bab 25 & 26

BAB 25

“Hah, Kenapa termenung?”, sergah Aqilah menguis kaki Haikal yang berada di bawah meja.

Haikal termangu-mangu. “Kenapa sayang?”

Melopong mulut Aqilah tika ini. “Abang pula yang tanya Ila?” Aqilah bingung.

Bibir Haikal mengukir senyuman hambar. Dia teringatkan tangisan Zurina. Begitu pedih mendengar Zurina merayu-rayu. Kejamkah dia?

“Abang, kenapa tak makan lagi? Ila tengok, nak tak nak je abang makan. Tak sedap ke?” Aqilah terasa hati dengan Haikal.

Erkk, isteri aku pula yang terasa. Aduh, kenapa boleh jadi macam ni?

“Kalau tak sedap, tak payahlah makan” Aqilah bingkas bangun. Lantas, pinggan Haikal diangkat lalu langkahnya laju menuju ke dapur.

Haikal terus membuntuti isterinya. Terbeliak matanya apabila mee goreng sudah menjadi makanan tong sampah! Haikal terdiam. Tidak menyangka Aqilah akan berbuat sedemikian.

“Apa tengok-tengok?” Mata Aqilah sesekali menjeling ke arah Haikal. Tangannya lincah membasuh pinggan kotor.

“Kenapa buang?”

“Dah abang tak nak makan. Baik bagi kat tong sampah je”

Kepala Haikal digeleng berkali-kali. “Maaf. Abang tak bermaksud macam tu”

“Tak apalah abang. Ila tak kisah. Makanan yang lebih tu, abang tak payah makan. Biar Ila je yang habiskan”, ujar Aqilah lantas mengelap tangannya sebaik saja selesai membasuh pinggan.

“Sayang...” Secepat kilat tangannya memegang pergelangan tangan Aqilah.

“Kenapa?” Kepalanya mendongak memandang Haikal.

“Kita makan nak?”

Dahi Aqilah jelas menampakkan garisan halus. “Ila dah kenyang”

“Temankan abang makan boleh?” Berusaha Haikal memujuk Aqilah.

“Pergilah masak sendiri. Masakan Ila tak sedap pun”, gumam Aqilah terus menundukkan wajahnya.

Haikal tersenyum kecil. “Siapa kata tak sedap?”

“Dah tu, kenapa abang macam nak tak nak je makan tadi?”

“Abang teringatkan..”

“Huh, teringatkan kerjalah tu. Lelaki semuanya sama. Asyik fikir kerja je”, getus Aqilah memotong percakapan suaminya.

Erkk! Haikal terdiam. Mulutnya bagaikan dizip.

“Kenapa diam?”, soal Aqilah laju.

“Tak ada apa”, balasnya cuba mengawal rasa gugup.

Dengusan kecil dihambur juga dari mulut Aqilah. “Cepatlah”

“Apa yang cepat?” Haikal pula bingung.

“Abang kata nak makan? Kalau tak nak, Ila nak kemas je makanan kat atas meja tu”, getus Aqilah makin hilang sabar.

Haikal seakan baru tersedar. “Oh, jom temankan abang”

Aqilah hanya mengikut saja langkah suaminya. Dia pelik dengan kelakuan Haikal. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Haikal. Hati kecilnya melonjak-lonjak ingin tahu. Masalah kerja atau masalah Zurina?

Zurina? Dia takut andai Haikal memikirkan tentang Zurina. Tak mungkin Haikal masih mencintai Zurina. Lelaki itu sudah meluahkan isi hati kepadanya. Atau, adakah luahan itu benar dan ikhlas? Aqilah musykil.

“Hah, kata orang yang termenung. Dia pun sama”

Sergahan Haikal mematikan terus lamunan Aqilah. Termangu-mangu Aqilah seketika. Senyumannya hambar.

“Sayang fikir apa?” Suapan Haikal terhenti.

Hanya gelengan yang dibalas oleh Aqilah.

Wajah Haikal terpamer riak risau. “Sayang okey?”

“Kita keluar jalan-jalan nak tak?” Aqilah menukar topik perbualan. Dia tidak mahu melayan perasaan lagi. Buat serabut otak saja!

“Sayang nak pergi mana? Abang tak kisah”, tutur Haikal lalu menyambung semula makanannya.

Bibir Aqilah menguntum senyuman lebar.

“Hah, senyum-senyum ni mesti nak beli sesuatu”
Kedua-dua bahu Aqilah terangkat. “Ila nak bersiap dulu. Abang kemas tau lepas habis makan nanti” Aqilah bingkas bangun.

Haikal terpinga-pinga. “Amboi, kita pula yang kena kemas. Tak apa, sayang bini katakan”, gumam Haikal perlahan. Kepalanya digeleng berkali-kali.


*****


“MEH sini”

“Apa?” Aqilah sudah terpinga-pinga melihat huluran tangan Haikal.

“Pegang tangan abang boleh?”, pinta Haikal lalu tersenyum malu.

Aqilah turut membalas senyuman suaminya. Lambat-lambat, tangannya bertaut juga dengan tangan Haikal. Pegangan Aqilah makin erat. Jantungnya berdegup kencang.

“Sayang nak beli apa?”

“Hmm, entah”

“Dah tu, kita nak buat apa kat sini?” Haikal pula bingung.

“Kita eratkan silaturahim”, ujar Aqilah lantas ketawa kecil.

Mambulat mata Haikal mendengar. “Eratkan silaturahim? Sayang nak erat macam mana lagi?” Pegangannya pada tangan Aqilah terus dileraikan. Lantas, pinggang isterinya ditarik rapat ke tubuhnya.

Aqilah tersentak. Tubuhnya membahang kepanasan. Terasa aura Haikal begitu kuat sekali. “Abang, malulah orang pandang”, bisik Aqilah sesekali mengerling ke arah mata-mata yang sedang memandang mereka.

“Tak payah nak malu. Kitakan dah kahwin. Ikut suka abanglah nak peluk sayang. Kalau ikutkan hati abang, dah lama abang dukung sayang”, balas Haikal dalam keadaan berbisik juga.

Bahu Haikal ditampar lembut. Ishk, teruk betul fikiran suaminya. Dia pula yang gerun.

“Sayang...”, panggil Haikal dengan nada romantis.

“Hmm?” Panggilan Haikal disahut dengan nada yang gementar.

“Kenapa sayang cantik sangat hari ni?” Senyuman nakal Haikal melakar pada dua ulas bibir merahnya.

Pipi Aqilah sudah kemerah-merahan. Dia malu!

“Kenapa sayang diam?”

Erkk, Aqilah kaku. Haikal bertanya seakan-akan mereka sekarang bukan berada di tempat awam. Seolah-olah mereka berada di dunia khayalan. Dia pula yang mati kutu. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Haikal. Jantungnya pula bagaikan orang yang selesai acara dalam larian 100 meter. Berdetak-detup tanpa ada hentinya.

“Kita pergi bulan madu nak tak?”

Cadangan Haikal membuatkan mulut Aqilah hampir melopong. Terus dia mendongak mencari sepasang mata Haikal.

“Kita pergi bulan madu nak tak?” Mata Aqilah dipandang lama.

“Kenapa tiba-tiba nak pergi bulan madu?”  

“Nak ciptakan kenangan”, balas Haikal selamba. Pandangannya kembali semula ke hadapan.

Aqilah diam. Adakah dia bersedia untuk menjadi isteri dalam erti kata sebenar? Aqilah buntu. Tapi, dia teringin menjadi sebahagian dalam hidup lelaki ini. Dia terlalu ingin memiliki Haikal zahir dan batin. Tapi, bersediakah dia untuk lalui semua itu? Argh! Terlalu banyak tapi yang menerpa ke dalam fikirannya.

“Kita pergi tengok wayang nak?”

Lamunan Aqilah tersentak sebaik saja suara Haikal menerjah corong telinganya. “Oh, okey”

Kening Haikal terangkat. Diam Aqilah sebentar tadi menaikkan rasa ingin tahu dalam dirinya. Adakah Aqilah masih lagi belum bersedia? Mungkin aku terlalu mendesak dia kot? Tak apalah Haikal, kau kena banyak bersabar. Beri dia ruang dan masa. Hati kecil Haikal terus bersabar. Pautan pada pinggang Aqilah makin dieratkan. Kasihnya tertumpah begitu mendalam kepada Aqilah. Abang sayang Ila....



 BAB 27 

“Sayang, lunch nanti tunggu abang tau”

“Okey”, balas Aqilah lalu meletak ganggang telefon.

“Untunglah Ila dapat suami yang take care macam Encik Haikal tu”, sapa satu suara yang amat dikenalinya.

Pantas Aqilah mendongak kepalanya. “Ana!”, jeritnya agak terperanjat dengan kehadiran Suzana.

“Ishk kau ni, malulah kalau orang dengar”, tegur Suzana perlahan.

Aqilah terus menutup mulutnya dengan kedua-dua tangan. Dia membuang pandangan ke sekeliling. Ada juga staff yang sudah tersenyum ke arah mereka. Aqilah sekadar membalas senyuman itu.

“Semua kau punya pasal. Nak datang pun beritahulah dulu. Ini tak, main terjah je kau. Asal kau cari aku?”, tutur Aqilah dalam keadaan berbisik.

“Kalau ya pun, bagilah aku duduk dulu”

“Hehehe, sorry beb. Duduklah dulu. Kau nak minum apa-apa tak ni? Aku boleh tolong buatkan”, tutur Aqilah beserta senyuman.

“Boleh juga. Aku nak milk shake boleh?”

“Ewah-ewah, kau ingat ni tempat jual minuman ke? Tunggu kejap. Aku buatkan milo panas untuk kau” Aqilah terus berlalu.

Sepemergian Aqilah, Suzana sudah termenung panjang. Otaknya tidak dapat berfungsi lagi. Masalah yang dihadapinya ternyata sangat berat dan merumitkan. Semuanya gara-gara selepas diarinya ditemui oleh ‘si dia’. Dia memicit-micit kepalanya. Terasa denyutan itu sangat pedih seperti terkena sengatan tebuan!

“Ana, okey tak ni? Kau sakit ke?” Aqilah yang baru sampai, sudah mula dihujani dengan pertanyaan.

“Aku okey. Cuma penat dan pening sikit. Sebab tu aku datang jumpa kau. Tapi, kau....”

“Aku tak busy pun. Minumlah dulu. Sekurang-kurangnya, kau rasa lega sikit” Secawan milo panas dihulurkan kepada Suzana.

“Aku okeylah. Cuma penat je”, ujar Suzana lalu menyambut cawan yang dihulurkan oleh Aqilah.

“Okey. Kalau kau penat, datang saja jumpa aku. Nanti aku hilangkan penat kau. Boleh juga makan dekat Kedai Fatimah Cantik ke”

Seperti biasa, sesiapa yang mendengar ‘Kedai Fatimah Cantik’ akan membuatkan dahi berkerut seribu. Seperti Suzana sekarang, dahinya mula berkerut.

“Apa yang kau merapu ni Ila? Aku tak pernah dengar nama kedai tu”

“Itulah aku kata kat kau. Kalau kau bosan, datang jumpa aku. Nanti kita pergi makan kat sana. Makanan dia sedap-sedap tau. Kau tak mahu ke? Aku nak belanja ni”, seloroh Aqilah sudah ketawa kecil.

“Yela tu nak belanja. Bila kedai tu buka? Setahu aku, tak pernah pula dengar nama macam tu”

Aqilah memegang perutnya. Mana tidaknya, perutnya seakan-akan ada bom atom yang akan meletup bila-bila masa saja. “Aduh, sakit perut aku. Apalah kau ni, aku gurau sajalah. Tapi, jangan terkejut kalau kedai tu ada betul” Jari telunjuk Aqilah digoyang berkali-kali.

“Teruklah kau ni Ila. Aku betul-betul tak ganggu kau ke ni?” Risau pula dia kalau mengganggu kerja sahabat baiknya itu.

Kepala Aqilah digeleng laju. “Aku tak sibuk pun. Lagipun, kerja aku tak banyak”

Suzana mengangguk tanda faham. Dia mengeluh kecil.

“Kau ada masalah ke Ana. Your face look so bad today

“Entahlah Ila. Nak kata tak ada masalah tu, memanglah ada. Tapi, aku boleh selesaikan sendiri. Kau tak perlulah risau. Lagipun, aku datang sini bukan nak luah masalah. Aku datang sini nak hilangkan serabut kat kepala”, jelas Suzana mulai tenang. Biarpun masalahnya belum lagi selesai, namun kepalanya berasa ringan dengan gelagat dan gurauan Aqilah.

Are you sure?”

“Betul. Aku okeylah”, tipu Suzana cuba menceriakan wajahnya.

“Mak, ayah kau sihat? Lama aku tak ziarah. Nanti apa pula kata dia orang”

“Alhamdulillah. Mak dengan ayah aku sihat. Kalau kau ada masa nanti, datanglah. Jangan malu-malu pula tau”

“Tak janji. Tapi, kalau aku ada masa, aku ziarah. Tengoklah macam mana nanti. Kau nak lunch sekali dengan aku ke? Kalau nak, jomlah join sekali”, pelawa Aqilah bersahaja.

“Tak apalah, nanti mengganggu pula kau dengan Haikal. Mana boleh aku kacau kau orang nak date

Muka Aqilah meruap merah. “Mana ada aku nak date. Duduk pun, satu rumah juga. Giliran kaulah pula” Malu-malu pula Aqilah berkata.

“Giliran aku apa?” Jelas Suzana tidak faham.

“Yela, kau bila pula nak date? Takkan single lagi kot?” Kenakalan Aqilah mula bertandang.

Sepantas itu juga jari-jemari Suzana mencubit lengan Aqilah.

“Aduh, sakitlah”, desis Aqilah menahan suaranya daripada didengar oleh pekerja-pekerja lain.

“Hah, tahu pun sakit. Apalah kau ni, aku tak minat nak bercintan-cintun la. Lainlah macam kau. Dimanjai, disayangi, dibelai oleh suami tercinta. Tak begitu Puan Aqilah?”

“Nyampahlah aku” Aqilah menaikkan genggaman penumbuknya.

“Eh, aku gurau sajalah”, tutur Suzana mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah.

Tawa kecil Aqilah meletus juga. Tahu takut! Dalam kerancakan mereka berbual, ada seorang hamba Allah melintasi meja Aqilah. Dengan selamba badak, dia terus masuk ke bilik Haikal tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Aqilah dan Suzana saling berpandangan.

“Amboi minah tu, selamba saja dia masuk bilik suami kau. Tapi, aku macam pernah nampaklah minah tu. Kat mana ya?” Suzana cuba memerah ingatannya.

“Hmm, kekasih pertama Haikal”, jawab Aqilah perlahan. Hilang terus keceriaan di wajahnya.

Melopong mulut Suzana. Ya, dia baru teringat. “Ila, aku minta maaf. Aku...”

“Tak apa. Tak perlu minta maaf. Bukan salah kau pun”

“Kenapa kau tak halang dia”? Jelas tidak puas hati pada pertanyaan Suzana.

“Siapalah aku nak halang”

“Kau isteri dia. Sepatutnya, kau tak boleh duduk diam macam ni. Kalau aku jadi kau, dah lama aku halang”

“Nak ke kau halang sedangkan kau hadir dalam hidup dia sebagai insan kedua? Kalau kau di tempat aku, adakah kau akan fikir macam aku fikir?”, aju Aqilah dengan hati yang cukup bengkak.

Suzana terdiam. Dia tidak tahu untuk menjawab soalan Aqilah. “Sabarlah”

Aqilah tersenyum jua. Walaupun senyuman itu penuh dengan lakonan semata-mata. Dalam mereka sibuk melayani perasaan masing-masing, pintu bilik Haikal dibuka dan dihempas dengan kuat.

“Saya benci awak, Haikal!!”, jerit Zurina lantang. Suasana pejabat yang sunyi hanya bergema dengan suara lantang Zurina.

Jelas sekali semuanya tergamam. Aqilah lagilah. Tidak tahu menahu punca sebenar akan kejadian itu. Dilihat Zurina berjalan ke arahnya.

“Kau jangan harap dapat hidup bahagia dengan Haikal” Zurina seolah-olah cuba memberi amaran.

“Zu, apa awak buat lagi? Jangan kacau dia!” Haikal muncul dengan suara yang lantang sekali. Berpuluh kali ganda kuat daripada tengkingan Zurina.

Zurina memandang Haikal dan Aqilah silih berganti. Dengan hati yang berdongkol geram, dia terus mengatur langkah untuk pergi dari situ. Berbakul-bakul sumpah seranah diluah dalam hatinya.

“Ila, okey?”, soal Haikal dengan suara kembali kendur.

Aqilah mengangguk laju. Pertama kali Haikal fikir akan dirinya. Suasana pejabat kembali sunyi seperti sedia kala. Itupun selepas Zurina pergi!

“Abang tak jadi keluar makan. Ana, tolong temankan Ila makan boleh?”, pinta Haikal penuh mengharap.

Sepantas itu juga Suzana mengiakan. “Ila, jomlah. Dah waktu lunch ni”

Aqilah seperti lembu dicucuk hidung. Dia terus mencapai tas tangan lalu mengekori langkah Suzana. Dia bingung. Dalam hatinya tertanya-tanya adakah perubahan suaminya disebabkan oleh Zurina? Pertanyaan itu terus bermain di fikirannya.


*****


“KAU okey tak ni?”

“Aku okey. Cuma, tak berselera sangat nak makan”, jawab Aqilah jujur.

“Sabarlah Ila. Kau kena fikir positif. Mungkin Haikal sibuk dengan kerja ke” Dia cuba menenangkan Aqilah.

Segaris senyuman tawar dilemparkan kepada Suzana. “Entahlah, aku pun tak tahu nak cakap apa. Aku macam malas nak fikir semua ni. Tapi, kau pun fahamkan yang aku sekarang mula sukakan Haikal. Aku tak tahu jalan yang aku ambil ni betul atau tidak”

“Kau kena yakin Ila. Memanglah banyak cabaran dalam hidup berumahtangga ni. Kau kena bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku nanti. Jangan risau, aku akan sentiasa sokong kau” Jari-jemari Aqilah digenggam erat.

“Terima kasih Ana. Fikiran aku je yang tak tenang”, ujar Aqilah lalu tersenyum.

“Sabarlah. Kau pun tahukan Haikal sayangkan kau”

“Sayang ke? Mana kau tahu Haikal sayangkan aku? Aku bukan tak yakin dengan Haikal. Tapi, aku jadi was-was nak terima cinta dia. Bayangkan, kami kahwin tak sampai pun setahun. Tiba-tiba dia sukakan aku pula. Itu yang aku pelik sangat. Jadi, untuk aku yakinkan hati aku ni, hanya dengan berserah pada Allah dan terima cinta Haikal”, jelas Aqilah perlahan. Kekuatannya terus hilang entah ke mana.

“Aku sayang kau Ila. Aku tak mahu tengok kau sedih. Aku nak kau happy sentiasa”

“Aku tahu. Dan, aku pun nak Haikal gembira. Aku hanya cinta sesaat dia saja. Memang dulu aku benci dia. Sekarang, aku mula rindukan dia, sukakan dia. Andai kata jodoh aku dan dia tak berpanjangan, aku harap dia akan bahagia dengan orang lain. Aku akan sentiasa doakan yang terbaik buat dia” Penuh mendalam sekali kata-kata Aqilah. Dia menyedut minuman dengan perlahan-lahan. Air ice lemon tea pun sudah terasa kelat sekali untuk ditelan.

“Tulusnya cinta kau. Aku doakan kau bahagia disamping Haikal. Tapi, aku tertanya-tanya juga kenangan kau dengan...”

“Saiful?”, potong  Aqilah dalam pertanyaan.

Suzana mengangguk laju.

“Kenangan aku dengan Saiful dah lama tamat. Untuk apa lagi aku ingatkan laki lain. Sedangkan, aku dah berkahwin. Aku Cuma doakan Saiful dapat jodoh yang baik dan dapat membahagiakan dia” Ingatannya terus melayang mengingati kisah lampau. Sepantas yang mungkin dia menepis segala kenangan yang mahu muncul semula dalam hidupnya.

“Sabarlah Ila. Aku kat sini sentiasa akan jadi teman yang setia. Kau kawan aku”

“Terima kasih Ana. Kaulah kawan aku dunia akhirat”

“Betul ke apa yang aku dengar ni?”

“Betullah. Kalau kau tak mahu sudah. Aku cari kawan lain” Pura-pura Aqilah mengertak Suzana.

“Ala kau ni, macam tak faham dengan aku pula”

“Tahu pun. Aku laparlah tiba-tiba. Aku nak ayam kau seketul boleh tak?”

“Oitt, mana boleh. Tak cukuplah aku nanti. Ayam kau pun ada lagi seketul. Kau nak ayam aku lagi. Banyak cantik muka kau”

“Mestilah cantik. Sekarang kitakan kat Kedai Fatimah Cantik”, seloroh Aqilah sudah ketawa.

“Hei Puan Aqilah, ini bukan Kedai Fatimah Cantik. Ni KFC lah”

“Memanglah. Singkatan dia KFC. Nama penuh kedai ni ‘Kedai Fatimah Cantik’. Kau tak rasa cantik ke makan kat sini?”

“Eii, aku terkena juga kali ni”

Perangai gila mereka sudah datang. Aqilah sudah ketawakan Suzana. Nasib kaulah Ana....

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)