bab 5 & 6

BAB 5

Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Haikal seperti lipas kudung apabila dia terlepas solat subuh. Tambahan pula bajunya masih belum digosok lagi. Sudahlah hari ini dia perlu menghadiri mesyuarat penting. Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pandangannya dibuang ke arah sekujur tubuh yang masih lagi tidur dengan lena. Haikal merengus geram.

Ishk, ada isteri pun macam tak ada isteri. Sedih betul kisah hidup aku kalau macam ni. Terasa mahu saja dia mencekik Aqilah yang sedap dengan lenanya. Huh...Keluhan panjangnya keluar juga!

“Awak dah nak pergi ke?” Aqilah bersuara serak. Dengan malas dia bangun. Tangannya laju merapikan rambut.

Haikal memandang ke arah Aqilah. “Hmmm” Nak tak nak saja dia menjawab pertanyaan Aqilah.

Aqilah terus bangun lalu membuka pintu almari yang paling hujung. Dia mengeluarkan pakaian yang telah digosok lewat malam semalam. Haikal yang melihat terus terdiam. Hilang terus tanggapan buruknya terhadap Aqilah.

“Nah pakaian awak. Saya dah gosok semalam untuk awak. Tak tahulah awak suka atau tak baju yang saya pilih ni”, tutur Aqilah lantas menghulurkan pakaian yang digosoknya kepada Haikal.

“Tak kisahlah warna apa pun. Asalkan elok di mata saya. Terima kasih awak”, ucap Haikal terus menyarung kemeja bewarna biru gelap itu ke tubuhnya. Rasa terharu menjelma dalam dirinya. Kesal kerana menuduh Aqilah yang bukan-bukan.

Aqilah masih lagi menguap. Dia hanya melihat Haikal yang segak bergaya pada pagi ini. Bangga juga dia mempunyai suami seperti Haikal. Hensem juga laki aku ni. Desis hati kecilnya. Dalam diam dia mula memuji Haikal.

Namun, hatinya masih lagi mencintai Saiful. Walaupun Saiful tidak setinggi Haikal dan tidak mempunyai lesung pipit pada kedua-dua belah pipi, dia tetap mencintai lelaki itu. Hanya Saiful dalam hatinya. Bukan laki-laki lain. Walaupun Haikal, suaminya kini!

“Saya pergi dulu”

Aqilah tersentak. Hilang terus khayalan yang baru sahaja bermain di mindanya.

“Tak pakai tali leher ke?”, soal Aqilah kehairanan.

Haikal tersenyum. “Saya tak pandai nak pakai. Tak apalah, dah biasa”, balas Haikal bersahaja. Dia mencapai briefcase di sofa.

Aqilah dengan pantas memegang tangan Haikal. Langkah Haikal terhenti. “Sini. Biar saya yang pakaikan. Awak ni, dah besar-besar pun tak pandai nak pakai tali leher. Memalukan betul” Aqilah mula membebel.

Haikal hanya mendengar sahaja. Hatinya tergaris sebuah senyuman. Tidak sampai lima minit, tali leher siap dipakaikan dengan bantuan isterinya.

“Penat saja saya gosok kalau awak tak pakai” Dia menyambung semula bebelan. Kolar kemeja Haikal dibetulkan. Kemas!

Dahi Haikal berkerut. “Pagi-pagi pun awak nak bising juga ke?”

Membulat mata Aqilah memandang Haikal. Sementara itu, Haikal tawa Haikal sudah meletus. Melihat mata Aqilah yang semakin bulat itu, membuatkan tawanya makin berpanjangan. Comel!! Puji Haikal dalam hati. Namun, baru saja Aqilah ingin membalas, bibir Haikal sudah mencecah dahinya. Aqilah terkesima.

Ciuman lembut Haikal terhenti. Dia memandang wajah Aqilah. Bibirnya tersenyum lebar. “Saya gurau saja tadi. Jangan nak marah pula. Saya pergi dulu kerja. Thanks for everything”, ucap Haikal seraya mengusap lembut pipi isterinya.

Aqilah diam. Entah kenapa sentuhan dan ciuman Haikal pada pagi ini, amat  mendebarkan perasaannya. Aqilah masih membatu di situ sehinggalah tersedar tatkala pintu bilik ditutup. Gelak tawanya meletus seorang diri. Cepat-cepat debaran di dadanya ditepis laju. Dia tidak mahu hatinya menerima Haikal. Biarpun dia kini adalah milik Haikal. Biarlah zahirnya sahaja milik Haikal, tetapi tidak batinnya. Dia hanya cintakan Saiful dan dia tetap akan menunggu lelaki itu pulang. Aqilah menyambung semula tidurnya. Tiada lagi gangguan untuk dia tidur dengan tenteram.


*****


SEBAIK sahaja selesai mesyuarat, Haikal kembali semula ke bilik. Kini, dia adalah pemilik Johar Holding Sdn Bhd. Dia adalah pemegang saham yang terbesar dalam syarikat itu. Haikal mengeluh panjang. Dia tidak harapkan semua ini. Bukan pangkat mahupun harta yang dikejar. Matanya memerhati setiap ruang di dalam bilik itu. Sebuah komputer, sofa di sudut bilik, dinding yang dihiasi dengan hasil seni dan juga gambar keluarga mentuanya.

Di sebelah kanannya pula terdapat rak buku dan bilik ini sangat tenang dan nyaman. Dia menuju ke arah sofa. Tubuhnya direbahkan pada sofa empuk itu. Matanya dipejam rapat. Seketika cuma, matanya kembali terbuka. Entah kenapa tiba-tiba dia teringatkan Zurina, bekas kekasihnya. Haikal terus keluar dari syarikat itu lalu menuju ke arah tempat parkir kereta. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, Haikal terus memecut keluar dari kawasan itu. Hatinya tidak sabar hendak menjumpai Zurina.

Tidak susah hendak mencari di mana tempat kerja kekasihnya. Dia sudah tidak sabar lagi untuk bertemu. Dia amat merindui seraut wajah Zurina. Sebaik sahaja Haikal memarkir kenderaannya, dia terus keluar dengan tergesa-gesa. Langkah kakinya dibuka seluas yang mampu.

“Cik Zurina ada?”, tanya Haikal sebaik sahaja berhenti di hadapan meja setiausaha Zurina.

“Ada. Nanti kejap ya”, tutur setiausaha Zurina yang bernama Sufi. Pantas juga tangan Sufi mencapai ganggang telefon.

Seketika kemudian, “Dia ada di dalam. Boleh masuk sekarang”, beritahu Sufi sebaik saja ganggang telefon diletak ke tempat asalnya. Senyuman dihulurkan kepada Haikal.

Haikal turut membalas senyuman Sufi. Hatinya terasa berdebar tatkala kakinya berhenti di depan bilik Zurina. Haikal mengetuk pintu lantas memulas tombol pintu apabila suara dari dalam menyuruhnya masuk.

“Apa lagi yang awak nak?”, soal Zurina laju. Dia memandang ke arah Haikal.

“Kalau ya pun, bagilah saya duduk dulu”, ujar Haikal dengan tubuhnya terasa seram sejuk.

Sorry, duduklah”, tutur Zurina perlahan.

Haikal melepaskan keluhannya. Dipandang wajah yang dirinduinya selama ini. Ternyata jelas kesayuan pada wajah itu. Dia telah melukai hati kekasihnya. Dia terpaksa. Bukan dia tidak sayangkan Zurina. Sayangnya, dia terpaksa menerima Aqilah sebagai isterinya.

“Awak nak bincang apa lagi Encik Haikal?” Sayu sahaja suara itu di pendengaran Haikal.

“Saya masih sayangkan awak. Saya bukan sengaja nak sakitkan hati awak”, terang Haikal berharap Zurina akan faham dengan keadaanya sekarang.

Zurina menggeleng kepala berkali-kali. “Semua tak semudah apa yang awak cakap. Saya ada hati dan perasaan. Setelah awak takluk hati saya, awak campak begitu saja. Manusia jenis apa awak ni, Haikal?” Kali ini, pandangan mereka bertaut. Air jernih mula bertakung di kelopak matanya.

Haikal buntu. Dia mahu mengesat air mata itu, dia mahu memeluk kekasihnya itu. Namun, fikirannya masih lagi waras. Dia tahu berdosa sekiranya dia menyentuh perempuan yang belum sah menjadi isterinya. Semua tindakannya kaku. Dia bingung bagaimana untuk memujuk Zurina agar memahami keadaannya sekarang.

“Kenapa awak diam Haikal? Apa kurangnya saya? Apa lebihnya dia?”, soal Zurina cuba menahan tangisan.

“Awak tak ada kekurangan di mata saya”, balas Haikal merenung mata Zurina.

“Tapi, kenapa awak pilih dia? Kenapa tidak saya?” Suara Zurina mula lantang.
Marahnya membuak-buak terhadap lelaki yang berada di depannya kini. Lelaki yang hanya pandai menabur janji manis. Dia benci Haikal. Namun, jauh di sudut hati, dia amat merindui lelaki ini.

Haikal diam. Halkumnya bergerak ke atas ke bawah. “Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Saya pun tak tahu macam mana nak menolak. Saya sayangkan awak. Dan, saya harap awak faham keadaan saya”, ujar Haikal perlahan. Dia bingkas bangun.

“Awak jahat Haikal. Jahat!”, marah Zurina bersama-sama tengkingan.

“Saya masih sayangkan awak. Saya harap awak faham. Assalammualaikum”, Haikal terus berlalu meninggalkan bilik yang sudah serasa makin membahang itu.

Pertama kali dia melihat Zurina betul-betul marah. Dia tahu, Zurina seorang perempuan yang lemah lembut. Dia tidak akan marah dengan sesuka hati jika tiada sebab musabab. Haikal mengeluh. Dia melangkah ke tempat parkir dengan hati yang sayu. Pertemuannya dengan Zurina semuanya bermula di sini.

“Maaf, saya tak sengaja langgar kereta Encik”, pohon gadis ayu di hadapannya. Wajah yang penuh dengan ketakutan. Suaranya juga gelabah dan cemas saja lagaknya.

“Tak apa. Saya Haikal. Awak?”

“Zurina. Maaf sangat-sangat Encik Haikal. Nanti saya akan bayar ganti rugi”, ucap Zurina lalu mengeluarkan sekeping cek dari handbag.

“Eh, tak perlu susah-susah. Salah saya juga. Sepatutnya saya berhenti bila ada kereta lagi di belakang. Tak sangka pula kereta Cik Zurina yang lalu. Maaf sangat-sangat. Saya sajalah yang bayar ganti rugi”, jelas Haikal.

Namun, dengan pantas Zurina menghalang. “Tak perlu susah-susah Encik Haikal”

“Kenapa pula? Bukankah saya yang bersalah”

Zurina menggeleng-geleng kepalanya. “Tak apa encik”

“Betul ni?”, soal Haikal seolah-olah tidak percaya. Sebenarnya, dia sudah jatuh cinta pandang pertama. Tidak pernah dia merasai debaran yang kencang di dada. Ternyata Zurinalah orang pertama yang berjaya membuatkan jantungnya bergetar hebat.

“Panggil saya Haikal sahaja. Ini name card saya”, Haikal menghulurkan senyumannya. Bermula saat itulah berlakunya bibit-bibit percintaan antara Haikal dan juga Zurina.

Namun, manusia hanya mampu merancang dan DIA yang menentukan segala-galanya. Toyota Harrier terus meninggalkan kawasan yang penuh dengan kenangan. Haikal memandu memecah kesesakan lalu lintas.



BAB 6

Aqilah merenung jauh ke dalam anak mata Haikal. Entah kenapa, dia merasa Haikal menyembunyikan sesuatu daripadanya. Sudah seminggu lebih Haikal seolah-olah cuba menjauhkan diri. Apabila dia bertanya, Haikal hanya menjawab tiada apa-apa yang berlaku. Cuma penat dengan kerja katanya. Namun, nalurinya kuat mengatakan bahawa, Haikal menyembunyikan satu rahsia daripadanya. Sebaik sahaja selesai makan malam, Aqilah mengikut Haikal masuk ke dalam bilik tidur. Datuk Johar dan Datin Sofea saling berpandangan.

“Abang rasalah, Haikal dengan Aqilah tu bergaduh ke?” Datin Sofea memulakan topiknya sebaik sahaja Datuk Johar melabuhkan punggung di atas katil.

“Kenapa awak tanya macam tu? Saya tengok mereka tu biasa saja. Mengarutlah awak ni” Datuk Johar memulakan hobinya sebelum tidur dengan membaca buku kesukaannya.

“Saya cakap betullah abang. Dah nak dekat seminggu lebih saya tengok Haikal dengan Ila tak bercakap. Haikal pula, tegur Ila pun tidak. Dibiarkan Ila keluar sampai lewat malam. Sepatutnya seorang suami mestilah mendidik isteri. Betul tak abang?” Datin Sofea membuka hujah-hujahnya.

Datuk Johar tersenyum. “Pandai-pandai saja awak ni. Biarlah, kita tengok dari
Jauh dulu. Selagi kita tak dengar mereka ada masalah, kita diam saja. Awak jangan fikir bukan-bukan pula. Saya faham benar dengan perangai Haikal. Saya tahu mana terbaik untuk Aqilah”, pujuk Datuk Johar tenang. Cuba menyedapkan hati isterinya.

“Itu sajalah ayat abang. Asyik abang saja yang betul. Apa yang saya cakap abang tak nak percaya” Rajuk Datin Sofea datang menerpa.

“Awak ni, janganlah merajuk macam budak-budak”

Datin Sofea meneruskan juga rajuknya. Lantas, dia tidur membelakangi Datuk Johar. Ingat orang tua tak pandai merajuk ke?!

“Tak baik tidur membelakangi suami” Rendah sekali suara yang digunakan oleh Datuk Johar.

Lambat-lambat Datin Sofea mengalih tubuh menghadap suaminya. Dia akur dengan egonya. Selama menjadi isteri kepada Datuk Johar, tidak pernah langsung dia dikasari. Malah, dia dilayan begitu baik sekali. Biarpun jodoh mereka ditentukan oleh keluarga. Datuk Johar terima dirinya seadanya. Begitu juga dengannya.

“Saya minta maaf bang”, ucap Datin Sofea jika perbuatannya tadi menyebabkan suaminya itu berkecil hati.

Datuk Johar hanya tersenyum. Dia terus menghentikan minatnya terhadap buku di tangan. Dia terus mendapatkan isterinya. “Awak tak ada salah dengan saya. Abang bahagia dapat isteri macam Sofea”, bisik Datuk Johar lalu merangkul isterinya.

“Terima kasih abang. Saya pun bahagia dapat suami seperti abang”, balas Datin Sofea lalu membalas pelukan suaminya.


*****


AQILAH yang bersantai di atas katil hanya memandang ke arah Haikal yang asyik dengan lamunan. Berkerut juga dahinya memikirkan masalah yang dihadapi oleh Haikal. Akhirnya, dia bangun lalu merapati suaminya. Haikal yang sedar dengan kehadiran Aqilah, terus memberi ruang kepada isterinya. Aqilah melabuhkan punggung bersebelahan dengan Haikal.

“Kenapa sejak kebelakangan ni, saya tengok awak macam memikirkan sesuatu. Awak tak mahu kongsi dengan saya ke?”, soal Aqilah perlahan. Dia tahu Haikal menyembunyikan sesuatu.

Haikal tersenyum lebar. Namun, senyuman itu hambar sahaja. “Saya okey. Awak janganlah risau”, balas Haikal perlahan. Keluhan kecil dilepaskan juga.

“Awak sure ke yang awak okey sekarang ni? Betul awak tak mahu kongsi dengan saya?” Aqilah mencuba nasib lagi. Manalah tahu Haikal akan menceritakan masalah yang dihadapi kepadanya. Untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Aqilah tersenyum. Sebagai isteri, dia perlu ambil tahu masalah yang melanda suaminya. Biarpun tiada cinta di antara mereka sekalipun!

Haikal tersenyum lagi. “Awak nak goda saya ke? Cakap sajalah awak nak duit
lagikan?” Haikal membuat serkap jarang.

Aqilah mengerut dahinya. Pulak, aku juga yang kena. Ngomel hatinya. Aqilah menggeleng kepalanya. Tidak sangka Haikal akan berfikir sampai begitu sekali. Macamlah aku ni tak ada duit. Ngomel hatinya lagi. “Awak ada masalah dengan Zurina ke?”, soal Aqilah cuba meneka.

Haikal terkedu. Dia memandang ke arah Aqilah. Akhirnya dia menundukkan wajahnya semula.

“Tak nak share ke? Saya akan jadi pendengar yang setia”, ujar Aqilah dalam
nada memujuk.

Haikal masih lagi begitu. Dia diam membatu. Mindanya berputar ligat mengingati kejadian beberapa hari yang lalu. Haikal masih lagi mencari-cari novel yang bertajuk “Budak Setan”. Novel kegemaran isterinya itu. Baru hari ini dia dapat menggantikan semula novel tersebut. Haikal tersenyum mengingati pergaduhannya dengan Aqilah. Pertama kali dalam hidupnya terasa seperti budak-budak. Mana tidaknya, perangai isterinya tidak ubah seperti kanak-kanak.

Haikal terus ke kaunter pembayaran. Sebaik saja pembayaran selesai, Haikal disapa satu suara dari arah belakang. Dia mengalihkan tubuhnya. Alangkah terperanjat melihat Zurina di depannya. Bukan dia terperanjat sebab Zurina yang menegurnya. Tapi, terperanjat dengan cara pemakaian Zurina sekarang. Memang berbeza daripada sebelumnya. Dia masih ingat, kali terakhir berjumpa dengan Zurina dalam seminggu yang lepas. Tidak menyangka dia akan terserempak Zurina dalam keadaan yang amat menyakitkan mata!

“Kenapa awak terkejut Haikal? Saya Zurina. Awak tak kenal lagi ke?”, soal Zurina dengan senyuman menggoda.

Haikal tersenyum hambar. Memang dia rindukan Zurina. Tapi, dia tidak boleh menerima perubahan yang berlaku pada insan yang dicintainya. Terlalu drastik perubahan tersebut!

“Awakkan suka perempuan yang pakai seksi-seksi macam ni. Cantik tak? Macam isteri awak tak?” Zurina mula mendekati Haikal.

Haikal tersenyum hambar. “Kenapa awak berubah sampai macam ni sekali?”, Haikal merenung Zurina dengan pandangan tajam. Pakaian yang begitu menjolok mata. Dengan leher yang terbuka luas hingga menampakkan lurah dendam. Tudung pula, entah hilang ke mana! Haikal beristighfar di dalam hati.

“Sebab awak, Haikal. Saya nak diri saya sama macam isteri awak. Kalau awak kahwin dengan dia sebab keseksian dia tu, awak silap Haikal. Saya pun boleh jadi macam Aqilah”, balas Zurina amat menjengkelkan Haikal.

“Awak silap Zurina. Ini bukan diri awak. Saya nak Zurina yang dulu. Bukan Zurina yang sekarang”, balas Haikal penuh sinikal.

Zurina tersenyum sinis. “Sayalah Zurina yang awak kenal. Cuma, yang berubah hanya gaya pemakaian saya. Itu sahaja. Awak tak suka pakaian saya ke? Saya buat semua ini untuk awak Haikal” Suara Zurina kembali kendur. Sepasang mata yang bersinar itu kembali pudar.

“Awak tak perlu buat semua ini untuk saya. Hati saya tetap sayangkan awak walaupun awak tak seksi. Jadi diri awak yang sebenarnya Zu. Bukan diri orang lain. Saya nak balik dulu. Assalammualaikum” Haikal terus berlalu meninggalkan Zurina yang terpinga-pinga.

“Awak”

Haikal tersedar dari lamunannya. Dalam tidak sedar, Aqilah melentokkan kepalanya di bahu Haikal. “Awak tak nak kongsi dengan saya ke? Jauh awak mengelamun tadi”, tutur Aqilah perlahan. Tangannya diletak lembut pada paha Haikal.

Haikal tersenyum kecil. “Tak ada apalah”, balas Haikal perlahan. Suaranya mula bergetar. Bau haruman dari rambut Aqilah menyesakkan naluri lelakinya.

“Betul ni? Awak tak mahu kongsi masalah awak dengan saya ke?”, soal Aqilah lantas menyentuh tangan Haikal pula.

Haikal makin hilang kawalan. Dengan berani, rambut Aqilah dicium lembut. Dia makin hilang kawalan.

“Awak, kenapa ni?”, soal Aqilah tergamam seketika. Ciuman Haikal menjalar di sekitar wajahnya. Dia bagaikan patung. Hanya diam. Seolah-olah merelakan saja perbuatan suaminya. Entah kenapa dadanya bergetar hebat. Aqilah memejamkan mata. Dia seakan-akan hanyut dengan perlakuan suaminya.

Haikal mengusap lembut wajah Aqilah. Entah kenapa raut wajah Aqilah  secara tidak langsung, bertukar menjadi Zurina. Haikal tersentak! Tubuh Aqilah terus tercampak jauh dari dirinya. Aqilah tersentak. Haikal yang tersedar dengan perbuatannya, terus mendapatkan Aqilah.

“Maafkan saya”, ucap Haikal perlahan. Tubuh Aqilah cuba disentuh. Namun, Aqilah pantas mengelak. Haikal terdiam.

Aqilah turut diam. Perasaan malu bertandang dalam dirinya. Aqilah terus bangun lalu membetulkan pakaiannya yang hampir mendedahkan tubuhnya. Tidak tahu di mana dia harus sembunyikan wajah yang merah menyala itu. Sungguh, dia malu!

“Saya nak tidur dulu”, ujar Aqilah tanpa memandang wajah Haikal.

Haikal terdiam. Dia hanya mampu melihat isterinya tidur berpaling ke arah yang bertentangan. Mungkin isterinya malu dengan kejadian yang berlaku tadi. Nafas Haikal kembali seperti biasa. Dia pun tidak tahu kenapa nafsunya begitu membuak-buak ketika berdua-duaan dengan Aqilah. Haikal mengeluh. Dia kembali merebahkan tubuh di sofa. Akhirnya, matanya terpejam juga.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)