bab 33 & 34

BAB 33

Langkahnya dibuka seluas yang mungkin. Dia mahu mengejar seseorang yang makin jauh dari dirinya. Dengan sekuat hati, dia terus berlari dan berlari. Namun, sebaik saja dia makin menghampiri gerangan itu, tubuhnya terjelopok ke tanah. Kakinya seakan-akan kaku tidak mmpu berdiri. Dia mula memanggil-manggil nama si gerangan yang semakin menjauhi daripadanya.

“Tolong jangan tinggalkan saya!”, jerit Haikal lantang. Dia tidak tahu di mana tempat yang dia berada sekarang. Yang dia tahu, keadaan di sekelilingnya sangat gelap dan sunyi.

“Awak....”, panggil satu suara yang sangat lembut.

Haikal berpaling. Dia memandang pada gerangan yang menyapanya.

“Saya cintakan awak. Sangat-sangat cintakan awak”, ucapnya lalu menghulur tangan pada Haikal.

Liur Haikal ditelan berkali-kali. Baru saja dia mahu menyambut tangan itu, sebelah tangannya sudah ditarik oleh seseorang.

“Jangan tinggalkan Zu...”, pinta Zurina yang hilang seketika tadi.

Haikal membuang pandangan pada Aqilah. Hanya senyuman yang terhias di bibir Aqilah.

“Haikal....”, panggil Zurina lembut.

Aqilah tidak jadi mencapai tangan Haikal. Dia hanya berdiri sambil memandang saja Haikal yang makin jauh meninggalkannya.

“Ila....”, panggil Haikal dari jauh. Dia mahu pergi mendapatkan Aqilah. Namun, langkah kakinya lebih ringan mengikut langkah Zurina. Dia hanya dapat melihat bayangan Aqilah makin kelam dan samar...

“Abang, abang, bangun...” Aqilah menampar-nampar lembut pipi Haikal. Wajah Haikal seolah-olah tiada ketenangan dalam tidur. Dia pula jadi tidak senang hati apabila Haikal mendesah dalam lena. Barangkali Haikal bermimpi. Fikir Aqilah dalam diam.

“Abang”, kejut Aqilah terus-terusan menggoncang tubuh Haikal.

“Hah...” Haikal tersedar lantas beristighfar berkali-kali. Nafasnya tercungap-cungap. Mukanya diraup berkali-kali.

“Kenapa ni? Sampai berpeluh-peluh macam ni”, ujar Aqilah lantas mengesat peluh di dahi suaminya.

“Tak ada apa-apa”, balas Haikal kembali tenang.

“Itulah, tidur lagi petang-petang. Dah mimpi yang bukan-bukan”, tegur Aqilah dengan senyuman.

Haikal turut membalas senyuman Aqilah. Dia bangun lalu menyandar tubuh di kepala katil.

“Ila keluar dulu ya. Pergilah mandi. Dah nak maghrib ni”

Haikal  menahan langkah Aqilah. Lengan Aqilah dipegang dengan erat. “Jangan tinggalkan abang”, pinta Haikal sayu.

Muka Aqilah penuh tanda tanya. Dalam teragak-agak, dia kembali duduk di sisi Haikal.

“Jangan tinggalkan abang...”, pinta Haikal penuh mengharap. Laju saja dia  menarik Aqilah ke dalam pelukan.

“Ila takkan tinggalkan abang. Ila ada kat sini”, bisik Aqilah lembut di telinga Haikal. Seperti budak kecil pula Haikal tika ini.

“Janji dengan abang, walau apa-apa pun yang terjadi, jangan tinggalkan abang. Boleh?” Haikal inginkan kepastian.

“Sayang, dengar sini”, panggil Aqilah lembut. Pelukannya dileraikan lalu kedua-dua pipi Haikal dipegang penuh kasih sayang.

Matanya memandang tepat pada mata Haikal. “Ila takkan sesekali tinggalkan  abang. Kecuali nyawa ini dicabut oleh malaikat maut. Ila bahagia hidup dengan abang. Sangat-sangat bahagia”, ucap Aqilah dengan kesungguhan jelas di wajahnya.

“Abang sayangkan sayang. Jangan cakap macam tu lagi. Abang tak boleh hidup tanpa sayang”, ucap Haikal bersungguh-sungguh. Buat kesekian kali tubuh isterinya didakap erat. Pipi Aqilah dikucup penuh rasa sayang.

Ruang mata Aqilah terasa semakin panas. Dia tahu, bila-bila masa saja dia akan menangis. “Ila pun sayangkan abang”

“Sayang jangan nangis. Abang tak boleh tengok sayang nangis. Abang minta maaf andai selalu buat sayang nangis. Abang tak ada niat nak sakitkan hati sayang. Cuma, abang nak sayang tahu, selagi abang ni suami sayang, abang akan jaga sayang”, janji Haikal terlakar juga.

Aqilah tersenyum dalam tangisan. Ya, dia akan ingat janji itu!


*****

ZURINA termenung panjang. Jam dipergelangan tangan dikerling seimbas lalu. Orang yang dinanti-nantikan masih belum muncul. Dia menyedut minuman dengan perlahan-lahan. Jus epal hijau, sememangnya kegemarannya. Dan, hanya Haikal seorang saja yang tahu tentang minuman kegemarannya. Idham tidak perlu tahu mengenai kegemarannya. Dia tidak rasa Idham layak untuk tahu semua hal mengenai dirinya.

“Maaf Cik Zu, saya lewat sikit”

“Tak apa Sufi. Duduklah”

Sufi menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Baru saja dia bernafas dengan tenang, telefon bimbitnya berbunyi.

“Hah, kenapa? Kan I dah kata, nanti ambil I pukul enam. Kalau you tak datang, kita pisah”, gertak Sufi pada pemanggil itu.

Terkebil-kebil mata Zurina mendengar. Setahunya, Sufi adalah seorang gadis yang lemah lembut dalam pertuturan. Tapi, hal yang berlaku di depan mata sangat mengejutkan dirinya.

“Siapa?”, tanya Zurina ingin tahu.

“Oh...Bf saya”

“Hisyam?”, teka Zurina.

Sufi mengangguk.

“Bukan ke dia dah kahwin?” Zurina mula mencungkil sesuatu daripada Sufi.

“Yup. Dia dah berkahwin dan dah bercerai”

“Oh, macam tu. Tapikan, pelik jugalah. Kenapa awak garang semacam je dengan dia?”

Sufi sudah tersenyum penuh makna. “Itulah yang buat dia takkan tinggalkan saya”

“Maksud awak?” Hati Zurina makin ingin tahu

“Cik Zu, dengan orang laki ni, kita tak boleh berlembut. Kita kena ‘ikat’ kaum lelaki ni” Penuh makna Sufi berkata-kata.

“Ikat macam mana tu Sufi?”

Sufi mendekatkan wajahnya lalu berbisik, “Guna cara halus”

Mata Zurina membulat besar. “Biar betul?”

“Syhh, Cik Zu jangan cakap kuat-kuat”, tegur Sufi lantas memandang sekeliling.

Zurina terdiam. Dia berdehem berkali-kali. “Hmm...Okey. Tak sengaja”, tukas Zurina bersahaja.

“Kenapa Cik Zu tanya?”

“Tak ada apa-apa”

“Cik Zu nak jumpa saya ni ada hal penting ke?”, tanya Sufi tenang.

“Tak nak order dulu ke?”

“Tak apa. Saya tak dahaga”, balas Sufi beserta senyuman.

“Saja ajak awak jumpa. Saya bosan kat rumah. Lagipun, hari ni kan hari minggu. Awak ada janji dengan Hisyam ke?”

“Eh, tak ada. Kalau macam tu, saya boleh je temankan Cik Zu”

Thanks Sufi”, ucap Zurina terharu.

“Tak apa. Tak ada apa yang perlu berterima kasih. Encik Idham tak ajak Cik Zu keluar ke?”

Bibir Zurina mengukir senyuman hambar. “Id ada hal”

“Oh. Cik Zu nampak tak ceria sejak Encik Haikal kahwin” Sufi menundukkan wajahnya. Hisyhh, mulut aku ni, celupar betul. Marah hati kecilnya.

“Eh, tak apa. Awak jangan takut pula. Saya tak marah pun”

“Maaf Cik Zu...”

“Tak apa. Hal kecil je. Dah jodoh dia dengan orang lain. Nak buat macam mana lagi. Terima sajalah”

“Cik Zu tak nak cuba macam cara saya ke?” Sufi mula menghasut Zurina dengan perbuatan jahatnya.

Dahi Zurina mula menampakkan garisan. “Maksud awak?”

“Maksud saya, guna cara halus”

“Ishk, saya tak beranilah nak buat macam tu. Tak sanggup saya”, cantas Zurina tidak selesa dengan topik mereka bicarakan sekarang.

Sufi mengeluh kecil. “Cik Zu, apa salahnya kalau kita berusaha sikit. Macam saya, Hisyam tu cinta pertama saya. Jadi, bila dia kahwin atas pilihan keluarga, saya jadi sakit hati. Disebabkan saya cintakan dia, saya sanggup buat apa saja...”

“Sampaikan dia tunduk pada kata-kata awak?”, potong Zurina laju.

Sufi mengangguk mengiyakan. “Betul tu. Saya cuma nak dia. Saya tak nak tengok dia dengan perempuan lain”

“Saya faham. Tapi, awak tak fikir ke dia ikut kata awak sebab dia dah ‘terkena’. Macam mana kalau satu hari nanti dia tahu juga pasal benda mengarut tu?”

Seperti biasa, Sufi tetap tenang dengan senyuman. “Benda macam ni, kita kena ambil risiko sikit. Saya takkan lepaskan dia pada mana-mana perempuan. Lagipun, isteri dia dah lama tak hubungi dia. Saya rasa betul-betul menang dan bahagia sekarang” Mata Sufi seakan-akan bercahaya. Dia berasa sangat puas hati.

Zurina berfikir sejenak. Dia memang cintakan Haikal. Tetapi, dia tidak mahu menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan kembali cinta Haikal.

“Fikir-fikirkanlah Cik Zu. Sampai bila Cik Zu nak harapkan cinta daripada dia? Sedangkan, dia dah ada isteri. Saya simpati tengok Cik Zu asyik bersedih je”, sambung Sufi sayu. Rasa kasihannya pada Zurina makin dalam.

“Terima kasih Sufi. Tapi, saya tak mahu guna cara macam tu. Saya nak dia beri cinta tu dengan rela hati”

“Tapi, sampai bila Cik Zu nak tunggu? Hati Cik Zu juga yang sakit” Sufi tidak puas hati dengan jawapan daripada majikannya.

“Entah. Nanti saya fikirkan cadangan awak tu”, putus Zurina mahu menutup topik tersebut.

“Terpulanglah pada Cik Zu. Tapi, kalau Cik Zu bersetuju, beritahu saja saya. Nanti, saya akan aturkan untuk Cik Zu”

“Terima kasih lagi sekali. Jadi, bila awak nak kahwin dengan dia?”

“Saya tak fikir lagi pasal tu. Kalau boleh, secepat yang mungkin. Kami pun dah berbincang pasal hal ni”

“Awak tak rasa bersalah ke?”, soal Zurina tenang.

“Maksud Cik Zu?”

“Bersalah pada isteri dan anak-anak Hisyam”, balas Zurina dengan kening terangkat sebelah.

“Buat apa saya nak rasa bersalah pula. Dia orang yang rampas Hisyam daripada saya. Jadi, saya Cuma ambil balik hak saya....”

“Dengan cara macam tu?”, cantas Zurina dengan mata semakin mengecil.

Sufi tersenyum sinis. “Yup, dengan cara kotor. Janji saya bahagia sekarang”, jawab Sufi penuh angkuh.

Zurina menggeleng kepala berkali-kali. “Tahniah sebab dapat apa yang awak nak selama ni”, ucap Zurina lalu mengangkat gelas di hadapan Sufi. Otaknya merangka cara untuk mendapatkan kembali cinta Haikal.



BAB 34

Haikal melepaskan penatnya di sofa. Batang lehernya diurut berkali-kali. Ternyata perjalanan yang memakan masa selama enam jam membuatkan dirinya keletihan yang teramat sangat. Itulah ada isteri tak mahu minta tolong. Kan dah penat! Haikal tersenyum kecil.

“Nah air” Huluran segelas air daripada Aqilah disambut juga oleh Haikal.

“Terima kasih”, ucap Haikal lalu menikmati air kosong. Terasa dirinya kembali segar.

“Penat? Itulah, Ila nak tolong drive tak bagi. Padan muka”, ejek Aqilah lalu melabuh punggung di sebelah Haikal.

“Tak apalah. Abang ni kan lelaki. Mesti kena kuat”, seloroh Haikal seraya mengangkat kedua-dua tangannya. Lagak seperti angkat berat saja.

Aqilah ketawa besar. Pantas dia menekup mulutnya. “Lawaklah abang ni. Ada pula macam tu”

“Betullah. Mana ada abang bergurau”

“Yela tu. Lenguh lagi ke leher tu? Nak Ila urutkan tak?”

“Boleh juga. Tapi, abang nak mandi dulu. Nak segarkan diri”, tukas Haikal bingkas bangun dari sofa.

“Okey. Pergilah mandi dulu”, balas Aqilah mengangkat gelas yang kosong itu ke dapur. Selesai saja mencuci, Aqilah mula mendaki anak tangga untuk ke kamar tidur.

Sebaik saja pintu kamar bilik dibuka, matanya terus tertancap pada sekujur tubuh di katil. Kepalanya digeleng berkali-kali. “Abang, kata tadi nak mandi. Kenapa tak mandi-mandi lagi?”, sergah Aqilah dengan tangannya sudah mencekak di pinggang.

Haikal tersenyum dengan mata yang terpejam lagi. “Meh sini. Abang nak rehat kejap”, jawab Haikal lalu tangannya menepuk-nepuk ruang kosong di sebelahnya.

Aqilah akur. Dia berbaring bersebelah Haikal. Masing-masing hanya diam membisu.

“Kalau abang tak nak mandi, Ila nak mandi dulu” Aqilah bersuara setelah lama berdiam.
“Hmm?”

“Abang ni, orang cakap dengan dia, boleh pula buat macam tunggul”, marah Aqilah. Marah-marah sayang katakan.

Bibir Haikal menguntum senyuman nipis. Namun, kepenatan masih jelas nampak di wajahnya.

“Abang rehatlah eak. Ila pergi mandi kejap”, ujar Aqilah bingkas bangun. Namun, tubuhnya kembali rebah apabila Haikal menariknya. Aqilah tersentak.

“Temankan abang kejap”, pinta Haikal. Matanya masih lagi terpejam.

Aqilah diam. Dada Haikal dijadikan alas untuk kepalanya. “Busuk masamlah kat abang ni”

“Yeke busuk? Mana ada busuk. Sayang tak korek hidung kot. Tu yang berbau” Haikal sudah ketawa besar.

Terus terduduk Aqilah. Tak senonoh betul suami aku ni!

“Abang gurau je sayang oiii”

“Agak-agaklah kalau nak bergurau pun. Ada ke kata kita tak korek hidung. Dia tu hidung tersumbat. Tu yang tak bau diri sendiri busuk”, balas Aqilah tidak mahu kalah. Memang itu pun perangainya. Tidak mahu mengaku kalah!

Tawa Haikal makin besar. “Sayang tolong korekkan. Boleh?”, pinta Haikal makin menjadi-jadi tawanya.

Aqilah makin bengang. “Eiii...Pengotor. Sudahlah, Ila nak pergi mandi dulu”, tukas Aqilah terus melompat turun dari katil. Sempat lagi perut Haikal dicubit berkali-kali.

Haikal memegang perutnya yang sakit itu. “Tak apa sayang. Ada ubi ada batas, ada hari abang balas”, jerit Haikal apabila pintu bilik mandi ditutup oleh Aqilah.

“Tak heran pun!!”, jerit Aqilah dari dalam.

Haikal tidak jadi tidur. Hilang terus rasa mengantuk. Berterbangan terus rasa letih yang mengusai tubuhnya. Laju saja langkah kakinya menuju ke arah bilik mandi. Bibirnya menguntum senyuman nakal.

“Sayang...”, panggil Haikal dari luar.

“Abang nak apa? Ila tengah mandi ni. Pergilah tidur. Cuh, cuh...” Aqilah menguatkan sedikit suara dengan senyuman makin lebar. 

Haikal ketawa besar. “Sayang, abang pun nak mandi juga”

“Ambil nombor giliran dulu”, balas Aqilah tidak langsung menghiraukan kehendak suaminya. Dia terus menikmati kesejukan air yang mengena tubuhnya.

“Ala....” Haikal duduk mencangkung sambil menghadap pintu bilik air.

Dari dalam, Aqilah merapatkan telinga pada pintu. Tiada lagi ketukan mahupun suara menggoda Haikal. Dia tersenyum menang. Dah tidurlah tu. Senyap je. Gumamnya dalam hati. Aqilah melangkah keluar apabila selesai mengeringkan badan.

Hah??

Mulutnya terus terkunci apabila tubuhnya dicempung oleh Haikal. Terasa ringan tubuhnya melayang dalam dakapan Haikal.

“Abang, Ila dah mandi...”, getus Aqilah terpinga-pinga.

“Abang tahu”, bisik Haikal lalu merenung mata Aqilah dengan penuh makna.

“Dah tu?” Aqilah pura-pura tidak tahu apa yang tersirat di hati suaminya. Sedangkan, mukanya makin merah. Malunya!

“Kenapa muka sayang merah?”, soal Haikal nakal.

“Mana ada...”, cantas Aqilah lantas membenamkan muka di dada Haikal. Ishk, kan dah kena mandi lagi sekali! Desis hati kecilnya.


*****

SEKEJAP berdiri sekejap duduk. Begitulah lagak Zurina daripada tadi asyik begitu. Kejap-kejap dia ke hulu ke hilir. Bagaikan ada masalah berat yang sedang difikirkannya. Lama dia berdiri di balkoni kamar tidur. Kepalanya didongak ke atas. Langit yang memayungi bumi dipandang tanpa berkelip.

‘Fikir-fikirkanlah Cik Zu. Sampai bila Cik Zu nak harapkan cinta daripada dia? Sedangkan, dia dah ada isteri. Saya simpati tengok Cik Zu asyik bersedih je’

‘Tapi, sampai bila Cik Zu nak tunggu? Hati Cik Zu juga yang sakit’

‘Terpulanglah pada Cik Zu. Tapi, kalau Cik Zu bersetuju, beritahu saja saya. Nanti, saya akan aturkan untuk Cik Zu’

Zurina mengeluh berat. Tangannya yang berada di penghadang besi, digenggam erat. Dia menundukkan wajah. Matanya dipejam serapat yang mungkin.

“Haikal” Mulutnya menyebut satu nama yang tidak pernah luput dari kotak memorinya.

Perlukah aku ikut cadangan Sufi?

Mestikah aku guna taktik kotor macam tu?

Kekalkah aku dengan cara begitu?

Soalan demi soalan bagaikan tiada henti meracuni akalnya. “Kalau aku guna cara macam tu, memanglah aku akan dapat Haikal. Tapi, sampai bila aku nak ikat Haikal dengan cara tu?” Bagaikan orang gila sudah jadinya. Bersoal jawab seorang diri!


*****

Lamunannya berterbangan bersama-sama angin malam. Telefon bimbitnya yang berdering membuatkan dia menerpa ke dalam kamar tidur. Pantas tangannya mencapai telefon bimbit di meja solek. Tiada nama pemanggil yang tertera di skrin. Hanya nombor pemanggil sahaja yang kelihatan.

“Hello”, ucap Zurina teragak-agak. Dadanya berdebar-debar. Siapalah yang hendak telefonnya malam-malam buta begini.

“Assalammualaikum. Zu, ni umi yang bercakap”

Zurina menghela nafas lega. Ingatkan siapalah gerangan pemanggil yang menelefonnya lewat malam. “Waalaikumussalam umi. Dah lewat malam ni. Kenapa umi tak tidur lagi?”

“Mata umi tak mengantuk. Sajalah umi telefon Zu. Ini pun umi minta nombor Zu kat Id”

Oh, Idham yang bagi. Betul juga, siapa lagi yang nak bagi nombor aku kat umi. Zurina mengetuk perlahan kepalanya. “Id dah tidur ke umi?”

“Biasalah dia. Sejak akhir-akhir ni, umi selalu tengok dia asyik tidur saja. Nak dengar suara pun susah. Bila umi bercakap, barulah dia nak buka mulut. Kalau tak, macam ada emas je dalam mulut dia tu. Risau pula umi dibuatnya”, adu Puan Sarimah bercampur bimbang.

“Mungkin dia penat dengan kerja kot. Zu pun tak sempat nak jumpa Id. Banyak sangat kerja yang kena selesai”, bohong Zurina bersahaja.

“Tak apalah, umi pun faham. Zu tak tidur lagi kenapa?”

“Zu pun tak mengantuk lagi ni. Mata tak boleh nak pejam” Sekali lagi Zurina berbohong. Padahal, fikirannya melayang teringatkan Haikal.

“Tak apalah kalau macam tu. Ada masa nanti, kita borak lagi”

“Insyaallah umi. Kalau ada masa nanti, Zu datang sana”, ujar Zurina dengan senyuman hambar.

“Assalammualaikum”, ucap Puan Sarimah penuh mesra.

“Waalaikumussalam”, jawab Zurina perlahan. Talian telefon diputuskan. Dia menghela nafas panjang. Lama dia berdiri di hadapan cermin solek.

“Apa kurangnya aku di mata Haikal?”, soalnya dengan kedua-dua tangan mencekak pada pinggang. Dia mengeluh kecil. Entah kali keberapa dia mengeluh. Akalnya masih lagi memikir-mikir tentang cadangan kotor daripada Sufi. Dia yakin, Haikal pasti akan menjadi miliknya satu hari nanti.


*****

AQILAH masih lagi khusyuk membaca. Dengkuran halus Haikal menyapa lembut di pendengarannya. Aqilah tersenyum kecil. Comelnya muka suami aku ni. Puji hati kecil Aqilah. Dia tidak jadi membaca. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan bersebelahan Haikal. Kejadian ‘tadi’ masih lagi bermain-main di mindanya. Sememangnya Haikal seorang suami yang romantik. Terasa dirinya benar-benar disayangi. Lama dia menatap wajah yang begitu asyik dengan lena.

“Ila sayang abang sangat-sangat” Dia berkata seolah-olah Haikal masih lagi berjaga.

“Andai kata jodoh kita tak panjang, Ila nak abang tahu yang Ila sangat cintakan abang. Sehari Ila tak tengok abang, Ila jadi rindu. Ila tak kisah andai cinta abang pada Zu masih lagi ada. Cuma, berikan sedikit ruang pada Ila untuk berada di hati abang. Tak banyak pun tak apa.

Andai kata kita berpisah satu hari nanti, Ila nak abang tahu yang Ila akan sentiasa doakan abang. Biarpun masa tu Ila di alam lain, cukuplah untuk Ila tahu abang gembira dan sihat selalu” Dia tahu Haikal tidak akan dengar semua ini. Biasalah, kalau dah terlalu penat mestilah tidur pun nyenyak. Hmm...Takkan nak tidur-tidur ayam pula.

Pipi Haikal diusap lembut. “Abang nak tahu tak apa impian Ila? Impian pertama Ila, nak tengok mama dengan papa pergi haji. Alhamdulillah, semua tu dah dimakbulkan. Impian yang kedua, Ila nak jadi seorang penulis novel. Impian yang ketiga, Ila nak ada sebuah keluarga yang cukup sempurna. Ada anak-anak yang comel, suami yang penyayang dan dicintai sepenuhnya oleh suami.

Tapikan, impian Ila yang ketiga tu dah dimakbulkan. Walaupun, kita berkahwin bukan atas dasar cinta. Memang pada mulanya Ila bencikan abang. Ila tak pernah angankan lelaki lain selain Saiful. Tapi, macam abang cakap dulu, sehebat mana pun kita merancang, Allah yang tentukan”, luah Aqilah di keheningan malam. Biarlah dia luahkan segala-galanya. Dia tidak mahu Haikal mendengar luahan ini. Dan, tidak mungkin baginya untuk meluahkan semua ini tika mata suaminya terbuka. Dia akan malu!

“Dari perasaan benci, bertukar menjadi rindu, sayang dan cinta. Mudahkan untuk Ila terima cinta abang? Sedangkan Ila dengan Saiful bercinta bertahun-tahun lamanya. Dalam sekelip mata Ila boleh lupakan Saiful. Macam pelik pun ada juga. Tapi, nak buat macam mana, cinta tu hadir tanpa kita sedari.

Mama selalu pesan, kita kena hargai seseorang sebelum orang itu tiada dalam hidup kita. Jadi, Ila nak rebut peluang yang ada untuk menghargai abang. Sedalam mana pun cinta abang pada Zurina, Ila nak abang tahu betapa dalamnya cinta Ila pada abang. Baru kini Ila sedar, bercinta kerana Allah lagi baguskan? Ila redha kalau cinta kita tak berpanjangan. Mungkin, abang akan dapat cinta lagi baik daripada Ila.

Ila hanya mampu berdoa. Biarlah cinta kita ini suci. Seperti DIA satukan Nabi Adam dan Hawa, Nabi Yusof dan Zulaika dan juga Nabi Muhammad S.A.W dengan Siti Khadijah. Ila tak mahu abang pergi dari hidup Ila. Biar apa yang berlaku, Ila nak abang sentiasa di sisi Ila. Kalau boleh, Ila nak hembus nafas terakhir di pangkuan abang.

Impian Ila yang kedua masih belum berhasil. Mana taknya, Ila tak mula menulis lagi. Ila ingat, nak menulis mengenai kisah kita. Lama dah Ila fikir tajuk novel yang akan ditulis nanti. Sesuai tak tajuk ‘Benci Tapi Rindu?’. Tajuk tu sesuai untuk kitakan abang? Nantilah Ila fikirkan. Andai kata Ila tak sempat siapkan, abang boleh tolong sambungkan untuk Ila. Bolehkan? Hmm, ngantuknya” Aqilah menguap kecil. Lambat-lambat matanya dipejam juga. Tangannya erat melingkari di pinggang Haikal.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)