bab 11 & 12

BAB 11

“Assalammualaikum”, ucap Haikal sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah mewah itu.

“Waalaikumussalam. Abang, tengok siapa yang balik ni?” Datin Sofea menjerit memanggil suaminya. Senyumannya mula lebar. Hatinya sarat dengan rindu.

“Masuklah Haikal, Ila. Rindunya mama kat kamu berdua ni. Sunyi saja rumah ni masa kamu berdua tak ada”, tutur Datin Sofea sayu. Dia menyambut huluran daripada menantunya dan juga Aqilah. Tubuh Aqilah didakap erat. Pipi anaknya dicium penuh kasih sayang dan penuh rasa rindu.

“Hah, dah balik pun anak papa ni”, celah Datuk Johar dengan senyuman lebar. Dia menyambut huluran tangan Haikal. Bahu Haikal ditepuk perlahan.

“Mama ni, kami pergi bukannya lama. Bukannya kami pergi tak balik-balik”, seloroh Aqilah sudah ketawa kecil.

“Eloklah tu. Nanti, bolehlah makan malam sekali. Pergilah naik rehat dulu Haikal, Ila”, arah Datuk Johar. Jatuh kasihan juga melihat raut wajah Haikal yang sudah tidak bermaya.

“Ila tak tolong drive ke?”, soal Datuk Johar.

Haikal tersenyum. Lambat-lambat dia menggeleng kepala. “Haikal yang tak bagi papa. Takut juga kalau jadi apa-apa”, balas Haikal sambil melepaskan penat di ruang tamu. Terasa hilang penatnya apabila sofa yang lembut itu mencucuk-cucuk tubuhnya. Seketika dia memejamkan mata.

“Abang Haikal tak pelawa pun. Kalau dia suruh, Ila tolonglah. Dah dia diam, Ila diamlah. Nanti rosak pula kereta dia. Nyampah”, getus Aqilah disambut tawa besar oleh mereka.

“Lewatnya papa dengan mama makan? Dah lewat malam sangat ni”, tukas Haikal mengubah topik perbualan. Risau andai isterinya merajuk!

Datuk Johar tersenyum kecil. “Kami dah makan petang tadi. Ingatkan malam dah tak nak makan. Tiba-tiba pula mama kamu ni nak makan nasi tomato. Papa nak beli kat kedai tak bagi. Dah orang tu rajin nak masak, papa diam sajalah”, terang Datuk Johar sempat lagi menjeling isterinya. Mengalahkan jelingan perempuan. Gamat suasana di ruang tamu dengan tawa mereka.

“Mak Jah mana? Batang hidung pun tak nampak” Sesekali matanya seakan-akan lari mencari pembantu rumah yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.

“Mak Jah balik kampung. Katanya nak balik kemas rumah. Anak-anak dia nak balik kampung”, jelas Datin Sofea.

Haikal mengangguk berkali-kali. “Tak apalah papa. Nanti kita makan sekali. Haikal naik dulu ma, pa”, pinta Haikal penuh beradab.

“Ila pun nak naik dululah. Nanti kita borak lagi tau”, sampuk Aqilah lalu  membuntuti langkah suaminya. Dia tidak langsung rasa mengantuk. Mana tidaknya, sepanjang perjalanan, dia tidur saja. Kasihan pula dia melihat Haikal yang memandu seorang diri tanpa ada teman untuk berborak. Nasib baik juga ada artis-artis dan dj yang menemani Haikal. Apalagi kalau bukan radio! Hehehe...

Sebaik saja tiba di bilik, mata Aqilah terarah pada sekujur tubuh milik Haikal yang sudah terlentang di atas sofa. Jatuh simpati pula dia melihat Haikal dalam keadaan begitu. Itulah, degil sangat. Orang dah cakap balik esok saja. Tak mahu. Bebel Aqilah dalam hati.

“Awak, tidurlah kat atas katil tu. Sepanjang hari awak memandu. Tak penat ke?” Aqilah menghampiri Haikal.

Terus terbuka mata Haikal mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. “Boleh ke?” Haikal inginkan kepastian. Bersinar-sinar matanya seperti orang yang baru terjumpa harta karun.

Aqilah hanya mengangguk lalu menguntum senyuman kecil. Haikal membalas senyuman isterinya itu. Dia terus bangun lalu merebahkan badan di atas tilam yang empuk itu.

Aqilah geli hati melihat Haikal yang sudah mengeliat panjang. Aqilah terus mencapai tuala dan berlalu ke bilik air. Badannya yang melekit sudah menjerit-jerit meminta dibersihkan. Haikal memejamkan matanya. Baru kini dia dapat merasa betapa sedap dan selesanya tidur di atas tilam. Haikal mengguling-gulingkan badannya dengan penuh rasa teruja. Bukan dia tidak pernah tidur di atas tilam yang empuk seperti ini. Cuma, sejak dia berkahwin dengan Aqilah, tubuhnya hanya layak untuk sofa sahaja. Haikal tersenyum panjang. Lama dia termenung hinggalah matanya yang segar itu makin layu.

Namun, matanya kembali terbuka apabila terdengar suara Aqilah yang menyanyi kecil dalam bilik air. Comel. Desis hatinya. Haikal kembali memejamkan matanya sambil mendengar nyanyian kecil isterinya. Dia mahu menikmati ketenangan walaupun hanya untuk seketika. Lambat-laun matanya terpejam juga.

Aqilah keluar dari bilik air sambil merapikan rambut. Pandangannya jatuh ke arah Haikal. Tubuh Haikal dirapati. Perlahan-lahan tubuh Haikal digoncang lembut.

“Awak, bangunlah”, kejut Aqilah perlahan.

“Hmm, ngantuklah awak”, gumam Haikal dengan suara yang serak. Dia mengeliat malas. Bau wangian pada tubuh Aqilah menyucuk-nyucuk hidungnya.

“Yela, saya tahu. Pergilah mandi dulu. Segarkan sikit badan tu” Aqilah melabuhkan punggung di sebelah Haikal. Ternyata Haikal kelihatan penat!

Haikal bangun lalu menyandarkan badannya di kepala katil. Batang lehernya dipicit berkali-kali. Lenguh sungguh dia rasakan waktu ini.

“Mari sini”, panggil Aqilah.

“Kenapa?” Haikal mula tertanya-tanya.

“Saya urutkan. Kenapa, ingat saya tak pandai urut?”

Haikal tersenyum. Lalu memusingkan badan. Rezeki jangan ditolak! Hati Haikal bersorak nakal. Aqilah memulakan urutannya di sekitar leher dan bahu suaminya.

“Okey tak?”

Haikal hanya mengangguk-angguk. Selesa sangat dia dengan urutan Aqilah. Terasa sungguh akan kelembutan jari-jemari isterinya itu. Jantungnya sudah terasa berdebar-debar. Naluri lelakinya datang tiba-tiba. Jari-jemari milik Aqilah dipegang erat.

“Awak nak mandi ke?”, soal Aqilah apabila tangannya dipegang Haikal.

Haikal diam. Dia mengalih tubuhnya memandang Aqilah. Pandangannya tajam. Aqilah gugup. Aku buat salah ke? Aqilah gelabah apabila wajah Haikal makin hampir pada wajahnya.

“Kenapa dengan awak ni?”, soal Aqilah hampir tidak keluar suaranya. Soalannya tidak dijawab oleh Haikal.

Malah, bibir Haikal kini sudah mengena bibirnya. Aqilah merasakan jantungnya berdegup dengan kencang. Dia ingin menolak tubuh Haikal namun, tolakannya seperti sia-sia saja.

“Awak”, panggil Aqilah makin lemas.

“Hmm?” Ciuman Haikal terhenti. Wajah Aqilah dipandang lama. Pipi Aqilah diusap lembut. Bibir Haikal menguntum senyuman lebar. Sekali lagi bibir Aqilah menjadi mangsa. Haikal seakan-akan hanyut dengan perbuatannya. Aqilah makin lemas dengan perbuatan Haikal. Dia tidak mahu tewas. Dengan sekuat tenaga, dia menolak tubuh Haikal.

“Jangan buat macam ni”, ujar Aqilah menarik nafas sedalam-dalamnya.

Haikal meraup wajahnya. Dia bagaikan baru tersedar. Wajah Aqilah yang pucat itu ditatap dengan pandangan yang cukup kesal. “Maafkan saya”, tutur Haikal malu sendirian.

“Saya nak keluar dulu”, tukas Aqilah tergagap-gagap. Tanpa membuang masa, dia terus meninggalkan Haikal. Dia bingung. Perasaannya hanya satu saja. Malu!! Ya, dia malu apabila kejadian seperti itu berlaku lagi. Bagaimanakah nasibnya nanti jika tinggal satu bumbung dengan Haikal? Eiii….Risaunya aku! Getus hati Aqilah kalut.

“Muka macam ayam berak kapur ni kenapa?”

Aqilah tersentak. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Masa bila pula aku boleh sampai kat meja makan? Dia sendiri pelik. Apa yang dia tahu, kakinya menghayunkan langkah dan fikirannya masih lagi mengingati akan kejadian ‘itu’. Aqilah tersengih seperti kerang busuk. Dia mengambil tempat duduk di hadapan Datin Sofea.

“Yang tersengih-sengih pula ni kenapa? Anak mama dah buang tabiat ke?”, soal Datin Sofea lalu menuang air kosong ke dalam gelas.

“Ila senyum pun salah ke mama? Senyum tu kan sedekah. Papa mana?” Sempat lagi dia memanjang-manjangkan leher mencari kelibat Datuk Johar.

“Ada kat ataslah tu. Kejap lagi turunlah”

Aqilah mengangkat bahunya tanda tidak mahu tahu apa-apa. Dia terus menyuapkan nasi tomato dengan penuh selera.

“Hai sayang”, sapa satu suara yang amat dikenali oleh Aqilah.

“Ish, abang ni. Malulah sikit kat anak kita ni. Nasib baik bukan Haikal yang ada sekarang” Keruh mewarnai wajah Datin Sofea. Tahan malu sebenarnya tu. Datuk Johar hanya tersenyum lebar. Dia mengambil tempat bersebelahan Datin Sofea.

Aqilah turut tersenyum. Dia bahagia melihat papa dan mamanya saling menyayangi. Berbanding pula dengan dirinya. Entah bila dia dan Haikal akan melalui perasaan seperti itu. Dengan Haikal? Oh, tidak mungkin. Tepis Aqilah laju.

“Haikal mana? Kenapa tak tunggu Haikal sekali?” Nada Datuk Johar seperti tidak puas hati dengan sikap bersahaja anak tunggalnya itu.

“Ada kat atas. Tadi masa Ila nak turun, dia tengah mandi. Kejap lagi turunlah tu”, balas Aqilah selamba.

“Ila, dengan suami jangan panggil dia. Kena hormat sikit. Panggillah Abang
Haikal ke”, tegur Datuk Johar cuba berlembut.

Aqilah mencebik bibirnya. Dia malas mahu membalas. Silap-silap, bukan mulut saja yang terima makanan, telinga pun boleh terima ‘makanan’ dari mulut Datin Sofea. Apa lagi makanannya kalau bukan berleter. Aqilah cepat-cepat menghabiskan makanan. Sejak berada di Kedah, dia tidak sempat untuk membuka email. Adakah Saiful akan membalas emailnya?

Best tak Kedah?”, soal Datin Sofea.

Aqilah tersenyum lantas mengangguk laju. “Best sangat. Tapi, Haikal tu nak sangat balik cepat. Tak sempat Ila nak jalan puas-puas. Asyik kerja saja yang dia pentingkan. Tak best pergi dengan Haikal. Mak Haikal suruh sampaikan salam pada mama dengan papa”, balas Aqilah meneruskan suapannya.

“Waalaikumussalam” Serentak Datuk Johar dan Datin Sofea menjawab.

“Bincanglah dengan Haikal kalau nak bercuti lagi. Pergilah honeymoon pula ke. Teringin juga papa dengan mama nak dapat cucu”, celah Datuk Johar bersahaja.

Makanan di dalam mulut Aqilah bagaikan mahu tersembur keluar. Honeymoon? Oh, tak mungkin. Cucu? Lagilah tak mungkin. Fikirannya diterpa rasa kusut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Datuk Johar.

“Ma, pa, Ila nak naik dulu. Ada hal kejap” Aqilah tidak mahu lama-lama di situ. Tidak sanggup dia untuk memanjangkan perbualan mengenai honeymoon ataupun cucu!

Hanya keluhan saja yang mampu keluar dari mulut Datuk Johar dan Datin Sofea. Bilakah Aqilah akan berubah?


*****


“LAMANYA dia mandi. Suka sangat lama-lama dalam bilik air. Tak sejuk ke dia mandi lama-lama? Kalau aku, lima minit pun dah cukup”, gumamnya seorang diri.

Aqilah melabuhkan punggungnya di atas tilam yang empuk itu. Lalu, tangannya terus mencapai laptop kesayangannya di atas meja bersebelahan katil. Hatinya tidak sabar lagi untuk mengetahui khabar berita tentang sahabat baiknya. Paling dinanti-nantikan adalah email daripada Saiful.

Namun, sebaik saja inbox dibuka, rasa kecewanya datang berbakul-bakul. Tiada langsung kiriman email daripada Saiful. Hanya sahabat baiknya sahaja yang membalas kiriman email kepadanya.

Assalam…
Hai Qil…..Opsss salah…sepatutnya Puan Ila. Kan kau dah kawen sekarang ni. apa cerita kawan? Dah ada tanda-tanda nak dapat anak ke?

Aqilah tersenyum dalam masa yang sama dia mengutuk kawannya. Aku nak mengandung? Malam pertama pun tak pernah aku lalui, nak mengandung pula. Kelakarnya! Lagi satu, kenapalah minah ni tak pandai-pandai lagi panggil aku Ila? Asyik Qil saja dari sekolah dulu. Aqilah menggeleng-geleng kepalanya. Hilang seketika ingatannya terhadap Saiful. Dia meneruskan bacaan lagi…

Aku harap kau akan terima perkahwinan ni dengan hati yang terbuka. Aku tahu hati kau masih lagi ada pada Saiful. Kau lupakanlah Saiful tu. Mulakan hidup baru. Aku akan sentiasa sokong kau Ila. Aku akan balik bulan depan. Kita jumpa nanti eak…..Miss u baby….Assalammualaikum….

Aqilah menjawab salam dalam hati. Dia merenung skrin laptop dengan pandangan yang kosong. Kau tak tahu apa yang aku lalui, Ana. Kau tak ada di sisi aku. Aqilah berasa sayu. Dia rindukan Suzana, kawan baiknya yang paling rapat. Malah, jauh di sudut hati, dia amat merindui Saiful. Lelaki yang berjaya menawan seluruh hatinya. Mengingati lelaki itu, hatinya makin sayu. Bukan dia tidak setia pada cinta. Namun, keadaan yang memaksanya membuatkan dia tidak tahu bagaimana hendak menolak.

Makin sayu lagi hatinya apabila Saiful semakin jarang membalas emailnya. Biarpun, mindanya sering membayangkan bahawa dirinya kini semakin jauh dengan Saiful. Namun, dia cuba menepis segala andaian yang negatif itu. Dia masih mengharapkan cinta daripada Saiful. Dia hanya mahu lelaki itu yang menjadi raja dalam hidupnya. Bukan Haikal mahupun sesiapa!

Bau haruman yang tiba-tiba menyucuk hidungnya menyebabkan dia tersentak. Dia terus memandang Haikal yang hanya mengenakan seluar track tanpa baju di badan. Biarpun tanpa baju di tubuh, Haikal tetap menarik pada pandangan Aqilah. Suaminya itu cukup sempurna di matanya. Tiada sikit pun cacat cela. Penampilan Haikal sentiasa kemas, ketinggian Haikal melebihi ketinggiannya, bertubuh tegap dan memiliki wajah yang licin tanpa sebutir jerawat!

Kadang-kadang dirinya terasa kecil apabila berdiri di samping lelaki itu. Mana tidaknya, ketinggiannya hanya berada di bawah paras bahu Haikal. Nasib baik bukan paras pinggang. Aqilah tersenyum. Terasa seperti dilindungi pun ada juga.

“Yang awak senyum seorang diri tu kenapa? Dah buang tabiat ke?”

Aqilah tersentak. Dia terus memalingkan wajahnya daripada memandang Haikal. Terlayar di fikirannya tentang kejadian tadi. Aqilah terus membaringkan tubuhnya. Diambil bantal lalu menekup mukanya dengan sekuat yang mungkin.

Haikal yang melihat perbuatan Aqilah hanya mampu menahan tawa. Dia menggeleng kepalanya berkali-kali. Dia menyarungkan t-shirt tanpa kolar ke tubuh. Penuh tertib dia menghamparkan sejadah. Dengan penuh khusyuk dia memulakan sembahyangnya.

“Allahuakhbar”

Aqilah yang mendengar terus menarik bantal yang menutupi wajahnya tadi. Dia memandang ke arah tubuh suaminya itu dengan perasaan yang sukar digambarkan. Perasaan malu datang menerpa memenuhi segenap jiwanya. Kenapalah dia mendapat lelaki seperti Haikal? Suaminya itu cukup sempurna. Aqilah mengeluh. Dia suka melihat Haikal sembahyang. Tambahan lagi, dia suka mendengar Haikal mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Memang dia perlukan seseorang untuk membimbingnya ke jalan yang benar. Tapi…..

Apa yang kau mahu lagi Ila? Dia dah cukup sempurna.

Apa yang kau tunggu lagi Ila? Kau tak mahu terima dia dalam hati kau?

Ah, tak mungkin! Aqilah menepis andaian yang menghasut hati kecilnya. Dia tidak cinta lelaki itu. Saiful, baliklah cepat. Rintihnya dalam hati.

“Awak okey?”

Aqilah tersentak. Dia memandang Haikal. Tidak sedar yang Haikal sudah selesai sembahyang.

“Awak okey?”, soal Haikal lagi sekali. Usai saja solat, dia melihat raut wajah Aqilah keruh. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang ada dalam fikiran isterinya tika ini. Haikal bangun. Dia menyidai sejadah di tempat yang telah disediakan. Lalu, songkok di kepalanya tadi diletakkan di atas meja solek. Dia menghayunkan langkahnya ke arah Aqilah. Dia melabuhkan punggung di sebelah isterinya sebaik saja tiba di katil.

“Awak okey ke tak ni? Ada apa-apa nak share dengan saya ke?” Haikal menawarkan diri.

Aqilah diam. Entahlah, dirinya bingung saja. Dia merenung Haikal dengan pandangan tajam. “Saya okey”, balasnya perlahan.

“Saya minta maaf”, ucap Haikal beserta keluhan kecil.

“Kenapa?”, soal Aqilah mengerutkan dahinya.

“Pasal tadi” Haikal tersenyum hambar. Dia malu dengan perbuatannya yang terlepas laku terhadap Aqilah. Tapi, dia lelaki. Dia pun tidak boleh mengawal kehendak hatinya. Tambahan lagi, Aqilah adalah isterinya.

“Hmm…” Hanya itu saja yang mampu terkeluar dari mulut Aqilah.

Haikal tersenyum. Dia suka melihat jari-jemari runcing itu mengelus-elus rambut. Hatinya bergetar lagi. Haikal terus bangun. Makin lama dia di situ, makin hatinya tidak tahan.

“Saya suka tengok rambut awak. Sesuai dengan wajah awak. Tapi, kalau awak pakai tudung lagi cantik”, puji Haikal lalu meninggalkan Aqilah yang terpinga-pinga.

Aku nak pakai tudung? Oh, tidak. Dia belum bersedia untuk berubah!


*****


ZURINA menatap pemandangan yang indah itu dengan rasa kosong. Ramai yang membawa pasangan datang ke tasik untuk menikmati keindahan malam. Terselit juga rasa cemburu apabila melihat pasangan-pasangan yang berpimpin tangan lalu di hadapannya. Zurina mengeluh dalam hati. Hidupnya sunyi tanpa Haikal. Dia sayangkan lelaki itu.

Hatinya benar-benar teringin untuk melihat isteri Haikal. Dia mahu tahu apa yang istimewa sangat isteri Haikal. Apa yang dia tahu, setiausahanya pernah terserempak dengan pasangan suami isteri itu. Menurut setiausahanya, gaya Aqilah agak sosial dan pakaiannya pun tidaklah seratus peratus menutup aurat. Daripada situlah, tergerak hatinya untuk memiliki Haikal dengan mengubah gaya pemakaiannya.

Terlayar di mindanya akan malam yang sangat bahagia buat dirinya. Pada malam itu juga dia menerima diri Haikal menjadi kekasihnya.

Happy birthday Zu”, ucap Haikal dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

Zurina hanya menundukkan kepala. Malu untuk menatap sepasang mata yang mampu mencairkan hati perempuannya.

“Zu, sudi tak awak jadi insan istimewa dalam hati saya?”, soal Haikal agak kekok.

“Kalau saya tak sudi?”, soal Zurina pula. Sengaja dia mahu menguji Haikal.

“Kalau awak tak sudi, nak buat macam mana. Saya hanya beritahu apa yang tersimpan dalam hati saya selama ini. Sekurang-kurangnya, saya tahu jawapan yang awak berikan”, balas Haikal perlahan. Wajah lelaki itu mendung.

Zurina tersenyum lebar. “Macam mana kalau saya kata sudi?”, soal Zurina sekali lagi. Dia seperti mahu menghamburkan tawanya.

Haikal mengangkat wajahnya. Sepasang mata itu seakan-akan bersinar. “Awak setuju?” Haikal inginkan kepastian.

Zurina menundukkan kepalanya. Lambat-lambat dia mengangguk. Memang dia sudah lama mencintai lelaki itu. Dia gembira apabila Haikal juga berperasaan sama sepertinya. Dia bahagia dengan Haikal. Dia dan Haikal banyak menganyam impian untuk hidup bersama.

Zurina tersentak tatkala terdengar telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Terus berterbangan khayalannya dibawa pergi bersama-sama angin malam. Dia memandang nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Jarinya terus menekan butang merah. Dia tiada hati untuk menjawab panggilan daripada lelaki itu. Dalam hatinya kini penuh dengan dendam. Dia tidak mahu Haikal bahagia. Dia akan buat apa saja asalkan Haikal kembali kepadanya.


*****


CANTIKNYA langit. Desis hati kecil Aqilah. Senyuman manis terukir di bibirnya. Dia berpeluk tubuh. Angin malam yang menyapa tubuhnya amat menyenangkan dirinya waktu ini. Dia suka menghabiskan malam dengan menyaksikan langit di balkoni. Ini sajalah cara untuk dia menghabiskan masa bosannya. Jika tidak, pada waktu ini dia masih lagi berada di kelab malam ataupun di rumah sahabat baiknya, Suzana. Tidak sabar dia menunggu kepulangan Suzana. Paling tidak sabar juga dia untuk menanti kepulangan kekasih idamannya, Saiful. Senyuman Aqilah makin lebar.

“Asyik tengok langit saja awak ni. Dah jadi macam saya ke?”

Aqilah tidak mengalihkan pandangan ke arah suara yang menyapanya tadi. Sudah cukup kenal dia akan pemilik suara itu. Ishk, kacau daunlah dia ni. Pergilah main jauh-jauh. Opss…Dia dah besar. Nak main apa lagi dah besar-besar. Aqilah tersenyum kecil.

“Senyum-senyum pula dia ni. Cantik langit malam ni kan?” Haikal turut memandang langit. Cahaya bulan yang terang membuatkan langit tampak begitu indah. Tambahan lagi dengan hiasan bintang-bintang kecil yang memancarkan sinarnya. Begitu Agungnya kuasa Maha Pencipta. Haikal turut tersenyum.

“Yang awak tersenyum seorang diri ni kenapa? Dah buang tabiat ke?” Aqilah memulangkan paku buah keras kepada Haikal.

Haikal mencebik. “Tiru ayat orang tak malu”, gumamnya perlahan. Namun, Aqilah dapat menangkap ayat yang keluar dari mulut Haikal.

“Ingat awak seorang saja boleh guna ayat tu? Saya pun boleh. Eleh, poyolah awak ni”, ejek Aqilah lalu menjelir lidahnya mengejek Haikal.

Pantas kedua-dua pipi Aqilah dicubit penuh rasa geram.

“Ishh…Sakit tahu tak”, marah Aqilah menepis tangan Haikal. Aqilah menggosok kedua-dua pipinya apabila tangan Haikal berjaya ditepis.

“Tahu pun sakit. Meh sini nak tengok” Haikal memegang pipi Aqilah. Kedua-dua belah pipi Aqilah diusap lembut. Sudah merah pipi isterinya. Rasa kesal pula dia mencubit pipi Aqilah.

“Sakit lagi?”, soal Haikal. tangannya tidak lepas mengelus-elus pipi Aqilah yang sudah surut merahnya itu.

Aqilah menjelir lidahnya lagi.

“Tengok tu. Nanti orang cubit lagi sekali baru tahu”

Aqilah terus menepis tangan Haikal yang masih lagi berada di pipinya. “Tepilah. Sibuk saja awak ni”, marah Aqilah terus memalingkan wajahnya ke arah lain. Sedangkan, dalam hatinya penuh dengan getaran. Dia tidak mahu tewas. Sabarlah wahai hati. Bisiknya sendirian.

Haikal turut diam. Jiwa lelakinya bergetar hebat. Kalaulah di depannya ini adalah Zurina, sudah lama dia akan menarik tubuh itu ke dalam pelukan. Ya Allah, apa yang aku merepek ni? Haikal tersedar. Dia beristighfar panjang.

Aqilah pantas memandang Haikal. “Kenapa?”

Haikal terpinga-pinga. Dahinya jelas menampakkan garisan halus.

“Awak cakap. Apa yang membuatkan awak beristighfar tadi?”, desak Aqilah dengan panahan mata yang cukup tajam.

Haikal ketawa kecil. “Eleh, tak takut pun dengan pandangan awak tu”, ejek Haikal lalu ketawa besar.

Aqilah memuncungkan bibirnya. Geram sungguh dia melihat Haikal yang ketawa seolah-olah sedang mengejeknya. “Dasar otak kuning”, marah Aqilah. Dalam fikiran Aqilah, mengatakan Haikal memikirkan benda-benda yang tidak elok. Padahal, dalam fikiran Haikal pula memikirkan Zurina.

Haikal diam. Dia tidak ketawa lagi. Malah pandangan Aqilah dibalas dengan penuh tajam. Dia merapati tubuh Aqilah. Bibirnya kini hampir mengenai telinga Aqilah.

 “Awak nak tahu apa dalam fikiran saya?”, soal Haikal perlahan. Nafas hangat Haikal menampar-nampar lembut leher dan telinga Aqilah.

Jantung Aqilah berdebar-debar. Dia makin tidak keruan. Bila-bila masa saja tubuhnya tidak mampu lagi untuk berdiri!

“Awak seksi sangat. Jangan pakai macam ni lagi. Nanti iman saya tak kuat”, bisik Haikal lalu tersenyum. Dia terus masuk ke dalam kamar tidur.

Aqilah tersentak. Dia melihat penampilannya. Barulah dia perasan akan pakaiannya tika ini. Dia hanya mengenakan gaun tidur yang jarang. Malunya! Jeritnya dalam hati. Patutlah dia berasa sejuk sangat. Ishk, aku pun satu. Kenapalah pakai macam ni. Aqilah terus masuk ke dalam bilik. Matanya sempat meliar di segenap ruang kamar tidur.

Kelibat Haikal tidak kelihatan. Namun, sebaik saja tubuh Haikal yang muncul di muka pintu bilik air, Aqilah terus berlari ke arah katil. Dia terus melompat lalu menarik selimut untuk menutup tubuhnya yang terdedah itu.

Haikal yang melihat terus ketawa lalu kepala digeleng berkali-kali. Agak-agaklah isteri aku ni. Kalau hari-hari macam ni, manalah aku nak tahan. Haikal bingung.



BAB 12

Kenderaan pacuan empat roda berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat. Aqilah terpegun melihat halaman yang kelihatan kemas sekali. Di sudut kiri halaman terdapat kolam ikan buatan. Di sudut kanan pula terdapat tempat rehat yang redup dengan pokok besar. Aqilah seperti tidak percaya. Tidak sabar lagi dia melihat isi di dalam rumah itu. Halaman rumah yang cukup besar boleh memuatkan beberapa buah kereta. Sebaik saja enjin dimatikan, Aqilah terus keluar. Masing-masing hanya melihat kegembiraan yang jelas terpancar pada raut wajah itu. Haikal tersenyum kecil melihat mulut Aqilah yang sudah ternganga luas.

“Mama, papa, rumah siapa ni?”, soal Aqilah penuh tanda tanya di wajahnya.

Datuk Johar dan Datin Sofea tersenyum lebar. “Nah kunci Haikal. Papa hadiahkan rumah ni untuk kamu berdua. Mulai sekarang, papa dengan mama nak kamu berdua hidup berdikari”, terang Datuk Johar lalu menghulurkan gugusan kunci kepada menantunya.

Haikal menyambut gugusan itu dengan penuh rasa rendah diri. Sepatutnya dia yang menyediakan semua ini. Tapi, Datuk Johar pula yang menyediakan semua keperluan ini. Rasa bersalah begitu mencengkam dirinya. Datuk Johar perasan akan perubahan raut wajah Haikal.

“Ambillah Haikal. Papa ikhlas. Ini saja yang papa dapat berikan untuk anak dan menantu papa. Jaga Aqilah baik-baik. Didik dia, Haikal. Ila perlukan bimbingan. Jangan biarkan dia tersasar jauh” Begitu tinggi harapan Datuk Johar kepadanya.

“Betul tu Haikal. Mama harap sangat dekat Haikal”, Celah Datin Sofea juga mengharap.

Haikal diam. Lambat-lambat dia mengangguk. “Haikal akan cuba papa, mama”, tuturnya penuh hormat.

“Bila kita nak masuk ni?”, soal Aqilah yang dari tadi menunggu suami dan kedua-dua orang tuanya. Sudah lenguh kakinya berdiri. Entah apalah yang dibualkan oleh mereka. Kepalanya yang tidak gatal, digaru seketika.

“Sabarlah sikit”, tegur Haikal menghampiri isterinya. Sebaik saja pintu dibuka. Haikal terus memulas tombol pintu.

Mata Aqilah terbeliak besar. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya kini. “Cantiknya mama, papa. Macam tahu-tahu saja Ila suka warna putih campur ungu” jelas terpancar kegembiraan di wajahnya.

“Ila ni, macam tak pernah tinggal kat rumah besar macam ni. Rumah papa, dengan mama pun sama macam rumah ni juga”, potong Haikal lalu kepala digeleng berkali-kali.

Aqilah mencebik bibirnya. Hendak dijelir lidah nanti, takut pula dimarahi oleh kedua-dua orang tuanya. Baik dia diam saja. Jika tidak, teruk telinganya mendengar ‘ceramah’ daripada Datin Sofea.

“Ila nak tengok kat atas pula”, tukasnya terus berlari menaiki anak tangga.

Datin Sofea dan Datuk Johar hanya menggeleng kepala melihat perangai anak tunggalnya itu. “Sabarlah Haikal. Ila memang macam tu”, sapa Datuk Johar.

“Tak apalah papa. Sekurang-kurangnya, bisinglah sikit dengar mulut dia. Kalau tak, sunyilah pula”, balas Haikal lalu ketawa kecil. Dia sudah melabuhkan punggung di atas sofa.

Datuk Johar dan Datin Sofea turut menyertai Haikal di ruang tamu.

“Terima kasih papa, mama. Sepatutnya Haikal yang kena sediakan semua ni”, ucap Haikal penuh rasa terharu.

Datuk Johar tersenyum lebar. “Tak apa. Papa dengan mama memang cadang nak hadiahkan rumah ni. Nak bagi tiket bulan madu nanti, takut pula kamu dengan Ila tak suka tempat yang kami pilih”, balas Datuk Johar ketawa kecil.

“Yela, kamikan orang tua. Tak faham jiwa orang muda macam kamu berdua”, celah Datin Sofea berderai tawanya. Haikal turut ketawa mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Datin Sofea.

“Hah, apa yang ketawa sangat ni? Mengata oranglah tu”, sergah Aqilah. Haikal diam. Tidak sedar bila Aqilah muncul. Bila pula kami mengata dia? Soal Haikal dalam hati. Aqilah melabuhkan punggung di sebelah Haikal. Mukanya masam mencuka.

“Tak ada siapa nak mengata kat Ila. Kami ketawa sebab lainlah”, celah Haikal cuba menahan tawa. Fikiran isterinya terlalu negatif sangat!

“Mama, papa, bila Ila boleh tinggal kat sini?”, soal Aqilah tanpa mempedulikan Haikal. Bersungguh-sungguh dia bertanya.

“Hah, bukan Ila seorang saja tau. ‘Kami’ sepatutnya” Datin Sofea sengaja menekankan perkataan kami.

Makin monyok muka Aqilah. Datuk Johar geli hati melihat wajah anak tunggalnya. Dipandang ke arah Haikal. Menantunya itu hanya tersenyum.

“Sudahlah tu. Nanti makin merajuk pula anak kesayangan awak tu”, tukas Datuk Johar.

Haikal menghamburkan juga tawanya. Aqilah terus memalingkan wajahnya memandang Haikal. Dengan sekuat hati dia mencubit paha suaminya.

“Aduh, sakitnya dia cubit. Semut api ke Ila ni?”, soal Haikal dengan muka berkerut-kerut. Barangkali menahan sakit.

Datuk Johar dan Datin Sofea terasa lucu mendengar kata-kata Haikal. Lalu, gamatlah suasana di rumah banglo dua tingkat itu dengan gelak tawa mereka. Aqilah terus monyok seperti tikus mondok. Nyampah. Getus hati kecilnya.


*****


“KENAPA tak jawab?”, soal Idham mengawal marahnya. Sudah berkali-kali dia telefon. Namun, satu pun tidak dijawab. Tambah-tambah lagi mesej.

Zurina hanya membatu diri di sofa. Dia malas mahu melayan Idham. Dia hanya memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan Haikal. Tidak sangka pula Idham akan mencarinya hingga di apartment. Kalau tahu gerangan yang datang adalah Idham, dia tidak akan membuka pintu.

“Zu, I cakap dengan you. You dengar tak?”, soal Idham mula angin dengan perangai Zurina. “Kalau macam ni, baik I cakap dengan batu saja”, sambung Idham masih lagi mengawal marahnya.

“Kalau macam tu, pergilah cakap dengan batu”, balas Zurina penuh sinis.

“Kenapa dengan you ni?” Idham merapati Zurina.

“Yang you ni kenapa? Dah tak ada kerja lain ke? I rimas tahu tak?”, marah Zurina terus bangun. Dia mahu masuk ke dalam bilik. Malas mahu memandang wajah lelaki di depannya. Namun, langkahnya terhenti apabila lengannya dicengkam kuat oleh Idham. Zurina meronta minta dilepaskan. Sakitlah! Bentak hati kecilnya. Dahinya sudah berkerut seribu.

Idham melonggarkan cengkamannya. Wajah Zurina dipandang dalam. “Kenapa dengan you ni? I tanya elok-elok, yang you nak marah-marah ni kenapa?”, soal Idham cuba berlembut.

“Sebab I benci you. I tengah fikir macam mana nak rampas Haikal. You apa tahu!”, balas Zurina cuba merentap tangan dari cengkaman Idham. Namun, usahanya hanya sia-sia. Pegangan lelaki itu sangat kuat.

“Dengar sini. Kalau I tak boleh dapat you, Haikal pun tak boleh dapat you”, ugut Idham sinis. Terus dia meninggalkan Zurina dalam keadaan terpinga-pinga.

‘...Kalau I tak boleh dapat you, Haikal pun tak boleh’

Apakah maksud Idham? Zurina sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh terperangkap dengan lelaki itu. Setahunya, dia dan Idham kenal di kelab malam saja. Sehinggalah perbuatan terkutuk itu berlaku. Dia hanya tahu, Idham akan menunaikan janjinya untuk mendapatkan Haikal semula. Zurina malas mahu memikirkan lagi tentang Idham. Dia mahu berehat. Kepalanya terasa berat sangat.

Sementara itu, Idham masih lagi berada di kawasan parkir. Dia menghentak stereng dengan kuat. “Kenapa kau tak pernah faham perasaan aku?”, bentaknya seorang diri.

Dia tahu Zurina tidak pernah mengenalinya. Dia terpikat dengan Zurina sejak syarikatnya mengadakan majlis makan malam. Kebetulan pula, setiausahanya berkawan dengan Zurina. Sejak itulah dia cuba untuk mendekati Zurina. Itupun dari jauh saja. Dia tahu Zurina mempunyai kekasih yang bernama Haikal. Sebelum Haikal berkahwin pun, dia amat meminati Zurina. Hanya Allah saja yang tahu betapa sakit hatinya melihat kemesraan Zurina dan Haikal.

Kini, dia menyesal apabila mengingati perbuatan terkutuk itu terhadap Zurina. Dia sayangkan Zurina. Dia tidak dapat terima jika Zurina ditakdirkan dengan lelaki lain. Dia hanya mahu Zurina. Dia mahu membahagiakan Zurina. Air mata lelakinya menitis juga.


*****


HAIKAL begitu fokus dalam menyiapkan kerjanya. Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Namun, matanya masih segar. Jadi, dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kerja yang terbengkalai sepanjang dia dan Aqilah bercuti tempoh hari. Haikal mengeliat lalu membetulkan posisi duduknya. Belakang badannya dan juga leher sudah terasa lenguh. Matanya kini sudah tertancap ke arah bingkai gambar di sebelah komputer.

Haikal tersenyum hambar melihat gambar perkahwinannya dengan Aqilah. Dia sendiri tidak tahu siapa yang meletakkan gambar itu di meja ini. Dalam fikirannya meneka bahawa Datin Sofea yang meletakkan gambar tersebut. Lama haikal termenung melihat gambar dia yang sedang memeluk Aqilah. Lamunannya terhenti apabila telefon bimbit berbunyi. Tertera nama ‘cintaku’. Haikal terus menekan punat hijau beserta keluhan kecil keluar di mulut.

“Assalammualaikum” Lambat-lambat Haikal memberi salam. Jantungnya mula bergetar. Masih wujudkah perasaan cintanya terhadap Zurina?

“Waalaikumussalam”, jawab Zurina perlahan dengan mata yang terpejam seketika. Sungguh, dia rindukan suara Haikal.

Haikal tersenyum. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin. “Zu sihat?” Pertanyaan pertama yang diajukannya bagi memulakan perbualan.

“Alhamdulillah sihat. Haikal sihat?”

“Alhamdulillah, sihat juga. Kenapa tak tidur lagi?” Mulutnya seakan berat untuk membalas pertanyaan Zurina. Adakah cintanya sudah beralih arah? Haikal tidak pasti.

“Saya tak boleh tidur. Saya bingung Haikal. Saya dah cuba lupakan awak. Tapi, saya tak boleh”, luah Zurina menahan esakan.

Haikal meraup muka dengan lemah. Dia faham perasaan Zurina. Namun, jodohnya bukan dengan Zurina. Dia harus terima hakikat yang sebenar!

“Saya faham perasaan awak. Tapi, saya pun tak boleh nak melawan takdir yang DIA tentukan Zu. Memang kalau boleh saya nak awak yang jadi suri di hati ni. Tapi…”

“Tapi apa Haikal?”, potong Zurina pantas.

Haikal menelan liur. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk bersuara. Terasa seperti kerongkongnya disekat sesuatu.

“Saya sayangkan awak, Haikal. Saya betul-betul sayangkan awak”, ucap Zurina bergetar suaranya.

“Saya tahu. Tapi, saya sekarang dah berkahwin”, balas Haikal bersama-sama keluhan lemah.

“Tapi, awak boleh kahwin dua. Saya sanggup bermadu”

Haikal memejamkan matanya. “Saya tak boleh. Memang lelaki boleh kahwin lebih dari satu. Tapi, saya tak sanggup nak lukakan hati isteri saya”, balas Haikal. Entah berapa banyak perkataan ‘tapi’ yang digunakan olehnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk meleraikan kekusutan yang melanda hidupnya.

“Sampai hati awak, Haikal. Awak baru saja kenal dengan dia. Dengan saya, awak dah lama kenal. Kenapa begitu cepat sangat awak berubah? Awak tak sayangkan saya ke?”, rintih Zurina dengan esakan yang tidak mampu dikawal lagi.

“Zu, jangan macam ni. Saya terpaksa Zu. Saya diamanahkan untuk jaga Ila. Saya tak sanggup Zu. Ila terlalu baik untuk disakiti” Haikal benar-benar berharap agar Zurina memahaminya.

“Awak  jahat Haikal” Nada Zurina sudah berubah rentak.

“Jangan tuduh saya macam tu. Saya harap awak faham”

Zurina menangis teresak-esak. “Apa kurangnya saya dan apa lebihnya dia? Saya dah berubah Haikal. Kenapa awak tak datang pada saya? Kenapa awak masih lagi memilih dia? Cakap Haikal”

“Saya tak pandang semua tu Zu. Awak dah banyak berubah. Perubahan yang drastik sekali. Jadi diri awak sendiri, bukan diri orang lain. Awak tak perlu berubah untuk dapatkan saya. Terimalah takdir yang DIA tetapkan”, pujuk Haikal sayu.

“Tak. Saya bukan lagi Zu yang dulu. Awak yang buat saya berubah. Saya akan rampas awak, Haikal. Tunggu sajalah harinya nanti”

“Zu, saya tahu awak sayangkan saya. Kalau boleh, memang saya nak bina kehidupan dengan awak. Tapi, jodoh saya bukan dengan awak” Haikal mengeluh panjang.

“Tergamak awak buat kat saya macam ni. Saya  akan rampas awak”

“Zu, Zu….”

Talian terputus. Kesekian kali Haikal mengeluh panjang. Mukanya ditekup di  atas meja. Hilang moodnya untuk menyiapkan kerja.

Dalam tidak sedar, ada insan yang mendengar segala perbualannya. Aqilah seakan hendak rebah apabila mendengar perbualan itu. Terasa dia tidak boleh bernyawa lagi. Seolah-olah nyawanya sudah dicabut oleh malaikat maut. Dia menahan wajah yang mula panas seperti air yang sedang mendidih.

‘Zu, jangan macam ni. Saya terpaksa Zu. Saya diamanahkan untuk jaga Ila. Saya tak sanggup Zu. Ila terlalu baik untuk disakiti’

Kata-kata yang keluar dari mulut suaminya bagaikan diulang tayang. Dadanya berombak kencang. Tujuan dia datang ke bilik ini adalah untuk menemani Haikal. Namun, tidak sangka pula dia akan terdengar perbualan Haikal.

‘Zu, jangan macam ni. Saya terpaksa Zu. Saya diamanahkan untuk jaga Ila. Saya tak sanggup Zu. Ila terlalu baik untuk disakiti’ Ayat itu bergema lagi di fikirannya buat kali kedua.

Aqilah meraba pipinya yang sudah dihujani titis-titis jernih. Dia tidak tahu kenapa dia harus menangis. Dia tidak cintakan Haikal. Tapi hatinya seakan-akan dihiris bagaikan sembilu apabila Haikal mengucapkan kata-kata seperti itu. Dia benar-benar terasa dengan Haikal. Sebelah tangannya menggenggam tombol pintu dengan kuat. Tanpa membuang masa, dia terus berlalu dari situ. Tidak mahu Haikal sedar akan kehadirannya. Biarlah dia menenangkan diri buat seketika waktu.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)