bab 21 & 22

BAB 21

‘Abang sayangkan Ila. Sepenuh hati abang cintakan Ila. Abang impikan kehidupan abang akan bahagia bersama-sama sayang. Abang impikan sebuah keluarga yang bahagia, dikelilingi anak-anak yang comel macam sayang dan abang impikan cinta dari sayang. Selama ni, abang rasa kehidupan abang kabur. Abang tak tahu jalan kehidupan abang bila bersama Ila. Tapi, abang makin nampak jalan kebahagiaan bila hati abang terpaut pada sayang’

Aqilah tersenyum senang. Bait-bait indah itu tidak akan dilupus dalam ingatannya. Ia sentiasa tersemat dalam hati ini. Seketika matanya dipejam rapat. Terasa perasaannya damai diterpa angin petang. Wajah Haikal muncul dalam lelapnya. Bibirnya terus-terusan mengukir senyuman manis.

“Ehem....”

           Mata Aqilah kembali terbuka. Pandangannya dilemparkan ke arah gerangan yang berdehem tadi. Siapa lagi kalau bukan Datin Sofea. Aqilah membalas senyuman mamanya.

            “Duduklah mama”, pelawa Aqilah memberi ruang pada Datin Sofea.

            “Allah....”, ucap Datin Sofea sewaktu mendaratkan punggung pada buaian.

            Aqilah tersenyum kecil. “Penat ke mama?”

        “Bukan penat. Dah tua. Tu yang asyik mengeluh saja” Datin Sofea tersenyum senang. Senang apabila melihat senyuman bahagia terukir pada bibir anak tunggalnya. Dialah racun, dialah penawar.

          “Kalau Ila tua nanti, mesti macam mama” Aqilah cuba berjenaka. Sudah lama dia tidak bergurau senda dengan Datin Sofea.

            Senyuman kecil terhias di bibir Datin Sofea. “Biasalah Ila, bila makin tua ni, banyak nikmat yang Allah tarik”

            Aqilah mengangguk tanda mengerti. Betul apa yang diperkatakan mamanya. Bila makin tua, banyak nikmat yang ditarik oleh Allah. Sebab itulah manusia perlu beringat.
            
            “Haikal balik sini bila?”

            “Lagi empat hari”, balas Aqilah dengan keluhan kecil tercetus di mulutnya.

            “Kenapa mengeluh? Dah rindu ke?”, usik Datin Sofea lantas tersengih.

            “Ada ke situ pula mama ni. Ila pun dah tua. Tu yang mengeluh saja”, selorohnya disambut tawa oleh Datin Sofea.

            “Macam-macam anak mama ni”
           
“Mama tu yang buat lawak” Tawa Aqilah masih lagi bersisa.

        “Mama juga yang kena. Yela, Ila menanglah. Malas mama nak lawan cakap dengan Ila. Nanti, mama juga yang kalah”, akur Datin Sofea. Sekilas matanya menjeling ke arah Aqilah.
           
Tawa Aqilah makin rancak. “Alololo.....Ila gurau sajalah. Sayang mama”, ucap Aqilah lalu melentokkan kepala di bahu Datin Sofea.

Matanya dipejam lagi. Senyumannya tidak lekang dari bibir. ‘Dia yang suka cari gaduh, saya pula yang salah. Awak menanglah Puan Aqilah oiiii....’

‘Yes, kan bagus kata dari awal macam tu. Kan saya dah kata, suami kena banyak bersabar’

Masih jelas di ingatan sewaktu Haikal mengalah dengannya. Sama seperti Datin Sofea juga. Walaupun perkahwinan tiada rasa cinta antara dia dan Haikal, namun dia masih mampu melakar kenangan bersama-sama Haikal. Sungguh menggelikan hati apabila diingatkan balik.

“Kenapa senyum seorang diri? Anak mama ni dah angau ke?”, sergah Datin Sofea. Mana tidaknya senyuman tidak putus-putus pada bibir Aqilah.

“Nampak saja mama ni. Tak salahkan kalau Ila nak senyum? Kan awet muda. Ni bukan Ila yang cakap tau. Tapi, Abang Haikal yang cakap”, ujar Aqilah tenang.

 Melopong mulut Datin Sofea. “Amboi, sejak bila pandai guna nama ‘Abang Haikal’ ni? Ila sebut apa tadi? Boleh ulang lagi sekali tak? Telinga mama ni betul ke tak eak?” Datin Sofea berpura-pura mengorek telinganya.

Seperti biasa, Aqilah sudah monyok seperti tikus mondok. “Ala mama ni, bukan ke mama dengan papa juga yang suruh Ila panggil ‘Abang Haikal’? Ila pula yang kena. Tak adil betul”, rengus Aqilah lalu tangan mencekak  di pinggang.

Tawa kecil Datin Sofea kedengaran. “Anak mama ni, bilalah nak matang agaknya? Asyik nak merajuk saja. Tak elok tau monyok macam tu. Nanti cepat tua. Kan Ila cakap tadi senyum tu awet muda”

“Yela, mana ada monyok”, tukas Aqilah bersahaja.

“Mama nak tanya sikit ni. Boleh tak?”

“Boleh saja. Dengan Ila pun mama nak kena minta kebenaran juga ke? Ada-ada saja mama ni”

Datin Sofea sekadar tersengih. “Macam ni, mama cuma nak tahu, Ila bahagia dengan Haikal?”

Aqilah terdiam. Bahagia ke? Kalau tak bahagia kenapa hatinya mula merindui lelaki itu atau ianya sekadar rasa yang singgah sebentar di hatinya?
           
            “Jujur pada mama. Boleh?” Datin Sofea inginkan kepastian.

       Aqilah menarik nafas sedalam yang mungkin. Fikirannya sudah merangka-rangka jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Datin Sofea. “Mama....” Aqilah memandang wajah Datin Sofea.

            Lambat-lambat dia menyambung, “Ila tak tahu sama ada Ila sayang atau cinta pada Abang Haikal. Apa yang Ila tahu, sememangnya Abang Haikal selalu membahagiakan Ila. Tapi, berilah ruang dan masa untuk Ila terima Abang Haikal. Bukan mudah Ila nak lupakan cinta pertama. Ila tahu, kita kena hargai seseorang itu sebelum kita menyesal bila dia dah tak ada. Jadi, Ila akan cuba buka hati Ila ini untuk Abang Haikal. Walaupun berat untuk Ila lupakan Saiful. Beri Ila masa. Boleh?”
            
Datin Sofea mengusap kepala anak kesayangannya. “Ambillah berapa banyak masa yang Ila nak. Cuma, papa dengan mama mahukan yang terbaik untuk Ila. Mama selalu yakin Haikal boleh membimbing Ila. Sebab tu, mama dengan papa ambil tindakan ‘kejam’ macam ni”

          Aqilah tersenyum hambar. “Sekejam-kejam pun tindakan tu, Ila senang dengan Abang Haikal. Boleh tak, mama ajar Ila memasak?”

        Membulat mata Datin Sofea mendengar permintaan Aqilah. “Boleh sayang. Mama dengan Mak Jah akan tolong Ila. Macam itulah anak mama” Tubuh Aqilah didakap erat.

        Aqilah turut membalas pelukan Datin Sofea. Teringat akan perbualannya dengan Haikal lewat malam semalam.

            “Abang dah sampai...”

            “Assalammualaikum lah...” Aqilah tersenyum senang.

            “Waalaikumussalam sayang. Maaf, terlupa”

        “Alhamdulillah. Baguslah kalau dah sampai. Belikan ole-ole tau. Kalau tak beli, tahulah apa Ila nak buat” Aqilah sengaja mengugut.

            Haikal ketawa kecil. “Kalau abang beli, apa yang abang boleh buat kat sayang?”

          Aqilah terkedu. Soalan seumpama itu seperti satu perangkap buat dirinya. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Badannya terasa seram sejuk.

            “Rindu abang tak?”, soal Haikal lembut.

            Rindukah dia pada Haikal? Bukan benci ke selama ni? Aqilah menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Dah makan belum?” Aqilah mengubah topik. Tidak mahu menjawab pertanyaan Haikal.

            “Pandai ubah topik ya. Nanti abang makan. Ila mesti dah makan kan?”

            “Yup, dah makan...” Dia mati kutu. Tidak tahu topik apa untuk dibualkan.

            “Sayang, abang nak mandi dulu. Nanti abang telefon lagi tau. Rindu sayang, cinta sayang, emmuahhh”

            Muka Aqilah merah menyala. “Sayang awak juga....”

           “Ila, apa yang sayang tu?”  Makin pelik dia dengan perangai Aqilah. Sedang mata terpejam pun boleh lagi bercakap?

            Aqilah tersentak. Terus berterbangan ingatannya terhadap Haikal. “Ila cakap apa mama?”, soal Aqilah termangu-mangu.

            “Sayang awak juga....”, ejek Datin Sofea lalu ketawa kecil.

            Aqilah malu sendiri. “Mama, jom masuk dalam. Dah nak maghrib ni. Papa tak balik lagi?”

            “Pandai ubah topik eak. Papa kamu tu balik lewat sikit. Jom masuk dalam”

      Aqilah sekadar membuntuti langkah mamanya. Dia menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum kecil. Haikal, Haikal, Haikal......Nama itu terus disebut berulang kali dalam hati.


*****


ZURINA termenung jauh. Siaran di kaca televisyen tidak berjaya menarik minatnya. Ingatannya melayang jauh mengingati Haikal. Sungguh, hatinya bagaikan dihiris belati tajam. Teramat pedih untuk diingati.

“Haikal....”, sebutnya sepatah. Satu nama yang amat dirindui. Masih segar di ingatannya tatkala dia dan Haikal berjumpa untuk kali kedua.

“Masih ingat nama saya?”, soal Haikal dengan senyuman cukup menawan dan manis.

Zurina tersenyum kecil. “Tak ingatlah. Siapa ya?”, soal Zurina penuh nakal.

Tawa Haikal bergema memenuhi ruang pejabatnya. “Pandai awak bergurau Cik Zurina”

Zurina sekadar mengangkat kening. Tidak menyangka Haikal akan mencarinya sampai ke sini. “Awak datang sini buat apa?”

“Saya datang sini sebab teringatkan awak” Begitu tulus jawapan yang lahir dari mulut Haikal.

“Teringatkan saya ke atau awak nak menggatal dengan saya?” Zurina tahu niat Haikal. Sengaja menduga lelaki itu.

“Pandai awak Cik Zurina. Saya dah terkena penyakit gatal ni. Macam mana eak?”

Kepala Zurina digeleng berkali-kali. “Kalau dah terkena penyakit gatal, pergilah jumpa doktor”

“Tak mujarablah jumpa doktor. Awak jadi doktor saya boleh?”

“Haikal, saya sibuk ni” Zurina pura-pura marah.

“Oh, ingat juga nama kita. Okeylah, saya pun dah nak balik ni. Saja singgah jumpa sayang”, ucap Haikal bingkas bangun.

Zurina terkedu. Haikal sungguh berani menuturkan kata sayang. “Hati-hati memandu”, pesan Zurina sebaik saja daun pintu sudah terbuka.

“Okey sayangku. Abang balik dulu....”

Deringan telefon bimbit membuatkan Zurina kembali ke alam nyata. Dengan lambat dia melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. “Idham...”, tuturnya perlahan.

Punat merah terus ditekan. Dia mengeluh panjang. Terasa bosan dengan Idham. Sering saja mengganggu hidupnya. Zurina terus termenung panjang. Otaknya merangka-rangka rancangan untuk mendapatkan Haikal. Bibirnya mengukir senyuman penuh makna.  
     


BAB 22

Di keheningan subuh, saat dahinya menyentuh sejadah, terasa betapa dirinya terlalu hina dan kerdil. Setitis air mata jatuh juga. Dia sudah terlalu jauh daripada Allah S.W.T. Sudah terlalu lama juga dahinya tidak menyentuh sejadah. Islamnya hanya pada nama. Dia bangkit dengan satu semangat dan azam. Dia mahu menjadi seorang muslimah yang mulia di sisiNYA. Ya, dia tekad untuk berubah! Usai memberi salam, Aqilah beristighfar berkali-kali. Mulutnya, terkumat-kamit berzikir pada Allah S.W.T.

Aqilah mengangkat tangannya lalu berdoa, “Ya Allah, aku hambaMU yang selalu lupa padaMU. Terasa sungguh kerdil diri ini. KAU panjangkan umurku, KAU berikan kehidupanku yang sempurna. Namun, aku begitu takbur dan sombong berjalan di atas dunia ciptaanMU. Sesungguhnya aku berasa malu dan rendah diri dengan sikapku selama ini.

Ya Allah, KAU berikanlah aku petunjuk ke jalan yang benar. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk mengharunginya tanpa adanya KAU di sisiku....” Tangisan seorang hamba Allah mula memenuhi ruang bilik itu. Teresak-esak dia memohon keampunan dariada Allah S.W.T.

“Ya Allah, aku terlalu banyak dosa kepada kedua ibu bapaku, kepada suamiku. KAU ampunilah dosa-dosaku ini Ya Allah. Sesungguhnya aku amat takut akan seksaan azab kuburMU dan juga nerakaMU. KAU ampunilah juga dosa kedua ibu bapaku, suamiku dan juga mentuaku.

Ya Allah, sesungguhnya aku hamba yang lalai dalam mengerjakan segala suruhanMU. Aku tidak layak untuk syurgaMU. Namun, aku tidak sanggup untuk ke nerakaMU. Ya Allah, andai benar sudah tersurat jodohku dengan Mohd Haikal Bin Yusof, KAU kuatkanlah hubungan antara kami suami isteri. KAU kekalkanlah kebahagian kami di dunia dan akhirat. KAU murahkanlah rezeki kami. Ya Allah, sesungguhnya dia adalah suami yang terbaik KAU berikan padaku....”

Berkali-kali dia beristighfar. Hatinya merintih sayu. Baru kini dia terasa akan Agungnya kuasa Maha Pencipta. Mulutnya tidak henti-henti meminta doa. Tidak henti-henti juga zikir yang lahir di mulutnya.

 Di sebalik pintu kamar tidur, mata Datuk Johar sudah digenangi air hangat. Pertama kali dia melihat Aqilah betul-betul insaf.

“Allah makbulkan doa kita, abang”, tutur Datin Sofea lalu menyentuh lembut bahu suaminya.

Datuk Johar mengangguk berkali-kali. “Syukur Ya Allah. Terima kasih kerana KAU bukakan pintu hati anak kami” Datuk Johar benar-benar bersyukur.

“Mari bang. Nanti Ila perasan pula kita ada kat sini”

Datuk Johar hanya mengangguk. Namun, sebaik saja pintu bilik mahu ditutup, kedengaran Aqilah memanggil mama dan papanya. Terus Datuk Johar dan Datin Sofea membuka pintu seluas-luasnya.

“Ma, pa, Ila nak minta maaf” Aqilah kini sudah berlari mendapatkan kedua-dua orang tuanya. Dia menangis sepuas-puas di dada Datuk Johar.

“Kami dah lama maafkan Ila. Alhamdulillah, Allah dengar dan makbulkan segala doa kami” Datin Sofea  mengusap lembut belakang Aqilah yang masih dalam keadaan bertelekung.

“Ila sayang mama dengan papa”, rintih Aqilah bersama-sama esakan.

“Kami pun sayang Ila”, tutur Datuk Johar lalu meleraikan pelukan. Air mata yang mengalir laju itu, diseka dengan penuh kasih sayang.

Ya Allah....aku bersyukur kepadaMU.....Penuh rasa kesyukuran Datin Sofea saat ini.


*****


“ANA, kau rasa muka aku sesuai tak pakai selendang?”

Dahi Suzana mula berkerut. “Kau nak pakai selendang pula ke?”

“Kenapa? Tak percaya ke?”, soal Aqilah dengan kening kirinya terangkat.

“Tak, bukan macam tu maksud aku. Yela, tiba-tiba saja kau nak berubah kenapa?” Suzana makin pelik dengan sikap Aqilah.

“Saja aku nak berubah. Bila lagi aku nak perbetulkan diri sendiri?” Aqilah menyoal lebih kepada dirinya sendiri.

Suzana mengangkat bahu. Tanda tidak tahu. “Kau nak berubah ni sebab Haikal ke?”, soal Suzana musykil.

“Mana ada. Aku betul-betul ni nak berubah. Lagipun, aku dah penat nak hidup macam ni. Seandainya aku mati tapi tak sempat nak bertaubat, macam mana?” Tubuh Aqilah terasa seram sejuk. Takutnya dia pada seksaan kubur.

Suzana yang mendengar sudah merasa kecut perut. Dia pula yang gerun tika ini. Liurnya ditelan berkali-kali. Tawar! “Erkkk....Baguslah kalau kau fikir macam tu. Aku bangga ada kawan macam kau”

Aqilah diam. Dia terus membelek-belek selendang yang dirasakan sesuai dengan dirinya. “Ana, kau rasa selendang atau tudung?”

Suzana terpinga-pinga. “Aku rasa kau patut cuba dua-dua”, balas Suzana agak gugup juga. Ya, dia terasa teruja melihat kesungguhan Aqilah untuk berubah. Sedangkan dia? Entahlah.....

“Tak payahlah cuba. Aku beli terus sajalah. Lagipun, bukannya nak pakai tudung atau selendang ni untuk fesyen saja. Aku nak beli yang ni dulu. Nanti aku datang dengan Haikal lagi sekali” Aqilah membuat keputusan muktamad.

Suzana hanya diam. Lambat-lambat dia menyokong keputusan sahabat baiknya. Aqilah terus ke kaunter untuk membayar. Selesai saja membayar, mereka pun melangkah keluar dari Anggun Butik.

“Hei, you tunggu!”

Aqilah dan Suzana tersentak. Serentak mereka mengalihkan pandangan ke arah gerangan yang menjerit tadi. Membuntang terus mata Aqilah apabila terpandang Zurina yang makin menghampiri mereka.

“Assalammualaikum. Hai...”, sapa Aqilah cuba tersenyum.

“Huh, tak payah nak berlagak baiklah. Mana kau sembunyikan Haikal?”

“Amboi mulut minah ni, tak ada insuran langsung. Kau tak tahu adat ke apa?”, tegur Suzana mula baran.

Aqilah memegang pergelangan tangan Suzana. Dia tidak mahu Suzana membuat tindakan yang kurang bijak.

“Kenapa aku call Haikal tak dapat? Kau dah mandrem Haikal ke?”

“Hei perempuan, kau ni tak ada kerja lain ke nak ambil tahu pasal laki orang? Tak malu ke?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Suzana.

Aqilah berusaha menahan tawa. “Cik Zurina, saya tak pernah nak mandrem kat Haikal. Jodoh semua dah ditetapkan. Kalau betul awak nak Haikal, saya tak kisah. Sanggup hidup bermadu?”, soal Aqilah selamba. Sedangkan dalam hati sudah disalut berjuta kesakitan.

Suzana terkejut mendengar kata-kata yang dihambur oleh sahabat baiknya. “Ila, kau dah gila ke? Aku tahu kau nak berubah. Tapi, tak perlulah nak buat pengorbanan pula. Aku....”

Kata-kata Suzana mati di situ sebaik saja Aqilah memegang bahu Suzana. “Cik Zurina betul-betul cintakan Haikal? Ambillah kalau nak. Maaf, saya ada kerja sikit. Assalammualaikum” Sebaik saja selesai memberi salam, Aqilah terus menarik tangan Suzana.

“Aku akan rampas Haikal daripada kau”, jerit Zurina. Tidak peduli lagi orang ramai yang melihatnya.

Langkah Aqilah makin laju. Langkahnya laju menuju ke tempat parkir kereta. Tubuhnya terus terhenyak pada kerusi sebaik saja dia masuk ke dalam perut kereta. Matanya dipejam seketika. Dadanya sudah berombak. Lambat-lambat, nafasnya kembali teratur.

Suzana diam melihat keadaan Aqilah. Lambat-lambat, dia bersuara juga, “Ila, kau okey?”

Hanya anggukan sahaja yang menjawab pertanyaan Suzana. “Aku penat sangat. Kereta kau kat rumah aku kan?”

Suzana mengangguk laju. Dia melihat saja Aqilah menghidupkan enjin. Lalu, kenderaan pacuan empat roda itu memecut ke destinasi yang akan dituju seterusnya. Dilihatnya, Aqilah tetap tenang dalam pemanduan.

“Kenapa kau cakap macam tu tadi?” Suara Suzana kedengaran setelah lama mendiamkan diri.

Aqilah sekadar tersenyum. “Saja. Kenapa, salah ke?”

“Ila, ini bukan hal kecil tau. Sanggup ke kau nak hidup bermadu dengan perempuan tu?”

Aqilah mengangkat bahu tanda tidak tahu. “Ala, hal kecil saja. Tapi, kalau betul Haikal dengan Zurina ada jodoh nak buat macam mana. Takkan aku nak halang pula. Maklumlah, aku ni orang kedua dalam hidup Haikal. Tak ada istimewanya aku ni” Begitu rendah diri sekali Aqilah berkata-kata.

“Ila, tak semestinya macam tu. Kalau betul jodoh kau dengan Haikal, datanglah sehebat mana pun dugaan, pasti kau orang boleh harunginya”

“Kau ni, mengalahkan ahli falsafah cinta pula. Berbulu telinga aku dengar tahu tak. Kau tak lapar ke? Makan kat rumah aku sajalah. Lagipun, mama dengan papa aku tak ada. Mak Jah masak speacial sangat tau”, tukas Aqilah mengubah topik perbualan.

“Kau ni, kalau ubah topik memang nombor satu. Bukan ke esok Haikal balik?”

Aqilah mengangguk laju. “Kenapa?”

“Kau tak ada apa-apa kejutan ke nak sambut kepulangan dia?”

Senyuman mula meniti di bibir Aqilah. “Adalah. Mana boleh beritahu kau. Biarlah rahsia”, seloroh Aqilah lantas menghamburkan tawa kecilnya.

Suzana mencebik bibir. Akhirnya, tawa mereka bersatu juga. Aqilah terus fokus pada pemanduannya.


*****

  
“ASSALAMMUALAIKUM mak. Sihat tak?”

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Mak dengan adik-adik sihat kat sini. Ila dengan Haikal sihat tak?”

“Alhamdulillah sihat. Abang Haikal tak ada. Dia outstation. Esok baliklah tu. Mana lagi dua orang anak mak tu? Selalunya kalau Ila telefon, mesti riuh suara dia orang”

“Aisyah tak ada. Pergi rumah Mak Ita. Liya dah disahkan mengandung”

“Alhamdulillah. Cepat betul rezeki dia. Insyaallah kalau Abang Haikal tak sibuk, kami baliklah” Aqilah terasa senang berbual dengan Hajah Rosiah. Rindu pula dia pada keluarga mentuanya.

“Ila dah makan ke belum ni? Jangan makan lambat sangat. Nanti sakit susah”

Terharu Aqilah pada keprihatinan Hajah Rosiah. “Dah mak. Ila dah makan. Mak dah makan belum? Nanti sakit susah” Aqilah meniru ayat Hajah Rosiah.

Meletus tawa Hajah Rosiah. “Mak dah makan. Jaga diri elok-elok tau”

“Insyaallah mak. Kirim salam pada Mak Ita sekeluarga tau. Ada masa nanti, Ila balik dengan Abang Haikal”

“Insyaallah. Sampaikan salam mak pada keluarga Ila. Beritahu Haikal, mak pesan, kerja-kerja juga. Jangan abaikan rumahtangga sudah”

Aqilah ketawa kecil. Lucu pula mendengar pesanan daripada Hajah Rosiah. “Okey, nanti Ila sampaikan. Assalammualaikum”

“Waalaikumussalam”

Sebaik saja talian diputuskan, Aqilah merebahkan badan di atas tilam yang empuk dan selesa itu. Matanya dipejam rapat. Wajah Haikal menerpa datang dalam lelapnya.

“Rindu abang.....”, bisiknya dalam satu lafaz...

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)