bab 7 & 8

BAB 7

Aqilah hanya diam membisu. Sengaja dia mahu sepikan diri daripada berbual dengan Haikal. Dia tidak boleh lupakan kejadian yang berlaku tempoh hari. Kejadian yang memberi impak begitu mendalam sekali. Sesekali juga matanya mengerling ke arah Haikal. Lelaki itu tenang memandu. Seolah-olah kejadian ‘itu’ tidak pernah langsung berlaku. Aqilah diam.

Haikal yang berada di sebelah, turut juga mengerling ke arah Aqilah. Dia pun tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Dia sebenarnya malu apabila mengingati kejadian ‘itu’. Haikal tersenyum. Macam mana aku boleh terbabas? Huh...Haikal mengeluh dalam hati.

“Saya laparlah. Lama lagi ke nak sampai Kedah?”, soal Aqilah tanpa memandang Haikal. Malulah tu!

“Kita baru sampai Ipoh. Ada lagi tiga jam nak sampai Kedah. Nanti kita berhenti di Perhentian Sungai Perak”, ujar Haikal tetap fokus pada pemanduannya.

Aqilah hanya diam. Perutnya sudah mula berkeroncong. Pagi-pagi lagi perutnya tidak menerima sedikit makanan pun. Itulah, degil sangat. Aqilah memarahi diri sendiri.

“Awak lapar sangat ke?”, soal Haikal sesekali mengerling ke arah isterinya.

Aqilah mengangkat keningnya. Lalu menggeleng kepala berkali-kali. Haikal tersenyum kecil. Dia dengar perut isterinya berbunyi. Hendak ketawa nanti, dia pula yang akan dimarahi.

“Yang awak senyum tu kenapa? Kalau nak gelak, gelak sajalah”, marah Aqilah terus memalingkan wajahnya ke luar tingkap kereta. Biarpun pemandangan di lebuh raya tidak menarik hatinya, namun itu sajalah satu-satunya cara untuk dia tidak memandang wajah Haikal.

“Yela-yela. Jangan merajuk pula. Ambil makanan kat belakang”, tutur Haikal bersahaja.

Aqilah diam. Mulutnya dicebik tanda mengejek. Asyik nak tipu aku je. Getus hatinya. Dia malas mahu mempedulikan kata-kata Haikal. Faham benar dia dengan perangai suaminya itu. Bergurau tak kena tempat dan masa!

“Ambillah cepat” desak Haikal dengan kening hampir bertaut.

Aqilah merengus. Dengan pantas dia memandang ke arah Haikal. “Awak ni kenapa? Jangan nak main-main lagi boleh tak? Penat saya nak layan perangai awak tu. Saja nak naikkan marah saya” Muka Aqilah sudah merah padam.

Haikal mengeluh. “Buat apa saya nak main-main? Saya ada buat sandwich subuh tadi. Ada kat belakang kereta dalam beg kecil tu. Ambillah”, terang Haikal perlahan. Cuba menguatkan sifat sabar dalam dirinya.

Aqilah terdiam. Akhirnya dia akur. Terus dia mengikut arahan Haikal. Aqilah tersenyum apabila melihat sebekas sandwich dengan sebotol air lemon tea. Sebaik sahaja dia membuka penutup bekas tersebut, aroma sandwich seolah-olah berterbangan di segenap ruang kereta. Tanpa berlengah lagi, dia terus menikmati sandwich tanpa menghiraukan Haikal yang sedang kecur liur di sebelahnya.

Aqilah mengerling ke arah Haikal. Dia tersenyum dalam hati. “Awak nak ke?”, soal Aqilah menunjuk-nunjuk sandwich di tangannya ke arah Haikal. Dengan perlahan Aqilah menyuap Haikal.

Thanks”, ucap Haikal perlahan. Pertama kali Aqilah menyuap makanan kepadanya. Hatinya tiba-tiba terharu dengan perbuatan isterinya.

“Nak air tak? Kalau nak, saya tolong tuangkan”

Haikal terus mengangguk. Terasa diri dilayan seperti raja pula.

“Bila lagi kita nak sampai, awak? Dah lama sangat ni. Pinggang saya pun dah sakit-sakit ni”, ujar Aqilah membetulkan duduknya. Rimas pula dia dengan kebaya yang tersarung pada tubuhnya. Kalau bukan permintaan Haikal, sudah lama dia memilih baju kurung pahang sahaja. Beria-ia Haikal menyuruhnya memakai baju kebaya labuh ini.

“Sabarlah sikit. Kejap saja lagi, kita nak sampai. Nak saya tolong urutkan ke malam ni?”, usik nakal Haikal.

Aqilah membuntangkan matanya. “Amboi-amboi, banyak cantik muka awak nak urut saya. Tak payah nak mengada-ngada”, balas Aqilah lalu menjuih bibirnya. Satu cubitan hinggap di peha suaminya. Haikal menahan ketawa.

“Eleh, awak cubit sikit pun tak sakit. Meh sini saya cubit. Sakit ke tak” Haikal cuba mencapai tangan Aqilah dengan menggunakan sebelah tangannya.

Aqilah menepis kuat. Dia meletakkan semula tangan Haikal di stereng kereta.  “Bahayalah. Jadi apa-apa nanti susah. Fokus sikit masa memandu tu”, tutur Aqilah dengan nada tidak puas hati.

Haikal tersengih-sengih. “Sayang juga awak pada saya. Nak kiss sikit”, tutur
Haikal lalu menyuakan pipi kirinya.

Membulat mata Aqilah memandang Haikal. “Awak, tengok depan boleh tak? Selalu nak cari gaduh. Sudahlah, saya nak tidur dulu. Nanti makin menjadi-jadi pula”, cantas Aqilah terus memaling muka ke arah lain.

Haikal tersenyum di dalam hati. Entah kenapa hatinya senang melayan kerenah Aqilah. Terasa seperti melayan kanak-kanak pula. Namun, jauh di sudut hatinya, mereka tidak seperti pasangan lain. Sepatutnya, mereka kini dalam farsa bulan madu. Kasihan Ila….Desis hati kecilnya. Dia tidak mampu untuk bertakhta dalam hati Aqilah. Dia tidak layak. Namun, hatinya makin merasa senang dengan Aqilah.

 Wajah Zurina juga hampir kabur dalam ingatannya. Memang dahulu dia sayangkan Zurina. Kekasih hatinya itu. Kini, semuanya sudah berubah. Zurina yang dulu sudah tiada. Sekarang, hanya Zurina yang penggoda dan angkuh. Haikal mengeluh. Dia meneruskan pemanduannya.

Aqilah yang daripada tadi diam hanya mendengar keluhan yang keluar dari mulut lelaki itu. Perasaan ingin tahu begitu kuat mencengkam dirinya. Ya, dia ingin tahu rahsia hati lelaki yang bergelar suaminya ini. Dia senang ketika bersama Haikal. Tapi, hatinya tidak dapat menerima Haikal. Dia tahu Haikal seorang yang baik. Dia tidak layak untuk Haikal. Cinta di hatinya hanya untuk kekasihnya. Bukan untuk Haikal. Namun, dalam masa yang sama, dia berasa senang dengan layanan Haikal.

Akhirnya, Aqilah memejamkan mata. Dia tidak mahu memikirkan lagi kehidupan pada masa yang akan datang. Biarlah masa yang menentukan perjalanan hidupnya yang kini sudah bergelar isteri kepada Haikal.


*****


LAMBAIAN Negeri Jelapang Padi akhirnya menyambut ketibaan sepasang suami isteri itu. Aqilah terus menurunkan cermin tingkap untuk menikmati kesegaran udara di sepanjang perjalanan ke rumah mentuanya. Dia tersenyum sendirian. Matanya seolah-olah bercahaya melihat sawah padi yang menghijau kekuning-kuningan. Seolah-olah pokok padi itu melambai-lambai ke arahnya. Haikal tersenyum nipis melihat gelagat isterinya. Kepalanya digeleng berkali-kali.

“Cantiklah tempat ni”, ujar Aqilah riang. Dari jauh, dia melihat ada seorang lelaki yang sedang mengayuh basikal tua. Semakin lama, kereta yang dipandu Haikal semakin menghampiri lelaki itu.

Sebaik sahaja berselisih, Aqilah terus mengangkat tangan. “Assalammualaikum pak cik” Aqilah melambai-lambai ke arah pak cik tua itu.

Haikal mengerdip matanya berkali-kali. Tidak percaya dengan apa yang dilihat. Inikah perangai sebenar isterinya? “Awak ni, tak tahu malu langsung. Tutup tingkap tu. Rumah saya dah nak sampai ni”, tutur Haikal lantas ketawa kecil.

Aqilah memukul-mukul paha Haikal. “Awak ni, kalau tak sakitkan hati saya tak boleh ke?”, marah Aqilah. Terasa sebal sungguh hatinya.

“Yela, saya minta maaf. Saja nak sakat awak. Dengan siapa lagi saya nak bergurau. Awakkan isteri saya”, ujar Haikal lembut.

Aqilah diam. Lambat-laun, hatinya cair juga. “Awak maafkan saya ke tak ni?”, soal Haikal. Kenderaan pacuan empat roda itu berhenti di hadapan rumah kampung dua tingkat.

“Tak nak. Pandai buat salah, tanggunglah sendiri”, ejek Aqilah menjelir-jelir lidahnya.

“Eiiii, geramnya saya kat awak ni” Haikal terus mencubit pipi isterinya yang gebu itu. Habis merah pipi Aqilah.

“Sakitlah”, getus Aqilah menepis tangan Haikal. Dia terus keluar dari perut kereta. Sebaik sahaja dia berpaling, seorang wanita lewat 70-an menyambutnya dengan senyuman lebar.

“Mak Haikal?”, soal Aqilah perlahan. Belum sempat dia bersalam, tubuhnya telah dirangkul kemas oleh wanita itu. Dirinya seakan kaku. Namun, lambat-lambat dia membalas pelukan ibu mentuanya.

“Assalammualaikum. Mak sihat?” Lama Haikal memandang wajah tua yang makin dimamah usia.

“Waalaikummussalam”, balas wanita itu lalu meleraikan pelukannya pada Aqilah. Lama dia memandang wajah menantunya. Aqilah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Hajah Rosiah. Wanita itu mula memandang Haikal. Ada segaris senyuman menghiasi bibir tua itu. Lambat-lambat, Haikal menghulurkan tangan. Lantas, tangan tua itu dikucup penuh syahdu.

Terasa mahu menangis dia tika ini. Tangan inilah yang banyak berjasa kepadanya. Tanpa Hajah Rosiah, tidak akan lahirlah dia ke dunia cipataan Yang Maha Agung. Setitis air mata lelakinya jatuh juga. Dia tewas menahan sebak di dada. Aqilah yang memandang terasa sayu sekali. Kelopak matanya sudah digenangi air yang jernih. Namun ditahan juga.

“Haikal tak pernah buat salah kat mak. Kenapa tiba-tiba nak nangis pula? Buat malu je isteri kamu tengok ni”, tutur Hajah Rosiah kemudian ketawa kecil. Bahu Haikal ditepuk mesra.

Aqilah tersenyum lebar. Dia memandang ke arah Haikal. Pandangan mereka saling bertaut. Aqilah menjelirkan lidah. Marahnya pada Haikal muncul kembali. Haikal mengangkat keningnya. Malas dia mahu melayan perangai Aqilah.

“Mak masuk dulu dengan Ila. Haikal nak ambik beg kejap”

Hajah Rosiah mengangguk. Aqilah turut mengikut ibu mentuanya masuk ke dalam rumah.

“Masuklah Ila. Macam ni la rumah kami. Rumah pusaka je”, ujar Hajah Rosiah bersertakan senyuman manis.

Aqilah turut membalas senyuman itu. “Tak apalah mak. Rumah macam ni cantik sangat. Nak-nak lagi berdepan dengan sawah padi. Tenang je hati ni” Aqilah mula beralih ke arah pemandangan sawah yang terbentang luas. Amat menenangkan jiwanya.

“Ila duduklah dulu. Mak nak kena pergi kampung sebelah. Anak Mak Ita nak kahwin”

“Siapa Mak Ita?”, soal Aqilah laju. Namun, matanya masih lagi dibuang ke luar jendela.

Hajah Rosiah tersenyum. “Kakak mak. Nanti kalau lapar makanlah dulu. Makanan ada kat dapur tu”, tutur Hajah Rosiah.

Aqilah mengangguk. “Tak jauh ke rumah Mak Ita tu? Nak Ila hantarkan mak?”

“Tak apa, dekat saja. Nanti kalau nak datang, ajak Haikal” Tergesa-gesa Hajah Rosiah menyarung tudung.

“Mak nak pergi mana tu?”, soal Haikal sebaik saja melihat Hajah Rosiah tergesa-gesa keluar. Tidak sempat untuk dia bertanya.

“Mak nak pergi rumah Mak Ita. Tak jauh ke?” Pandangannya beralih pada Haikal serta sekeliling rumah papan dua tingkat itu.

Haikal tersenyum melihat isterinya. “Tak jauh pun. Saya nak rehat kejap. Awak dah nak makan ke?” Haikal menguap tanda mengantuk.

Aqilah menggeleng-geleng kepalanya. “Kenapa, awak nak makan ke? Kalau nak, saya tolong panaskan lauk” Mata Aqilah tidak jemu-jemu melihat gambar yang tergantung di dinding papan itu.

“Awak tengok apa?”, soal Haikal lalu merapati Aqilah.

“Tu”, balasnya pendek. “Tu siapa?” Jari Aqilah pantas menunjuk ke arah dua
orang perempuan di dalam gambar itu.

Haikal tersenyum. “Sebelah kiri tu Aisyah dan yang sebelah kanan tu Diana. Aisyah dah tingkatan 6 dan Diana baru tingkatan 5”, jelas Haikal dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

Aqilah terdiam. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengar. “Jauhnya jarak umur awak dengan adik-adik awak”

Haikal tertawa kecil. “Nak buat macam mana. Hmm, saya nak tidur dulu. Dah mengantuk sangat ni. Awak kalau nak makan, kejutkan saya tau”, ujar Haikal terus meninggalkan Aqilah yang masih terpinga-pinga.




BAB 8

Aqilah ingin ketawa sekuat hati. Macam hendak pecah perutnya melihat gambar-gambar Haikal sewaktu kecil.

“Sudahlah hitamkan mak. Macam manalah kulit Abang Haikal boleh jadi putih bila dah besar” Aqilah ketawa lagi.

Haikal yang melihat hanya diam. Mukanya terasa tebal sangat ditambah pula dengan warna kemerah-merahan. Sudah seperti wajah perempuan yang elok disolek tebal! Sebenarnya, dia pun malu juga. Kalau diikutkan, dia pun mahu ketawa juga bila melihat gambarnya sewaktu zaman kanak-kanak. Dalam masa yang sama, dia senang dengan panggilan ‘Abang Haikal’ yang keluar dari mulut comel isterinya.

Haikal tersenyum dalam hati. Entah kenapa, hati dan fikirannya teringatkan Zurina. Mindanya masih mengingati saat-saat dia dan Zurina dilamun perasaan cinta. Zurina mempunyai tarikan yang tersendiri. Lemah lembut, bertubuh langsing, tinggi lampai, berkulit putih dan mampu mencair hatinya. Tidak perlu bersolek tebal-tebal pun, Zurina tetap ayu di matanya.

Aqilah pula, dia lebih kepada kategori comel dan perangai seperti keanak-anakkan. Haikal mengeluh di dalam hati. Berat sungguh hatinya untuk bersetuju dengan permintaan Datuk Johar. Tapi, itulah hakikatnya. Dia terpaksa. Jika diberi pilihan, dia pasti akan memilih Zurina dan Aqilah pula sudah semestinya akan memilih kekasih hatinya sendiri. Meskipun dia tidak tahu langsung siapakah lelaki yang berjaya menawan hati isterinya yang comel itu.

“Haikal”

Haikal tersentak. Terus pandangannya tertumpu ke arah Hajah Rosiah. Kelihatan Hajah Rosiah menggeleng-geleng kepalanya.

“Pergilah tidur kalau mengantuk. Mak tengok kamu dari tadi asyik termenung. Dah tu, senyum sorang-sorang pula tu” Senyuman penuh makna mula terukir di bibir
Hajah Rosiah.

Haikal tersenyum hambar. Dia mengerling ke arah Aqilah. Isterinya masih lagi khusyuk melihat gambar-gambar keluarganya. Apa yang seronok sangat dia ni? Muka pun dah merah. Itulah, asyik nak gelakkan aku je. Ngomel Haikal dalam hati.

Kalau Hajah Rosiah tidak turut serta di ruang tamu, sudah tentu pipi gebu isterinya itu akan dicubit sepuas hati. Geram pula dia mendengar gelak tawa isterinya.

“Haikal tak mengantuk lagi mak. Mana Aisyah? Sejak Haikal balik sampai sekarang tak nampak batang hidung” Mata Haikal melilau mencari kelibat Aisyah. Rindu juga dia untuk bertemu dengan Aisyah. Tambahan lagi rindunya pada Diana.

“Dia dah berapa hari asyik duduk rumah Mak Ita. Nak jadi pengapitlah katakan. Si Diana pula tak ada cuti. Dia suruh mak kirim salam je kat Mak Ita”, ujar Hajah Rosiah. Tangannya tidak lekang menolak buah tasbih.

Haikal tersenyum. Faham benar dia akan sifat Hajah Rosiah. Dalam berborak pun, dia masih lagi mengutamakan zikir dalam hati. Tidak ubah seperti arwah ayahnya.

“Diana sekolah mana mak?”, soal Aqilah sambil mata tidak lekang daripada menatap gambar-gambar lama.

“Diana sekolah MRSM Kepala Batas. Tapi dekat Bertam, Peneng”, sampuk Haikal lalu menukar siaran lain. Matanya hanya di skrin televisyen.

Aqilah yang mendengar hanya mengangguk kepalanya. “Pandainya semua anak mak kan?”, puji Aqilah seikhlas hati. Dia menyimpan semula album-album lama ke tempat asal. Sudah puaslah tu dia ketawakan Haikal.

Hajah Rosiah yang mendengar hanya tersenyum lebar. Sempat dia mengucapkan syukur dalam hati. “Ila pun pandai juga. Kalau tak, takkanlah boleh cakap orang putih dengan Haikal masa makan tadi”, tukas Hajah Rosiah.

Aqilah tersenyum kecil. Teringat pula dia masa makan malam tadi. Sebenarnya, Haikal dan dia bergaduh manja saja. Manja ke kami bergaduh? Takut nanti Hajah Rosiah faham pula apa yang hendak disampaikan oleh dia. Haikal waktu itu dilihat sedang menahan tawa yang teramat sangat. Mana tidaknya, bahu Haikal terhinjut-hinjut. Nasib baik Hajah Rosiah tidak faham.

“Tak adalah mak. Ila ni bukan jenis minat belajar sangat. Umur Ila dah 24 tahun. Dah tua pun mak”, seloroh Aqilah.

Haikal yang mendengar terus ketawa besar. Hilang terus fokusnya pada cerita yang disiarkan di kaca televisyen. Kedengaran lucu pula ayat yang dituturkan oleh Aqilah.

Aqilah yang mendengar terus melulu ke arah Haikal lalu dipukul-pukul paha suaminya. Marah benar gayanya. Hajah Rosiah sudah menggeleng-geleng kepalanya.

“Apa? Ingat lawak ke? Eh, dia tu pun tua juga. Nak gelakkan orang pula. Mak,
tengok anak lelaki mak ni. Nyampah betul Ila”, marah Aqilah lantas melepaskan dengusan kasar.

“Ishk, sudah-sudahlah tu. Kamu berdua ni, dah besar panjang pun nak bergaduh juga ke? Haikal memang macam tu Ila. Bukan boleh dilayan sangat. Nanti makin menjadi-jadi pula dia”

Aqilah yang sudah duduk di sebelah Haikal hanya mencekak pinggang apabila tawa Haikal masih lagi belum reda. Geram benar dia melihat lelaki ini. Haikal sudah memegang perutnya. Rasa macam nak terkeluar isi perut pun ada. Hah, siapa suruh gelakkan suami sendiri tadi. Kan Allah dah bayar cash. Kata Haikal dalam hati. Dia menyapu air mata. Itulah orang tua-tua kata, ketawa sampai tak ingat dunia!

“Haikal, sudah-sudahlah tu. Kesian mak tengok Ila ni. Muka dah macam orang nak menangis dah tu”, tegur Hajah Rosiah lembut.

“Entah, cubalah faham hati isteri sikit. Muka Ila tua sangat ke mak?”, soal
Aqilah cuak. Dia menarik-narik kulit mukanya dengan dahi berkerut-kerut.

Hajah Rosiah sudah ketawa kecil. “Ishk, Ila ni. Ke situ pula dia. Taklah, bila
sekali, dua kali pandang macam umur 19 tahun”

Haikal makin ketawa. “19 tahun? Lawak-lawak” Haikal sudah tidak mampu menahan tawanya lagi. Makin menjadi-jadi dia ketawakan Aqilah.

“Haikal, sikit-sikit sudahlah. Ila, jangan layan sangat Haikal ni”

Aqilah terus berdiri. Menyampah pula dia lihat Haikal ketawa. Habis muka aku yang cun ni kena air liur dia. Gumam Aqilah dalam hati. Haikal yang melihat Aqilah sudah berdiri, tawanya terus mati. Marah ke isterinya? Hah, tahu cuak!

“Ila nak tidur ke?”, soal Haikal apabila isterinya itu sudah menutup mulut apabila menguap.

Pertanyaan Haikal dibalas dengan anggukan. Dia pun malas mahu melayan perangai gila Haikal. Matanya yang bulat tadi sudah pun layu. Dia mahu tidur. Perutnya pun sudah kenyang yang teramat sangat. Pertama kali dia mencuba makan gulai batang pisang. Tidak pernah dia menikmati makanan yang sesedap itu. Nanti nak suruh Haikal masaklah kat aku. Hehehe.

“Mak, Ila masuk tidur dulu ya”, pinta Aqilah. Dengan sopan dia terus meninggalkan dua beranak itu. Yang dia tahu, badannya perlukan rehat yang secukupnya.

Setiap langkah Aqilah dipandang sepi oleh Haikal. Dia tidak tahu kenapa takdir hidupnya begini. Emolah pula selepas selesai ketawa tadi. Haikal, Haikal, apalah nak jadi!

“Eeehhemm….”

Haikal tersentak. Pandangannya terus dilemparkan pada Hajah Rosiah.

“Dia isteri yang baik Haikal. Didik dia sebaik yang mungkin. Mak yakin kamu boleh”, tutur Hajah Rosiah sebaik saja kelibat Aqilah hilang di pandangannya.

Haikal mengeluh. “Entahlah mak. Haikal keliru sangat”, tutur Haikal bersama-sama keluhan. Hatinya resah. Dia tersepit antara hatinya pada Zurina dan juga permintaan Datuk Johar pada masa itu. Haikal merenung wajah yang makin dimamah usia itu. Sebaris senyuman terukir di bibir Hajah Rosiah.

“Mak faham. Tapi, itulah doa sepanjang mak di sana. Kalau itu yang DIA berikan untuk kamu, terima seadanya. Mak bukan tak berkenan dengan si Zurina tu.
Tapi, hati mak rasa sangsi. Mak rasa senang tengok Aqilah. Biarpun, Zurina bertudung litup, tapi naluri mak lebih menyukai Aqilah. Maaflah, kalau mak cakap macam tu. Tapi, kalau Haikal berkahwin dengan Zurina pun, mak tetap restu. Mana ada seorang ibu tak nak tengok kebahagiaan anak mereka. Renung-renugkanlah Haikal” Panjang lebar Hajah Rosiah memberi nasihat.

 Haikal terdiam. Dia tidak tahu bagaimana untuk luahkan apa yang terbuku di hatinya. Kalaulah semua orang faham akan hatinya, tidak perlu dia dan Aqilah hidup begini. Pasti sekarang isterinya adalah Zurina. Namun, semua ini hanya mimpi. Dia tidak mampu melawan takdir Allah.

“Sabarlah Haikal. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Jadi, Haikal terimalah
dengan redha”, pujuk Hajah Rosiah penuh kelembutan. Dilemparkan pula pandangan ke arah kaca televisyen. Tiada yang menarik untuk ditonton.

“Entahlah mak. Haikal tahu tanggungjawab Haikal sekarang makin besar. Haikal takut….Takut tak dapat jadi suami yang terbaik buat Aqilah. Mak tengoklah dia, Haikal nak tegur suruh pakai tudung pun tak berani. Kami ni macam ibarat suami isteri hanya atas kertas saja. Bukan suami isteri yang sebenar-benarnya. Haikal takut….” Haikal tidak mampu lagi untuk meneruskan kata-katanya. Sungguh, dia amat takut untuk lalui hari-hari yang bakal mendatang! Dia takut sekiranya dia tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Anak rambutnya yang berjuntai di dahi ditolak lembut ke belakang.

Hajah Rosiah tersenyum. Perlahan-lahan dia mengusap rambut anaknya. “Dengar cakap mak. Keluarga Ila buat macam tu sebab mereka nak Ila jadi anak yang berguna. Ibu bapa mana nak tengok anak mereka jadi manusia yang tersesat dari landasan Allah. Mungkin, Haikal yang terpilih untuk Ila. Haikal boleh didik dia jadi isteri yang baik. Lambat laun, pintu hati dia akan terbuka juga. Dengar cakap mak, jaga Ila. Dia adalah amanah pada Haikal” Tidak jemu-jemu si ibu memberi nasihat kepada si anak.

“Mak restukan perkahwinan kami?”, soal Haikal merenung ke dalam anak mata Hajah Rosiah.

Hajah Rosiah mengangguk berkali-kali. “Mak restu. Cinta boleh dipupuk Haikal. Tak semestinya bila kita bercinta dengan orang tu, kita akan berkahwin dengan dia juga. Contohnya macam mak. Kawan dengan orang lain, bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain dan berkahwin pun dengan orang lain”

Haikal yang mendengar sudah terlopong mulutnya. “Amboi mak, ramai sungguh peminat mak”

Hajah Rosiah ketawa kecil. “Biasalah tu. Zaman muda-muda. Mak dulu pun bercinta dengan orang lain. Tapi, kahwin pula dengan arwah ayah kamu. Itu yang pelik juga. Tapi, cinta tu boleh dipupuk. Jangan cakap benci kat seseorang. Nanti, orang yang kita benci tulah yang kita sayang dan rindu” Dia tidak mahu Haikal memikirkan sangat tentang Zurina. Baginya pula, Allah telah tetapkan jodoh masing-masing. Siapalah kita sekadar hanya merancang saja!

“Insyaallah, Haikal akan cuba buat yang terbaik”, janjinya lalu mengangkat tangan.

Hajah Rosiah tersenyum lebar. “Sudahlah, dah lewat ni. pergi masuk tidur”

Haikal mengangguk lemah. Sempat lagi dia mengucup kedua-dua belah pipi Hajah Rosiah. Sudah lama dia tidak melakukan begitu. Sejak dia tinggal berjauhan daripada Hajah Rosiah!

Dengan lemahnya, dia terus berlalu meninggalkan Hajah Rosiah di ruang tamu. Kakinya berat sangat untuk melangkah masuk ke dalam bilik tidur. Lambat-lambat dia menguak daun pintu. Alangkah terkejutnya dia melihat Aqilah tidur di atas lantai yang beralaskan tikar sahaja. Mulutnya terkumat-kamit beristighfar. Tubuh Aqilah dirapati lalu diangkat tubuh isterinya itu. Nasib baiklah aku dapat isteri yang ringan.

Haikal tersenyum. Ditatap raut wajah isterinya yang sedang tidur. Comel! Desis hatinya. Marah lagikah Aqilah dengannya. Bukan sengaja dia mahu ketawakan Aqilah. Tapi, memang betul apa yang dikatakan oleh Hajah Rosiah. Wajah Aqilah tidak menampakkan usia yang tua. Pasti bila orang yang mendengar umur Aqilah tidak akan percaya. Semua akan menyangka umur Aqilah adalah 19 tahun ataupun budak sekolah tingkatan 5.

Diusap wajah mulus itu berkali-kali. Hatinya berdebar-debar tatkala menyentuh raut wajah itu. Tiada sebutir jerawat pun yang menghiasi muka Aqilah. Bulu mata Aqilah yang hitam itu dipandang penuh minat. Ditambah pula bulu mata itu lentik. Cantik! Puji Haikal dalam hati. Kalau diikutkan kata nafsunya, sudah lama wajah itu digomol rakus. Namun, akalnya masih lagi waras. Biarlah masa yang menentukan segalanya.  Haikal menguap kecil. Dia perlu tidur. Berharap agar tidurnya lena tanpa ditemani mimpi-mimpi yang boleh mengganggu tidurnya.


*****


LANTAI dansa itu makin dipenuhi dengan manusia yang tidak bermoral. Baik muda meskipun tua, terkinja-kinja menari. Hidup mereka penuh dengan kesesatan. Selagi belum puas, selagi itulah mereka lalai dan makin jauh dari-NYA. Paling memalukan apabila golongan yang sudah berumur. Itupun, masih tidak mahu bertaubat lagi. Hmm…Bak kata orang, rumah kata pergi, kubur kata mari!

“You tak nak balik ke?”, soal seorang pemuda tanpa segan silu memeluk perempuan yang bukan muhrimnya. Sesekali wajah perempuan itu dikucup mesra. Dia melilitkan tangannya pada pinggang perempuan itu.

“Tak nak. I nak enjoy puas-puas malam ni. You temankan I malam ni boleh? I bosanlah sorang-sorang”, ujar perempuan itu sudah separuh mabuk.

“Sudahlah Zu, dah lewat ni. Jom I temankan you balik rumah. You dah mabuk teruk sangat ni” Berusaha lelaki itu mengajak Zurina pulang.

“I tak nak. I nak Haikal”, balasnya lalu menghamburkan tawa. Sudah tidak betul Zurina kala ini. Terbayang di ruang mata saat-saat indah dia dan Haikal.

“I boleh tolong you dapatkan Haikal”, bisik lelaki itu agak kuat di telinga Zurina. Cuma berlawan dengan muzik yang rancak bergema di kelab itu.

Bersinar-sinar mata Zurina apabila lelaki itu sanggup menolongnya. Dia tersenyum penuh gembira. Sempat lagi dia membalas pelukan lelaki itu.

“Tapi ada syarat”, ujar lelaki itu lalu tersenyum penuh makna. Berbagai rencana yang menari di fikirannya.

“Apa yang you nak I buat? I tak kisah. Asalkan I dapat Haikal”, balas Zurina sudah termakan jerat lelaki itu. Hanya senyuman penuh makna terukir di bibir lelaki itu. Dia terus menarik Zurina keluar dari tempat yang penuh sesak dan bising. Zurina hanya mengikut sahaja. Satu saja yang dia harapkan. Berharap agar Haikal akan menjadi miliknya!


*****


SILAUAN cahaya daripada lampu tidur membuatkan Zurina terjaga dari tidurnya. Kepalanya berdenyut-denyut. Seolah-olah ada sesuatu yang mengetuk kepalanya kini. Badannya pula terasa lenguh dan sengal-sengal. Dia membuang pandangan di sebelah kiri. Kelihatan seorang lelaki yang sedang tidur dengan lenanya. Lantas dia melihat tubuhnya yang dibaluti selimut tebal. Kepalanya mula berpusing dan pandangannya sudah berpinar-pinar. Dia seakan-akan mahu pitam. Mukanya pucat seperti mayat hidup!

Air matanya menitis jatuh ke pipi. Dia tidak tahu kenapa semua ini berlaku pada dirinya. Dia terasa mahu meraung sekuat hati. Mahkota yang sepatutnya dijaga telah pun musnah. Semua ini berpunca daripada Haikal. Jika Haikal tidak mengecewakan dia, sudah pasti dirinya tidak jadi seperti ini. Zurina mula menyalahkan Haikal. Dendamnya terhadap Haikal makin menebal. Dia sanggup buat apa saja untuk dapatkan Haikal. Kau tunggu Haikal….Aku akan rampas cinta kau!


*****


“AWAK”, kejut Haikal menggoncangkan bahu isterinya. Nasib baik juga beralas. Kalau tidak, batal air sembahyangnya.

“Awak bangunlah. Dah subuh ni. Kita nak solat berjemaah ni. Bangunlah”, kejut Haikal lagi.

Aqilah tetap keras di katil. Kejutan Haikal tidak sedikit pun membuatkan Aqilah terjaga. Hati Haikal makin terbakar melihat Aqilah yang masih lena dibuai mimpi. Jangan kata tidur mati pula dia ni? Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Alasan apakah yang akan dia berikan nanti kepada Hajah Rosiah? Takkan nak cakap Aqilah uzur pula? Haikal bingung. Jari telunjuk diletakkan pada hidung isterinya. Bernafas lagi rupanya.

“Ila, bangunlah. Janganlah pura-pura tidur. Bangunlah cepat” Hampir 3 minit berlalu. Aqilah tetap juga begitu. Haikal mengerling jam di dinding bilik. Sudah pukul 6.05 pagi. Akhirnya, Haikal mendapat satu idea. Terus dia mengepit hidung Aqilah dengan jarinya. Agak lama juga barulah Aqilah bangun dengan lagak orang lemas di tengah lautan!

Aqilah menepis-nepis jari milik Haikal yang mengepit hidungnya. Tercungap-cungap dia menarik nafas. “Minta nyawa, minta nyawa”, tutur Aqilah sudah termengah-mengah.

Haikal terkebil-kebil melihat gelagat isterinya di kala subuh ini. Batal air sembahyangnya. Hendak ketawa pun ada juga. Aqilah terus membuang pandangannya ke arah Haikal. Tajam sekali renungannya.

“Awak nak bagi saya mati cepat ke? Dah tak sempat-sempat nak tunggu Allah cabut nyawa saya ke?”, marah Aqilah dengan suara yang sinis. Tidak dihiraukan lagi suaranya yang serak itu.

“Astaghfirullahalazim. Apalah awak ni. Kalau saya tak buat macam tu, awak asyik terbongkang saja. Cepatlah pergi mandi. Dah lewat sangat ni”

“Yela-yela. Nanti saya mandilah. Awak keluarlah dulu”,balas Aqilah acuh tak
acuh. Sebaik saja Haikal keluar, dia mula menggelabah. Macam mana ni? aku dahlah tak tahu sembahyang. Bukan tak tahu langsung. Tapi, kain telekung pun aku tak bawa. Macam mana ni? Macam mana nak ambil air sembahyang ni? Aduh, pening aku kalau macam ni. Berbagai-bagai soalan yang bermain di fikirannya. Sewaktu Aqilah dalam kerunsingan, pintu bilik terbuka dari luar. Kelihatan Haikal menjengukkan kepalanya.

“Kenapa dengan awak ni? Macam kucing nak beranak je”

Aqilah menarik Haikal masuk ke dalam bilik semula. Dengan penuh perasaan malu, Aqilah terpaksa juga menyatakan hal yang sebenar kepada suaminya. Haikal tersenyum. Tidak pula dia terkejut mendengar pengakuan isterinya. Aqilah menampar bahu suaminya. Terasa senyuman Haikal seolah-olah mengejeknya pula!

“Awak ni, tak payahlah sindir saya dengan tersenyum macam tu. Ingat muka awak ni kacak sangat ke senyum macam tu? Kacaklah juga, sikit-sikit”, ujarnya dengan perlahan sewaktu menuturkan ayat yang terakhir.

“Saya tak sindir pun. Dahlah, saya ada bawakan telekung. Ada kat dalam beg. Takkan awak tak perasan masa ambil baju?”

Aqilah diam. Berkerut-kerut dahinya memikirkan kata-kata Haikal.

 “Sudahlah, tak payah nak buat muka blurr. Sekarang, awak pergi mandi, kalau dah sudah nanti, awak panggil saya. Saya tolong ajarkan macam mana nak ambil air sembahyang. Faham Puan Aqilah?” Wajah Isterinya dipandang lama.

Aqilah tersenyum lebar. Sempat lagi dia mengucapkan terima kasih. Pipi suaminya dikucup sebagai tanda terima kasih. Haikal terpempan. Nasib baik dia belum mengambil air sembahyang buat kali kedua. Kalau tidak, kali ketiga pula jawabnya!

Haikal menunggu Aqilah di luar bilik air. Tubuhnya disandarkan pada dinding. Lama betul minah ni mandi. Dia mandi ke buat air? Dagunya digaru perlahan.
  
“Bang, lama lagi ke Kak Ila mandi?”, soal Aisyah menyebabkan Haikal tersentak.

“Kejap je lagi. Mak tengah buat apa?”

“Mak tengah mengaji sementara tunggu abang dengan Kak Ila. Tak apalah, Aisyah naik dulu ya”

Haikal hanya mengangguk. Sebaik sahaja kelibat Aisyah hilang, pintu bilik air dibuka juga. Aqilah menjengulkan kepalanya sedikit.

“Awak, dah siap”, bisik Aqilah.

Haikal terkejut. Nasib baik dia tiada lemah jantung. Kalau tidak, dah lama kena tanam! “Ishk, awak ni. Terkejut tahu tak”, balas Haikal dalam keadaan berbisik juga.

“Cepatlah ajarkan saya”, getus Aqilah sudah berkerut dahinya.

“Yela-yela”, balas Haikal terus masuk ke dalam bilik air. Jantungnya bergetar hebat. Mana tidaknya, Aqilah hanya mengenakan tuala saja. Iskh, putih juga isteri aku ni. Tapi dia memang putih pun. Desis hati Haikal.

“Ehemmm”, cantas Aqilah berasa tidak selesa dalam kedaan begini.

“Apa yang ehem-ehem? Cepatlah. Nanti terlepas subuh pula”, tukas Haikal bersahaja. Namun, dalam hati hanya Allah saja yang tahu. Haikal beristighfar dalam hati. Sekarang, tuntutan rukun islam kedua harus diutamakan dahulu. Tak lari gunung dikejar. Haikal terus mengajar Aqilah cara-cara mengambil wudhu’ tanpa berlengah-lengah masa lagi.

“Awak pergi pakai telekung dulu dan tunggu saya kat bilik atas”, arah Haikal terkejar-kejar mengambil air sembahyang.

Aqilah terkoncoh-koncoh mengenakan telekung dan sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik solat, Hajah Rosiah sudah tersenyum memandangnya. Aqilah cuba membalas. Namun, senyumannya hambar. Dia malu sebenarnya untuk berdepan dengan keluarga Haikal. Tidak sampai 3 minit, mereka menunggu, Haikal melangkah masuk. Dengan songkok di kepalanya menambahkan lagi kekacakan lelaki itu. Suami siapa lagi kalau bukan suami Aqilah. Haikal yang akan mengimamkan solat subuh.

Jiwa Aqilah tenang meskipun dia tidak menghafal ayat-ayat suci Al-quran. Hatinya tetap sayu mendengar Haikal membaca surah Al-Fatihah. Suaranya yang lunak dan bacaannya pula berlagu. Aqilah terasa benar-benar kerdil. Sungguh, dia malu sangat. Harap-harap, dia akan insaf satu hari nanti!

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)