bab 31 & 32

BAB 31

Aqilah merenung jauh ke arah sawah padi. Hatinya merasa tenang sekali. Bunyi kicauan burung seakan-akan irama lembut yang menerpa telinganya. Tambahan pula angin bayu menghembus membelah tubuhnya membuatkan kedinginan pagi terasa sangat. Aqilah menarik nafas sedalam yang mungkin. Dia mendepa kedua-dua tangan sambil menikmati keindahan yang sukar ditemuinya semasa di bandar. Alangkah bagusnya jika dia dapat menikmati seumur hidupnya di kampung. Otaknya berangan-angan untuk menjadi warga desa.

“Oh, sayang kat sini rupanya. Patutlah abang cari tak jumpa”

Aqilah tersenyum. Dia tidak langsung memandang Haikal. Khusyuk sahaja lagaknya menikmati pemandangan desa.

“Sayang buat apa kat sini?”, soal Haikal lalu merangkul tubuh Aqilah dari belakang. Dagunya dijatuhkan pada bahu Aqilah.

“Tenang kat sini. Hidup kat sini tak sama macam hidup kat bandar. Abang tak terasa ke nak bina hidup kat sini?”, soal Aqilah lalu memegang lengan sasa Haikal yang melingkari di pinggangnya.

“Siapa kata abang tak nak hidup kat sini?”

“Ila yang cakap”, jawabnya laju lalu ketawa kecil.

Sepantas kilat juga hidung Aqilah ditarik manja. “Nakallah sayang ni. Bukan abang tak mahu hidup kat sini. Tapi, tanggungjawab dan amanah abang banyak kat sana. Siapa nak uruskan syarikat kalau kita tinggal kat sini?”

“Abang boleh serahkan pada orang yang lebih berkelayakan”, balas Aqilah tenang. Dia memusing tubuh menghadap Haikal.

“Hmm, kalau papa bagi. Kalau papa tak bagi macam mana?”

“Kalau papa tak bagi, pindahlah syarikat kat sini. Kan senang” Tangan Aqilah kini melingkari leher Haikal.

“Sayang ni, kalau bab bagi pendapat memang nombor satu”, bisik Haikal lalu melaga-lagakan hidungnya pada hidung isterinya.

Aqilah ketawa kecil. Suka benar dia Haikal melayaninya seperti itu. “Abang dah sarapan belum?”

“Abang tunggu sayang. Mak yang kata sayang kat sini”
“Saja je Ila datang sini. Bukan jauh pun. Depan rumah je pun. Kenapa tunggu Ila pula?”

“Saja nak tunggu isteri abang. Tak boleh ke? Semalam sayang balik, abang dah tidur pun”

“Abang memang. Ada orang tu tidur dengan gambar kita dalam telefon dia. Nampak sangat rindu”, sindir Aqilah lalu ketawa kecil apabila Haikal menggeletek pinggangnya.

“Hah, rasakan. Mengata orang nombor satu dia ni” Haikal penuh semangat menggeletek Aqilah.

“Okey, okey, Ila minta ampun. Tak buat dah, tak buat dah” Mengalah juga Aqilah. “Nasib baik Ila tak terkencing kat sini. Kalau kencing, siap abang” Dia cuba memberi amaran.

“Kalau sayang kencing kat sini, abang tepuk tangan”, balas Haikal sudah ketawa terbahak-bahak. Aqilah menampar lembut bahu Haikal.

“Abang Haikal, Kak Ila, mak panggil makan”, jerit Aisyah di ruang tingkap.

“Tengok, layan abang semua benda tak jadi”, getus Aqilah menolak tubuh Haikal.

“Amboi, kita pula yang kena. Abang kalau layan sayang, sampai esok pun tak habis. Ada saja benda yang sayang nak buat”, gumam Haikal perlahan. Dia berjalan membuntuti langkah Aqilah.

“Mari makan Ila, Haikal. Tunggu Aisyah bangun, sampai sejuklah bihun goreng ni” Hajah Rosiah sudah mula ‘berceramah’.

“Tak apalah mak, sekali-sekala Aisyah nak bangun lewat”, tukas Aqilah lalu tersenyum kecil. Aisyah tersenyum menang.

“Sukalah tu Kak Ila sokong”, celah Haikal bersahaja.

“Biarlah” Aisyah menjelir lidah.

“Sudah. Rezeki depan mata pun nak bergaduh ke?”, tegur Hajah Rosiah.

“Hmm, abang nak bihun ke roti jala?” Pandangan Aqilah jatuh pada Haikal.

“Abang nak roti jala. Siapa yang masak semua ni?”

“Siapa lagi, kalau bukan menantu mak ni yang masak. Mak baru je masuk dapur, Ila dah siap masak dah. Tak tidur ke Ila lepas subuh tadi?”

Aqilah menggeleng laju. “Ila tak ngantuk mak. Nah abang. Aisyah nak makan apa?”

“Jangan dilayan sangat budak tu. kalau dia lapar, pandailah dia ambil sendiri”, sampuk Hajah Rosiah.

Wajah Aisyah kelat. “Ala mak ni, bukan selalu Aisyah nak bermanja dengan Kak Ila”, rungutnya lalu mencedok sendiri bihun goreng.

“Amboi-amboi...Kalau Aisyah manja dengan Kak Ila, habis tu abang macam mana?”, soal Haikal sudah membuntang matanya.

Aqilah dan Hajah Rosiah tidak dapat lagi menyembunyikan tawa masing-masing. Akhirnya tawa mereka bersatu. Eloklah tu kalau mentua sama menantu boleh satu kepala!

“Abang dah selalu sangat manja dengan Kak Ila. Semalam pun ada orang tu hantar mesej. Rindulah katakan. Orang ajak ikut tak mahu. Padan muka”, ejek Aisyah selamba.

“Oh, Ila bagi Aisyah baca mesej ye?”

“Eh, Ila pula yang kena. Dah Aisyah ada kat sebelah Ila, mestilah dia nampak”, jawab Aqilah tidak langsung memandang wajah Haikal.

“Sudahlah tu. Aisyah, habiskan makan tu cepat. Ada kelas tambahan kat sekolah pagi ni kan?” Suara Hajah Rosiah mula kedengaran setelah mendiamkan diri.

Aisyah mengangguk laju. “Abang Haikal hantarkan boleh?”, pinta Aisyah mula berlembut.

“Huh, bila nak suruh orang hantar baru nak cakap baik-baik. Nyampah”, gumam Haikal bersahaja.

“Aikk....Macam kenal je ayat ‘nyampah’ tu. Tiru Ila ke?”, sampuk Aqilah dengan jelingan tajam lagi. Bukan tajam eak, jelingan manja. Hehehe..

Haikal sudah tersengih-sengih. “Yela, nanti abang hantar. Ila nak ikut ke?”

“Tak mahulah. Ila nak duduk rumah dengan mak. Nak bermanja-manja dengan mak pula” Aqilah mengerling ke arah Haikal dan Aisyah.

“Huh, nyampah”, balas Haikal dan Aisyah serentak.

Hajah Rosiah dan Aqilah sudah ketawa. Macam-macam hal...


*****


ZURINA menghempas telefon bimbitnya di atas sofa. Nasib baik juga di atas sofa. Kalau dihempasnya ke lantai? Innalillawainalillahirajiun...

Kebetulan pula setiausahanya muncul di ruang pintu. “Kenapa Cik Zu?”

“Tak ada apa-apa”, balas Zurina lalu tersenyum hambar pada setiausahanya.

“Betul ni? Cik Zu nak tempah makanan tak? Boleh saya tolong tapaukan. Lagipun, saya tengok Cik Zu tak keluar-keluar bilik sejak pagi tadi”

“Tak apa Sufi. Awak pergilah makan. Saya tak lapar. Cuma nak rehat sekejap”, balas Zurina kembali tenang.

“Okey, kalau nak apa-apa, mesej saya ya”

Zurina mengangguk laju. Tersentuh juga hatinya dengan sikap Sufi. Dalam kebanyakan yang pernah menjadi setiausahanya, hanya Sufi seorang saja yang kekal. Mungkin juga kerana sikapnya yang tidak menjaga tepi kain orang. Malah, Sufi seorang yang kuat bekerja dan tahu mengambil hatinya. Zurina terduduk di sofa. Hatinya sakit apabila Haikal tidak langsung menjawab panggilannya. Jiwanya tidak tenang selagi tidak mendengar Haikal.

“Hai Zu...”

Zurina mendongak memandang Idham yang sudah ada di depannya.

“Bila awak sampai?”

“Baru saja sampai. Saya terserempak dengan Sufi kat bawah tadi. Dia kata awak belum makan. Kebetulan pula, saya bawakan awak makanan. Jomlah makan”

Tawa Zurina kedengaran. “Amboi, macam tahu-tahu saja awak ni”

“Mestilah saya tahu”

“Apa yang awak tahu?”, soal Zurina ingin juga dia tahu apa yang lelaki itu tahu mengenainya.

“Saya tahu awak tengah lapar sekarang. Jadi, saya bawakan awak makanan” Idham cuba berjenaka.

Zurina menyambung semula tawanya. “Pandai betul awak buat lawak. Awak dah makan ke belum ni?”

“Tak lagi. Saya tunggu awak”, jawab Idham jujur.

Zurina terdiam. Tulus betul jawapan yang keluar dari mulut Idham. Sayangnya, dia tidak dapat menerima Idham sebagai kekasih.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?”

“Hah, tak ada...a...apa-apa”, jawab Zurina mula terpinga-pinga.

“Jom kita makan” Idham membuka penutup bekas makanan.

Mata Zurina pula seakan-akan terjojol hendak keluar. “Sushi?”

Idham mengangguk laju. “Yup, sushi. Kenapa? Awak tak suka ke?”

“Suka. Suka sangat-sangat. Tak sangka awak pun minat sushi” Rasa teruja menerpa dalam dirinya.

“Saya buat sendiri tau. Awak kena makan sampai habis. Kalau tak, saya merajuk nanti”

“Awak ni, macam budak-budaklah. Okey, saya makan sampai habis. Tapi, awak kena makan juga. Kalau tak, saya merajuk pula” Dia memulangkan paku buah keras pada Idham.

“Baiklah Cik Zurina, saya makan”, balas Idham sudah tersenyum kecil.

Zurina menikmati makanan dengan penuh berselera. Menikmati sushi membuatkan dirinya terkenangkan Haikal. Teringat dia pada makanan yang tidak disukai oleh lelaki itu. Makan itu adalah sushi. Dia sendiri tidak tahu kenapa Haikal tidak suka makanan seperti ini. Arghh...Biarkanlah. Perutnya sudah berkeroncong sakan. Dia terus menjamah makanan dan melupakan Haikal buat seketika waktu.



BAB 32

“Sayang, kenapa termenung ni?”

“Tak ada apa-apa”

“Dah tu? kenapa sayang asyik tengok siling saja. Tak sudi ke pandang muka abang yang handsome ni?”

Handsome ke? Meh Ila nak tengok”, usik Aqilah lantas memegang pipi Haikal dengan kedua-dua tangannya.

“Sayang ni, main-main pula”

Aqilah ketawa kecil. “Betullah. Ila nak tilik muka abang. Hmm, nak kata handsome tu, adalah juga. Taklah sekacak macam Remy Ishak atau Rosyam Nor” Pegangannya pada pipi Haikal terlerai juga.

“Amboi, minat sangat kat pelakon tu nampaknya. Kalau macam tu, abang kena gelapkan sikit kulitlah eak”

“Abang ni, ada pula sampai macam tu. Ila gurau sajalah”, tukas Aqilah lalu melabuhkan kepala di dada bidang Haikal.

“Hmm, manjanya dia” Sebuah kucupan hinggap di dahi Aqilah.

“Nak manja pun tak boleh ke?”

“Boleh sayang. Tak salah pun. Lagi abang suka”, bisik Haikal dengan senyuman lebar.

Aqilah tersenyum senang. Lamunannya terus terlayar pada perbualannya dengan Suzana pagi tadi. Dia semakin pelik dengan sikap Suzana. Hatinya kuat mengatakan Suzana tidak dapat menyelesaikan masalah dengan sendiri. Namun, tidak pula Suzana mahu menceritakan masalah kepadanya. Suzana adalah satu-satunya kawan yang sentiasa ada di sisi. Semua saat suka dan duka mereka kongsikan bersama-sama.

Disebabkan itu, dia terlalu ingin tahu masalah yang melanda sahabat baiknya. Memang susah untuk memujuk Suzana. Ibarat seperti memujuk budak kecil yang sedang menangis saja lagaknya.

“Tengok tu, termenung lagi. Sayang abang ni kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Ila okey. Cuma teringatkan Ana”

“Amboi, baru satu hari tak jumpa Ana dah rindu ke?” Suara Haikal berbaur rasa cemburu.

“Bukan macam tu. Ana ada masalah”

“Dah tu?”

Keluhan kecil terkeluar juga dari mulut Aqilah. “Ila nak sangat tolong. Tapi, dia macam tak mahu cerita masalah tu”, tutur Aqilah perlahan.

“Hmm, mungkin masalah dia kecil. Tak pun, dia yakin dan mampu selesaikan dengan sendiri”

“Tapi, Ila ni kawan dia. Ila jadi serba salah kalau tak dapat tolong dia. Sudahlah bila Ila ada masalah, Ana selalu jadi pendengar yang setia. Dia selalu tolong Ila selesaikan masalah” Mata Aqilah semakin redup.

Haikal tersenyum kecil. Kepala isterinya dikucup lembut. Seluruh kasihnya melimpah ruah buat Aqilah. Lambat-lambat Haikal bersuara, “Kadang-kadang, kita tak boleh paksa seseorang untuk ceritakan masalah dihadapi. Walaupun dia tu kawan baik Ila sendiri. Cuba Ila fikir, kita boleh jadi pendengar yang setia. Tapi, kita pun tak tahu macam mana nak selesaikan masalah dia. Andai kata masalah seperti wang atau  tenaga, kita memang akan tolong. Tapi, kalau masalah mengenai hati, kita tak mampu nak selesaikan. Kita hanya mampu bagi pendapat dan sokong dia selalu. Terpulanglah pada Ana nak beritahu atau tidak. Macam tu baru betul”, tutur Haikal dengan pendapatnya sendiri.

“Tapikan, kalau dia buat pilihan yang salah macam mana?”

“Itu terpulang pada dia. Kita dah bagi pendapat. Nak dengan tak nak je dia ikut”

“Habis tu, kalau keputusan yang dia buat tu salah, Ila kena sokong jugalah? Macam tu ke?”, soal Aqilah lantas mendongak mencari sepasang mata Haikal.

“Bukan macam tu. Memang kita akan marah kalau orang tu buat keputusan yang salah. Tapi, kita hanya mampu doakan untuk dia. Walaupun keputusan tu kita rasa salah. Manalah tahu bagi dia keputusan tu yang dia rasa bagus”, jelas Haikal meluahkan pendapatnya untuk kesekian kali.

“Hmm, betul juga apa yang abang kata tu” Aqilah kembali terlentok di dada suaminya.

“Macam kitalah sekarang”, ujar Haikal amat mendalam maksudnya.

“Macam kita sekarang? Maksud abang?”

“Yela, abang dah bagi pendapat. Semuanya terpulang pada sayang nak terima atau tak”

“Oh, Ila ingatkan apa tadi. Andai kata satu hari nanti, abang diberi dua pilihan. Contohnya, antara kawan atau cinta. Abang akan pilih yang mana?”

“Soalan apa tu?”

“Syhh, jawab dulu soalan Ila boleh?” Jari telunjuk Aqilah melekap pada dua ulas bibir Haikal.

“Kalau abang jawab, apa yang abang dapat?”

“Kalau abang jawab, sayang belanja makan”

“Makan apa tu?”, tanya Haikal penuh nakal.

“Amboi, otak kuninglah tu”, getus Aqilah lalu menolak muka Haikal. Geram pula dia dengan suaminya.

“Abang gurau sajalah”

“Jawablah cepat”

“Jawab apa?”

“Soalan Ila tadilah. Abang ni”, marah Aqilah menampar lengan Haikal.

“Oh, soalan tu. Antara cinta atau kawan?”

Aqilah mengangguk laju. “Yup, soalan tu”

“Abang tak tahulah sayang. Tapi, abangkan cintakan sayang. Jadi, mestilah abang pilih sayang”

“Ila nak tanya boleh?”

“Hmm...”

“Boleh ke tak ni?”

“Boleh sayang”, balas Haikal mula tidak senang dengan pertanyaan Aqilah.

“Abang anggap Zu apa eak?”

Haikal diam. Nafasnya dihela perlahan. Terasa berat sangat untuk dia bernafas tika ini. “Kawan. Tak lebih dari seorang kawan”

Aqilah tersenyum. “Andai kata dia kembali dalam hidup abang, siapa abang akan pilih? Cinta Ila atau kawan?”

“Sayang, kenapa tanya soalan macam tu? Kan abang dah terangkan segala-galanya dulu. Abang nak mulakan hidup baru dengan Ila. Kenapa mesti ungkit soalan macam ni?”

Aqilah terdiam. Suara Haikal kedengaran cukup tegas di pendengarannya. Dia dapat rasakan Haikal tidak berasa selesa dengan soalan yang diajukan.

“Ila Cuma nak tahu saja. Bukannya Ila nak tambah kekusutan pada abang. Kalau betul Ila ni penting dalam hidup abang, kenapa abang macam nak tak nak je jawab? Soalan tu simple saja. Tak perlu abang fikir apa-apa. Melainkan kalau hati abang masih pada dia. Jadi, Ila cuma nak tahu” Aqilah terasa hati.

“Abang penatlah. Nak tidur dulu”, tutur Haikal terus memejam mata.

“Ila minta maaf”, mohon Aqilah terus bangun dari dada Haikal. Dia terus baring di tempat pembaringannya.

Dalam kegelapan malam, mata Aqilah sudah digernangi air jernih. Hatinya sakit tiba-tiba. Dia tidak tahu bila hatinya mula mencintai lelaki itu. Banyangan Saiful tidak lagi muncul dalam lenanya. Salahkah dia hanya ingin tahu hati Haikal? Andai benar Haikal masih lagi menyayangi Zurina, dia terima seadanya. Dia tidak mahu tamak. Dia mahu Haikal bahagia. Manalah tahu, andai jodohnya dengan Haikal tak panjang, sekurang-kurangnya Haikal ada peneman juga. Aqilah melelapkan mata yang makin dipenuhi titis-titis gerimis.

Sementara Haikal pula tidak senang lenanya. Kata-kata Aqilah seakan-akan menyucuk tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak mahu mengingati kenangan lalu. Dia hanya mahu Aqilah yang bertakhta dalam hatinya. Namun, dia gelisah. Kenapa dia tidak mampu menjawab soalan Aqilah dengan tenang? Adakah dia masih sayangkan Zurina? Jika benar, kenapa hatinya asyik teringatkan Aqilah. Rasa serba salah pada Zurina mula bertandang dalam hatinya. Kenapa dia harus rasa bersalah pada Zurina? Pertanyaan itu terus berlegar-legar dalam otaknya.


*****


HAJAH ROSIAH sesekali mengerling ke arah menantunya. Ternyata Aqilah tidak fokus sewaktu memotong bawang. Termenungnya lebih panjang. Dia yakin, pasti ada masalah yang melanda Aqilah sekarang.

“Ila...”, panggil Hajah Rosiah lembut.

“Ya mak? Kejap, Ila potong bawang ni” Termangu-mangu Aqilah menyahut. Dia terus memotong bawang dengan hati yang sayu. Terasa matanya makin berair.

“Kenapa nangis ni?”

“Eh, mana ada nangis. Bawang ni buat mata Ila pedih”, dalih Aqilah cuba ketawa kecil. Dia mahu menutup sendu di hati.

“Sini mak tolong potongkan. Pergi basuh muka tu. Dah merah mak tengok”

“Tak apa mak. Ila okey. Dah nak siap ni”, bantah Aqilah lalu tersenyum.

“Tak apa. Meh sini. Mak buatkan. Ila pergi basuh muka tu”, arah Hajah Rosiah tetap tidak mahu mengalah. Menantu dengan mentua sama saja degilnya!

Aqilah akur. Langkahnya diatur menuju ke bilik air. Setibanya di bilik air, tangannya terus memulas pili air. Tangisannya mencurah bagaikan hujan yang turun. Esakannya tidak kedengaran apabila bercampur dengan curahan air.

Dia terduduk mencangkung sambil muka disebamkan ke lutut. Terhinjut-hinjut tubuhnya tika ini. Nama Haikal disebut berulang kali. Mukanya lecun dengan air mata. Agak lama dia di dalam. Setelah hatinya sedikit reda, Aqilah membasahkan wajahnya dengan air yang bersih. Dia tidak mahu sesiapa pun perasan akan perubahannya. Berkali-kali nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Sebaik saja kekuatannya muncul, tangannya laju memulas tombol.

“Oii mak kau...”, latah Aqilah apabila terlihat tubuh Haikal di hadapan pintu bilik mandi.

“Masuk bilik kejap”, ujar Haikal serius.

“Ila nak tolong mak masak”, balas Aqilah bersahaja.

“Aisyah boleh tolong mak. Jom” Pegangan Haikal mencengkam kuat pada lengan Aqilah.

Bagaikan lembut dicucuk hidung, Aqilah terus membuntuti langkah Haikal. Sesungguhnya dia tidak berdaya lagi untuk mencari alasan. Sejauh mana dia dapat melarikan diri atau menjauhkan diri daripada Haikal? Dia tahu, semua usahanya itu hanya sia-sia saja.

“Kenapa nangis?” Itulah soalan pertama yang diajukan oleh Haikal tatkala daun pintu bilik ditutup.

“Mana ada”, bohong Aqilah selamba. Dia hanya menunduk wajah.

“Abang tahu sayang nangis”

“Mana ada”, dalih Aqilah lalu melabuhkan punggung di birai katil.

“Jangan tipu abang boleh tak?” Haikal sudah mengambil tempat bersebelahan Aqilah.
“Betullah. Buat apa Ila nak tipu pula. Mata pedih kena bawang”, tipu Aqilah lagi. Dia tidak mahu Haikal ambil berat terhadap dirinya.

“Sayang, kenapa jadi macam ni?”, tanya Haikal diakhiri dengan keluhan.

“Jadi macam mana?” Pura-pura Aqilah tidak tahu.

“Abang tak sanggup tengok sayang nangis. Abang tahu sayang terasa hati pasal semalam”

Aqilah diam. Baguslah kalau kau tahu. Bentak hati kecil Aqilah.

“Sayang, janganlah berdiam macam ni. Abang minta maaf pasal semalam”, pinta Haikal lalu menggenggam tangan Aqilah.

“Abang tak ada salah dengan Ila. Buat apa nak minta maaf”, balas Aqilah rimas dengan kelakuan Haikal.

“Abang tahu sayang tak maafkan abang”

“Tepuk dada, tanyalah selera”, gumam Aqilah perlahan.

“Kenapa tepuk dada? Bukan tanya pada hati ke?” Haikal cuba berseloroh.

“Hmm, apa-apa pun tak apa. Dahlah, Ila nak tolong mak masak”, getus Aqilah menarik tangannya dari pegangan Haikal.

Haikal faham. Aqilah terasa hati dengannya! “Abang sayang Ila sangat-sangat”, ucap Haikal perlahan.

Aqilah diam. Lambat-lambat dia terus bangun dan berlalu meninggalkan Haikal sendirian dalam bilik.

Tuluskah ucapan sayang itu?

Ikhlaskah dia menyanyangi aku?

Jujurkah isi hatinya buatku?


Arghh....Kau tak pernah sayang aku Haikal. Aku Cuma isteri yang hanya melengkapi hidup kau sebagai seorang suami. Biarlah aku pendam rasa hati ini dalam diam. Sesungguhnya, perasaan benci sudah bertukar menjadi rindu.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)