saya tidur atas katil. Faham? Kalau tak faham, nak saya ulang lagi sekali?” Aqilah terus merentap lengannya. Hatinya kembali bengkak. Hilang terus sedihnya.

Haikal sudah ketawa kecil. Dia membuntuti Aqilah hinggalah sampai di kamar tidur. Dilihatnya Aqilah sudah menghempas tubuh kecilnya di tilam yang empuk itu. Haikal mencebik bibir. Mana adil kalau dia seorang saja tidur atas tilam tu. Aku pun nak juga. Haikal tersenyum nakal. Tanpa membuang masa, dia terus melompat naik ke atas katil siap dengan gaya superman sekali. Aqilah yang baru hendak melelapkan mata terus tidak jadi. Bergegar tubuhnya apabila Haikal melompat naik. Nafas Aqilah sudah turun naik. Dilihatnya Haikal sedang tersenyum-senyum sambil mata terpejam. Mungkin menikmati keempukkan tilam.

Excuse me Encik Haikal, ni bukan tempat awak. Tempat awak kat sana tu” Sempat lagi Aqilah menunding jari telunjuknya ke arah sofa.

Haikal pura-pura tidak dengar. Dia terus hanyut dengan kenikmatan yang baru dirasai. Aqilah terus duduk menghadap Haikal. Dengan pantas dia mengambil bantal lalu memukul-mukul tubuh sasa suaminya.

“Bangunlah. Saya penat tahu tak. Pergilah tidur kat tempat awak. Bagilah peluang saya nak berehat” Aqilah bagaikan mahu menangis apabila Haikal tidak langsung memberi apa-apa reaksi.

“Awak tidur sajalah. Saya pun nak juga rasa tilam yang empuk ni. Awak tak kasihan kat saya ke asyik tidur kat sofa je” Haikal bangun lalu menghadap Aqilah yang sudah masam mencuka.

“Erkk...Kalau kita terlanjur macam mana?”

Kata-kata Aqilah mengundang tawa Haikal. “Awak, awak. Soalan pelik-pelik je. Mana ada istilah terlanjur bila dah kahwin. Lagipun….” Haikal mula mengusik Aqilah. Kata terakhir Haikal berhenti begitu saja. Kini, pandangan mata Haikal tajam merenung Aqilah.

Aqilah sudah tidak tahan dengan perangai Haikal yang suka sangat menduganya. Dia menelan liur berkali-kali. “Lagipun apa?”, soal Aqilah dengan suara hampir tidak terluah.

Haikal tersenyum penuh makna. Pipi Aqilah diusap berkali-kali. Tubuhnya terasa seram sejuk. “Lagipun apa?”, soal Aqilah hampir perlahan apabila bibir Haikal mula merayap di pipinya.

Haikal menghentikan ciumannya. Dia melihat muka Aqilah yang makin merah. Bibirnya mengukir senyuman lebar. “Saya takkan buat benda tu. Tapi, bagilah saya peluang untuk tidur atas katil ni. Badan saya dah jadi macam batu asyik tidur atas sofa je. Bolehkan?” Sayu saja suara Haikal di pendengaran Aqilah.

“Tapi….”

“Syhh….Sekali ni je. Bila mak dah balik kampung, kita tidurlah asing-asing. Kalau itu yang awak mahu”, potong Haikal.

 Aqilah sudah terdiam. Dia mati kutu. “Ikut awaklah. Tapi, letak bantal ni tengah-tengah. Kalau awak cuba ambil kesempatan, jangan harap awak dapat tidur atas katil ni lagi” Aqilah seolah-olah cuba memberi amaran.

Haikal tersenyum. Dia mengangguk kepala berkali-kali. “Terima kasih. Saya pergi mandi dulu” Haikal terus turun dari katil.

Aqilah hanya kaku saja melihat Haikal yang melangkah pergi. Seronoknya dia. Nyampah aku. Getus hati Aqilah. Dalam hatinya penuh dengan debaran. Aqilah menanggalkan tudung. Rambutnya yang disanggul itu dilepas dan dirapi dengan jemari. Sesekali bibirnya mengukir senyuman apabila terdengar Haikal menyanyi-nyanyi kecil.

“Encik Haikal oiii….Awak nak mandi ke atau nak menyanyi? Saya pun nak mandi juga ni” Aqilah mengetuk pintu bilik air lalu ketawa kecil. Sengaja dia mahu menyakat Haikal.

Nyanyian Haikal berhenti juga. Namun, kedengaran pintu bilik air dibuka. Aqilah tergamam. Mana tidaknya, Kepala Haikal terjengul sedikit. Sebahagian tubuhnya yang basah itu dapat dilihatnya. Aqilah terus mengalih pandangan ke arah lain.

“Yang awak tak tengok kenapa? Nak mandi sekali jomlah”, usik Haikal tersenyum gatal.

Aqilah terus melompat naik ke atas katil semula. Kelam-kabut dia membungkus diri dengan selimut. Haikal sudah ketawa terbahak-bahak. Dia terus menutup pintu lalu meneruskan mandiannya semula.

“…Cinta bukan hanya di mata, cinta hadir di dalam jiwa, biarlah salah di mata mereka, biar perbezaan terlihat antara kita….” Haikal menguatkan lagi nyanyiannya.

Aqilah menekup kedua-dua belah telinganya. Suara sumbang pun nak nyanyi. Teruklah laki aku ni. Perangai macam budak-budak. Mengata suami sendiri nampaknya. Aqilah tersenyum juga. Opsss, bukan mengata tapi, memuji tu. Sedap juga suara dia. Hehehe. Aqilah ketawa dalam hati.


*****


AQILAH terasa rimas. Dia terus bangun dari tidur. Selimut yang membungkus dirinya terus ditolak jauh-jauh. Dalam masa yang sama, dia terlihat Haikal sedang khusyuk sembahyang. Matanya mengerling ke arah jam. Sudah mencecah pukul 3.00 pagi. Berkerut dahi Aqilah melihat Haikal. Bukankah dia dah sembahyang isyak? Ni sembahyang apa pulak? Aqilah tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aqilah berdehem apabila Haikal selesai membaca doa.

“Saya ganggu awak tidur ke?”, soal Haikal sambil mengaru dagu.

Aqilah menggeleng berkali-kali. Dilihatnya Haikal sudah melabuhkan punggung di sebelahnya. Lelaki itu hanya tersenyum.

“Yang awak bangun tiba-tiba ni kenapa?” Tubuhnya direbahkan di sisi Aqilah.

“Saya rimaslah” Suara Aqilah kedengaran serak.

“Rimas dengan saya ke?” Haikal yang mahu melelapkan mata terus tidak jadi.

“Taklah, badan ni rasa melekit” Aqilah mengikat rambutnya yang panjang itu.

Haikal tersenyum saja. Dia suka melihat Aqilah mengikat rambut.

“Pergilah mandi. Awak tu dari tadi tak mandi-mandi. Tengok tu, orang dah pakai baju tidur, dia pakai baju kurung lagi. Busuk masam tahu tak” Sempat lagi Haikal menekup hidungnya dengan sebelah tangan.

Aqilah menepuk dahi. Barulah dia perasan. Namun, terasa geram pula apabila Haikal mengejeknya. “Kenapa tak kejutkan saya masa awak dah habis mandi? Dahlah tak tolong kejutkan. Kata kat orang busuk pula tu. Meh sini bau ketiak saya. Entah-entah lagi wangi dari ketiak awak”, marah Aqilah lalu mengangkat kedua-dua tangannya.

Terus terlompat Haikal turun dari katil. “Tak senonohlah awak ni. Pergi mandilah. Eleh, tak ingin nak bau ketiak awak. Tadi saya kesian tengok awak tidur. Nampak nyenyak sangat. Tu yang tak sampai hati nak kejutkan. Pergilah mandi. Saya nak tidur dulu”, arah Haikal sudah mencekak pinggang.

 Aqilah sudah ketawa geli hati. Tanpa membuang masa, Aqilah terus turun dari katil lalu mencapai tuala. Langkahnya begitu malas sekali. Haikal yang melihat hanya mampu menggeleng kepala. Matanya yang berat itu akhirnya terpejam juga.

Hampir 20 minit berlalu, Aqilah selesai juga mandi. Aqilah keluar dari bilik air apabila tubuhnya sudah lengkap dengan berbaju tidur. Dah tidur? Bisik hati kecilnya. Dia terus merapati katil. Perlahan-lahan dia membaringkan tubuh. Takut jika Haikal tersedar. Deru nafas Haikal yang perlahan menarik minat Aqilah untuk menatap wajah suaminya. Dia tersenyum. Biarpun kamar tidur ditemani lampu yang samar cahayanya, namun wajah Haikal masih lagi boleh dilihat dalam kesuraman malam.

“Kenapa saya tak boleh cintakan awak? Dah nak masuk sebulan lebih saya jadi isteri awak, Haikal. Sebulan lebih juga saya cuba nak kenali awak dengan lebih dalam. Tapi, saya tak mampu. Awak ada kehidupan sendiri. Macam tu juga dengan saya. Maafkan saya jika saya tak mampu jadi seorang isteri yang baik”, ucap Aqilah perlahan. Lama wajah itu direnungnya. Aqilah melepaskan keluhan.

Baru saja kepalanya mahu mencecah bantal, deringan telefon bimbit kedengaran. Yang pastinya bukan telefon miliknya. Ya, dia yakin itu adalah deringan dari telefon Haikal. Aqilah terus bangun. Laju saja langkah kakinya ke arah meja solek. Tertera nama ‘cintaku’. Tangan Aqilah mula menggeletar. Lama dia merenung skrin itu. Talian terputus begitu saja. Tidak lama kemudian deringan itu kembali memekik semula. Aqilah terus menekan butang hijau.

Hello” Lambat-lambat Aqilah menyapa si pemanggil. Sesekali dia membuang pandangan ke arah Haikal. Khuatir juga kalau Haikal tersedar.

“Hei, bagi phone kat Haikal. I nak cakap dengan dia” Kasar sekali nada Zurina.

Eh, minah ni ingat aku anak patung ke nak marah-marah? “Haikal dah tidur. Kalau awak nak cakap dengan dia, esok sajalah call” Aqilah cuba mengawal suaranya. Dia pun tahu erti marah juga.

“Oh, you lah isteri Haikal eak? I nak you tahu, I takkan sesekali biar you hidup bahagia. Haikal tu milik I. You faham tak?”

 Aqilah tersenyum sinis. “Baiklah, kita tengok saja nanti. Assalammualaikum”, tukas Aqilah terus mematikan panggilan. Dia tersenyum puas.

Dia mengeluh. “Kekalkah aku dengan Haikal?” Aqilah kembali semula ke katilnya. Wajah Haikal dipandang lagi sekali. Nyenyaknya dia tidur. Aqilah menguap kecil. Dia tidak mahu memikirkan Zurina lagi. Mengingati Zurina, membuatkan hatinya sakit. Mungkinkah dia mula mencintai Haikal?

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)