bab 15 & 16

BAB 15

Wajah comel Aqilah ditatap lama. Dia tersenyum lebar. Tidak disangka Aqilah akan memeluknya. Bantal yang menjadi penghadang antara mereka sudah tercampak jatuh dari katil. Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Perlahan-lahan Haikal menepuk-nepuk bahu Aqilah. Inilah yang paling susah baginya. Susah untuk mengejut Aqilah. Kalaulah mereka pasangan yang bercinta, sudah lama dia akan mengejut dengan caranya tersendiri.

“Awak, dah pagi. Bangunlah”, kejut Haikal menepuk pipi Aqilah. Itulah padahnya tidur selepas subuh. Kan susah nak bangun! Kepalanya masih lagi berat. Mungkin juga penatnya masih lagi bersisa.

“Awak, bangunlah”, kejut Haikal buat kali kedua. Haikal sudah tidak keruan. Mana tidaknya, nafas Aqilah menampar-nampar lembut lehernya. Dia manusia biasa. Naluri lelakinya sentiasa teruji apabila berdepan dengan Aqilah. Sampai bila aku boleh bertahan ni. Desis Haikal jauh di dasar hati.

“Ila, bangun” Haikal cuba menguatkan suaranya.

Namun, Aqilah tetap juga begitu.

“Kalau aku ambil kesempatan pun bukan dia sedar” Haikal mula berfikiran nakal. Belum sempat dia mahu menyentuh wajah yang licin itu, mata Aqilah sudah terbuka kecil.

“Dah pukul berapa ni?”, soal Aqilah perlahan. Dia menguap kecil.

“Dah pukul 7.00 pagi. Pergilah mandi. Sarapan pun tak buat lagi ni”

Aqilah mengangguk dengan mata kembali terpejam. “Nantilah. Saya mengantuk sangat ni. Kenapa bantal ni sedap sangat?”, soal Aqilah perlahan.

“Dah awak peluk saya. Mana tak sedapnya”, tutur Haikal dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

Aqilah hanya mengangguk lalu menyambung semula tidur. Tidak lama kemudian, dia terus bangun. Matanya yang berat untuk dibuka, ringan saja dibuka sekarang. Dia merenung Haikal yang sudah ketawa besar.

“Amboi, sedapnya awak ambil kesempatan kat saya eak. Jangan tidur lagi kat sini malam ni”, marah Aqilah dengan suara yang serak.

“Busuklah mulut tu. Pergilah mandi, gosok gigi tu dulu. Lepas tu, kalau awak nak marah, marahlah”, tegur Haikal sengaja menyakat Aqilah lantas tangannya terus menekup hidung.

Bantal dicapai lalu dibaling ke arah Haikal yang sudah ketawa tak ingat dunia. Aqilah terus turun dari katil. Dia menghentak kaki dengan perasaan bengang. “Benci, benci, benci!”, jerit Aqilah geram.

Tawa Haikal tiada hentinya. Hanya kedengaran pintu bilik air dihempas dengan kuat. Lawaklah isteri aku ni. Haikal ketawa lagi.

Sementara itu, sarapan sudah tersedia di atas meja. Siapa lagi kalau bukan Hajah Rosiah yang menyediakan semuanya.

“Mana Abang Haikal dengan Kak Ila?”

“Nanti bangunlah tu. Mana Kak Aisyah?”

“Tak bangun lagi. Macamlah mak tak tahu perangai Kak Aisyah. Malas nombor satu”

Hajah Rosiah sudah tersenyum kecil. “Dia penatlah tu. Diana nak makan, makanlah dulu. Tunggu yang lain bangun, sampai ke tengah harilah jawabnya”

“Apa yang tengah harinya mak?”, celah Haikal yang sudah pun mengambil tempat duduk di sebelah Diana. Sebenarnya, terselit juga rasa malu di hatinya. Sepatutnya, Aqilah yang perlu menyediakan semuanya. Ini tidak, sudah terbalik pula.

“Sepatutnya Ila yang kena sediakan semua ni”, luahnya dengan rasa malu.

“Tak apalah Haikal. Masing-masing penat lagi. Aisyah pun tak bangun lagi. Mana Ila?”

“Tengah mandi. Nanti turunlah tu”, tutur Haikal sambil menikmati nasi goreng.

“Mak nak balik Kedah petang ni”

“Awalnya mak. Duduklah dua tiga hari lagi” Haikal memandang sayu ke arah Hajah Rosiah.

“Amboi abang ni, Diana cuti bukannya lama. Orang nak exam ni. nak study lagi”, celah Diana dengan suara murainya itu.

Haikal tersenyum. “Eh, adik abang ni. Mulut tu kalau bercakap macam Kak Ila kamu juga. Elok sangatlah tu”

Diana mencebik.

“Sudah-sudahlah tu. Depan rezeki ni. Tak elok bergaduh”, tegur Hajah Rosiah.

“Hah, mengata Ila eak?”, sergah Aqilah yang sudah berada di belakang Haikal.

Haikal hanya mengangkat bahu. Malas mahu bersuara.

“Hah Ila, mari makan. Nak nasi goreng ke cucur udang?”

“Ishk mak ni, malu Ila. Sudahlah Ila tak sedia apa-apa sarapan. Tolong pun tak” Aqilah malu sendiri.

“Tak apalah. Sesekali apa salahnya. Makanlah”

“Tak apa mak, kalau Ila nak nanti, Ila ambil sendiri. Maaf tau menyusahkan mak”, tutur Aqilah penuh rasa bersalah.

Hajah Rosiah tersenyum kecil. “Perkara kecil je”

“Aisyah mana? Petang ni kita pergi jalan-jalan nak?” Aqilah mula membuat rancangan.

“Kak Aisyah tidur lagi. Dia tu kalau tidur, petang nanti baru bangun. Ala....Kami dah nak balik petang ni Kak Ila”, sampuk Diana dengan raut wajah yang terkilan. Hajah Rosiah dan Haikal sudah ketawa kecil.

“Kenapa awal sangat mak? Kenapa tak tinggal lama sikit? Ala, bosanlah Ila nanti. Baru ingat nak belajar masak” Hilang terus selera Aqilah. Nasi goreng di dalam pinggan dipandang sepi.

“Betul ni Ila nak belajar masak? Tak percayalah abang”, sakat Haikal tiba-tiba bersuara setelah lama berdiam.

Muncung Aqilah makin panjang. “Eleh, nanti dia juga yang nak makan”, marah Aqilah terus menampar paha Haikal.

Diana sudah tersengih seperti kerang busuk. “Abang Haikal memang macam tu kak. Mentang-mentanglah dia pandai masak. Kalau Diana dengan Kak Aisyah yang masak, dia bukan nak berterima kasih, asyik nak komen je makanan orang”, adu Diana becok bercakap.

“Elok sangatlah tu. Adik sokonglah Kak Ila”

“Padan muka. Jangan ingat Ila tak ada geng tau”, ejek Aqilah bersorak kemenangan dalam hati.

Hajah Rosiah yang mendengar terhibur dengan gelagat anak dan menantunya.

“Mak nak balik nanti, biarlah kami yang hantarkan. Lagipun, Haikal boleh je ambil cuti esok”

“Betul tu mak. Biar kami yang hantarkan. Lagipun, Ila nak jalan-jalan lagi sekali kat Kedah. Hari tu tak puaslah mak” Aqilah sudah terbayang-bayang sawah padi yang hijau kekuning-kuningan. Seperti sawah padi itu melambai-lambai memanggilnya. Bibirnya mengukir senyuman kecil.

“Tak payahlah Ila, Haikal. Nanti kalau kamu berdua senang, baliklah kampung. Mak lupa nak beritahu, tiket pun mak dah beli masa sampai kat sini semalam”, ujar Hajah Rosiah. Dia memang tidak mahu menyusahkan anak dan menantunya. Cukuplah jika dapat lihat Haikal dan Aqilah bahagia. Dia akan turut senang melihatnya.

“Kenapa beli tiket? Mak ni, macam tak suka je Haikal hantarkan” Haikal terasa hati. Makanan dalam pinggan tidak lagi menjadi tumpuannya. Seleranya terus terbantut.

“Bukan macam tu. Dah alang-alang mak ada kat stesen bas, mak belilah terus. Tak payah nak pening kepala. Tiket mak pukul 5.00 petang nanti”

Aqilah diam. Sesekali dia mengerling ke arah Haikal. Raut wajah Haikal nampak sedih sekali. “Tak apalah kalau macam tu. Kalau ada masa nanti, Ila dengan Abang Haikal akan datang Kedah. Petang nanti, kita hantar mak, Diana dengan Aisyah ya bang”, tutur Aqilah seraya memegang tangan Haikal yang berada di bawah meja.

Haikal seolah-olah terpujuk dengan sentuhan lembut isterinya. Lambat-lambat dia mengangguk. Hajah Rosiah tersenyum ke arah menantunya. Dia tahu, Haikal dan Aqilah akan bahagia.

“Tapi, sempat lagi kalau nak pergi jalan-jalan. Diana tolong kejutkan Aisyah ya. Abang tu makan cepat sikit. Ila tak kira, nak bawa juga mak, Aisyah dengan Diana pergi jalan-jalan”

Diana sudah ketawa dengan perangai kakak iparnya. Tidak ubah seperti perangainya. Suka mendesak sehinggalah hajat tercapai. “Okey Kak Ila, nanti Diana kejutkan”

Haikal sudah menggeleng-geleng kepalanya. “Tengok tu mak, dia sebenarnya yang nak berjalan” Haikal ketawa besar.

Aqilah memukul bahu Haikal. “Ishk, orang cakap betul-betullah. Tak nak ikut sudah. Bagi Ila pinjam kereta abang”, marah Aqilah disambut tawa oleh Hajah Rosiah dan Diana.

“Sudah-sudah. Pergi bersiap cepat. Diana, kejutkan akak kamu tu bangun” Hajah Rosiah sudah mengangkat pinggan kotor ke dapur.

“Ila tolong mak kemas”, tukas Aqilah bersungguh-sungguh. Amboi Aqilah, kalau bab jalan mesti nombor satu!


*****


“AWAK”

Langkah Zurina makin laju. Hatinya sakit setiap kali keluar dengan Idham. Dia tidak kisah pada mata-mata yang sedang memerhatikan mereka. Dia seakan mahu lari jauh daripada Idham. Tidak habis-habis Idham asyik mengekorinya. Dia jadi rimas sangat.

“Zu”, panggil Idham dengan langkah yang panjang. Dia berjaya menangkap lengan Zurina.

Langkah Zurina terhenti. Berusaha dia merentap pegangan Idham. “Tak malu ke orang pandang? Jangan nak malukan saya pula. Bosanlah dengan awak ni” Sebaik saja pegangan Idham terlepas, Zurina kembali menghayunkan langkah kaki. Kali ini langkahnya dipercepatkan.

Idham mengeluh. Dia berusaha juga mengejar langkah Zurina. “Zu, please. Jangan buat saya macam ni. Kita boleh berbincang”, pujuk Idham penuh mengharap.

Zurina mendengus. Langkahnya terus terhenti. Kini, dia dan Idham saling menghadap sesama sendiri.

“Bincang apa lagi Encik Idham? Saya bukan ada masalah dengan awak. Saya betul-betul tak faham dengan awak ni”, keluh Zurina membetul anak rambut yang terjuntai di dahi.

Idham tersenyum hambar. “Bagi awak memang tak ada masalah. Tapi, saya yang ada masalah dengan awak. Saya cintakan awak, Zurina. Saya akan bertanggungjawab atas segala perbuatan saya kat awak. Please, beri saya peluang tu” Idham merayu dengan penuh harapan.

Zurina ketawa kecil. Ketawa yang sengaja dibuat-buat. “Sudahlah Idham. Saya hanya cintakan Haikal. Saya nak balik. Bosan keluar dengan awak”, balas Zurina penuh sinis. Dia mula mengorak langkah meninggalkan Idham.

Lelaki itu merengus geram. Dia terus mengejar Zurina. Berusaha dia mengajak Zurina keluar supaya dia dan Zurina dapat berbincang dari hati ke hati. Tapi, lain pula jadinya.

“Zu, dengarlah apa yang saya nak cakap ni”, panggil Idham tanpa mempedulikan orang yang berada di sekelilingnya. Memang One Utama sudah dipenuhi pengunjung. Hari minggu katakan!

Zapp…

“Sakitlah”, rungut Zurina apabila lengannya ditarik dan tubuhnya pula telah terlanggar dengan seseorang.

“Aduh” Aqilah hampir terjatuh. Namun, dia sempat berpaut pada lengan sasa suaminya.

“Maaf….” Lidah Zurina kelu sebaik saja terpandangkan wajah insan yang amat dirindui saban hari. Terus termati kata-katanya.

Haikal tergamam. Liurnya ditelan berkali-kali.

“Kenapa ni abang, kakak?”, sergah Diana dari belakang. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi. Kelihatan abang dan kakak iparnya seperti patung.

“Maaflah, kami tak sengaja tadi”, celah Hajah Rosiah setelah masing-masing diam membisu.

Haikal bagaikan tersentak. Dia tahu Aqilah sedang memandangnya. Begitu juga dengan keluarganya. “Mak, kenalkan ini Zurina” Begitu berat Haikal mahu membuka mulut.

Hajah Rosiah sudah tersenyum penuh makna. Inilah Zurina. Kenapa lain sangat? Tak sama seperti dalam gambar yang Haikal tunjukkan. Hajah Rosiah tersenyum lalu bersalaman dengan Zurina.

Idham memandang Haikal dengan pandangan tajam. Seperti mata burung helang yang sedang memandang mangsanya. Haikal bersikap selamba. Dia harus tenang. Lagipun, antara dia dan Zurina bukan lagi pasangan kekasih seperti dahulu. Kini, dia sudah beristeri!

“Tak nak kenalkan siapa yang duduk di sebelah awak ni?”, soal Zurina dengan nada yang amat menjengkelkan.

“Saya Aqilah. Isteri kepada Haikal”, balas Aqilah laju. Sengaja perkataan ‘isteri’ ditekankan olehnya. Sakit hati dia melihat perangai Zurina. Tidak ada adab langsung perempuan ni. Cincang mulut tu lumat-lumat baru tahu. Marah Aqilah dalam hati. Namun, mukanya dimaniskan juga.

“Saya Idham”, celah Idham memperkenalkan diri tanpa diminta.

“Saya Haikal”, balas Haikal lalu bersalaman dengan Idham.

Aisyah dan Diana saling berpandangan sesama sendiri. Banyak mata yang sedang memerhatikan mereka. Namun, tidak langsung dipedulikan oleh mereka. Aisyah dapat merasai bahang kepanasan yang melanda sekarang.

“Kami ada hal sikit. Jumpa lagi. Assalammualaikum”, celah Diana terus menarik tangan Hajah Rosiah.

Haikal dan Aqilah hanya membalas senyuman kepada Zurina dan Idham. Mereka terus meninggalkan tempat yang ‘panas’ itu.

“Akak cemburu ke?”, soal Diana berbisik.

Aqilah tersenyum. “Mana ada. Pelik-pelik je Diana ni” Dalam hati, hanya Allah saja yang tahu. Betapa cemburunya dia melihat Zurina yang tersenyum menggoda. Aqilah mendongak mencari sepasang mata suaminya.

“Kenapa?”, soal Haikal perasan akan pandangan Aqilah.

Aqilah menundukkan kembali wajahnya. Dia memegang tangan Diana tika ini. Tidak mahu Haikal memegang tangannya.

“Mak okey tak ni? Nak rehat ke?”, soal Aqilah lembut. Risau juga Aqilah dengan Hajah Rosiah. Maklumlah, orang sudah meningkat umurnya.

“Mak okey. Ila okey ke tidak? Nak balik ke?”

Aqilah menggeleng berkali-kali. Dia faham akan pertanyaan Hajah Rosiah. Mungkin ibu mentuanya dapat membaca apa yang tersirat di hatinya. Terus perbualannya antara Zurina terimbau kembali. Dia tidak pasti dengan dirinya. Sama ada untuk beritahu Haikal mengenai panggilan Zurina ataupun tidak. Dia tahu Haikal masih mencintai Zurina. Jika tidak, kenapa nama‘cintaku’ yang tertera di skrin telefon semalam? Aku kena beritahu! Hati kecilnya membuat kata putus.


*****


JAM di dashboard menunjukkan pukul 5.30 petang. Hatinya berasa sayu sangat. Sayu melepaskan Hajah Rosiah pulang. Kalau dia tahu, pasti dia akan mengikut Hajah Rosiah pulang ke Kedah. Lagipun, duduk di rumah amat membosankan. Sudahlah dirinya tidak bekerja. Dia teringin juga jadi seorang wanita yang berkerjaya. Aqilah mengeluh panjang.

“Sedih?” Haikal memulakan perbualan. Matanya tetap fokus pada pemanduan.

Aqilah diam. Lambat-lambat dia berkata, “Hmmm…” Hanya itu saja yang mampu diluahkan.

Haikal tersenyum lebar. “Kalau saya ada masa, kita balik Kedah ya. Saya janji”, ucap Haikal mengangkat sebelah tangannya.

Aqilah ketawa kecil. “Pandulah dulu. Bahaya bawa sebelah tangan”, tegur Aqilah lalu meletak semula tangan kiri Haikal di atas stereng.

“Kan bagus macam tu. Taklah muka tu asyik monyok je. Dah macam tikus mondok saya tengok tadi”, sakat Haikal menghamburkan tawanya.

Aqilah yang mendengar terus memukul-mukul paha Haikal.

“Awak ni, kata suruh saya pandu elok-elok. Kalau saya hilang kawalan macam mana?”

Aqilah mencebik. Dia terus memeluk tubuh. Pandangannya terus ke hadapan. Mulutnya tidak mahu berkata apa-apa. Sudah panjang muncungnya seperti mulut itik. Haikal ketawa lagi.

“Okey, saya minta maaf. Kalau saya selalu buat awak sakit hati, saya minta maaf”, ujar Haikal serius nadanya. Tiada lagi ketawa serta senyuman.

“Tak apa. Saya tengah fokus ni”, balas Aqilah seperti dia pula yang memandu.

Haikal mengetap bibir. Orang serius, dia main-main pula. Ngomel Haikal dalam hati. Fikiran Aqilah teringat akan hal semalam. Baru tadi dia berjanji pada diri sendiri untuk beritahu Haikal tentang Zurina. Aqilah menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia memandang Haikal yang tenang memandu. “Ehemmm” Aqilah berdehem perlahan. Namun masih mampu didengar oleh Haikal.

“Sakit tekak ke? Nak singgah kat klinik?”, soal Haikal resah.

Aqilah tersenyum. Hatinya senang dengan sikap prihatin Haikal. “Bukanlah”, balas Aqilah perlahan. “Saya ada hal sikit nak beritahu awak”, sambung Aqilah hampir tidak terkeluar ayat yang mahu dituturnya.

“Apa dia? Suspen je awak ni”

“Tapi, jangan marah kalau saya beritahu tau”, pesan Aqilah mengangkat jari telunjuknya. Seperti memberi amaran! Haikal hanya mengangguk tanda setuju. Berdebar juga jantungnya.

“Semalam, Zurina telefon. Tapi, awak dah tidur”, ujar Aqilah tersekat-sekat.

“Itu je?”, soal Haikal dengan keningnya terangkat.

Aqilah mengangguk.

“Awak beritahu apa?”, soal Haikal ingin juga tahu.

“Saya kata awak tidur. Kalau nak cakap dengan awak, saya suruh dia telefon esok. Tapi, tadikan dah jumpa. Kenapa dia tak cakap pula dengan awak?” Aqilah bingung.

Haikal tersenyum. “Dia dah banyak berubah”, keluh Haikal perlahan. Seakan bercakap dengan diri sendiri.

Aqilah berusaha memasang telinga. Namun, tidak berjaya juga memahami tutur kata Haikal. “Awak mengata saya ke?” Aqilah membuat serkap jarang.

Haikal ketawa kecil. Kepalanya digeleng berkali-kali. “Awak ni, cubalah fikir positif sikit. Sudahlah, kita lupakan saja hal semalam. Anggap je awak tak pernah bercakap dengan dia okey”

Aqilah mengangkat bahu. Dia pun tidak mahu terlalu memikirkan Haikal atau pun Zurina. Bukan dia cintakan Haikal pun! Betul ke? Dah tu, kenapa aku cemburu masa bertembung dengan perempuan tu tadi?

“Suka lagu ni tak? Best kan?”, celah Haikal menguatkan lagi radio.

“Siapa nyanyi lagu ni?”

“Penyanyi dia Afgan. Tajuknya, ‘Padamu ku bersujud’. Cubalah awak dengar” Senyuman Haikal makin lebar. Handsome! Puji hati kecil Aqilah. Dia cuba menghayati lagu yang bergema memenuhi ruang kereta.

Ku menatap dalam kelam,
Tiada yang bisa ku lihat,
Selain hanya nama-Mu Ya Allah...

Esok ataukah nanti,
Ampuni semua salahku,
Lindungi aku dari segala fitnah...

Kau tempatku meminta,
Kau beriku bahagia,
Jadikan aku selamanya,
Hamba-Mu yang slalu bertakwa...

Ampuniku Ya Allah,
Yang sering melupakan-Mu,
Saat KAU limpahkan karunia-Mu,
Dalam sunyi aku bersujud pada-MU...

Entah kenapa hatinya tersentuh mendengar bait-bait lagu ini. Adakah Haikal mahu aku sedar? Dia memandang ke arah Haikal. “Saya tahu, saya tak sempurna. Tapi, tak perlulah awak perli saya”, luah Aqilah dengan suara yang bergetar.

Haikal terkedu. Sungguh, dia tidak menyangka isterinya akan terasa. “Saya tak bermaksud macam tu. Cuma, lagu ni bait-bait dia sedap didengar. Itu je”, jelas Haikal penuh kelembutan. Perasaan gelisah bagaikan menggunung dalam hati. Hatinya cukup resah jika Aqilah bersedih.

“Kalau saya ni tak layak jadi isteri awak…”

“Syhh, saya tak bermaksud macam tu” Tangan kirinya mencapai tangan Aqilah. Lalu, digenggam erat.

Aqilah meleraikan dengan lemah. “Tak perlulah awak buat baik macam tu. Hati awak bukan dekat saya. Begitu juga dengan saya”, jelas Aqilah tanpa memandang wajah Haikal.

“Pernah dengar tak Sabda Rasulullah S.A.W. dari Ibnu Abbas r.a yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, ‘Mahukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu ialah wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, girang dia. Apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya’. Pernah dengar?”, soal Haikal tenang.

Aqilah menggeleng berkali-kali. Dia jahil tentang ilmu agama. Sungguh, dia tidak sempurna. “Boleh awak terangkan kat saya dengan lebih jelas?”

Haikal tersenyum. “Apa yang nak dijelaskan kepada kita ialah ukuran seorang isteri yang baik. Dia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang, ketaatan yang tidak berbelah bagi asalkan yang diredhai Allah S.W.T. Dia boleh mengawal harta benda dan nama baik suami sewaktu ketiadaan suaminya. Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah S.W.T dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga. Sekaligus menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya. Ia mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.

Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang solehah merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mahu tangan orang lain mendodoikan anaknya ketika hendak tidur, tidak mahu tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya. Isteri yang memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata. Isteri yang solehah sungguh cekap dan teratur melayani suami, menjaga, mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga dan mengemas tempat tinggal dengan rapi. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya. Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam”, jelas Haikal panjang lebar.

Aqilah mengangguk berkali-kali. Dia sudah faham akan penjelasan Haikal.

“Saya tak pandai sangat tentang ilmu agama. Saya pun baca dari buku je. Apa yang saya tahu, saya cuba terangkan pada awak. Walaupun kita tak ada rasa cinta, perkahwinan tak semestinya terputus macam tu je. Kita kena berusaha, Ila. Rasa cinta boleh dipupuk. Insyaallah, saya redha andai Zurina bukan ditakdirkan untuk saya. Beri saya sikit masa lagi. Saya hanya nak seorang isteri yang ada ketika saya susah dan senang” Haikal melepaskan keluhannya.

“Saya tak tahu nak cakap apa lagi”, ujar Aqilah perlahan. Hanya itu yang mampu dikatakan olehnya.
“Pernah dengar tak lagu nasyid kumpulan Saff One?” Haikal tidak sanggup melihat Aqilah muram seperti ini.

“Tak”, balasnya sepatah.

Haikal tersenyum. “Lagunya tajuk isteri solehah”

Isteri cerdik yang solehah,
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran,
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan,
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan...

Aqilah tersenyum kecil. Merdu pula suara Haikal mendendangkan lagu nasyid. “Terima kasih sebab sudi terima saya sebagai seorang isteri walaupun saya tak sempurna seperti awak harapkan”, tutur Aqilah menundukkan wajahnya.

“Jangan cakap macam tu. Semua manusia tak sempurna. Saya pun ada kekurangan juga. Kalau saya salah, awak tegurlah. Kalau awak salah, saya tegur. Kita kenalah hidup saling tegur-menegur. Saya akan bimbing awak. Insyaallah”, balas Haikal menguntum senyuman. Bantulah aku Ya Allah. Doanya dalam hati.



BAB 16

Kata-kata Haikal masih lagi bergema di telinganya. Dia tidak mampu menjadi seorang isteri yang sempurna. Namun, dia selesa apabila Haikal menegurnya dengan cara begitu. Selama dia bercinta dengan Saiful, dia tidak pernah ditegur langsung. Bila rajuknya datang, Saiful akan berdiam  diri sahaja.

 Dialah yang pujuk rajuknya sendiri. Entah kenapa dia masih lagi mengharap lelaki itu. Sedangkan, dia sudah mempunyai seorang suami yang begitu bertanggungjawab. Setiap rajuknya akan dipujuk dengan penuh sabar. Itulah yang terdapat dalam diri Haikal. Sentiasa tenang dalam apa jua keadaan sekali pun dan sabar melayan kerenahnya. Paling penting, Haikal pandai menyanyi! Hehehehe…

Aqilah mengeluh. Dia sendiri tidak pasti akan hala tuju hubungannya dengan Haikal. Sememangnya dia impikan sebuah kehidupan yang bahagia. Dikelilingi anak-anak yang comel dan suami yang menyayangi dirinya. Cubalah bertanya mana-mana kaum hawa, tidakkah mereka ingin hidup bahagia bersama suami tersayang dan disamping anak-anak yang comel? Sudah tentu semua pasangan menginginkan yang terbaik dalam hidup!

Pandangannya kembali ke arah skrin laptop. Dia membaca berulang kali email yang diberi oleh Saiful.

‘Maafkan saya kerana terlampau sibuk. Siap saja kerja di sini, saya akan balik…’

Aqilah mengeluh panjang. Tiada kata-kata rindu yang dilafazkan oleh Saiful. Paling ketara, panggilan antara dia dan Saiful bukan lagi seperti dulu. Aqilah meraup mukanya berkali-kali. Dia tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan semua ini. Jiwanya resah. Dia mahukan kata putus daripada Saiful. Buat apa hendak mengingati Saiful jika hubungan mereka makin jauh dan samar. Sedangkan, statusnya sekarang adalah ‘isteri’ orang!

Dengan langkah yang lemah, dia terus keluar dari kamar tidur. Kepalanya berat memikirkan hubungannya dengan Saiful. Semasa menuruni tangga, langkah Aqilah terhenti tatkala terdengar esakan di ruang tamu. Dia tidak jadi ke dapur. Terus saja dia menuju ke arah Haikal yang sedang khusyuk menghadap laptop.

“Cerita apa ni?”, soal Aqilah memulakan perbualan. Dia melabuhkan punggung di sebelah Haikal. Kelihatan di tangan Haikal menggenggam tisu. Sempat juga matanya memandang ke arah permaidani. Sudah bergumpal-gumpal tisu berselerakan di sana sini. Biar betul suami aku ni? Aqilah pelik.

“Cerita ‘Janji Kekasih’. Cerita ni sedih sangat”, ujar Haikal lantas menyeka air matanya.

Erkk, suami aku ke ni? “Awak menangis?” Aqilah seakan tidak percaya. Hendak ketawa pun ada. Peliklah perangai Haikal.

Haikal mengangguk lalu menekup tisu ke hidungnya. “Kenapa? Salah ke kalau orang laki menangis?”

Aqilah sudah ketawa kecil. “Awak ni, tengok cerita pun nak nangis. Sudahlah sikit-sikit. Kalau sedih, tak payah tengok. Buang air mata je”, tukas Aqilah terus-terusan ketawa.

Haikal menggeleng-geleng kepalanya. “Tak nak. Cerita ni best. Penat saya download tahu tak. Boleh tolong tak?”

Tawa Aqilah terhenti. “Tolong apa?”, soal Aqilah dengan kerutan jelas di dahinya.

Your shoulder please”, pinta Haikal.

Hah? Ternganga Aqilah tika ini. Biar betul laki aku ni? Akhirnya dia redha juga bahunya dijadikan mangsa! Eii, macam budak-budak. Getus hati Aqilah.

“Kenapa perempuan tu masuk hospital?” Teringin pula dia untuk tahu. Selama ini, dia kurang mengikuti drama yang ditayangkan di kaca televisyen.

“Dia sakit awak. Sedih sangat. Hidup dia tak panjang. Kesian laki tu” Esakan Haikal kedengaran lagi.

“Oh, kesiannya” Aqilah tidak tahu untuk berkata apa lagi. Dia menepuk-nepuk bahu Haikal. Lagaknya seperti memujuk anak kecil saja. Layan sajalah cerita ni. Sekurang-kurangnya, hilang juga ingatannya pada Saiful.

Tangisan Haikal makin menjadi-jadi apabila watak heroin sudah meninggal dunia.

“Dah meninggal awak. Sedihnya cerita ni. Hebatnya perancangan Allah kan? Kadang-kadang kita harapkan yang lain, tetapi lain jadinya” Haikal mengelap air matanya di baju Aqilah.

Erkk, baju aku pula yang jadi mangsa. “Awak ni, cerita macam ni pun nak nangis. Cubalah bawa bertenang sikit. Ingatkan muka handsome, hati pun kuat. Rupa-rupanya hati macam softlan”, ejek Aqilah menahan tawanya.

Haikal mengangkat mukanya dari bahu Aqilah. Dia mengesat air mata yang dari tadi keluar tanpa hentinya.

“Awak memang suka tengok cerita sedih ke?”, soal Aqilah dengan mata terkebil-kebil memandang Haikal.

Haikal mengangguk. “Saya nak ke tandas kejap”, tukas Haikal dengan suara yang serak. Perasaan malunya pada Aqilah dibuang jauh. Ala, semua orang ada perasaan sedih. Gumam Haikal dalam hati.

Aqilah mengangkat bahu. “Teruklah suami aku ni. Macam tu pun nak nangis”, ngomel Aqilah terus mendapatkan laptop Haikal.

“Patutlah suka lagu Afgan. Dengar dari cerita ni rupanya. Eh, nak copy jugalah. Manalah tahu aku boleh feeling juga ke”, sambungnya masih lagi bercakap seorang diri.

“Dah buang tabiat ke cakap seorang diri?”, sergah Haikal melabuhkan punggung pada tempat duduknya tadi.

Aqilah tersengih-sengih. Hmm, barulah macho suara suami aku ni. Pujinya dalam hati.

“Kalau awak nak, ambillah cerita tu. Manalah tahu, nanti saya dapat tengok awak feeling pula”, ujar Haikal tersenyum lebar.

Aqilah mencebik. Nak perli akulah tu. Nyampah!

“Eleh, dia yang over nangis. Saya tak minatlah cerita-cerita jiwang macam ni. Orang layan cerita action je” Penuh bongkak Aqilah membalas.

Terangkat kening Haikal. “Yeke? Jom kita layan cerita hantu. Saya ada banyak koleksi cerita hantu. Best tau” Haikal mengambil laptop dari pegangan isterinya.

Erkk, cerita hantu ke? Mampus aku nak tidur malam ni.

“Kenapa? Takut ke?”, soal Haikal lalu menggerakkan tetikus ke satu folder. Sebaik saja diklik, membuntang mata Aqilah.

Mak datuk….Banyak giler cerita hantu dia. Eii, tak boleh jadi ni. Tunggu apa lagi, larilah…Pantas Aqilah membuka langkah. Ditinggalkan Haikal seorang diri di ruang tamu.

Haikal sudah ketawa terbahak-bahak. “Hah, tau pun takut”, desisnya sambil mencebik bibir. Kepalanya digeleng berkali-kali. Ila, Ila…Macam-macam hal. Gumam hati kecilnya.

Namun, Aqilah bukan menuju ke bilik tidur, malah ke dapur. Dia mahu minum air sebenarnya. Bukan mahu ke bilik lagi.

“Buat air ke termenung?”

Aqilah tersentak. Dia terus memandang Haikal. “Nak air juga ke?”

            “Boleh juga. Kopi panas satu” Caranya seperti memesan minuman di warung sahaja.

            Aqilah tersenyum kecil. Dia sendiri tidak sedar berapa lama dia mengacau milo panas itu. Kata-kata Haikal yang membuatkan dirinya separuh terleka.

            “Nah air awak. Jom ke depan”, ajak Aqilah seraya menyua secawan kopi panas kepada Haikal.

            Sebaik saja punggungnya melabuh di sofa, Aqilah termenung panjang lagi. Hinggakan tidak sedar dia terminum milo yang panas. Apa lagi, menjeritlah jawabnya.

            “Aduh, sakit”, jerit Aqilah dengan pantas meletak semula minumannya di atas meja. Tangannya menggosok-gosok bibir dan juga lidah.
            Haikal ketawa besar. “Teruklah awak ni. Sini, nak tengok”, panggil Haikal terus memegang dagu Aqilah.

            Aqilah diam. Tidak sempat dia menghalang perbuatan Haikal. Yang dia tahu, Haikal sedang mengusap bibirnya dengan jari lalu dihembus perlahan-lahan. Aqilah seolah-olah terbuai dengan perbuatan Haikal.

            “Sakit lagi?”, soal Haikal membantutkan lamunan Aqilah.

            Aqilah menggeleng laju. “Terima kasih” Dia tertunduk diam.

            Haikal tersenyum kecil. “Awak ada masalah ke Ila? Kalau ada, beritahulah. Manalah tahu, saya boleh bagi pendapat”, ujar Haikal lalu menghirup kopi panas dengan penuh hati-hati.

            “Hmm, saya teringat kata-kata awak tadi”, beritahu Aqilah tenang.

            “Kata-kata yang mana pula ni?”

       Aqilah tersenyum. Nafasnya dihembus perlahan-lahan. “Perancangan Allah lagi hebat. Sehebat mana pun kita merancang, kalau Allah tak perkenankan, tak akan menjadi. Macam situasi kita sekarang ni”, terang Aqilah perlahan.

         Kening Haikal terangkat. “Memang betul. Perancangan Allah lagi hebat. Kita tak dapat nafikan kalau itu yang tersurat buat kita”, balas Haikal tenang.

      Senyuman Aqilah hambar. “Saya merancang hidup dengan orang lain. Begitu juga dengan awak. Tapi, tak kesampaian. Jodoh saya berakhir dengan awak. Tapi, saya ni orang kedua dalam hidup awak. Pernah tak awak terfikir, satu hari nanti awak akan kembali pada cinta pertama awak?”, soal Aqilah lalu menatap wajah Haikal.

            “Saya tak tahu dan saya tak pernah terfikir benda macam tu”

        “Memang awak tak pernah terfikir. Tapi, saya yakin dengan hati dan juga kuasa Allah. Walaupun ada jodoh antara kita, awak akan dapat semula cinta pertama awak. Percayalah”, jelas Aqilah penuh kesungguhan.

            Haikal menggeleng berkali-kali. “Saya tak mahu fikir benda-benda yang lepas. Sekarang, kita kena buka buku baru. Biarkan perkara yang lepas hilang macam tu je. Saya dah mengantuk. Nite, assalammualaikum”, ucap Haikal terus berlalu.
           
              “Waalaikumussalam”, jawabnya perlahan. Aqilah termenung seorang diri. Lambat-lambat senyumannya terukir. “Saya yakin masa tu akan muncul”, bisiknya sendirian.


            *****


“KENAPA saya tak boleh lupakan dia?” Zurina termenung sendirian.

“Sebab awak tak lawan perasaan awak pada dia”, balas Idham cuba menenangkan Zurina.

“Tapi, saya cintakan dia. Cinta saya bukan untuk laki lain. Saya terlalu sayangkan dia. Macam mana saya boleh lupakan dia macam tu saja. Dia lelaki pertama dalam hidup saya. Tak sanggup saya untuk kehilangan dia”, rintih Zurina masih lagi tidak dapat menerima hakikat bahawa Haikal bukan miliknya!

Idham tersenyum kecil. “Apa lagi yang awak nak harapkan pada Haikal? Dia dah berkahwin. Dia ada tanggungjawab yang lebih besar sekarang. Lupakanlah dia. Please”, pujuk Idham tidak kenal erti jemu. Dia cintakan Zurina. Jika Zurina menerima cintanya, dia akan beri sepenuh kasih sayang pada Zurina. Dia tidak mahu perempuan lain. Dia hanya mahukan Zurina.

Zurina menggeleng-geleng kepalanya. “Tak semudah itu untuk saya lupakan Haikal. Jahat sangat ke saya sampaikan Haikal sanggup tipu saya?”

“Zu, tolonglah faham. Awak kena terima hakikat dia tu sudah menjadi milik orang” Idham tidak sanggup melihat Zurina menangis kerana Haikal.

“Tapi, dia dah janji dengan saya. kenapa laki tak pegang pada janji?” Zurina makin panas hati. Marahnya datang tiba-tiba.

“Kita tak boleh salahkan takdir, Zu. Percayalah, ada lagi lelaki yang sayangkan awak. Saya akan sentiasa di sisi awak Zu”, tutur Idham tersenyum kecil.

Zurina ketawa sinis. “Saya tak nak laki lain. Saya nak Haikal juga”, bentak Zurina lantang.

“Apa lagi yang awak nak Zurina? Saya ada depan awak sekarang. Kenapa awak tak pernah cuba untuk terima saya?”, soal Idham mencengkam kedua-dua bahu Zurina. Matanya merah seperti biji saga.

Zurina tergamam. Kepalanya ditunduk lemah. Tidak berani memandang anak mata Idham. Air matanya jatuh lagi. Terhinjut-hinjut badannya menahan esakan.

“Lupakan dia, Zu. Saya sayangkan awak. Saya akan bertanggungjawab dengan apa yang telah saya lakukan pada awak. Saya sayang awak sangat-sangat, Zu. Fikirlah, takkan selama-lamanya awak nak hidup macam ni? Mana Zurina yang dulu? Sentiasa dengan senyuman, yang berpegang pada prinsipnya sendiri. Mana? Saya tak sanggup tengok keadaan awak macam ni. Hati saya sakit Zu. Tolonglah faham”, rayu Idham penuh sayu. Air mata Zurina disekanya dengan lembut.

“Kenapa bukan dengan orang lain, Idham? Kenapa saya? Saya tak layak untuk awak. Kenapa saya?”, soal Zurina bingung. Kepalanya terasa berat sangat.

“Sebab dalam hati saya hanya ada awak seorang saja Zu”, balas Idham perlahan.

Zurina ketawa kecil. “Macam tu juga dengan saya. Dalam hati saya hanya ada Haikal”, bidas Zurina terus berlari masuk ke dalam bilik.

Idham meraup mukanya. Kenapa susah sangat kau nak terima aku? Aku cintakan kau, Zurina. Kenapa kau buat macam ni pada aku? Tujuannya datang ke sini hanya untuk mengajak Zurina keluar. Tidak disangka pula begini akhirnya. Idham terus bangun meninggalkan apartment itu dengan hati yang terluka.


*****


AQILAH berjalan dengan penuh hati-hati sewaktu menuruni anak tangga. Sebaik saja kakinya tiba di ruang dapur, laju saja tangannya mencapai mug. Tekaknya bagaikan menjerit-jerit meminta air.

“Tak tidur lagi?”

Hah? Spontan mug yang dipegang oleh Aqilah terlepas jatuh ke lantai.

“Ya Allah…” Aqilah mengurut dadanya berkali-kali. Sergahan Haikal boleh meluruhkan jantungnya.

“Maaf”, ucap Haikal terus mencangkung untuk mengemas serpihan kaca yang berselerakan di ruang dapur.

“Eh, apa yang awak buat ni?” Aqilah seakan baru tersedar dari kekakuannya. Dia terus mencangkung di hadapan Haikal.

“Pergilah minum air. Maaf buat awak terkejut tadi”, tutur Haikal perlahan. Tangan Aqilah yang ingin menolongnya, terus ditolak lembut. Bibirnya mengukir senyuman kecil.

Aqilah diam. Dia sekadar memerhati saja perbuatan Haikal. Senyuman Haikal mendebarkan dadanya. Perasaan aneh itu datang lagi.

“Ehem”

Aqilah tersentak. Terkebil-kebil matanya memandang Haikal.

“Kenapa awak termenung? Sampaikan saya dah siap kemas pun, awak tak sedar”

“Oh, tak ada apa-apa” Aqilah malu sendiri. Dia turut berdiri apabila Haikal berdiri. Mukanya sudah merah menyala. Malunya tidak terkata lagi. Hilang terus segala ingatannya tentang perbualannya dengan Haikal lewat malam tadi.

“Nah air” Haikal menghulurkan mug kepada Aqilah. Pelik juga dia melihat kelakuan isterinya. Cantik! Puji hati kecil Haikal.

Aqilah menyambut huluran mug di tangan Haikal. Semasa Aqilah menikmati air kosong, Haikal masih lagi memandang isterinya dengan penuh minat. Raut wajah Aqilah yang comel itu ditatapnya. Pipi Aqilah yang jelas kemerah-merahan itu dipandang dengan penuh teruja. Matanya tertancap pula pada pakaian yang membaluti tubuh langsing Aqilah. Comel! Desis hati kecilnya.

“Apa yang awak pandang tu?”, sergah Aqilah kalut. Bukannya dia tidak tahu Haikal asyik merenung dirinya.

Terangkat kening Haikal. Senyuman makin mekar di bibirnya.

“Gatal”, gumam Aqilah lalu mencebik bibirnya.

“Apa awak kata?”, soal Haikal makin mendekati Aqilah.

“Eh, awak ni kenapa?” Aqilah mengundur  ke belakang. Setapak demi setapak. Hinggakan belakang badannya sudah bersentuhan dengan kabinet dapur. Dadanya kelihatan berombak apabila Haikal sudah berada dekat dengannya. Lagi sejengkal saja muka Haikal akan terkena mukanya. Hembusan nafas Haikal seolah-olah irama lembut yang menampar wajahnya. Renik peluh sudah memenuhi ruang dahinya.

“Eh, kenapa awak berpeluh?”, soal Haikal dengan senyuman nakal. Jemari kasar Haikal kini menyentuh dahi Aqilah.

Membuntang mata Aqilah dengan perbuatan Haikal. “Tepilah. Saya nak tidur”, dalih Aqilah terus menolak tubuh Haikal. Dia berjaya membolos diri dari tersepit dengan Haikal. Sungguh mengerikan!

“Awak…”, panggil Haikal sempat menarik tangan Aqilah.

Langkah Aqilah terhenti. Pantas juga dia menepis pegangan Haikal pada tangannya. Dia terasa bagaikan ada kejutan elektrik yang mengalir dalam tubuhnya.

“Awak…”, panggil Haikal buat kesekian kalinya.

“Sa…saya…nak ti…tid…tidur dulu. Nite”, ucap Aqilah tergagap-gagap.

Haikal tersenyum. Dia memandang belakang tubuh Aqilah. “Kata nak tidur, kenapa tak pergi lagi?”, soal Haikal dengan tawa ditahan.

Ahah, kenapa aku tak pergi-pergi lagi? Ishk kaki ni, kenapa tak nak gerak lagi? Aqilah mengutuk diri sendiri.

“Ila…”, ujar Haikal perlahan.

Aqilah terasa hendak pitam. Seolah-olah kakinya tidak mampu menampung tubuhnya lagi. Terasa dekat sangat tubuh Haikal di belakangnya.

“Saya nak tanya satu soalan boleh?” Haikal meminta izin.

“Hmm”, sahut Aqilah perlahan.

“Kenapa baju tidur awak comel? Memang awak minat baju kartun ke?”, tanya Haikal dekat di telinga Aqilah.

Ternganga mulut Aqilah mendengarnya. “Sudahlah. Saya nak tidur”, cantas Aqilah tegas.

“Eh, nanti kejap” Haikal memegang tangan Aqilah.

“Eiii, apa lagi?” Aqilah kian bengang. Sakit hati pula dia melayan kerenah Haikal pagi-pagi buta begini! Jauh di sudut hati, dia terasa bagaikan ada bunga-bunga cinta mula berputik dalam diri.

“Awak nampak comel bila marah macam ni”, puji Haikal tenang.

“Encik Haikal, saya tak ada masa…”

“Syhh, jangan tinggikan suara kat suami. Tak masuk syurga nanti”, bisik Haikal perlahan.

Makin membuntang mata Aqilah.

“Saya nak tidur dulu. Nite, assalammualaikum”, ucap Haikal lantas mengucup pipi Aqilah.

Hah? Dia cium aku? Biar betul? Aqilah terpinga-pinga.

“Hah, lagi satu. Kalau nak tidur pun, janganlah bawa mug tu sekali”, sambung Haikal lalu mengenyit mata kanannya.

Erk, mug? Aqilah baru tersedar mug yang dipegangnya. Bibirnya menguntum senyuman hambar. Kepalanya digeleng berkali-kali.

“Hai Ila, mug pun tak perasan”, luahnya sendirian. Apa yang pasti, hatinya tersentuh tatkala pipinya dijamah oleh Haikal!

1 comment:

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)