bab 23 & 24

BAB 23

Penantiannya berakhir apabila insan yang dinanti-nanti muncul di hadapannya. Berjuta rasa rindu terkumpul dalam hati. Terasa tidak tertahan lagi rindu dalam dirinya. Terus dia menyua tangan kepada si suami. Penuh rasa hormat, dia mengucup tangan kasar itu.

“Assalammualaikum. Dah lama tunggu?”

“Waalaikumussalam. Tak adalah lama mana pun”, balas Aqilah bersama-sama senyuman lebar.

“Cantik isteri abang hari ni. Suka abang tengok sayang pakai tudung” Haikal memuji Aqilah seikhlas hati.

Merah menyala muka Aqilah saat ini. Malulah tu!

“Abang laparlah sayang. Jom balik”

“Amboi, asyik lapar saja. Dalam flight tadi tak makan ke?”

Haikal menggeleng laju. “Tak makan. Nak tengok isteri abang dulu. Baru abang boleh telan makanan”

Satu jelingan tajam diberikan kepada Haikal. “Amboi, gatalnya. Jom balik. Tapi, kita tidur kat rumah mama dengan papa boleh? Esok baru kita balik rumah” Aqilah sekadar memberi cadangan.

“Abang tak kisah. Jomlah” Keputusan Aqilah disetujui oleh Haikal. Dia terus menggenggam erat jari-jemari Aqilah lalu berjalan seiringan.

“Ila drive ya. Abang rehat saja eak”, ujar Aqilah sebaik saja tiba di kereta.

“Tak apalah. Abang boleh drive. Kasihan sayang abang” Jatuh kasihan pula dia pada isterinya. Kalau boleh, dia tidak mahu langsung menyusahkan Aqilah.

Segaris senyuman manis dilontarkan kepada suami tercinta. “Ila tak penatlah. Ila kan superwomen” Aqilah mengangkat kedua-dua tangannya. Seolah-olah mengangkat berat.

“Yela tu superwoman. Okey, abang tak mahu bertengkar. Kalau sayang nak drive, abang tak kisah. Tapi, kalau tak larat, beritahu abang. Boleh?”

Laju saja Aqilah mengangguk. Dia terus menghidupkan enjin sebaik saja tubuhnya berada dalam perut kereta.

“Penat ke?” Sesekali matanya dikerling ke arah Haikal yang sedang memicit-micit lehernya.

Hanya sekuntum senyuman yang terlahir di bibir Haikal. “Malam ni Ila boleh tolong urutkan tak?”

“Hmm, boleh je. Tapi, jangan nak menggatal eak” Jari telunjuk Aqilah bergoyang-goyang di depan mata Haikal.

“Nak gatal dengan isteri sendiri pun tak boleh ke?” Haikal sengaja menduga isterinya.

Kelihatan Aqilah tetap tenang dalam pemanduan. Hanya bahunya saja yang diangkat. Dia malas mahu melayan perangai gatal suaminya. Sememangnya dia sudah boleh menerima diri Haikal. Dia sudah membuka ruang di hati untuk menerima kehadiran Haikal. Akan aku sambut cintamu dalam hatiku. Hatinya berbisik jiwang.

“Kenapa diam? Ada masalah?” Hairan juga dia apabila Aqilah diam seribu bahasa.

Terukir senyuman manis buat Haikal. Itulah sikap prihatin Haikal. Setiap kali dia diam, pasti ditanya mengenai masalah. “Ila okey. Abang kan penat. Rehatlah dulu. Simpan air liur tu. Nanti dah sampai rumah, penat pula nak menjawab soalan papa tentang hal kerja”

“Mana ada. Abang tak penat pun. Entah-entah sayang yang penat. Tapi, tak nak beritahu abang”

“Mana ada. Ila tak penat langsung” Bersungguh-sungguh Aqilah menyakinkan Haikal.

“Kalau tak penat, kenapa diam?”

Aqilah beristighfar dalam hati. Ya Allah, laki aku ni, orang dah cakap tadi suruh rehat. Dia tanya lagi. Sabar sajalah wahai hati.

“Abang bosanlah kalau sayang diam. Tak ada cerita menarik ke masa abang tak ada?”

“Hah, memang ada. Nak dengar sekarang ke?”, soal Aqilah mengerling seimbas ke arah Haikal. Kelihatan hanya anggukan yang menjawab pertanyaannya tadi.

“Ila ada telefon mak. Liya dah mengandung”

“Tu je?”

Aqilah mengetap bibir. “Abang ni, Ila tak habis cakap lagi”, marahnya. Sempat lagi paha Haikal dijadikan sasaran cubitannya.

“Okey sayang cerita eak. Abang tak sampuk lagi” Tawa Haikal makin reda. Terhibur hatinya dengan sikap manja Aqilah.

“Mak ada pesan. Mak suruh Ila sampaikan pada abang. ‘Beritahu Haikal, mak pesan, kerja-kerja juga. Jangan abaikan rumahtangga sudah’. Itu yang mak pesan” Aqilah meniru gaya Hajah Rosiah.

Haikal yang mendengar terus ketawa. “Mak pesan macam tu?”

Aqilah mengangguk. “Ishk, mak pesan macam tu pun dia nak ketawa. Teruk betul”

“Mana ada. Abang cuma kelakar dengar sayang tiru suara mak. Tak sesuailah sayang”, komen Haikal masih lagi dengan sisa tawanya.

Aqilah merengus geram. “Nyampahlah abang ni. Malas dah Ila nak cerita apa-apa lagi”, getus Aqilah dalam nada merajuk.

“Alololo ucuk abang ni, cuba senyum sikit. Sayang kalau senyum nampak cantik tau. Awet muda tau”, pujuk Haikal lalu mencuit pipi gebu Aqilah.

“Pandai-pandai je”, gumam Aqilah perlahan. Hilang terus rajuknya.

“Lagi? Cerita apa lagi yang menarik?”

“Rasanya tak ada kot. Itu sajalah. Tapi, Ila teringin nak balik Kedah. Nak tengok Liya”

“Nak tengok Liya ke atau nak berjalan sebenarnya?” Bibir Haikal tersenyum nakal.

“Ala, sambil menyelam minum air”, seloroh Aqilah disambut tawa oleh suaminya.

“Pandai isteri abang ni. Okey, nanti abang tengok macam mana. Kalau free, kita balik”

“Terima kasih abang”, ucap Aqilah sungguh terharu.

“Sama-sama kasih sayangku....”, balas Haikal berserta senyuman.

Dalam melayani perasaan masing-masing, telefon bimbit Haikal berbunyi. Aqilah tetap kelihatan tenang. Sebaik saja handphone dikeluarkan dari kocek seluar, terus matanya tertancap pada skrin.

“Zurina....”

Sepatah kata yang disebut oleh Haikal telah meragut ketenangan Aqilah. Dia berasa tidak selesa dengan situasi sekarang. Wajah Haikal dilihat melalui pandangan sisi.

“Kenapa tak jawab?”, soal Aqilah laju.

“Malaslah”, jawab Haikal sepatah.

“Macam tak ada mood je”, duga Aqilah dengan kening terangkat sebelah.

Haikal tersenyum lebar. “Sayang cemburu ke? Ala, abang hanya ada sayang je tau”, jelas Haikal cuba menyakinkan Aqilah.

“Boleh percaya ke ni? Ila tak kisah kalau abang masih contact dengan dia lagi. Apa salahnya abang dengan dia jadi kawan. Tak salahkan?” Aqilah memberi pendapat.

Haikal menggeleng kepala berkali-kali. Tanda tidak setuju dengan pendapat Aqilah. “Sayang tak payahlah cakap pasal dia. Kita cakap pasal kita nak tak? Lambatnya sayang drive. Agak-agak bila boleh sampai rumah?”

Bibir Aqilah diketap kuat. Orang serius dia main-main pula. Aqilah melihat meter keretanya. Aahh la, memang perlahan pun. 60 km/j! Itulah, layan sangat perasaan. Beginilah jadinya. Ila, Ila.....


*****


“SAIFUL....”, panggil Aqilah perlahan.

“Ada apa baby?”

Aqilah tersenyum senang dengan panggilan itu. Malu pun ada juga. “Bila b nak jumpa mama dengan papa?”

Saiful terdiam. “Baby, b bukan tak mahu jumpa. Baby pun tahukan yang b ni belum habis study lagi. Bagilah b masa okey. Baby tak apalah juga. Study sampai diploma je”

Aqilah mengerutkan wajahnya. Mulutnya sudah muncung berdepa-depa lagaknya. “Sekurang-kurangnya baby ada juga diploma. Baby tak minat belajarlah b. Boring”, desis Aqilah bosan.

Saiful hanya ketawa. “Dah tu? Apa yang baby tak bosan? Kahwin dengan b baru tak bosan?”, tanya Saiful mula nakal.

Pantas tangan Aqilah mencubit paha Saiful yang ketika itu tenang memandu. Dia dan kekasihnya baru saja menghabiskan masa berfoya-foya. “Malaslah cakap dengan b ni. Menyampahlah. Jangan menyesal satu hari nanti kalau baby kahwin dengan orang lain” Siap amaran lagi Aqilah tujukan pada Saiful.

“Sayang, sayang....”

Bushh! Lamunan Aqilah terhenti. Terus terpinga-pinga dia memandang Haikal.

“Sayang fikir apa ni?”

Aqilah pantas menggeleng. “Tak ada apa-apa”, sahutnya tersekat-sekat. Begitu payah sekali dia mahu meluahkan kata-kata.

“Kat meja makan pun boleh mengelamun ke anak mama ni?”, sampuk Datin Sofea hairan dengan perangai anak tunggalnya. Namun, hatinya makin senang mendengar panggilan yang digunakan Haikal kepada Aqilah. Nampak benar menantunya itu sayangkan isteri!

Aqilah sekadar tersenyum hambar. “Tak adalah mama. Ila teringat Ana. Kata nak datang malam ni. Batang hidung pun tak nampak”, dalih Aqilah bersahaja. Tetapi, memang betul Suzana ada mengatakan hal ini kepadanya petang tadi. Bukan tipu tau!

“Macam-macam Ila ni. Depan rezeki jangan termenung. Tak baik”, tegur Datuk Johar.

Aqilah malu. Tambahan lagi Haikal asyik memandangnya dengan senyuman penuh makna. Lagi malulah dia jadinya.

“Ila, Ila, ni yang buat mama nak berleter ni...”

“Hah Haikal, baca doa makan. Kalau tunggu mama kamu ni berleter, tak makanlah kita jawabnya”, potong Datuk Johar sudah mengangkat tangan.

Membuntang kedua-dua mata Datin Sofea. Akhirnya berderai juga tawa mereka. Aqilah tersenyum kecil. Lucu pula dia dengan sikap mamanya. Berleter, berleter dan berleter. Itulah kerja orang perempuan. Teringat pula akan artikel yang pernah dibacanya.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak, membasuh atau sedang tidur pun kalau boleh dia mahu juga membebel. Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah pada isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami pula meninggikan suara.

Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi, tidak pula terdengar suara Saidina Umar membalas. Jika isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadu hal isterinya. Katanya dalam hati, ‘Kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku’.

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”

Si suami tadi menjawab, “Aku datang hendak mengadu hal isteri aku. Tapi, aku lihat isterimu pun berkelakuan sedemikian terhadapmu”

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah sesungguhnya keadaannya itu tidak lama”

“Sayang, tak nak makan?”

Aqilah tersentak. Terus tersedar dari lamunan. Dia sekadar tersenyum. Dahi Haikal mula berkerut. Seribu pertanyaan bermain di mindanya....


  
            BAB 24

“Assalammualaikum abang. Selamat pagi” Ceria sungguh suaranya di pagi itu.

“Waalaikumussalam. Selamat pagi juga. Awal sayang bangun hari ni”

“Orang tua-tua kata, murah rezeki tau kalau kita bangun awal. Abang dah mandi ke belum ni? Berbaulah” Tangan Aqilah mengibas-ngibas di hidungnya.

“Eleh, kejap lagilah. Macamlah dia tak pernah mandi lewat. Sayang masak apa ni?” Langkah Haikal menghampiri meja makan. Diperhati satu per satu menu yang sudah terhidang di atas meja. Ada roti bakar, mee goreng dan telur separuh masak. Menaikkan sungguh seleranya.

“Pergi mandi dululah” Aqilah menolak tubuh suaminya. Namun, hampa. Sedikit pun tidak berganjak.

“Kenapa tiba-tiba jadi rajin ni?”, soal Haikal pelik.

Hanya bahu saja yang diangkat oleh Aqilah. Dia terus menuju ke dapur untuk menyiapkan kerja seterusnya. Haikal turut membuntuti langkah Aqilah.

“Kenapa abang ikut Ila?” Rimas pula dia dengan tingkah Haikal.

“Saja abang nak ikut sayang. Hari ni kan hari minggu. Ingatkan nak ajak sayang pergi....”

“Tak naklah jogging. Bosan. Rutin harian hari minggu, abang kena sediakan perut untuk cuba masakan Ila. Boleh?”, potong Aqilah diakhiri dengan pertanyaan.

Haikal termangu seketika. “Rajinlah pula. Abang ingatkan sayang penat lagi. Yela, baru semalam kita balik rumah. Abang tengok, sayang sibuk sangat masa kat rumah mama hari tu. Manalah tahu kalau-kalau sayang nak berehat kejap ke untuk hari ni” Haikal sudah menyandar badannya di kabinet dapur. Matanya liar saja memperhati Aqilah yang sedang memotong epal hijau.

“Ila nak juga belajar memasak. Mana boleh abang je yang masak untuk Ila. Dah, pergilah mandi dulu. Tak pun, abang pergi gosok gigi dulu ke”, arah Aqilah dengan tegas.

“Okey, abang pergi dulu” Namun, baru sahaja beberapa tapak, Haikal berpatah semula.

“Kenapa?”, tanya Aqilah sebaik saja tubuh Haikal dekat sangat dengannya.

“Emmuaaahhh. Love you...” Sebuah kucupan hinggap di pipi Aqilah. Haikal tersenyum senang.

Aqilah terkedu. Hampir terjatuh buah epal hiju yang berada di tangannya. Tidak menduga langsung sikap Haikal. Baru saja dia hendak membuka mulut, Haikal sudah mendahuluinya, “Rutin harian abang pula, pagi-pagi kena kiss sayang. Tata sayang. Abang pergi mandi dulu”, bisik Haikal terus berlalu.

Aqilah sudah terpinga-pinga. Gullpp. Liurnya ditelan berkali-kali.

Sementara itu, Haikal di dalam bilik sudah berbunga riang. Hatinya tidak dapat diungkap dengan kata-kata lagi. Dia yakin Aqilah mula menerima dirinya. Perubahan Aqilah begitu ketara sekali. Terutamanya panggilan ‘abang’. Sejuk hatinya mendengar panggilan itu. Dia dapat merasakan cinta Aqilah kepadanya walaupun mereka masih lagi tidur di bilik berasingan.

Haikal memulakan langkah untuk ke bilik air. Langkahnya terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dia terus mendapatkan handphone di meja solek. Seperti biasa, pemanggilnya adalah Zurina. Haikal meletakkan kembali telefon bimbitnya. Dibiarkan talian terputus begitu saja. Namun, si pemanggil seolah-olah tidak memahaminya langsung. Haikal mengeluh berat. Lambat-lambat punat hijau ditekan juga.

“Assalammualaikum”, ucap Haikal bersama-sama keluhan.

“Awak pergi mana Haikal? Kenapa tak jawab panggilan saya?”

Haikal menjarakkan sedikit telefon dari telinganya. Bingit betul suara Zurina. Sudahlah salam pun tidak dijawab.

“Hmm, saya sibuk dengan kerja”, balas Haikal acuh tak acuh.

“Awak sibuk dengan kerja ke atau sibuk mengulit dengan bini awak tu?” Begitu sinis sekali Zurina melontarkan tuduhan.

“Kenapa dengan awak ni?” Kepalanya tiba-tiba pening.

“Saya rindukan Awak, Haikal. Sampai hati awak buat kat saya macam ni”, sedu Zurina tidak tertahan lagi.

Haikal terduduk di kerusi. Dia penat melayan Zurina. Bukan dia tidak sayangkan Zurina. Sikap Zurina membuatkan dia menjauh diri.

“Haikal, saya tak sanggup lepaskan awak. Saya rasa macam hidup tak bermakna tanpa awak. Berilah saya peluang”, pinta Zurina sudah menangis teresak-esak.

“Tolonglah Zu. Saya dah ada kehidupan. Memang hati saya sakit bila tinggalkan awak. Tapi, saya redha dengan segala yang berlaku. Jodoh kita tak panjang. Ila, isteri saya yang sah. Cukuplah sampai di sini saja hubungan kita”

Kata-kata Haikal umpama batu besar yang menghempap kepalanya. “Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya yakin, satu hari nanti awak akan jadi milik saya. Hari tu akan muncul”

“Sudahlah Zurina. Saya penat sangat. Lupakanlah saya. Assalammualaikum”, ucap Haikal terus memutuskan talian. Nafasnya ditarik sedalam yang mungkin.

Kenapa hati ini sakit mendengar tangisan itu?

Kenapa hati ini susah untuk lupakannya?

Kenapa perlunya dia hadir lagi dalam hidupku?

Kenapa aku cintakan Aqilah?

Haikal makin keliru. Dia sayangkan Zurina. Tapi, zurina adalah kenangan. Aqilah adalah buku barunya. Jika benar cinta pertama itu penting, kenapa perlu hadirnya cinta kedua? Haikal memejam mata seketika. Wajah Aqilah muncul dalam layar matanya. Bibir Haikal mengukir senyuman kecil. Dia yakin, cintanya hanya pada Aqilah. Dia tidak akan ingat lagi kisah lampaunya. Biarlah cinta yang kedua ini kekal selama-lamanya. KAU kuatkanlah hubungan kami Ya Allah. Doanya dalam hati.


*****

ZURINA menghempas telefon bimbitnya di atas katil. Hatinya sakit dengan sikap Haikal. Dirinya tidak langsung dipeduli oleh Haikal. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Dirinya tidak ubah seperti orang tak betul.

“Kenapa dia tak pernah nak faham hati aku? Betapa sakit hati aku dia buat macam ni. Kenapa Haikal? Kenapa buat Zu macam ni? Tubuhnya terus terjelepok di atas katil.

Air matanya sudah mencurah-curah. dia sayangkan Haikal. Dia cintakan Haikal. Setiap hari, hanya nama itu yang selalu disebut dan diingati dalam hidupnya. Ternyata Haikal kini makin menjauh darinya. Sudah terlalu sukar dia hendak menggapai diri lelaki itu. Lebih-lebih lagi cinta lelaki itu.

Dia tidak dapat hidup tanpa Haikal. Sungguh, dia tidak rela Haikal meninggalkannya begitu saja. Lantas, dia menekup muka pada bantal. Teresak-esak dia menangisi nasib diri sendiri.

Sesungguhnya cinta itu sangat menyakitkan! Ya, menyakitkan bila seseorang tidak menjadi milik kita. Makin menyakitkan hati apabila setiap kesetiaan tidak dihargai langsung!

“Aku akan miliki kau, Haikal. Aku tak akan putus asa”, tekad Zurina penuh dendam membara.


*****


“KENAPA anak umi asyik termenung saja?”

Idham tersentak. Sebuah keluhan dilepaskan lalu senyuman hambar turut terukir pada bibirnya.

“Id ada masalah ke? Boleh umi tahu?”

Wajah Puan Sarimah dipandang penuh kasih sayang. “Id okey umi. Fikir pasal kerja yang berlambak kat office”, bohong Idham.

“Betul ke tengah fikir pasal kerja? Bukan pasal gadis ni ke?”, soal Puan Sarimah lalu menunjukkan gambar bersaiz 4R pada Idham.

Terkedu Idham tika ini. Dia hendak bersuara. Tapi, terasa kerongkongnya seperti disekat sesuatu. Laju saja tangannya mengambil gambar dari pegangan Puan Sarimah.

“Siapa nama dia?”

“Siapa?” Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan oleh Idham.

“Ishk budak ni, umi tanya pasal gerangan dalam gambar ni” Mulutnya menjuih ke arah gambar yang dipegang Idham.

Dua ulas bibir Idham melakar senyuman kecil. “Nama dia Zurina. Dia anak yatim piatu. Dia yang uruskan syarikat selepas ayah dengan mak dia meninggal. Dia seorang perempuan yang tabah. Tapi, dia tak tabah dalam mengharungi hidup tanpa seseorang di sisi”, jelas Idham di akhiri dengan keluhan.

“Hmm, tak tabah mengharungi hidup tanpa seseorang di sisi. Maksudnya, Id ke orang tu?”

“Bukan Id lah umi. Dia baru saja frust. Jadi...”

“Jadi, Id nak cuba rawat hati dia?”, sambung Puan Sarimah dengan lajunya memotong cakap anak tunggalnya.

Idham menggangguk kepala. “Lebih kurang macam itulah”

“Oh, inilah rupanya masalah yang buat anak umi asyik termenung saja. Barulah umi faham”

“Macam mana umi boleh...”

“Umi kemas bilik Id semalam. Kebetulan terjumpa gambar tu” Naluri seorang ibu seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran anaknya.

“Susahkan umi saja kemaskan bilik Id. Maafkan Id kalau banyak susahkan umi” Idham mula berasa serba salah.

“Tak susah pun. Selama ni, umi selalu tengok bilik Id kemas. Kali ni, berselerak macam tongkang pecah pula. Biasalah, masalah bercinta rupanya”

Idham ketawa kecil. “Ala, umi janganlah nak terasa dengan Id. Bukan Id tak nak beritahu umi. Tapi, Id nak betul-betul comfirm, barulah boleh beritahu umi”

Puan Sarimah tersenyum tenang. “Mana ada umi terasa. Tapi, baguslah kalau anak umi ni dah ada pilihan hati. Tak perlulah umi pening kepala nak fikir calon menantu lagi”, seloroh Puan Sarimah lalu ketawa kecil.

“Amboi umi ni, sejak bila jadi agen mencari jodoh?” Lucu pula dia dengan perangai Puan Sarimah.

“Apa-apa pun, umi doakan Id dapat jodoh yang terbaik”

“Amin....”, sambung Idham meraup kedua-dua tapat tangan ke mukanya.

Id cintakan Zu......

2 comments:

  1. huuu...dah habis dah..cepatlah sambung...

    ReplyDelete
  2. semangkin menarik.... semoga hati Haikal kekal pada Aqilah....

    ReplyDelete

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)