bab 37 & 38

BAB 37

Dia menyibukkan diri dengan kerja-kerja yang bertimbun. Sebarang urusannya dengan Haikal hanya melalui telefon sahaja. Hatinya tidak langsung berminat untuk menunjukkan diri di hadapan Haikal. Malah, dia pergi kerja pun berasingan dengan Haikal.

Hatinya makin terasa apabila Haikal tidak sikit pun memandang wajahnya sewaktu melintasi depan mejanya. Mungkin Haikal mulai bosan melayan perangainya. Jika dulu, Haikal akan memujuknya. Tapi sekarang, tidak lagi. Aqilah termenung panjang.

“Hai puan, jauh termenung nampaknya”

Aqilah tersentak. “Awak ni, cubalah bagi salam dulu ke”, tegur Aqilah pada Azhar.

Tersengih-sengih Azhar mendengar teguran daripada isteri majikannya. “Maaf puan. Assalammualaikum”, ucap Azhar sudah tersenyum malu.

“Waalaikumussalam. Hah, kan tenang saja saya dengar. Ada apa awak datang jumpa saya ni?”

“Saya nak bagi kat puan ni” Azhar menghulurkan sampul surat pada Aqilah.

Sebaik saja sampul itu bertukar tangan, Aqilah terus mengeluarkan isinya. Lama matanya menatap pada dua baris nama dalam kad yang dipegangnya.

“Awak nak kahwin?”, soal Aqilah dengan mata membulat.

Azhar mengangguk. “Yup, saya nak kahwin dah. Ingat nak bagi kat bos tadi. Tapi, tengok muka bos macam bad mood saja. Itu yang saya bagi kat puan. Nanti puan wakillah pada bos tau”

“Insyaallah. Apa-apa pun, tahniah tau. Tapikan, macam kenallah nama bakal isteri awak ni”

“Puan kenal dengan bakal isteri saya ni. Dia dulu setiausaha kat sini. Sekarang, puan yang gantikan tempat dia”
“Ya Allah, Nadia tu bakal isteri awak?” Hampir menjerit Aqilah dibuatnya.

“Syhh, puan diamlah sikit. Dengar pula dek pekerja-pekerja kat sini, kena bahan pula saya nanti”

Terus tangannya menekup mulut. “Maaf. Tak sengaja. Jadi, yang dia balik kampung tu sebab hal inilah?”

Azhar mengangguk laju. “Lagi satu, ni surat berhenti kerja. Nadia suruh bagi kat bos. Dia suruh sampaikan pesanan ni pada bos. Dia minta maaf sebab terpaksa berhenti kerja”

“Nanti saya sampaikan. Entah-entah awak yang suruh dia berhenti kerja. Betul tak?” Aqilah membuat serkap jarang.

“Eh, mana ada puan. Dia dengan rela hati nak berhenti. Saya tak paksa tau”, bisik Azhar lalu ketawa besar.

Dalam masa yang sama, Haikal sudah terpacak di belakang Azhar. “Apa yang seronok sangat tu? Tak ada kerja ke yang nak dibuat?”, sergah Haikal penuh ketegasan dalam nadanya.

Aqilah terdiam. Begitu juga dengan Azhar. “Tak apalah puan, saya ada kerja nak buat sikit”

Aqilah sekadar mengangguk. Dia hanya melihat saja Azhar yang makin menghilang dari pandangan. Dia terus menyemak note. Tidak langsung memandang Haikal.

“Batalkan semua appointment saya pada hari ni”, arah Haikal serius. Tiada lagi perkataan ‘abang’ yang meniti di mulutnya.

“Yela, dia bos. Kita ni pekerja je”, gumam Aqilah perlahan. Namun, masih jelas di pendengaran Haikal.

Langkah kaki Haikal makin laju meninggalkan Aqilah. Hati Aqilah makin sayu. Sebaik saja tubuh Haikal tiada di depannya, dia terus memandang tubuh Haikal dari belakang.

“Kenapa buat Ila macam ni?”

Aqilah merintih sayu. Kemanalah abang pergi? Kenapa tak beritahu Ila? Siapa Ila dalam hidup abang? Aqilah tertunduk lesu. Dia bermain jari-jemarinya dengan fikiran melayang pada Haikal.

“Assalammualaikum Puan Aqilah oiii”

“Waalaikumussalam”, jawab Aqilah tidak langsung mendongak. Dia sudah tahu siapa gerangan yang memberi salam.

“Kau kenapa Ila?”

“Aku tengah buat kerja sikit ni”, dalih Aqilah bersahaja.

“Yeke buat kerja? Kenapa aku tengok kau tak pegang pen pun?”

Aqilah kelam-kabut. Tangannya terus mencapai pen. “Ni, kan aku dah pegang” Aqilah menunjukkan pen pada Suzana. Namun, kepalanya tetap juga ditunduk ke bawah.

“Ila, aku tahu kau ada masalah. Aku faham sangat dengan perangai kau”

Aqilah menggeleng berkali-kali. “Aku biasa je. Kau datang sini kenapa?”

“Kalau ya pun, pandanglah muka aku ni. Asyik tunduk saja aku tengok. Rimas pula aku”

Aqilah mengangkat mukanya. Wajah Suzana dipandang sambil bibir tersenyum hambar.

“Kenapa mata kau merah?”

“Masuk habuklah”, tipu Aqilah lalu menenyeh-nenyeh matanya.

Suzana mengeluh. “Jangan tipulah Ila. Aku tahu kau nak nangis”

“Eh, mana ada. Aku biasa saja”

“Boleh tak, jangan asyik cakap biasa, biasa, biasa. Tak habis-habis dengan perkataan ‘biasa’. Kau tak pernah berubah”, ujar Suzana perlahan.

“Kau pun tak pernah berubah” Aqilah memulangkan paku buah keras.

“Aku pula yang kena? Bagus sangatlah tu. Aku kata kau, dan kau kata balik kat aku”

“Kau kan kawan aku. Aku dah berubahlah Ana. Aku tak macam Aqilah yang dulu lagi. Cara cakap je tetap sama”, tukas Aqilah tetap tersenyum. Biarpun dia tahu senyumannya tidak langsung ikhlas.

“Kau okey Ila?”

Aqilah mengangguk laju. “Aku okey”

“Tipu”, cantas Suzana penuh tegas.

“Kenapa pula aku nak tipu?”

“Aku kenal kau dah lama Ila. Aku tahu bila kau sedih dan bila kau gembira”

Senyuman Aqilah tetap mewarnai bibirnya. “Aku penatlah Ana. Kerja aku banyak sangat”

Suzana tersenyum sinis. “Sudahlah Ila. Tak payah nak buat alasan pula. Jom kita keluar”

“Pergi mana?”

“Jomlah. Daripada kau duduk termenung, baik kau keluar dengan aku”

“Kerja aku ni macam mana?” Aqilah mula resah.

“Tinggal saja kerja kau tu” Suzana mula bangun.

“Ana, kerja aku...”

“Jom, ikut aku”, desak Suzana lalu menarik tangan Aqilah.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Aqilah terus mengikut langkah Suzana. Fikirannya benar-benar buntu.

*****

HAIKAL termenung jauh. Dia hanya duduk di bangku sambil menikmati angin lembut yang menyapa tubuhnya. Ketenangannya bagaikan diragut apabila kata-kata Aqilah menyerang fikirannya.

‘Yela, dia bos. Kita ni pekerja je’

Apa maksud kata-kata Aqilah? Adakah kedudukannya sebagai peneraju utama syarikat itu menyebabkan Aqilah mengungkit semuanya? Sudahlah dia terasa dengan Aqilah mengenai hal semalam. Hari ini pula, hatinya bagaikan dicincang lumat apabila Aqilah berkata sedemikian.

Tiada niat langsung untuk dia mengambil hak keluarga Aqilah. Sememangnya dia sudah fikir semasak yang mungkin. Semua saham yang dipegangnya sekarang akan dipindah milik kepada Aqilah. Dia tidak mahu lagi meneraju Johar Holding. Cukuplah dia diamanahkan untuk menjayakan lagi prestasi syarikat keluarga Aqilah.

Dia lelaki. Sudah terlalu banyak dia terhutang budi pada keluarga Aqilah. Tiba saat nanti, dia mahu Aqilah yang menjadi peneraju utama syarikat itu. Dia ada masa depannya sendiri. Biarlah selepas ini, dia bermula dari bawah. Disebabkan itu, dia mempelawa Aqilah supaya bekerja dengannya. Sememangnya dia inginkan Aqilah sentiasa ada di sisinya. Dalam masa yang sama, dia lakukan semua itu untuk mengajar Aqilah dalam selok-belok perniagaan. Walaupun, dia meletakkan Aqilah sebagai setiausahanya. Dia yakin, Aqilah mampu buat yang terbaik daripadanya.

“Abang akan bagi balik hak Ila. Jangan risau. Abang tak akan makan harta keluarga Ila. Percayalah pada abang”, tutur Haikal perlahan.


BAB 38

“Aku betul-betul sayangkan dia. Dalam hati aku ni, tak ada orang lain lagi selain dia”, luah Aqilah tenang.

“Aku faham”

“Aku tak pernah pun letak dia di tempat kedua dalam hati aku walaupun dia insan kedua yang hadir dalam hidup aku. Dia tetap akan mendapat tempat yang pertama dalam hati aku”, sambung Aqilah dengan senyuman hambar. Seraut wajah Haikal muncul dalam diamnya.

“Kuat betul cinta kau pada dia”

“Cinta Ana. Sesiapa pun boleh bercinta. Saiful tak layak dapat cinta aku. Orang yang layak dapat cinta aku adalah Haikal. Dialah suami aku, dan dialah yang dapat membimbing aku ke syurga. Sayang aku pada dia sangat dalam”

Suzana tersenyum. “Kalaulah aku boleh kuat macam kau kan senang”

Aqilah ketawa kecil. Cuba menutup sendu di hati. “Luarannya memang kau nampak aku kuat. Tapi, dalaman ni...” Aqilah menumbuk perlahan dadanya.

“Aku tak kuat Ana”, sambung Aqilah lagi.

“Kau kuat Ila. Aku yakin, kau lebih kuat berbanding aku”

Kepala Aqilah digeleng berkali-kali. “Aku tak kuat nak hadapi semua ni. Cuba kau tanya hati kau sendiri. Adakah kau sanggup hidup berkongsi?”

“Kenapa, Haikal nak kahwin lain ke?”

“Bukan macam tu”, tukas Aqilah menampar paha Suzana.

“Kalau dah dia tak cakap macam tu, janganlah kau pula yang cakap macam tu. kata-kata tu ibarat macam satu doa tahu tak”, tegur Suzana tidak puas hati dengan sahabatnya.

“Maaflah. Ni apa yang aku fikirkan. Memanglah dia tak pernah cakap pasal tu. Tapi, aku sendiri dapat rasa. Aku ni, Cuma orang kedua dalam hidup dia. Entahkan boleh jadi yang pertama atau tidak. Kau sendiri tahukan, yang kami berkahwin pun bukan atas dasar suka sama suka”

“Aku faham. Kau kena banyak bersabar”

“Aku tak tahu sampai bila boleh bersabar. Tahap sabar aku pun ada hadnya juga. Memanglah sabar itu lebih manis daripada madu. Tapi, kita ni manusia. Kau faham-faham sajalah”

“Kau jangan putus asa pula Ila. Allah tak suka hambaNYA putus asa. Kau kena ambil iktibar daripada kisah Nabi Yunus a.s”

“Aku suka kisah tu”, sampuk Aqilah dengan senyumn kecil melakar di bibirnya.

“Kita sendiri pun tahu pengajaran yang terdapat dalam kisah tu. Kita jangan terlalu mudah putus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Bersabarlah dengan ujian yang DIA beri pada kau. Kau sendiri yang cakap, DIA takkan beri ujian yang kau tak mampu nak hadapi. Jadi, disebabkan kau mampu, dia berilah ujian macam ni. Sabarlah kawan. Aku sentiasa ada di sisi kau” Suzana memberi kata-kata semangat.

“Terima kasih Ana. Aku akan ingat pesan kau pada aku. Lagipun, aku okey je. Hal ni, taklah sebesar mana pun”

“Aku rasalah, kau dengan Haikal kena berbincang dari hati ke hati. Manalah tahu, kau saja yang fikir bukan-bukan. Sedangkan Haikal tak cakap pun dia cintakan Zu. Kau isteri dia. Sepatutnya, kau lagi berhak”, ujar Suzana cuba menaikkan semangat Aqilah.

“Amboi, mengalahkan doktor falsafah pula kau ya. Thanks tau. Eh, masalah kau macam mana?”

“Masalah aku macam tu je. Tak ada apa-apa peningkatan pun. Tapi, aku tak mahu fikir lagi. Kalau ada jodoh, tak kemana juga. Macam kau cakap dulu”

“Amboi, elok sangatlah tu. Aku bagi nasihat, kau bagi balik nasihat tu” Hati Aqilah mulai lapang.
Suzana ketawa kecil. “Kitakan kawan. Biasalah tu”

“Ayat aku juga. Cubalah guna ayat lain pula. Asyik biasa, biasa, biasa. Teruklah kau ni Ana”

“Hmm, macam pernah dengar juga ayat kau tu. Ayat siapa yang kau tiru tu?”

“Argh! Malas aku layan kau. Tak kemanalah kita ni. Kau kata aku, aku kata kau. Stop kat sini je la eak. Penat nak main bahas dengan kau” Aqilah mengalah juga.

Yes, aku menang”, sorak Suzana disambut tawa oleh Aqilah.

“Keluarga kau sihat tak?”

“Alhamdulillah. Sihat. Bila kau nak datang rumah aku?”

“Tengoklah kalau aku free. Kau pun dah lama tak datang rumah aku”

“Aku sibuklah”, tukas Suzana.

“Tak habis-habis sibuk”

“Eleh, kau pun tak pernah datang rumah aku. Lagipun, aku tak tinggal dengan parent aku dah. Aku tinggal asing”, jelas Suzana tersenyum hambar.

“Kau tak beritahu alamat kat aku pun” Nada Aqilah mula berubah rentak.

“Nanti aku hantar mesej kat kau”

“Hantar sekarang juga. Bolehlah kalau aku nak lepak kat rumah kau nanti”

Lepak? Aduh, kenapa aku terlepas cakap pula. Macam mana kalau dia tahu...

“Ana, aku tengah bercakap dengan kau ni. Berangan pula dia ni”, sergah Aqilah mencubit paha Suzana.

“Aduh, sakitlah” Pahanya diusap berkali-kali. Perit!

“Itulah, berangan saja kerja kau. Cepat, sms aku sekarang”

“Kalau kau nak datang, beritahu aku dulu tau”

Aqilah pelik. “Kenapa aku beritahu kau? Ada apa-apa ke kau sembunyi daripada aku?” Aqilah mula mengesyaki sesuatu.

“Mana ada. Maksud aku, macam mana kalau kau datang tapi aku tak ada? Kasihanlah aku kat kau nanti. Faham?”

“Oh, macam tu. Aku ingatkan apa tadi. Okey, kalau aku nak datang aku beritahu. Hantar cepat sms kau. Aku malas nak taip alamat kau”

“Tak sabar langsung. Kejap” Suzana menaip mesej. Sebaik saja siap, dia terus menekan butang ‘Send’.

“Okey. Dapat dah”

Suzana sekadar mengangguk sambil tersenyum. Ya Allah, sampai bila aku nak simpan rahsia ni?

*****

AQILAH kembali semula ke pejabat. Otaknya berasa sangat lapang. Semua masalahnya bagaikan hilang begitu saja. Jam di pergelangan tangan dilihat. Sudah pukul 2.00 petang. Lama juga dia keluar. Fikirannya teringatkan Haikal.

“Dah makan ke belum suami aku tu” Dia bercakap sendirian.

Tumpuannya pada kerja terhenti apabila wajah Haikal seolah-olah melekat di buku notanya. “Tak boleh jadi ni. Telefon sajalah”

Aqilah mengeluarkan telefon bimbitnya. Sebaik saja tertera nama ‘My Love’ jarinya pantas menekan punat hijau. Lama dia menunggu. Talian terputus begitu saja. Aqilah rungsing. Dia cuba mendail lagi sekali. Namun, tetap sama juga.

“Manalah suami aku ni pergi. Orang call tak angkat pula”, bebelnya seperti mahu campak saja telefon di tangannya.

Aku rasalah, kau dengan Haikal kena berbincang dari hati ke hati. Manalah tahu, kau saja yang fikir bukan-bukan. Sedangkan Haikal tak cakap pun dia cintakan Zu. Kau isteri dia. Sepatutnya, kau lagi berhak’

Kata-kata Suzana terngiang-ngiang di kotak mindanya. “Betul juga kata Ana. Apa salahnya aku rendahkan ego. Kalau dia nak marah, terima sajalah”, putus Aqilah akhirnya.

Dia berjalan merapati bilik kerja Haikal. Tubuhnya kini berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik suaminya. Sempat lagi jari-jemarinya menyentuh lembut pada nama Haikal yang tertera pada pintu. Segaris senyuman mekar pada bibirnya. Penuh semangat yang ada, tombol pintu dipulas.

“Assalammualaikum. Abang dah...” Kata-katanya terhenti di situ. Dia terkedu. Pandangannya dan pandangan Haikal saling betaut.

“Maaflah, Ila tak tahu pula abang ada tetamu”, ucap Aqilah terus menutup daun pintu. Kakinya kini terus melangkah menghampiri meja kerja.

Dengan hati yang sakit, beg tangan dicapai dengan rakus. Dalam otaknya sudah tahu kemana hala tujunya.

“Sampai hati abang buat kat Ila macam ni...” Hatinya kian bengkak.

“Ila benci abang. Patutlah telefon tak angkat. Rupa-rupanya...” Tangisan Aqilah pecah juga. Ana, tolong aku...Rintihnya dalam hati.

Sementara itu, Haikal sudah merasa serba salah. Dia menongkat kepala dengan kedua-dua tangannya. Mukanya diraup berkali-kali. Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku tak halang dia?

“Haikal, kenapa ni?”

Haikal diam. Pertanyaan Zurina dibiarkan berlalu begitu saja. “Saya tak ada mood Zu”

“Saya boleh happy kan awak. Jom keluar”, ajak Zurina seraya menarik lengan Haikal.

Entah kenapa Haikal berasa dirinya bagaikan orang bodoh. Sedangkan, dia tidak cintakan Zurina. Tapi, kenapa hatinya lemah bila berhadapan dengan Zurina? Kenapa jadi begini? Haikal kalut.

“Haikal, janganlah monyok macam ni. Temankan Zu hari ni ya?”, pinta Zurina dengan gaya gediknya.

Haikal tersenyum. Namun, senyumannya hambar sekali. Senyuman yang sengaja dibuat-buat. Ya Allah, apa dah jadi dengan aku ni? Soalan yang tiada jawapannya!

Zurina tersenyum menang. Jeratnya menjadi. Hati kecilnya sudah bersorak riang. Bila syaitan mula mengusai diri, iman pun sudah disingkir lenyap.

“Sufi, saya nak awak aturkan rancangan untuk saya” Perbualan antara dia dan Sufi terus terlayar di ruang ingatannya.

“Cik Zu setuju ke?”

“Saya setuju tentang pendapat awak. Saya nak Haikal jadi milik saya seorang saja”

“Baiklah. Kalau macam tu, nanti saya aturkan Cik Zu dengan orang ni”

Zurina kembali ke alam realiti. Dia berasa puas apabila Haikal tidak langsung menolaknya. Hanya satu kali dia menghubungi Haikal, panggilannya terus dijawab. Itu yang dia mahu daripada Haikal. Dia mahukan perhatian daripada Haikal. Ternyata ‘ubat’ itu cukup berkesan. Hanya sekali seru, Haikal sudah tersungkur kepadanya.

*****

AQILAH tiba di rumah Suzana dengan hati yang remuk. Hatinya seolah-olah kaca yang pecah berderai. Dia kecewa dengan Haikal.

“Ana...”, panggil Aqilah di luar pagar. Dia mengesat air mata yang mengalir laju.

“Ana tak...”

Aqilah terus terdiam. Suara lelaki yang terhenti di situ dipandang lama. Mulut Aqilah bagaikan terkunci. Saiful? Hatinya berbisik.

“Ila...”, panggil satu suara yang cukup dikenali.

Aqilah mengalih pandangan ke arah suara yang menyapanya. Wajah Suzana dan Saiful dipandang silih ganti. Seolah-olah cuba meminta penjelasan.

“Ila, aku boleh terangkan semuanya”, luah Suzana sudah gelabah. Rahsianya sudah tersingkap!

Namun, yang menjadi tanda tanya pada dirinya adalah keadaan Aqilah yang sangat teruk sekali. Dengan muka makin merah, mata bengkak. Mungkinkah kerana Haikal?


Baru seketika dia melihat Aqilah gembira. Tidak disangka Aqilah akan kembali ke sini. Masalah yang dipendam selama ini, sudah pun diketahui oleh Aqilah! Ya Allah, kau tenangkanlah hatiku untuk hadapi masalah ini. Doa Suzana dalam hati.

1 comment:

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)