bab 17 & 18

BAB 17

Hampir tiga minggu dia dan Haikal menetap di rumah baru. Selama tiga minggu jugalah dia banyak belajar tentang diri Haikal. Lelaki itu sukakan kekemasan. Bila tiba hujung minggu, Haikal akan menghabiskan masa dengan mengajaknya keluar bersiar-siar. Katanya mahu menenangkan jiwa atau Haikal akan menghabiskan masanya dengan menanam pokok bunga. Ya, Haikal minat sangat dengan bunga. Banyak pokok bunga di halaman rumah yang ditanam oleh Haikal.

Aqilah merenung jauh ke arah langit yang cukup indah. Dia pula, sudah menjadi seorang pencinta langit kala malam menjelma. Aqilah mengeluh. Dia bosan dengan kehidupannya sejak kebelakangan ini. Haikal sering pulang lewat malam. Tambahan lagi, mereka tidur di bilik berasingan. Jarang dia dan Haikal dapat borak bersama-sama seperti dulu. Dari balkoni, dia merenung jauh ke halaman rumah.

Haikal masih belum pulang. Begitulah yang dilakukan olehnya saban malam. Sentiasa menanti Haikal pulang. Kadang-kadang, dia akan tertidur di sofa. Pabila muncul mentari, dia sudah berada di biliknya. Siapa lagi yang mengangkatnya kalau bukan Haikal. Aqilah tersenyum. Mana Haikal ni? Tak nak balik ke?

“Kenapa aku nak risaukan dia pula?”, soalnya terus melangkah masuk ke dalam kamar tidur. Baru saja beberapa langkah, kedengaran enjin kereta di halaman rumah. Menandakan Haikal sudah pulang.

Aqilah tersenyum sendirian. Ingatkan tak ingat jalan balik. Gumamnya dalam hati. Dia tidak jadi tidur. Langkah kakinya menuju ke muka pintu bilik. Dia mahu melihat Haikal. Sebaik saja kakinya tiba di hujung tangga, matanya berkeliaran mencari kelibat Haikal. Mata Aqilah tertumpu di ruangan dapur yang terang dengan cahaya lampu. Mesti ada kat situ. Hatinya berkata lagi. Dia terus melangkah ke arah dapur.

“Eh, awak tak tidur lagi?”, soal Haikal sebaik saja terlihat Aqilah di muka dapur. Selalunya, Aqilah akan menunggunya pulang. Apabila kelibat Aqilah tidak kelihatan, dia ingatkan Aqilah sudah tidur. Ternyata tekaannya salah.

Aqilah hanya menggelang sambil memerhati Haikal yang sibuk membuka plastik yang berisi makanan. Rasa kasihan pula melihat Haikal. Baju kemeja pun sudah terkeluar dari seluar. Raut wajah Haikal kelihatan letih namun tetap kacak di matanya. Ishk, apa yang aku mengarut ni. Aqilah tersenyum sendirian. Dia merapati Haikal.

“Awak pergilah naik dulu. Biar saya tolong siapkan makan malam. Eh, makan lewat malamlah”, seloroh Aqilah cuba menceriakan lelaki itu. Dia tahu Haikal penat.

“Okey. Saya nak mandi dulu. Nanti kita makan sekali”, balas Haikal tersenyum lebar. Sebaik saja dirinya berselisih dengan Aqilah, sempat lagi mulutnya mengucapkan terima kasih.

Bibir Aqilah menguntum senyuman nipis. Dia terus menuju ke arah kabinet dapur. Makanan yang berada di dalam plastik itu dibuka untuk dipanaskan. Sempat lagi dia melihat makanan yang dibeli oleh Haikal. Tom yam campur, ikan bakar, dan ayam sambal. Aqilah tersenyum. Sekarang dia sudah tahu makanan kegemaran Haikal. Tom yam! Mana tidaknya, tiap kali membeli makanan, pasti tom yam campur yang menjadi pilihan utama lelaki itu.

Tiba-tiba dia teringatkan Saiful. Kalau Saiful, dia tidak gemar makan makanan masam. Entah kenapa dia semakin jauh dari Saiful. Baru beberapa hari lepas Saiful membalas emailnya. Tergesa-gesa saja cara Saiful. Dia hanya menyatakan sibuk sangat. Hinggakan, tidak sempat Saiful mengucapkan kata-kata cinta. Aqilah mengeluh. Bilalah dia nak balik Malaysia? Hati kecilnya tertanya-tanya.

“Lama termenung”

Aqilah tersentak. Dilihatnya Haikal sedang berpeluk tubuh sambil bersandar di dinding dapur. Lelaki itu santai dengan memakai seluar pendek paras lutut tanpa baju di tubuh.

“Dah boleh makan?”, soal Haikal.

Aqilah hanya mengangguk. Semenjak dia tinggal bersama Haikal, tidak pernah langsung dia memasak. Apatah lagi mahu pegang senduk! Huh, memang tidaklah jawabnya. Kalau Haikal balik lewat malam, dia tetap akan tunggu. Satu sebabnya, dia mahu makan dengan Haikal. Itu saja masa yang dia ada untuk berborak dengan Haikal.
  
Aqilah ketawa dalam hati. Bukan dia tidak mahu memasak. Cuma, dia tidak berminat untuk memasak. Dia lebih suka mengemas rumah, keluar membeli-belah dan  menghadap laptop. Itu saja yang dia minat. Opss, ada lagi satu yang menjadi minatnya saban hari iaitu, melihat langit bila malam menjelma.

“Nak tanya sikit boleh tak?”, pinta Haikal tidak suka akan keadaan yang sunyi begini. Aqilah yang menyuap makanan lantas mengangkat kening.

“Bila awak nak belajar memasak?”

Aqilah tersedak. Haikal kelam-kabut menghulurkan gelas yang berisi air kosong kepada isterinya. Tangan kiri Aqilah mengurut-urut dadanya. Sakit hati pula dia dengan pertanyaan Haikal. Baru saja dia memikirkan tentang bab memasak tadi. Haikal seperti tahu apa yang bermain di mindanya.

“Yang awak sibuk sangat kenapa?”, marahnya. Nasi di dalam pinggan dikuis-kuis. Hilang seleranya. Nyampah!

“Saya tanya je pun. Kadang-kadang, perut saya dah muak asyik makan lauk kedai. Sekali-sekala nak juga rasa masakan dari air tangan isteri”, balas Haikal selamba. Dia kelihatan begitu selera menikmati tom yam campur.

Aqilah mencebik lalu menjelir lidah. “Eleh, kalau saya masak pun, awak bukannya nak makan. Dah muak konon. Tu, boleh pula makan dengan penuh selera”, sindir Aqilah.

Haikal tersenyum lebar. “Perut saya lapar sangat sayang oiii. Sebab tu, saya makan dengan penuh selera” Haikal tidak langsung memandang Aqilah. Seolah-olah, makanan itu lebih bermakna buat dirinya.

Aqilah mendengus geram. “Nantilah saya fikirkan. Saya ni tak berapa minat sangat memasak. Kalau bab kemas rumah, saya okeylah”

Haikal hanya mengangguk-angguk. Dia tahu itu. Setiap kali balik kerja, keadaan dalam rumah sentiasa kemas. Memang Aqilah suka mengemas daripada memasak. Baginya pula, dia lebih suka memasak dan mencuba resepi-resepi terbaru. Dia paling benci mengemas rumah. Disebabkan itu, bila tiba hari minggu, dia dan Aqilah sudah membuat jadual. Dia akan memasak dan Aqilah akan mengemas rumah.

“Saya ada nak beritahu awak satu perkara”, beritahu Haikal sebaik saja selesai makan.

“Hmm, apa dia pula?” Acuh tak acuh saja Aqilah menyahut.

“Awak nak kerja sementara tak? Setiausaha saya kena balik kampung selama tiga bulan. Dia ada hal keluarga. Kalau awak nak gantikan tempat dia bolehlah”, ujar
Haikal lantas meneguk air kosong dengan penuh tertib.

Aqilah tersenyum. Dia terus bangun. Haikal membuntuti Aqilah ke dapur. “Bagus juga cadangan awak tu. Saya pun bosan duduk kat rumah ni. Tak tahu nak buat apa. Saya suruh ambil orang gaji tak nak” Aqilah mengelap tangannya sebaik saja selesai membasuh pinggan mangkuk kotor.

“Awak setuju tak ni?”, soal Haikal inginkan kepastian.

“Mestilah nak. Bila boleh mula?”

“Esok pagi. Boleh?”

Aqilah mengangguk tanda setuju. “Kalau macam tu, saya setuju. Okeylah, saya nak masuk tidur dulu. Dah lewat sangat ni”, tukas Aqilah terus berlalu.

Nite”, laung Haikal dari dapur.

Aqilah tersenyum hambar. “Nite jugak”, jerit Aqilah dari atas. Dia perlu tidur awal. Ishk, lewat juga aku makan. Pukul 11.00 malam rupanya. Gemuklah aku kalau hari-hari macam ni. Rungutnya sendirian. Sebaik saja kepalanya mencecah bantal, matanya terus terpejam. Tidak sabar menanti hari esok! Ila, Ila, memang gemuklah jadinya kalau tidur lepas makan!

Sementara di dalam bilik, Haikal masih tidak dapat melelapkan mata. Dia masih teringat akan pertemuannya dengan Zurina tengah hari tadi. Zurina dengan seorang lelaki. Mereka kelihatan mesra pada pandangan Haikal. Entah kenapa hatinya tidak ada perasaan marah. Apatah lagi untuk berasa cemburu. Dia tidak tahu apa perasaannya terhadap Zurina kini. Apa yang dia tahu, setiap kali dia matanya terpejam, wajah Aqilah sering muncul dalam lenanya. Haikal bingung memikirkan hal ini. Takkanlah aku jatuh cinta dengan Ila pula? Hati Haikal mula berdialog.

“Apa salahnya jatuh cinta pada isteri sendiri. Si Ila tu, cantiklah juga. Cuma, dia pendek. Macam ayam katiklah pula. Ishk, tak baik kutuk isteri” Haikal cepat-cepat beristighfar. Dia perasan juga dirinya dengan Aqilah jarang bertegur sapa sekarang. Dia selalu pulang lewat malam. Tambahan pula, dia dan Aqilah tidur berasingan. Lagilah susah untuk dia berbual dengan Aqilah.

Jika dulu, walaupun tidur satu bilik dan tidur di tempat berasingan, dia dan Aqilah akan berborak sebelum tidur. Tidaklah seperti sekarang. Hendak berborak pun ketika di meja makan ataupun semasa hujung minggu, sewaktu dia cuti. Disebabkan itu, Haikal terus menawarkan Aqilah jawatan setiausaha sebaik saja tahu setiausahanya memohon cuti tanpa gaji. Dia mahu mendengar suara Aqilah. Kalau boleh hari-hari pun dia sanggup walaupun dalam keadaan bergaduh!

“Hai Haikal, dah mula rindu kat isteri ke?”, soal Haikal tersenyum lebar. Soalan itu lebih pada diri sendiri.

Haikal mengalih posisi tidur. Dia mengiring lalu mendakap bantal. Di mindanya membayangkan jika Aqilah boleh menerima dia sebagai suami, sudah pasti tubuh Aqilah berada dalam dakapannya. Nafsu jahat Haikal mula menjelma di minda. Haikal cepat-cepat tersedar. Matanya dipejam rapat. Dia tidak mahu berfikir lagi.


*****


“TAK naklah. Janganlah nak paksa saya pula”

“Janganlah macam tu. Takkan nak masuk kerja pakai macam ni? Malulah sikit”, tukas Haikal bersahaja.

Aqilah menarik muncung panjang.

Haikal tersenyum. “Dengar cakap saya boleh? Masuk bilik balik dan tukar pakaian yang lebih sopan. Tak sukalah Ila pakai macam ni” Haikal cuba berlembut.

“Tapi, Zurina pakai boleh je. Awak tak marah pun dia”, bidas Aqilah dengan muka yang kelat sekali.

Haikal mengeluh. Kedua-dua bahu isterinya dipegang erat. “Pandang saya kejap”, pinta Haikal tenang. Aqilah menurut.

Haikal tersenyum. “Terima Kasih”, ucap Haikal. Keluhan kecil terkeluar dari mulutnya. “Saya bukan tak suka awak pakai macam ni. Saya lagi suka kalau awak pakai masa dalam rumah je. Bukan di luar rumah. Awak fahamkan? Zurina bukan isteri saya. Hanya awak isteri saya. Faham?”, sambung Haikal dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

Makin panjang muncung di bibir itu. “Yela, saya pergi tukar”, akurnya terus berlalu.

Ishk, time ni la dia nak goda aku dengan senyuman dia tu. Aku pun satu, cepat sangat mengalah. Gumamnya dengan hati yang bengkak.

‘…Hanya awak isteri saya…’ Kata-kata itu terngiang-ngiang lagi di telinganya. Isterilah sangat. Eleh, kalau isteri, kenapa masih simpan lagi nombor si Zurina tu? Kalau mengaku aku ni isteri dia, kenapa masih letak ‘cintaku’ dalam list phone dia? Nyampahnya aku! Tak sukalah asyik ikut kepala dia je. Bebelnya dalam hati.

“Hmm, baju apalah yang aku nak pakai ni?”, soalnya sendirian.

“Ehem”

Aqilah tersentak. Ishk mamat ni, tak payahlah nak ikut. Pergilah tunggu kat luar sana tu. Rungut hatinya dengan muka yang monyok!

“Nak saya pilihkan untuk awak ke?”, soal Haikal sudah berdiri di sebelah isterinya.

Aqilah mencebik. “Pandai ke awak pilih baju untuk saya?” Aqilah menyoal seolah-olah memperlekehkan kebolehan Haikal.

Hanya senyuman saja yang bermain di bibir Haikal. Naik menyampah pula Aqilah melihatnya. Werkkk! Ingat handsome sangat ke senyum macam tu? Pirahhhh! Ejek hati kecil Aqilah.

“Saya rasa awak pakai baju ni. Seluar warna putih dengan kemeja biru” Haikal mengeluarkan pakaian tersebut lalu didekatkan pada tubuh isterinya.

“Ala, samalah pula dengan awak. Tak naklah. Nanti orang kata kita ni penyanyi boria pulak”, cantas Aqilah dengan muka berkerut-kerut. Bukan dia tidak suka dengan pilihan Haikal. Memang dia suka. Tapi, dia malu sebenarnya. Bukan malu pada pekerja-pekerja di Johar Holding. Malu kerana mengejek Haikal tidak pandai memilih baju!

“Elok apa Puan Aqilah oii. Tak ada siapa yang nak kata kat kita ni. Pakai saja baju ni”, arah Haikal. Tegas saja nadanya walaupun bibirnya kaya dengan senyuman.

Aqilah mengeluh. Dia mengambil pakaian di pegangan Haikal lalu menolak tubuh Haikal supaya meninggalkan bilik ini.

“Jangan lambat tau. Tak perlu make up tebal-tebal pun tak apa. Awak dah cantik”, laung Haikal dari luar pintu.

Aqilah tersenyum kecil.

‘…Tak perlu make up tebal-tebal pun tak apa. Awak dah cantik…’

Cantiklah sangat aku ni. Tapi, memang cantik pun. Hmm, bertuahlah aku dapat pujian daripada suami sendiri. Heheheheh….Aqilah menyarung pakaian yang dipilih oleh Haikal tadi. Dia meneliti solekannya di hadapan cermin. Setelah puas hati, Aqilah terus melangkah keluar.

“Hah, kan comel isteri saya ni”, puji Haikal sebaik saja Aqilah keluar.

Huh, comel ke? Nasib baik aku dah iron baju ni. Kalau tak, memang aku tak nak pakai pun. Sempat lagi dia membebel seorang diri.

“Kenapa tercegat depan bilik ni?”, soal Aqilah sudah menjeling tajam.

“Tunggu isteri sendiri pun tak boleh ke? Jom pergi” Haikal sudah berjalan mendahului Aqilah.

“Eh, kejap…”, ujar Aqilah.

Langkah Haikal terhenti. “Ada apa lagi? Kita dah lewat ni” Haikal mempamerkan raut wajah yang serius.

“Mana tali leher awak?”, soal Aqilah sudah berjalan merapati Haikal.

“Kan saya dah cakap, saya tak pandai pakai”, balas Haikal bersahaja. Dia terus menuruni anak tangga tanpa menunggu Aqilah.

Ishk, mamat ni. Muka dah kacak, tie pula dia tak pandai pakai. Eh, bukan aku ke yang selalu pakaikan untuk dia? Aqilah tidak jadi turun. Malah, dia menghayunkan langkah kaki ke kamar tidur Haikal.

“Ila, cepatlah”, laung Haikal dari tingkat bawah. Dia sememangnya seorang yang gila kerja!

“Kejap”, sahut Aqilah dengan menjerit. Hah, ini dia tali leher. Penat aku gosok semalam. Senang-senang je dia tak pakai. Gumam Aqilah. Ishk Aqilah ni, sempat lagi nak membebel pagi buta macam ni. Eh, pagi boleh buta ke? Matanya nakal memerhati di segenap bilik tidur Haikal. Kemas! Senyumannya kembang mekar.

“Apa lagi Ila?” Haikal sudah mencekak pinggang.

Aqilah mencebik. Tanpa suara dia merapati Haikal. Dengan penuh tanggunggjawab, dia memakaikan Haikal tali leher. Haikal terkedu. Tidak menduga sama sekali dengan perbuatan Aqilah.

“Awak nampak handsome pakai baju ni”, puji Aqilah lalu membetulkan kolar baju kemeja suaminya.

Bibir Haikal mula melirik senyuman. “Handsome ke?”

“Yela, siapa yang pilih baju ni? Saya kan?” balas Aqilah dengan bangganya.

Cis, bertuah punya isteri aku ni. Cakap je la nak puji diri sendiri. Gumam hati kecil Haikal.

“Jom kita pergi. Dah lewat sangat ni”, tukas Aqilah terus meninggalkan Haikal.
  

BAB 18

Jam di pergelangan tangan dikerling sekali imbas. Sudah hampir waktu rehat. Manalah laki aku ni? Bincang apa sampai lama sangat ni? Perut aku ni dah bergendang sakan. Dah macam alat permainan ding dang jadinya. Aqilah merungut dalam hati.

“Puan tak nak makan lagi ke?”, sapa seorang lelaki.

Aqilah tersentak. Laju saja kepalanya mendongak ke arah akauntan syarikat yang sudah terpacak di depannya.

“Ishk, tak perlulah puan-puan dengan saya. Panggil Ila dah cukup”, ujar Aqilah dengan senyuman kecil. Sebelah tangannya sudah memegang perut. Ishk, pedih gila perut aku ni. Siap kau Haikal kalau lambat. Sempat lagi hati kecilnya mengomel geram.

“Puan okey?”, tanya Azhar agak hairan melihat dahi isteri majikannya berkerut-kerut. Seolah-olah menahan sakit lagaknya.

Aqilah mengangguk. “Saya okey Azhar. Eh, pergilah makan. Nanti keluar lambat, masuk pun lambat. Marah pula bos awak tu”, seloroh Aqilah disambut tawa oleh Azhar.

“Betul ni puan tak…” Azhar inginkan kepastian.

“Azhar, panggil saya, Ila. Tak perlu berpuan-puan dengan saya”, cantas Aqilah tegas.

Azhar tersenyum kecil. “Apa pula kata…”

No! Panggil Ila saja. Okey?”, potong Aqilah laju. Sesekali berkerut juga keningnya menahan pedih di perut.

“Baiklah Ila…”

“Maaf abang lewat sikit…” Haikal sudah berdiri tegak di sebelah Azhar. Wajahnya tampak serius.

Azhar tersentak. Begitu juga dengan Aqilah. Eh, bila masa laki aku datang? Aqilah menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Saya pergi dulu Encik Haikal, Puan Aqilah”, tukas Azhar pantas. Kecut perut juga lihat wajah Haikal yang sudah seperti tempe basi. Kakinya mengorak langkah. Baik aku cabut sebelum bos cemburu!

“Eh, Azhar”, panggil Aqilah.

Langkah Azhar terhenti. Dia berpaling ke arah Aqilah. Tidak berani menentang wajah majikannya itu.

“Panggil Ila dah cukup”, ujar Aqilah sudah tersenyum lebar. Sempat lagi matanya menjeling ke arah Haikal yang masam mencuka.

Azhar turut membalas senyuman Aqilah. Hanya anggukkan saja yang dibalasnya.

Best sangatlah dapat berborak mesra”, sindir Haikal lalu memeluk tubuh. Raut comel Aqilah ditatap tajam.

Aqilah mencebik. Tanpa memandang Haikal, tangannya pantas menjalankan tugas mengemas meja yang berselerakan mengalahkan meja kerja Haikal pula.

“Jom”, ajak Aqilah mencapai handbag.

Haikal merengus keras. Tanpa kata, dia terus berjalan mendahului Aqilah. Biar Aqilah tahu, hatinya pun sakit juga! Hmm, tahu pun cemburu!

Ishk, merajuk pulak ke laki aku ni? Hampir bertaut kening Aqilah melihat Haikal berjalan meninggalkannya. Hanya soalan yang bermain dalam hati.

“Boleh jalan perlahan sikit tak? Ingat kaki saya ni panjang macam kaki awak ke?”, tegur Aqilah cuba bersabar. Ikutkan hati, mahu dibaling saja kasut tumitnya ke tubuh Haikal. Ishk, berdosa tu. Aqilah beristighfar dalam hati.

“Dah tahu kaki tu pendek, tak payahlah nak cakap banyak”, balas Haikal dengan senyuman mengejek.

Aqilah mencebik. “Eleh, pendek-pendek pun, isteri kau jugak”, gumam Aqilah perlahan. Seolah-olah berbicara dengan diri sendiri.

“Boleh cepat tak?”, laung Haikal dengan pertanyaan. Dia hanya mencekak pinggang. Tidak dihiraukan lagi akan terik mentari yang menjamah tubuhnya.

Bibir Aqilah muncung sedepa. Mengalahkan muncung itik saja! Sebaik saja dia terpacak di hadapan Haikal, pantas juga tangannya melibas tubuh Haikal dengan handbag.

“Aduh…” Jelas kerutan di dahi Haikal. Mukanya berkerut menahan sakit.

Aqilah mengangkat bahu. Seakan dirinya tidak tahu apa-apa! “Eh, awak sakit ke? Kasihannya. Siapa yang buat awak macam ni? Teruk ke sakitnya?”, soal Aqilah bertalu-talu dengan wajah pura-pura terkejut. Tangannya pantas memegang bahu Haikal yang sakit itu. Dia tersenyum dalam hati. Padan muka. Ejek Aqilah.

“Tepilah, tak payah nak tunjuk baik”, marah Haikal menepis tangan Aqilah yang berada di bahunya. Mukanya pula kian merah.

Aqilah ketawa kecil. Ketawa yang sengaja dibuat-buat. “Itulah, siapa suruh cakap kaki saya pendek. Ingat saya ni tak terasa ke? Macam mana sakit hati saya, macam itulah sakit yang awak rasa? Bencilah saya dengan awak”, marah Aqilah terus berlalu.

Haikal terkedu. Nada Aqilah keras sekali. Dia mengeluh kecil. Sedar akan kesilapannya. “Ishk, tak patutlah aku cakap macam tu. Tapi, hati aku yang sakit ni, dia tak tahu pulak”, bebel Haikal seorang diri. Dia terus mengekori langkah Aqilah.

Slow lah sikit jalan tu”, ujar Haikal di belakang isterinya.

Hati Aqilah membengkak hebat. Nyampah!

“Awak nak makan kat mana?”, soal Haikal sudah berada di sebelah Aqilah. Berusaha menyaingi langkah Aqilah.

Aqilah diam. Hanya bahu saja yang diangkat. Haikal tersenyum kecil. Raut wajah Aqilah dari tepi direnung dengan penuh minat. Dia tahu isterinya itu sedang merajuk. Cantik! Puji hati kecilnya.

“Saya nak makan kat Kedai Fatimah Cantik”, tutur Aqilah tegas. Tiada lagi senyuman yang melakar pada bibirnya. Hanya ketegasan saja yang ditonjolkan.

Membulat mata Haikal mendengarnya. Dahinya menampakkan garisan halus. Dia bingung.  “Kedai Fatimah Cantik? Tak pernah dengar pun. Awak tahu jalan tak?”

Terangkat kening Aqilah. Dalam diam, dia mahu ketawa. Namun, ditahan juga. Hatinya yang sakit tidak boleh sejuk dengan sesenang-wenangnya. Dia mahu menghukum Haikal.

“Awak, saya tanya elok-elok ni. Kedai Fatimah Cantik tu kat mana? Kedai tu baru buka ke?”, soal Haikal serius.

“Kalau tak tahu, ikut sajalah. Saya tunjuk jalan”, balas Aqilah selamba. Wajahnya kembali masam mencuka.

Haikal diam. Hmm, merajuk je dia tahu. Gumam Haikal. Dia hanya mengikut saja langkah kaki Aqilah menuju ke tempat parkir kereta.


*****


“AWAK…”

“Hmm, apa dia?” Aqilah melangkah masuk dengan perut yang sudah berkeroncong hebat.

“Awak kata nak makan kat Kedai Fatimah Cantik” Haikal makin keliru.

“Inilah kedainya. Tak nampak kat luar tu? Bukan main besar lagi typo dia”, bidas Aqilah dengan senyuman ditahan.

Haikal termangu seketika. “KFC ada kena-mengena dengan Kedai Fatimah Cantik ke?”, soal Haikal sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Yela, inilah kedainya. Tak nak masuk sudah. Saya dah lapar ni”, balas Aqilah tidak mempedulikan suaminya lagi.

Ohh, KFC rupanya. Asallah panggil Kedai Fatimah Cantik. Teruk betullah isteri aku ni. Ishk, terkena lagi aku. Haikal tersenyum lebar. Kepalanya digeleng berkali-kali. Sebaik saja melangkah masuk, semerbak aroma menusuk ke dalam hidungnya. Perutnya terus berkeroncong.

“Pergilah duduk. Biar saya belikan. Awak nak makan apa?”, soal Haikal menundukkan sikit kepalanya. Maklumlah, tinggi daripada isteri katakan!

“Saya nak satu set pocketfull dengan ice lemon tea”, ujar Aqilah di telinga Haikal. Terasa bahagia menyelinap di dasar hatinya.

Haikal mengangguk tanda mengerti. Sebaik saja selesai memesan makanan, Aqilah berjalan menuju ke meja kosong. Tubuh Haikal dipandang dari belakang. Entah kenapa bibirnya menguntum senyuman kecil. Dia sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan dia tersenyum. Mungkin kerana lucu mengenangkan raut wajah Haikal yang nampak bingung tatkala dia menyebut ‘Kedai Fatimah Cantik’!

Hehehehe, bila lagi dia mahu mengenakan Haikal. Hatinya pun masih sakit lagi sebenarnya. “Kaki pendek ni jugalah isteri dia. Sedap mulut dia je nak mengata kat aku. Hisyh, menyampah betullah aku. Ishk, tak boleh menyampah ni. Nanti aku sayang pula kat dia. Eii, tak naklah. Tak romantiklah suami aku ni. Uwerkkk….”, bebel Aqilah seorang diri.

“Ehem, membebel seorang diri nampak”

Aqilah tersentak. Terus mulutnya terkunci ketat. Bila masa pula dia datang? Aku selalu tak perasan bila dia ada. Rungut Aqilah mengutuk diri sendiri. Aqilah terus memalingkan wajah ke arah lain. Malas mahu memandang Haikal yang sudah mengambil tempat di depannya. Tanpa membuang masa, Aqilah terus mencapai minuman kegemarannya. Namun, belum sempat dia menyedut, kedengaran Haikal menyebut…

“Bismillah…”

Aqilah malu sendiri. Dia turut menadah tangan. Sikap yang satu itulah membuatkan dirinya sangat mengagumi Haikal. Suaminya itu terlalu baik di matanya. Kadang-kala, dia terasa begitu kerdil dan tidak layak bergandingan dengan Haikal. Teringat dia akan kata-kata Ustazah Halimah yang pernah mengajarnya subjek Pendidikan Islam semasa di tingkatan 5.

‘Lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik’.

Sungguh, dia tidak tahu akan situasi antara dia dan Haikal. Dia terlalu jahil dalam bab agama. Berbanding pula dengan Haikal yang terlalu sempurna di matanya. Sempurna? Tidak semua manusia sempurna. Dia tahu Haikal juga manusia biasa. Dia tahu Haikal ada kelemahan juga. Cuma, dia saja yang tidak tahu. Hanya diri sendiri saja yang tahu akan kelemahan masing-masing.

“Hmmm…” Aqilah mengeluh kecil.

“Kenapa?”, soal Haikal mengangkat sebelah keningnya.

Aqilah tersentak. “Ya? Awak cakap dengan saya ke?” Aqilah mula terpinga-pinga.

“Saya dengar awak asyik mengeluh saja. Kenapa?”

Aqilah tersenyum nipis. Lambat-lambat dia menggeleng kepala. “Tak ada apa-apa. Ayam goreng ni sedap”, dalih Aqilah terus menyuap makanan ke dalam mulut.

Terangkat sebelah kening Haikal. “Are you sure? Macam ada masalah je saya tengok. Mula-mula, cakap seorang diri. Lepas tu, awak termenung pula. Alih-alih, ayam pula yang awak cakap sedap. Ada apa-apa ke Ila?”, soal Haikal cuba mencungkil apa yang tersirat di hati isterinya.

“Hmm, adalah. Tapi, awak tak perlu risau. Saya okey”, balas Aqilah masih asyik dengan makanannya.

Haikal mengeluh pendek. Lama wajah comel Aqilah ditatap. “Saya minta maaf”, ucap Haikal perlahan.

Aqilah yang mendengar terus memanggung kepala. Kedengaran sayu benar nada Haikal di telinganya. “Kenapa pula nak minta maaf?”, soal Aqilah perlahan. Fikirannya masih dibelenggu kata-kata Ustazah Halimah.

“Pasal saya ejek awak. Bukan niat saya nak buat awak terasa. Maafkan saya”, ucap Haikal untuk kesekian kalinya.

“Tak apa. Saya dah maafkan. Dapat KFC pun dah buat hati saya sejuk. Nanti, kalau saya marah, awak kena belikan saya KFC. Tak pun, bunga ros merah”, seloroh
Aqilah lalu ketawa kecil. Senang pula dia dengan Haikal hari ini.

Haikal sudah mengukir senyuman lebar. “Makan elok-elok. Dah bercomot ni”, tegur Haikal lalu mengesat sos di tepi bibir Aqilah. Spontan juga jantungnya berdetak hebat. Seperti ada kejutan elektrik yang mengalir dalam tubuhnya.

Aqilah tertunduk malu. Dia pula yang segan dengan Haikal. Wahai hati, aku betul-betul tak faham apa yang berlaku sekarang ni.

“Maaf”, ucap Haikal pantas menarik tangannya.

Aqilah terus-terusan menunduk kepalanya. Dia hilang arah dan kata. Mulutnya tidak mampu mengeluarkan sebaris kata!

“Awak nak air lagi?”, tanya Haikal cuba meredakan keadaan.

“Hah?” Aqilah tersentak.

“Bukan ke awak suka minum air? Mana cukup kalau saya beli satu je”, ujar Haikal tenang. Hilang terus gementar yang bersarang di hatinya.

“Eh, tak apa. Satu pun dah cukup. Silalah makan. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri ye. Apa yang aku merapu ni?”, tutur Aqilah makin gelabah dengan ayat yang terakhir lebih kepada dirinya.

Haikal yang melihat terasa lucu pula. Dia mahu ketawa. Namun, sempat ditahan. Nanti, datang pula rajuk isterinya. Susah pula nak dipujuk. Comel! Puji hati kecil Haikal.

Aqilah diam saja. Hai hati, kejap marah, kejap benci, kejap sayang, kejap rindu, dan….jangan cakap satu hari nanti aku cintakan dia!

“Maafkan saya kalau saya tak mampu nak jadi seorang suami yang sempurna di mata awak. Maafkan saya Ila”, tutur Haikal perlahan. Sayu saja nadanya.

Aqilah tersentak. Erkk, dia tahu ke apa dalam fikiran aku?

“Semua manusia tak sempurna Ila. Saya berusaha nak jadi sempurna seperti yang awak nak. Boleh bagi saya peluang?” Haikal memandang seraut wajah yang sudah berjaya menawan hatinya.

Mata Aqilah terkebil-kebil. Terasa kenyang pula dia tika ini. Topik yang dibicarakan lebih menarik perhatiannya berbanding makanan yang sedap di depan mata.

“Ila…”, panggil Haikal lembut.

“Hah?” Aqilah gelisah. Seakan tidak berpijak pada bumi yang nyata.

“Bolehkan awak beri peluang untuk saya?” Suara Haikal begitu mengharap sekali. Aqilah terkedu. Perlahan-lahan nafasnya dihembus. Hatinya yang resah semakin tenang. Dengan kekuatan yang ada, Aqilah ingin membalas kata-kata suaminya. Namun, bicaranya terhenti tatkala…

“Hai..”

Pantas juga pandangan Haikal dan Aqilah memandang ke arah seorang yang menyapa mereka tika ini.

Hah?!!

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)